KLIK SAYA SOKONG BLOG

Sunday, July 15, 2012

RAMBUTAN DELI CHENG (R170)

RAMBUTAN VARIETI DELI CHENG (R170) (Nephellium lappaceum Linn) adalah salah satu daripada beberapa varieti rambutan yang di syorkan untuk ditanam di Malaysia. Tanaman Rambutan merupakan sejenis buah tropika yang popular dengan jumlah ditanam di Malaysia seluas 26,846 hektar pada tahun 2011 dan menghasilkan sebanyak 86,100 metrik tan. Beberapa varieti rambutan yang popular seperti varieti Rambutan Gading Muar (R156), Varieti Anak Sekolah (R191), Varieti Deli Cheng (R170) dan juga Varieti Deli Baling (R193) masih ditanam. Walau pun industri tanaman rambutan di Malaysia kurang mendapat perhatian di kalangan petani dan pengusaha. tetapi tanaman sedia ada masih tidak di tebang secara berterusan. Baru-baru ini saya melawat beberapa kampong di sekitar Daerah Pontian, Johor seperti Kg Serkat Darat, Kg Air Baloi dan Kg Rimba Terjun dan mendapati buah rambutan yang telah masak terbiar tanpa di usik diatas pokok. Lebih menyedihkan lagi melihat buah yang telah cukup masak dibiarkan kering  diatas pokok. Ini amat berbeza sekali dengan fenomena di Daerah Chantaburi, Thailand yang saya lawati bulan Jun 2012 lepas dimana saya dapati berpuloh2 buah 'Pick-Up' yang penoh dengan buah rambutan (Kebanyakan varieti Anak Sekolah R191 atau Rong Rien) berbaris sepanjang 1.5 km untuk dihantar ke Pusat Pengumpulan Hasil. Saya akan berkongsi maklumat mengenai pencirian varieti ramabutan Deli Cheng dalam 'Anim Agro Technology' untuk tatapan dan rujukan anda dari sumber  asas Jabatan Pertanian.


Varieti Rambutan Deli Cheng atau Nombor Daftar Varieti ini sebagai R170 adalah sejenis buah rambutan berwarna merah (Lihat foto sebelah) dengan bentuk buah yang BULAT. Varieti ini telah didaftarkan kepada 'National Listing' Jabatan Pertanian pada 17.6.1970 oleh Encik Pertap Singh dari Sungai Buloh , Selangor (Sudah 43 tahun dahulu).  Saya berpeluang banyak kali makan buah varieti ini yang saya beli sendiri atau dapat dari Stesyen2 Pertanian pada musim buah-buahan.  Jika di ukur, didapati panjang buah sekitar 4.85 cm dan lebar buah 4.00 cm dengan kadar panjang buah kepada lebar pada 1.20:1.  Kulit buah berwarna merah dan kod bacaan warna adalah 5R 5/10 dimana kulitnya adalah sederhana tebal (sekitar 0.4 cm).  Bulu Rambutan varieti ini agak panjang dengan purata ukuran 1.55 cm tetapi agak jarang-jarang berbanding dengan beberapa varieti popular yang lain. Warna bulu adalah merah pada pangkal bulu (kod warna - 5R 3/8) dan akan menjadi warna kehijauan pada bahagian hujung. Tekstur bulu sederhana iaitu tidak terlalu keras atau tidak terlalu lembut. Buah yang masak ranum mempunyai warna yang sekata dan amat menarik sekali.


Isinya berwarna putih krim dengan ketebalan isi dalam kategori sederhana dan tekstur isi yang pejal. Foto sebelah menunjukkan permukaan luar isi kelihatan sederhana licin dan agak berkilat. Apa yang istimewa mengenai varieti ini adalah mengenai tahap kandungan gula atau pun tahap kemanisannya mencapai bacaan 22.5% pada skala Brix ketika cukup masak.  Tahap kemanisan ini merupakan ciri penting untuk rambutan ini dimana saya boleh katakan kandungan asid atau tahap kemasaman adalah sangat rendah. Buah yang berwarna hijau ketika muda agak masam jika di makan ketika muda, tetapi akan terserlah kemanisannya jika cukup masak. Kulit yang sederhana tebal ini mampu menjadikan rambutan varieti Deli Cheng di pasarkan dalam jangkamasa yang agak lama juga. Isinya agak berair dan mudah di kopek atau merupakan jenis rambutan yang 'LEKANG'. Hanya sedikit bahagian testa yang terlekat atau tertinggal pada isi dan mudah dimakan. Buah ini sesuai di makan segar atau boleh juga di proses untuk di jadikan buah Minimal Process (MP), di masukkan dalam 'mixed fruit syrup' dan sebagainya. Harga ladang yang direkodkan di Kedah dan Selangor pada bulan Jun musim 2012 ini sekitar RM 0.60 - RM 0.80 sekilogram. Kalau hendak makan free pun boleh iaitu pergi di kampong-kampong tradisional yang tidak mengutip buah rambutan varieti ini.


Apabila kita buang kulit dan makan isinya, maka yang tinggal ada biji rambutan. Bijinya berbentuk bulat lonjong (Ovate) dengan lapisan kulit testa berwarna krim perang (Lihat foto sebelah). Biji ini belum ada kegunaan untuk dimakan atau diproses kecuali disemai untuk dijadikan pokok penanti benih rambutan. Pokok penanti yang cukup umur ini akan dicantum dengan varieti pilihan apabila cukup umur. Melihat kepada fenomena semasa, potensi untuk varieti R170 atau Deli Cheng ini di perluaskan penanamannya agak suram dimasa akan datang. Dalam analisa kewangan yang saya buat, saya dapati tanaman rambutan di Malaysia adalah kurang menguntungkan, atau kalau dikira banyak kali memberikan kadar Nilai Kini Bersih (Net Present Value - NPV) yang NEGATIF (Negative) dan ini bermakna ianya tidak berdaya maju. semuga ada pihak yang akan mengambil kisah akan rambutan varieti ini agar ianya tidak akan pupus dimasa akan datang. Wassalam!


RAMBUTAN DELI CHENG .... R 170 NOMBORNYA....
BUAHNYA MERAH... AMAT MANIS RASANYA....
RAMAI TIDAK KENAL.... PENCIRIANNNYA...
KENA BUKA BLOG..... BARU TAHU RUPANYA...


By,
M Anem
Bukit Tangga , Kedah,
Malaysia.
(27 Syaaban 1433H) 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...