Support My Blog

Monday, July 16, 2012

Taksonomi Lalang

LALANG (Imperata cylindrica) adalah sejenis tumbuhan kategori rumpai (weeds) dari keluarga Graminae yang terdapat diseluruh dunia. Semua orang mungkin kenal akan tumbuhan lalang yang tumbuh liar di kawasan padang, keliling rumah, di tepi sungai, kawasan pantai, tepi jalan raya dan dimana-mana juga. Tumbuhan ini telah di buat pencirian dan taksonomi oleh Linnneus pada tahun 1759 dengan nama asal sebagai Lagurus cylindricus dan kemudian di tukar namanya oleh orang Perancis sehingga kini dengan nama yang popular iaitu Imperata cylindrica. Bagaimana pun banyak nama-nama lain bagi lalang atau synonym seperti Calamagrotus lagurus, Imperata allang , Imperata arundinaceae, Imperata koeinigii, Imperata pedicelatta, Imperata siberi, Imperata thunbergii, Saccharum cylindricum, Saccharum europareum, Saccharum koeingii, Saccharum lagunoides, Saccharum sisco  dan Saccharum thunbergii. Kalau kita baca namanya seakan sama dengan nama bagi tanaman Tebu iaitu Saccharum officinalis.  Nama-nama lalang mengikut nama tempatan juga banyak seperti dalam bahasa Inggeris yang dipanggil sebagai Congongrass, Cogon Grass, Punai Grass, Sword Grass, Japanese Bloodgrass dan banyak lagi.  Artikel pagi Sabtu ini 'Anim Agro Technology' berkongsi maklumat mengenai tumbuhan lalang untuk di kongsi bersama.



Beberapa nama bagi Lalang adalah seperti Lalang (Melayu), Bai Mao (China), Kush (Bengali), Ja' Kai' (Thai), co'tranch (Vietnam), Blutgrass (Jerman), Alang-alang (Indonesia), kugon (Filipina), chigaya (Jepun) dan banyak gelaran lagi. Tumbuhan lalang merupakan di kategorikan sebagai antara 10 jenis rumpai merbahaya didunia dan ada setengah negara menjadikan lalang sebagai rumpai yang perlu di kuarantin. Ini adalah disebabkan kemusnahan yang mampu dilakukan olehnya dan kawalan untuk memusnahkannya memerlukan kos yang amat tingi selain daripada kesukaran untuk dikawal. Lihat sahajalah di sebelah rumah saya di Putrajaya (Foto atas sekali) , penghuninya yang tidak mampu mengawal rumpai menyebabkan ianya membiak dengan cepat dan menjadikan masaalah kepada orang lain kerana ianya membiak dengan cepat. Lalang mempunyai daun lebar (Blade leaf) yang panjang keluar dari pangkal rumpun dengan ukuran panjang 1-4 kaki dan 2-3 inci lebar. Daun berwarna hijau akan bertukar kepada hijau merah dan akhirnya mati dan kering berwarna coklat.  


Lalang sangat toleran dengan suhu dan cuaca kering mahu pun di kawasan yang ada teduhan. Lalang akan tumbuh dengan mudah asalkan ada kawasan tanah, cahaya matahari, air dan mampu 'survive' dalam suhu kepanasan akibat terbakar. Rizom Lalang yang ada dalam tanah tidak akan musnah walau pun di bahagian atas tanah semua bahagian daun dan batang telah di bakar atau hangus. Ini kerana rizom lalang mempunyai simpanan makanan dan akar serabut di sekelilingnya. Rizom lalang mampu keluar untuk tumbuh dan membiak diatas tanah selepas terbakar dan lazimnya akan lebih subur dari sebelumnya. Lalang mampu tumbuh dengan cepat (fast growth weed) dan ianya amat sukar untuk dimusnahkan. Haiwan ternakan tidak suka untuk makan lalang kerana struktur daun lalang yang keras, tidak enak dan tajam selain mengandungi bahan toksik yang akan menyebabkan haiwan ruminan sakit perut. Kalau haiwan ternakan suka akan lalang, maka tidak menjadi masaalahlah untuk kita menanam lalang bagi tujuan makanan ternakan. Malangnya kejadian alam tidak begitu.


Setakat ini belum ada laporan mengenai penggunaan lalang selain daripada ianya sebagai rumpai merbahaya yang menjadi masaalah kepada petani. Hanya beberapa negara seperti di Papua New Guinea, Afrika dan beberapa kawasan Pendalaman di Asia Tenggara yang menggunakan daun lalang untuk dijadikan atap dan dinding rumah. Kawasan penempatan orang asli kita juga yang masih menggunakan daun lalang sebagai atap dan dinding rumah mereka. Memang sejuk, berangin dan selesa jika kita ada pondok atau rumah yang mempunyai daun lalang waktu tengahari. Bagaimana pun ianya agak merbahaya kerana mudah terbakar. Kawasan tebing sungai dan kawasan lereng bukit yang ditumbuhi lalang mampu membantu mengawal hakisan tanah walau pun lalang tidak menpunyai akar panjang seperti 'vertiver grass'. Kalau boleh kita belajar lagi mengenai taksonomi dan marfologi  mengenai lalang untuk kita lebih mengenali tumbuhan yang tidak disukai ini. Wasallam!




MENGENALI LALANG .... AMAT MUDAHNYA....
DAUNNYA TAJAM...RIZOM LALANG DALAMNYA...
MERUPAKAN RUMPAI.... BAHAYA KESANNYA....
MUSNAHKAN LALANG... HILANG PENINGNYA...


By,
M Anem
Putrajaya, 
Malaysia.
(24 Syaaban 1433H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...