Support My Blog

Thursday, July 19, 2012

DURIAN BUKIT MERAH (D24)

DURIAN BUKIT MERAH (D24) merupakan satu varieti durian paling popular kategori tanaman Durian (Durio zibethinus) di Malaysia semenjak dahulu. Ramai orang kenal akan varieti ini sebagai 'KLON D24' sahaja seperti yang dipamerkan oleh para penjual durian klon di seluruh negara. Kenapa durian ini sangat di gemari oleh petani dan peminat buah durian?....Mesti ada jawapannya. Klon ini telah pun didaftarkan pada 30.11.1937 kepada 'National Listing' Jabatan Pertanian oleh individu yang tidak dinamakan.  Seperti namanya,  varieti Bukit Merah ini dipercayai berasal daripada kawasan Bukit Merah, di Perak dan telah di tanam di seluroh negara sebagai varieti yang di syorkan oleh Jabatan Pertanian. Saya memang sangat kenal akan varieti ini kerana mempunyai beberapa batang pokok D24 di dusun di Kampong, Muar, Johor dan terlibat dengan aktiviti mengeluar dan menjual benih durian Bukit Merah (D24) dahulu. Tentang makan buah D24, saya memang setiap tahun dapat makan hasil dari beberapa Stesyen Jabatan Pertanian yang ada pelbagai pokok durian dari berjenis varieti dan saya berpeluang membelinya dengan harga murah (Kadar Jabatan). Malam Ahad ini saya menulis beberapa ciri mengenai varieti Durian Bukit Merah atau di kalangan penjual sebagai durian Klon D24 dalam 'Anim Agro Technology' untuk pengetahuan anda.


Varieti Bukit Merah (D24) mempunyai bentuk buah yang BULAT (Oval) atau agak bulat lonjong di pangkal atau hujung. Bahagian atas atau bahu buah agak bulat meruncing sedikit dan bahagian hujong buah agak bulat (Rujuk foto sebelah). Dari pemerhatian buah ini yang saya buat di Tangkak, Johor baru-baru ini, saya dapati anggaran panjang buah sekitar 20 -24 cm panjang dengan ukuran lebar buah sekitar 18 - 20 cm dengan kadar panjang buah kepada lebar buah 1.07:1. Buah ini mempunyai warna kulit kehijauan dengan duri berwarna hijau dan coklat terang dibahagian hujung duri ketika buah cukup matang.  Susunan duri pada kulit berbeza diantara kawasan pangsa, kawasan bahu dan kawasan hujong buah. Biasanya duri di bahu buah duri agak pendek dan bergabung. Dibahagian pangsa buah pula mempunyai duri yang sederhana panjang dan selalu terdapat duri yang bersaiz pendek diantaranya. Dibahagian hujong buah lazimya tidak berduri dan kadang-kadang masih nampak akan stail bunga. 


Isi buah Varieti D24 berwarna kuning kunyit (Lihat foto sebelah) dengan bentuk tidak berkop bersaiz sederhana besar.  Pemerhatian mendapati ulas buah mempunyai ketebalan sederhana begitu juga saiz ulas yang sederhana besar. Kadar kemanisan buah adalah MANIS dengan ada sedikt rasa pahit. Rasa pahit ini yang menjadi ciri kegemaran peminat varieti D24. Keistimewaan isi durian ini adalah RASA LEMAK yang sangat kuat atau sangat ketara.  Di nilai dari segi tekstur isi, ianya bertekstur halus tetapi kadar kepejalannya di tahap LEMBIK sahaja. Dari segi bau atau aroma, saya dapati durian ini mempunyai tahap bau yang SEDERHANA. Isi durian D24 sesuai di makan segar, di masak dengan bubur kacang, di buat kuah pulut, di buat tempoyak dan sebagainya. Paling seronok mengenai durian adalah dimana saya dapat makan 'Durian goreng' di Hotel New York , Johor Bahru dulu semasa Program Berbuka Puasa di hotel tersebut anjuran koperasi. Kini dah 2 tahun lebih tidak merasa  resepi durian goreng yang enak dan lazat tersebut jauh di Selatan.


Biji buah durian Varieti Bukit Merah adalah berbentuk bulat dengan saiz sederhana.  Setiap pangsa buah varieti ini mempunyai 3-4 ulas dimana setiap ulas lazimnya ia mempunyai biji. Kajian juga mendapati varieti ini mempunyai 80% ulas buah mempunyai biji penoh dan 2o% lagi mempunyai saiz biji saiz separuh. Pemerhatian juga mendapati tidak ada ulas buah yang kesep untuk varieti ini. Saiz biji yang sederhana mempunyai kulit licin berwarna coklat gelap dan agak tebal. Dibahagian hujung biji serang ada selaput isi yang tertinggal. Biji ini boleh di semai untuk dijadikan bahan tanaman sebagai Pokok Penanti untuk cantuman. Kepada petani yang hendak menanam varieti ini mudah sahaja membelinya anak benih tulin dari pihak tertentu atau nurseri swasta yang telah menerima sijil Pengesanan Bahan tanaman Jabatan Pertanian (SPBT). Harga benih bergantung kepada saiz anak pokok dari yang kecil lingkungan RM 4.00 sepokok kepada saiz besar sehingga RM 30.00 sepokok. 


DURIAN BUKIT MERAH.... KUNING ISINYA...
SANGAT MANIS...TERASA AKAN LEMAKNYA...
BERBENTUK BULAT..... BANYAK JUALANNYA....
RASA PAHIT.... AGAK TINGGI HARGANYA....


By,
M Anem
Tangkak, Ledang,
Johor, Malaysia.
(27 Syaaban 1433H)  

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...