Support My Blog

Thursday, March 22, 2012

VARIETI BUAH-BUAHAN YANG DISYORKAN

Terdapat banyak jenis varieti buah-buahan tropika yang ditanam di Malaysia daripada jenis yang tradisional, jenis lama seperti buah nadir sehinggalah jenis buah komersil. Kebanyakan varieti buah-buahan tempatan ditanam berasaskan kepada kesediaan anakbenih, minat petani, potensi hasil dan pendapatan hasil jualan atau ditanam secara suka-suka atau hobi sahaja. Tanaman buah-buahan yang disyorkan untuk ditanam secara komersil akan di tanam dengan amalan agronomi dan sistem penanaman terbaik untuk menghasilkan buah yang berkualiti dan selamat dimakan. Beberapa varieti buah-buahan telah di syorkan untuk penanaman secara komersil berdasarkan laporan pengesyoran oleh Jabatan Pertanian dimana ia mampu memberikan alternatif kepada petani-petani sebelum aktiviti  menanam dijalankan. Artikel subuh ini saya menulis beberapa jenis buah-buahan yang telah  disyorkan untuk makluman pembaca.


Cempedak CH33
Tanaman Cempedak (Artocarpus chempeden) di negara kita adalah untuk kegunaan makan segar. Terdapat 3 jenis cempedak yang telah disyorkan iaitu Varieti atau Klon CH 28, CH30 dan juga CH 33. Varieti ini merupakan varieti yang popular ditanam sehingga mencapai keluasan 10,700 hektar pada tahun 2011 dengan penghasilan sebanyak 39,050 metrik tan. Varieti CH 28 berasal dari Pusat Pertanian Serdang (Tiada nama tempatan) sementara CH30 dipanggil sebagai Kuang 4 (ada juga yang kata Paya Jaras). Varieti CH 33 adalah cempedak yang berasal dari Kedah dipanggil nama tempatan sebagai Cempedak Chin (Sila klik disini untuk untuk maklumat klon cempedak yang telah berdaftar di Malaysia). Bagi tanaman Nangka (Artocarpus heterophyllus) pula terdapat 3 variei yang telah disyorkan untuk penanaman iaitu Nangka varieti J29, J 31 dan J 32. Artikel mengenai Nangka (Klik disini) menjelaskan teknologi penanaman nagka di Malaysia sementara maklumat mengenai jenis-jenis klon nangka boleh dibaca dari artikel ini (Sila klik disini).  Nangka kini ditanam secara meluas di TKPMLanchang, Temerloh Pahang dengan beberapa varieti terutama dari varieti Tekam Yellow (J 33).


Durian D197
Bagi Durian (Durio zibethinus) pula terdapat 7 varieti yang telah disyorkan untuk ditanam terdiri daripada D24, D99, D123, D 145, D158, D159 dan D169. Maklumat mengenai varieti ini boleh dibaca dalam artikel klon durian yang didaftarkan di Malaysia (Sila klik disini). Terdapat seluas 105,000 hektar tanaman durian di Malaysia pada tahun 2011 dengan dianggarkan sebanyak 50% daripada keluasan tersebut mengeluarkan buah setiap tahun. Penghasilan buah durian selalunya banyak bergantung kepada faktur cuaca selain daripada amalan agronomi dan tahap serangan perosak. Sila baca artikel mengenai durian bertajuk Durian (klik disini), Durian Musang King (Klik disini), Durian D24 (Klik disini) dan Klon Buah Popular di Malaysia (Klik disini) untuk menambahkan lagi maklumat mengenai tanaman durian.

Terdapat 2 jenis Limau Bali (Citrus grandis) yang disyorkan untuk ditanam iaitu Varieti PO 55 dan Varieti PO52. Terdapat seluas 1,900 hektar limau bali di tanam di Malaysia pada tahun 2012 dengan kawasn utama di Johor, Perak dan Kedah (Baca artikel Limau bali - Klik disini).  Kawasan Jementah di Segamat dan sekitar Ipoh di Perak menanam limau bali untuk kegunaan segar serta mempunyai permintaan tinggi dimusim perayaan Tahun Baru Cina. Bagi Limau manis pula terdapat sejenis varieti yang disyorkan iaitu Limau Mandarin M33. Walau pun pada masa ini tidak ramai yang tanam dan kenal limau M33 tetapi ianya merupakan satu varieti yang popular sebelum masaalah serangan Citrus Greening Disease yang memusnahkan industri penanaman limau di negara kita. Klon-klon citrus yang didaftarkan di Malaysia ada pada artikel disini (Klik disini).


Tanaman Mangga (Mangifera indica) mempunyai beratus varieti atau klon yang didaftarkan (Sila Klik disini). Diantara mangga yang telah disyorkan adalah Varieti M 162, M 165, MA 204 dan MA 224. Tanaman mangga kini telah banyak diusahakan di Melaka, Perak, Kedah dengan tujuan untuk penggunaan segar dan sebahagian sahaja untuk tujuan di proses (Dijeruk untuk jenis mangga tradisional). Mangga Chok Anan (MA 224) adalah varieti yang paling luas ditanam kerana tanaman varieti ini mampu berbunga dan berbuah sepanjang tahun, tahap kelekatan buah yang tinggi (fruit set) serta mudah diuruskan dengan amalan agronomi yang sederhana. 


Rambutan Gading Muar
Tanaman Rambutan (Nephellium lappaceum) merupakan tanaman yang banyak ditanam dikawasan rumah dikampong dan hanya sebahagian yang ditanam sebagai tanaman monokrop. Beberapa varieti rambutan telah didaftar di Malaysia (Klik disini) dimana hanya 6 varieti sahaja yang disyorkan iaitu R134, R 156, R 170, R 162, R 191 dan R 193. Maklumat mengenai teknologi tanaman rambutan boleh dibaca dari artikel RAMBUTAN (Klik disini). Rambutan Gading Mas Muar (Klik disini) merupakan rambutan yang mempunyai warna kulit kuning yang saya juga suka kerana isinya tebal dan manis. Industri tanaman rambutan kurang popular sekarang kerana masaalah harga dan bekalan yang mencukupi serta pulangan yang agak rendah. Diharap artikel ini memberikan sedikit maklumat berguna kepada pembaca.


VARIETI BUAH...TELAH DISYORKAN...
DITANAM MELUAS...CUKUP DIMAKAN....
BENIH YANG TULIN..PERLU DIDAPATKAN...
TANAM SENDIRI...MUDAH DIPASARKAN...


By,
MAnem
Pct 11, Putrajaya,
Malaysia
(29 RabiulAkhir 1433H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...