KLIK SAYA SOKONG BLOG

Saturday, March 3, 2012

CACING VERMIKOMPOS

CACING VERMIKOMPOS  merupakan cacing yang mampu menghasilkan baja Vermikompos dengan cekap dan effisien berbanding dengan cacing tanah yang lain. Saya geli bila melihat cacing ini yang dilihat sebagai haiwan yang diternak masa kini untuk pengeluaran baja vermikompos. Maklumat yang saya perolehi daripada Jabatan Pertanian menunjukkan cacing tanah ada 3 jenis iaitu ENDOGENIC (Soil dwelling),  EPIGENIC (Litter dwelling) dan  ANECIC (Night Crawler). Kalau ikut nama sahaja kita boleh agak yang cacing Endogenic adalah jenis cacing yang suka dengan habitat dalam tanah (termasuk cacing yang ada dalam tanah kita untuk umpan memancing). Cacing Epigenic sering duduk dalam kawasan sampah dan agen pereputan yang cekap juga. Pada masa dulu saya hanya tahu cacing dalam tanah sahaja yang dicari dalam kawasan tanah agak lembab dan dimmana ada tahi cacing pada permukaan atas tanah...pasti ada cacing didalamnya. Cacing ini dicucuk masuk kepada mata pancing dan diletakan depan rumah (ada sungai) dan pasti akan dapat ikan keli (catfish) atau ikan lain. Artikel pagi sabtu ini saya menulis mengenai cacing untuk buat baja vermikompos.


Cacing Merah
Dalam pembacaan saya mengenai teknologi cacing untuk membuat baja vermikompos perlu gunakan jenis cacing Endogenic seperti Cacing Harimau (Eisenia fetida), Cacing Merah (Lumbricus rubellus) dan juga Cacing Biru Tempatan (Perionynx excavatus). Diantara jenis cacing tersebut saya hanya pernah jumpa cacing biru tempatan yang sering dijumpai datas tanah gambut dibawah daun getah yang sedang mereput.  Teknologi menternak cacing ini juga telah memperkenalkan beberapa cacing impot lain dari luar negara seperti Cacing Perancis (Eisenia andrei), Cacing India (Parethima elongata), Cacing Eropah (Apporectodea calliginosa), Cacing Amerika Selatan (Microscoles dubius) dan Cacing Afrika (Eudrilus eugeniace). Jenis-jenis cacing impot ini ada kemungkinan sesuai untuk cuaca negara ini yang panas dan lembab sepanjang tahun bagi penghasilan baja vermikompos yang produktif.  Bagaimana pun kajian menunjukkan Cacing Harimau daripada Australia sahaja yang paling sesuai diternak kerana ianya kuat makan dan menghasilkan baja dan katanya memang ujud secara semulajadi dihutan dinegara kita. Cacing ini juga suka makan najis haiwan dan bahan tumbuhan dengan cekap.


Kita perlu pastikan cacing vermikompos yang kita hendak ternak mesti suka memakan dibahagian lapisan atas media pengkomposan supaya kita dapat tambah dengan mudah media makanannya apabila telah habis dimakan.  Penting juga kita pastikan agar cacing ini kuat makan dimana sebaiknya ia mencapai berat badan sama dengan berat makanan dalam masa 24 jam sahaja.  Cacing dipilih perlu cepat membiak dengan kapasiti sebanyak 50 biji kapsul telur setahun dimana setiap kapsul ada 3-4 ekor cacing. Maknanya dalam setahun cacing kita mampu membiakkan sebanyak 150 - 200 ekor anak cacing. Cacing yang diternak ini bertujuan untuk mendapatkan baja vermikompos yang mempunyai nilai nutrien yang baik untuk tanaman. Saya pernah banyak kali didatangi oleh usahawan yang ingin menjual baja vermikompos tetapi jarang saya membelinya kerana harganya yang agak tinggi berbanding dengan baja kompos sedia ada yang lain. Ramai juga dikalangan usahawan cacing yang mengadu sukar hendak menjual baja vermikompos mereka setelah berkursus (diuruskan oleh syarikat swasta) dan diberikan khidmat kepakaran daripada syarikat tersebut.


Secara teorinya menternak cacing adalah satu aktiviti sampingan yang mampu menjana pendapatan tambahan dan merupakan satu projek Teknologi Hijau (Green Technology) yang patut digalakan di negara kita. Projek ini mampu kitar semula bahan buangan daripada aktiviti pertanian seperti pengkomposan batang jagung, sisa tanaman, jerami padi, sisa hampas kelapa sawit dan banyak lagi sisa ternakan daripada kandang. Baja Vermikompos adalah sejenis baja organik yang berkualiti dimana ianya mengandungi TAHI CACING dan sisa media pereputan yang telah dikomposkan oleh bajan mikrob yang lain dalam proses tersebut. Kajian menunjukkan baja vermikompos adalah terdiri daripada agregat-agregat kecil yang disatukan oleh sebatian organik polisakarida. Bahan ini didakwa mampu menyuburkan tanah dengan memperbaiki struktur dalam tanah dan kendungan berjuta-juta mikrob didalamnya akan membantu menyuburkan tanah apabila diaplikasikan didalam kawasan penanaman kita. Laporan makmal juga mendapati baja ini banyak mengandungi unsur penting seperti Nitrogen, Posforan, Kalium, Magnesium, Boron serta mengandungi 1,000 kali ganda mikrob berfaedah (effective microbe organism) daripada tanah biasa. Diantara mikrob yang ujud didalamnya seperti Lactobacillus spp iaitu sejenis bakteria aerobik yang mampu menguraikan nitrogen dalam tanah. Kandungan lain seperti Pseudomonas aerugenosa yang mampu membekalkan hormon dan enzim kepada tumbuhan  untuk tumbesaran pokok. Walau pun ada dakwaan diluar negara seperti di Kanada dan USA yang mendakwa penggunaan vermikompos mampu meningkatkan sehingga 70-300% hasil tanaman tetapi kita kena sesuaikan dengan teknologi mereka. 


Baja vermikompos
Kepada mereka yang ingin menternak cacing untuk vermikompos perlu mendapatkan khidmat nasehat daripada Jabatan Teknikal seperti Jabatan Pertanian, MARDI , FRIM, MOSTI dan sebagainya agar mempunyai kepastian dengan teknologi dan pemasaran selepas ada pengeluaran kelak. Permintaan untuk baja vermikompos di Malaysia masih ditahap rendah dimana belum ramai petani yang percaya dengan kelebihan baja ini berbanding dengan baja organik sedia ada yang dijual dipasaran. Promosi yang hebat dan kajian pasaran perlu di jalankan dengan lebih agresif untuk produk cacing vermikompos ini sama ada untuk kegunaan domestik atau antarabangsa. Kalau tidak silap, saya pernah baca satu poster mengenai amaran agar berhati-hati dengan syarikat swasta yang menawarkan pakej ternakan cacing ini kerana jaminan keuntungan masih dalam peringkat tidak pasti lagi. Bagaimana pun mungkin telah ada usahawan diluar sana yang telah berjaya menjalankan aktiviti ternakan cacing vermikompos ini dengan berjaya. Tahniah!


CACING DITERNAK...MEMANG RASA GELI....
VERMIKOMPOS DIHASILKAN...BERBIJI-BIJI...
HARGANYA MAHAL...MACAMANA NAK BELI...
AWAS KALAU NAK BUAT...JANGAN RUGI...


By,
M Anem
Muar Marina 
Muar, Johor,
Malaysia
(10 Rabiul Akhir 1433H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...