KLIK SAYA SOKONG BLOG

Friday, March 16, 2012

TALI PARA

TALI PARA merupakan satu jenis tali yang digunakan dalam aktiviti penanaman sayur secara komersial masa kini terutama petani yang menanam sayur menggunakan Sistem Para Trellis (Sila klik disini untuk artikel ParaTrellis). Saya rasa tidak banyak maklumat mengenai Tali Para yang ditulis untuk pengetahuan usasawan tani secara terperinci kerana teknologi ini belum begitu lama diperkenalkan kepada petani-petani kecil tetapi telah menjadi teknologi utama kepada penanam sayur komersil. Artikel ini saya akan mengupas teknologi ini berdasarkan ilmu pengetahuan, pengalaman, lawatan di kebun petani dan pemantauan dibeberapa projek sayuran komersil di seluruh negara terutama di sekitar Johor, Pahang, Selangor , Perak dan Melaka. Penggunaan para junjung kayu secara pancang bersilang kini tidak lagi popular digunakan didalam penanaman sayur secara komersil walau pun masih dibuat oleh petani sayur-sayuran berskala kecil dan sederhana. Kesukaran untuk mendapatkan kayu pancang dan banyak menggunakan tenaga upah memasang dan mencabut menyebabkan petani menukar kepada sistem para trellis dan menggunakan 'Tali Para'.


Antara tanaman yang menggunakan para trellis dan tali junjung seperti Kacang Panjang (Vigna sesquipedalis), Kacang Buncis (Phaseolus vulgaris), Peria (Momordica charantia), Petola (Luffa acutagula) , Kacang Botor (Phorpocarpus tetragonolobus), Cili (Capsicum annum) , Terung (Solanum melongena), Tomato (Lycopersicum esceluntum), Cili Benggala (Capsicum sp), Timun (Cucumis sativus), Petola Ular (Tricosanthes sp),  Labu Air (Lagenaria siceraria) dan sebagainya. Tumbuhan menjalar atau merayap ini (creepers) akan melilit atau menggunakan sulur paut (tendrils) untuk naik keatas bagi mendapatkan cahaya matahari. Bagi jenis melilit seperti kacang panjang, Kacang Botor, Kacang buncis akan melilit pada tali atau junjung pada bahagian pucuk atau tunas baru. Jenis tumbuhan yang menggunakan sulur paut seperti Peria, Timun dan Petola menggunakan sulur pautnya yang melilit kuat pada tali atau kayu atau dawai sokong. Tanaman cili besar, terung dan cili benggala pula adalah jenis pokok berkayu lembut yang perlu diikat atau dililit agar tidak patah atau sekah akibat buah atau daun terlalu lebat. 


Tali Para ada ada dua jenis yang digunakan iaitu TALI PARA dan TALI JUNJUNG. Tali Para adalah jenis tali plastik berwarna hijau muda yang bersaiz kasar yang digunakan untuk direntangkan diatas para trellis menyambungkan antara dawai-dawai para. Tali ini di ikat kepada dawai denga jarak antara 100 - 500 cm bergantung kepada jenis tanaman menjalar (creepers). Tali para ini ada dua jenis iaitu jenis tali kasar dan jenis tali halus yang berbeza harga, pembungkusan dan ketahanannya serta kegunaannya. Tali para keluaran Syarikat Chiap Hup merupakan jenis tali para yang paling digemari oleh petani kerana kualiti yang baik serta harga berpatutan. Kata En Rahim daripada TKPM Pulau Manis, Kuantan, Pahang yang saya temui berkata, tali dari syarikat ini adalah jenis kering, tahan 2-3 musim dan mudah diikat. Bagi tali para sebanyak 5 guni plastik diperlukan setiap 1 hektar mengandungi sebanyak 10 gulong. Harga satu gulong tali para RM 14.00 bermakna satu hektar sistem trellis memerlukan kos RM 140.00.  Kerja memasang tali ini juga agak lama sekitar 1 minggu oleh 1 orang pekerja (7 tenagahari). Saya telah cuba mengikat untuk 15 minit dah sakit tengkuk....


Lapisan lantai tali para.
Cara mengikat tali para memang memerlukan ketekunan dan kemahiran tinggi. Bagi pekerja kebun sayur buah berpengalaman , mereka akan mengikat dari pangkal dawai dan merentang dengan jarak ditentukan dan mengikat dengan menyimpul pada setiap dawai trellis yang direntang. Tali ini akan berfungsi untuk membentuk lapisan 'lantai' pada permukaan atas para trellis bagi menampung batang tumbuhan yang menjalar diatasnya (lihat foto diatas). Lebih rapat jarak tali para sebenarnya baik tetapi memadainya dengan jarak yang disyorkan untuk penjimatan kos dan tenagakerja. Sulur paut dan batang pokok akan menjalar diatas lantai tali ini dan akhirnya permukaan atas trellis akan penoh. Pada masa ini tidak perlu lagi mengawal rumpai dibawah para trellis kerana redup dan kurang rumpai. Bunga dan buah akan bergantungan dan mudah dilihat dari bawah untuk kerja menungut hasil.


Tali Junjung atau di panggil juga sebagai Tali Putus adalah tali yang diikat dari dawai atas atau tali para kebahagian bawah pangkal pokok. Tali ini lazimnya berwarna hijau muda dan agak halus berbanding dengan tali para tadi. Tali ini berfungsi sebagai tali yang digantung dari bawah untuk memberikan peluang anak pokok melilit atau memanjat yang perlukan latihan peringkat awal. Bahagian atas tali di ikat terus pada dawai atau tali para sementara bahagian bawah juga diikat pada tali para yang direntang panjang atau diikat pada kayu buluh atau kayu pancang berdekatan lubang penanaman. Elakkan mengikat terus pada batang anak benih kerana jika angin bertiup kencang anakbenih akan tercabut. Bagi tanaman kacang panjang sebanyak 10 helai tali junjung diperlukan sepokok atau satu lubang dimana semuanya akan digunakan untuk menaikan 10 sulur pokok kacang keatas. Satu anak benih kacang panjang akan diikat kepada 10 tali (menjadi 10 batang) untuk menjalar keatas.


Kajian saya dibeberapa lokasi kebun sayur komersil diJohor dan Selangor mendapati sebanyak 25 ikat tali junjung diperlukan untuk kebun seluas 1 hektar. Tali ini selalunya berukuran 7 kaki panjang yang mempunyai jenis kering dan jenis lembab (basah) yang diikat dan dibungkus dalam plastik jernih mengandungi 600-800 helai tali (lihat foto sebelah). Tali junjung syarikat Chiap Huat juga digemari oleh ramai petani kerana ketahananya serta mudah didapati dipasaran. Satu ikat dijual dengan harga RM 5.00 dimana kajian saya mendapati dalam 5 tahun dulu ianya cuma berharga RM 3.50 seikat sahaja. Ini bermakna untuk satu hektar kini kos sebanyak RM125.00 diperlukan untuk membeli tali junjung. Kerja mengikat tali junjung memang kritikal dan perlukan kemahiran tinggi serta memenatkan. Keperluan tenaga pula dianggarkan sebanyak 2 orang pekerja perlukan 7 hari (atau 14 tenagahari) untuk menyiapkan. Memasang tali junjung perlu dibuat sebelum pokok terlalu tua dan tinggi dan menjalar diatas tanah. Tali jungung dan tali para merupakan input penting dalam penanaman sayur secara komersil yang merupakan teknologi terkini yang perlu dikembangkan kepada petani yang belum mencapai tahap komersil. Teknologi ini saya dapati  mampu meningkatkan produktiviti dan kualiti hasil sayuran yang dihasilkan oleh petani kita.


TALI PARA....DIIKAT DIATAS TRELLIS....
BERWARNA HIJAU....NAMPAK JELAS...
TALI JUNJUNG....IKAT ATAS BATAS....
POKOK MENJALAR...NAIK KEATAS...


By,
M Anem
Kuantan, Pahang,
Malaysia.
(22 RabiulAkhir 1433H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...