KLIK SAYA SOKONG BLOG

Thursday, March 15, 2012

TKPM Pulau Manis

Taman Kekal Pengeluaran Makanan Pulau Manis (TKPM) di Daerah Kuantan, Pahang merupakan salah satu projek pengeluaran bahan makanan seperti sayur-sayuran yang dikelolakan oleh Jabatan Pertanian. Pada masa ini dilaporkan terdapat sebanyak 58 buah TKPM diseluruh negara dengan melibatkan lebih kurang 1,200 orang usahawantani komersil. Saya berpeluang melawat TKPM tersebut pada hari ini selepas membuat tinjauan keprojek ini pada tahun 2000 dahulu (dah hampir 12 tahun dahulu!). Lokasi Projek ini yang terletak di Mukim Kuala Kuantan dalam Daerah Kuantan boleh dihubungi dengan mudah dari jalan utama Segamat ke Gambang iaitu kira-kira 5 km dari tepi jalan. Keluasan kawasan projek ini adalah 62 hektar dimana seluas 36.07 hektar diusahakan dengan tanaman sayuran dan bakinya merupakan kawasan paya yang mudah tenggelam pada musim hujan . Artikel malam ini saya mempaparkan kejayaan projek ini yang mampu bertahan lama sehingga kini dengan pencapaian hasil tahunan mencecah 1 juta kilogram bernilai menghampiri RM 1.5 juta setahun.


Pegawai kawasan iaitu En Tarmizi menyatakan seramai 6 orang peserta mengusahakan kawasan ini dimana terdiri daripada 4 orang Melayu, 1 orang Cina dan 1 orang India (Konsep 1 Malaysia dan berjalan lama di projek ini). Projek ini dimulakan pada tahun 1999 dan pembangunan kawasan siap sepenohnya pada tahun 2000 dimana disediakan infrastruktur asas seperti jalanladang, kolam pengairan, sistem pengairan, pusat pengumpulan hasil dan sebagainya. Tanaman utama diprojek ini adalah sayur-sayuran jenis sayur buah dengan menggunakan sistem para trellis. Menurut beberapa petani yang hadir dalam majlis penerangan awal dimaklumkan 3 masaalah utama diprojek ini adalah Kekurangan Tenaga Buruh (Buruh tempatan amat sukar didapati dan hanya buruh daripada Indonesia, Thailand dan Bangladesh). Masaalah kedua adalah kawasan tanah paya yang tidak dapat dimajukan dan masaalah ketiga adalah serangan penyakit dan perosak akibat penjadualan tanaman yang tidak serentak.


Semasa melawat Lot 251 kepunyaan En Ramli mendapati kawasannya penoh dengan tanaman kacang panjang (Jenis 388) yang berumur 7-8 minggu peringkat awal pengeluaran bunga dan buah. Penanaman seluas 2 hektar ini menggunakan sistem pembajaan fertigasi menggunakan 'drip tape'  yang disambung dengan tong bancuhan di bahagian tengah ladang. Pembajaan dijalankan setiap hari (ini satu teknologi baru yang sangat praktikal) dan larutan baja ditambah dengan racun kimia (jika perlu) untuk kawalan perosak. En Ramli menyatakan kacang dijual dengan harga RM2.20 sekilogram semalam dan pernah mencapai sehingga RM 5.00 - RM 7.00 sekilogram terutama bulan Disember (pengeluaran sayur kurang akibat banjir dan cuaca hujan berpanjangan). Pada lot 224 pula (kawasan berasingan) En Ramli menanam Petola dan Timun seluas 4 hektar diperingkat mengutip hasil. Antara masaalah dihadapi katanya adalah kekurangan tenaga pekerja ladang walau pun beliau sanggup bayar RM 24.00 - RM 30.00 sehari. Semasa memetik ini beliau dibantu oleh 8 orang pekerja. Pendapatan beliau mencecah lebih RM3,000 sebulan sebagai peserta diprojek ini.


En Kamaruzaman yang menanam Timun dan Peria seluas 4 hektar mempunyai ladang yang dijaga dengan rapi. Peria beliau dalam peringkat mula mengutip hasil dan pokok timun baru berumur 3 minggu.  Pada musim lepas beliau menanam Terung Bulat (eggplant) dan Terung Mini dan mendapati pendapatan daripada Terung Mini sangat baik dimana harga ladang pada purata RM 2.80 sekilogram dan kurang masaalah serangan serangga perosak atau penyakit. Pokok terung mini yang rendah, buah yang kecil dan manis mudah dijaga berbanding dengan pokok terung bulat yang mencecah ketinggian sehingga 5-6 kaki dibawah sistem trellis. Beliau terpaksa menukar kepada tanaman lain kerana sebagai penanam sayur berpengalaman perlu membuat 'penggiliran tanaman' atau crop rotation sebagai satu kaedah Amalan Pertanian Baik. Masaalah utama En KAmaruzaman adalah kekurangan tenaga pekerja ladang terutama ketika peringkat menanam, malatih naik junjung dan memetik hasil. Kadang-kadang beliau sendiri sering bertugas dari jam 8.00 malam hingga 2.00 pagi memetik hasil menggunakan lampu....Hardwork!


Dalam lawatan kekebun En Liew yang menanam Terung Mini atau lebih dikenali sebagai Terung Budu atau Terung Tikus mendapati pokok baru berumur 2 minggu. Benih terung ini diperolehi daripada Siam dan disemai terus didalam barisan tanaman tanpa batas (seperti menanam labu). Kawasan diracun dahulu dan timun mini akan mengeluarkan daun serta merayap diatas permukaan tanah untuk berbunga dan berbuah diatas tanah. Katanya tidak ramai petani yang mahu menanam timun mini kerana tidak tahu cara menanam dan tempat untuk memasarkan timmun tersebut. Tanaman ini memerlukan air dan dipasangkan sistem pengairan titis disetial pangkal pokok timun tikus. Katanya pendapatan daripada timun bulu memang menguntungkan  jika pokok tidak diserang penyakit dan harga yang stabil. 


Tanaman Cili Kulai oleh En Abdul Jalil merupakan lokasi akhir yang saya lawati. Soalan pertama beliau adalah "Bagaimana hendak mengatasi masalah Cili Kerinting?" dan itulah soalan yang saya sering utarakan ketika bercerita masaalah tanaman cili. Khidmat nasehat teknikal yang diberikan oleh En Wan dan saya adalah untuk memeriksa penyebab dan punca penyakit kerinting cili. Penyakit kerinting cili boleh menyebabkan petani kerugian teruk jika berlaku kerana bunga dan tidak keluar dan pokok akan lemah. Syor kepada beliau adalah untuk memeriksa keasidan tanah (diperiksa pH kira-kira 2-3 tahun lepas) dan menambah penggunaan kapor (mungkin kapor jenis Humibox) atau GML (murah) untuk menaikan pH tanah. En Jalil menggunakan baja foliar (jenis Yara) untuk meningkat kesuburan tanaman dan memang telah menjadi amalan dalam penanaman cili. Pemerhatian saya mendapati pada daun cili ada tanda-tanda kekurang zat mikro yang ketara. Kata beliau memang ada menggunakan baja yang mengandungi trace element tetapi tidak mencukupi. Dalam perbincangan teknikal juga diterangkan agar petani sentiasa mematuhi amalan pertanian baik seperti menggunakan racun yang berdaftar  sahaja...


Projek TKPM Pulau Manis ini merupakan satu kawasan pengeluaran bahan makanan untuk negara yang perlu di teruskan bagi menjamin bekalan makanan terutamanya sayur-sayuran segar yang berkualiti serta selamat dimakan dihasilkan. Beberapa isu luahan petani perlu diambil kira terutama masaalah mendapatkan pekerja ladang (kadang-kadang lari tengah malam bila mendapat tawaran lain atau yang kembali tidak datang semula) dan masaalah serangan perosak dan penyakit. Mungkin kerajaan atau pihak-pihak tertentu memikirkan insentif kepada pengeluaran bahan makanan seperti sayur-sayuran ini untuk masa akan datang seperti insentih harga sayuran, insentif harga baja dan racun serta insentif harga minyak untuk pam air. Insentif lain seperti bagaimana untuk mendapatkan pekerja ladang penting dibincangkan kerana tidak ramai orang tempatan yang sanggup bekerja dikebun sayur yang kritikal dan penting untuk bekalan makanan negara. Projek ini saya anggap berjaya kerana mampu mengeluarkan hampir sejuta kilogram sayuran segar setiap tahun dan bertahan lama. Tahniah....


TKPM PULAU MANIS.....SAYUR DITANAM...
MASAALAH PEKERJA....MEMANG MENGANCAM...
AMALAN PERTANIAN BAIK...PERLU DIAMALKAN...
HASIL BERKUALITI...SELAMAT DIMAKAN.....


By,
M Anem
TKPM Pulau Manis,
Kuantan, Pahang,
Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...