KLIK SAYA SOKONG BLOG

Friday, March 30, 2012

PENYAKIT KARAH PADI

PADI (Oryza sativa) merupakan tanaman penting di negara kita dimana ianya merupakan tanaman perlu di tanam dibawah konsep 'food security'.  Rakyat Malaysia sekarang menggunakan sebanyak 79.1 kg/seorang/setahun sebagai penggunaan perkapita beras pada tahun 2012. Ia adalah merupakan bahan makanan kedua tinggi penggunaannya perkapita selepas penggunaan Buah-buahan (93.4 kg/ orang/ setahun) dan bagi sayuran pula cuma 56.2 kg / orang/ setahun. Malaysia mengimpot sebanyak 933,000 metrik tan beras pada tahun 2009 dan ianya berterusan sehingga tahun 2012 dimana Tahap Kecukupan Saradiri (SSL) bagi beras di Malaysia sekitar 72.5% sahaja. Pada tahun 2012, seluas 692,340 hektar padi ditanam dengan anggaran penghasilan sebanyak 2,750,495 metrik tan (Laporan Statistik Jabatan Pertanian 2012). Antara kawasan tanaman padi utama di 8 buah jelapang padi seperti di MADA, KADA, Kerian, Besut, Sekinchan dan beberapa lokasi lain diteruskan dengan kaedah penanaman intensif. Masaalah Penyakit Karah Padi adalah merupakan satu daripada ancaman yang dihadapi didalam industri ini dan artikel petang Jumaat ini dalam "Anim Agro Technology" saya pilih untuk menulis tajuk mengenai penyakit tersebut.


Apakah dia Penyakit KARAH PADI?   Saya dah dengar semanjak kecil lagi tentang penyakit ini kerana arwah bapa dulu ada mnenanam padi di Sawah Ring, Muar, Johor sekitar tahun 1970'an dulu seluas 2 ekar. Kini saya telah pun tahu dan faham bahawa penyakit karah padi merupakan penyakit yang merbahaya dan mampu menusnahkan tanaman padi dengan teruk disebabkan oleh Kulat (Pyricularia oryzae). Kulat ini menyerang tanaman padi sehingga mampu mengurangkan mutu hasil padi atau banyak juga kes yang 100% hasilnya musnah. Pengalaman saya melawat kawasan sawah yang pernah kena serang mendapati penyakit ini mampu menyerang pada semua peringkat pertumbuhan daripada anak benih, peringkat vegetatif mahu pun peringkat hampir menuai (productive stage). Pemerhatian pada peringkat awal dimana serangan di bahagian daun padi iaitu akan kelihatan daun padi kering dan kemudian mati. Diperingkat padi TERBIT pula, penyakit karah ini lebih dikenali sebagai penyakit REPUT TANGKAI dimana kita akan melihat tangkai padi mereput dan tidak ada isi pada biji padi atau gugur.


Tanda serangan atau simptom boleh dikenali dengan melihat pada daun padi dimana akan ada tanda bulatan lonjong dengan kedua-dua bahagian hujungnya tirus  berwarna coklat kehitaman dan kekuningan ditepinya (Lihat foto disebelah). Ada juga yang kata tepi tepi bintik berwarna perang dan bahagian tengah berwarna kelabu keputihan. Terdapat beberapa varieti padi yang agak rintang dengan serangan penyakit ini, tetapi jika diserang akan kelihatan bentuk bulatan agak kecil saiznya. Jika serangan berlaku pada tangkai padi pula akan kelihatan tanda perang kehitaman pada tangkai padi (Lihat foto dibawah). Jika diserang pada tangkai, maka tangkai padi akan menjadi reput atau patah dan  biji padi tidak menjadi.  Kerosakan ini dapat dilihat keujudannya dengan sentiasa membuat pengawasan di sawah padi (Pest and disease surveilance system).


Para Saintis Pertanian dan Pegawai Pengembangan tahu bahawa cara penyebab atau patogen iaitu kulat ini merebak dalam sawah padi adalah oleh beberapa kaedah. Perebakan penyakit ini adalah melalui ANGIN, BIJI BENIH, JERAMI PADI, TUNGGUL PADI, PADI BATAT dan RUMPAI. Paling cepat adalah perebakan melalui angin dimana spora kulat dari pokok padi yang diserang akan dibawa terbang oleh angin kekawasan lain yang belum diserang. Cuana panas lembab dengan tiupan angin kencang mencepatkan lagi merebaknya penyebaran kulat ini. Jika luas kawasan yang diserang maka keseluruhan sawah tersebut telah menerima WABAK, musibah dan bencana. Lebih baik mengawal dari peringkat awal dengan membuat pemeriksaan sawah daripada mengawal apabila tahap wabak sudah teruk.


Bagaimana kita hendak mengawal serangan penyakit karah padi ini?...... Memang kita kena tahu kerana jika tidak nanti tidak akan dapat hasil padi yang baik.  Konsep yang diamalkan adalah berasaskan kepada Kaedah Amalan Pertanian Baik (Good Agriculture Practices). Langkah pertama dengan membuat kerja membersih rumpai disawah dengan menebas dan cara lain.  Kedua adalah dengan membakar semua jerami dan tunggul-tunggul jerami disawah selepas menuai sehingga habis. Selain daripada memusnahkan kulat kaedah ini mampu memnambah baja K (Ash) kedalam sawah...tapi kini Jabatan Alam Sekitar akan pantau akibat kesan asap. Cara ketiga adalah dengan menanam dan melilih varieti yang RINTANG penyakit karah seperti Varieti MR 219 dan MR 220. Bagaimana pun saya mendapat info daripada Azzami Adam pada 10 Julai 2012 seperti berikut ; Untuk makluman En M Anim, varieti MR 219 dan MR 220 tidak lagi rintang terhadap karah. begitu juga dengan varieti MR220 CL 1 dan 2. Adalah disarankan agar para petani menggunakan varieti MR253 dan MR263 yang rintang terhadap karah dan MARDI akan mengistiharkan satu lagi varieti baru pada tahun ini yang rintang terhadap karah. Elakkan menanam padi yang PEKA atau mudah diserang seperti Padi Wangi, Padi Merah, Padi Kemboja, Padi Botol atau lain-lain jenis yang tidak disyorkan dan ada yang kata Padi Pulut Hitam tertentu. 


Bagi menanam pastikan menggunakan biji benih yang sihat, telah dirawat dan kadar yang disyorkan sekitar 120 kg sehektar. Rawatan bii benih dengan racun Kulat seperti BENOMYL pada kadar 4 g setiap 1 kg benih padi atau Racun Captan pada kadar 2 g setiap 1 kg benih padi adalah disyorkan. Penggunaan baja Nitrogen (N) pada kada 120 kg/hektar adalah disyorkan mengikut manual tanaman atau "RICE CHECK'. Kelebihan atau kekurangan  baja Nitrogen akan menyebabkan tanaman  mudah diserang penyakit. Jika mampu digalakkan menggunakan baja mengandungi unsur SILIKA (Silicon base) pada kadar 50-75 kg sehektar untuk mengurangkan kadar jangkitan.  Sentiasa membuat pemantauan di sawah padi untuk memeriksa keujudannya di peringkat awal. Gunakan racun kimia berdaftar yang disyorkan sahaja unyuk kawalan seperti Benomyl, Carbendazem atau Isoprothiolane. Jika berlaku serangan tahap wabak laporkan kepada Pegawai di Jabatan Pertanian terdekat untuk kawalan menyeluruh dan tindakan bersepadu. Semuga artikel petang Jumaat ini memberikan info berguna kepada anda. Wasallam.....


TANAM PADI...ADA PENYAKIT KARAH....
SERANGAN TERUK...HASILNYA PARAH....
TANGKAI JADI REPUT...JADI TAK BERBUAH...
PERLU DIKAWAL....JANGANLAH BERSERAH....
AMALKAN APB...ADA PELBAGAI KAEDAH...
MR219 DAN MR220...TERBUKTI SUDAH....


By,
M Anem
Percint 11, Putrajaya,
WP Persekutuan,
Malaysia
(7 Jamadilawal 1433H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...