Saturday, March 3, 2012

KEGUNAAN KELAPA

KELAPA (Cocos nucifera) merupakan sejenis tumbuhan pelbagai guna dari keluarga Palmae yang terdapat di lebih 90 negara tropika seluruh dunia. Dalam pembacaan saya mendapati terdapat seluas 11,715,502 hektar tanaman kelapa diseluruh dunia (Sumber rujukkan : FAO Stat) didahului dengan Indonesia, Filipina, India, Brazil, Sri Lanka, Thailand, Vietnam , Mexico, Papua NG dan Tanzania. Malaysia mendudukki tangga ke 11 dalam statistik bagi pengeluaran kelapa dunia tahun 2010 dengan pengeluaran sebanyak 527,622 metrik tan. Kebanyakan kelapa yang ditanam di negara kita juga merupakan kelapa jenis lama varieti Malayan Tall tetapi kini telah banyak yang telah mula menukar kelapa jenis baru seperti Kelapa MATAG, Kelapa Pandan dan Kelapa MAWA.  Kawasan utama penanaman kelapa di Malaysia kebanyakannya di kawasan persisir pantai seperti di Perak, Johor, Selangor, Sarawak dan Sabah. Kelapa merupakan tanaman pelnagai guna yang penting untuk masyarat kita bergantung kepadanya. Artikel petang sabtu ini sambil merenung pohon kelapa di Pantai Klebang, Melaka saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai kegunaan kelapa sebagai menambah ilmu pengetahuan kita.


MINYAK KELAPA merupakan satu produk utama dari pokok kelapa semenjak dahulu lagi sebelum popularnya Minyak Kelapa Sawit. Minyak kelapa mempunyai lemak tepu yang tinggi iaitu sekitar 91% dan merupakan minyak sayur (Vegetable  oil) yang baik juga untuk kesihatan kita dengan penggunaan yang betul.  Kandungan Asid Lemak Tepu dalam minyak kelapa adalah seperti Asid Kaprilic (5.4%), Asid Kaprik (4.5%), Asid Laurik (44.1%), Asid Maristik (31%), Asid Palmitik (7.5%), Asid Stearik (1.0%) dan Asid Arakidik (0.2%).  Sementara itu kandungan asid lemak tidak tepu dalam minyak kelapa pula terdiri dari Asid Oleik (5%) dan Asid Linolik (1%). Minyak kelapa diperolehi dari isi kelapa yang menjalani proses daripada pengupasan buah kelapa, mengeluarkan isi kelapa, menjemur, mengasap dan memgisar serta perah minyak kelapa. Penghasilan Kelapa Kering atau Kopra (Copra) merupakan satu peringkat menghasilkan minyak kelapa (Rujuk tulisan saya bertajuk Kopra - Klik disini). Industri menghasilkan minyak kelapa masih aktif di kebanyakan negara dan menjadi industri utama terutama dikawasan pulau-pulau di kawasan Asia Pasifik. Permintaan dan penggunaan minyak kelapa masih sangat signifikan dalam industri ini.


Minyak Kelapa Dara (Virgin Coconut Oil) adalah produk daripada fermentasi santan kelapa yang merupakan sangat baik untuk kesihatan kerana mengandungi asid laurik yang banyak. Ramai usahawan tempatan telah menghasilkan minyak kelapa dara yang dibimbing oleh Jabatan Pertanian, IADA, LPP, FELDA dan MARDI serta organisasi lain.  Santan Kelapa yang diambil daripada pokok kelapa dewasa dan di proses dan di tapis sehingga menghasilkan minyak kelapa dara berwarna jernih (Saya ada menulis artikel mengenai kelapa dara disini - Klik disini). Minyak kelapa dara diproses dengan dua kaedah iaitu Kaedah Kering dan Kaedah Basah. Kaedah Kering adalah dengan melibatkan proses perahan terus daripada kelapa tua yang diparut (kelapa tua yang dikeringkan lebih awal) dengan menggunakan mesih khas. Kaedah basah pula dengan dengan menggunakan santan yang diperah , di sejukbekukan, dipancing, diperam dan diasingkan diantara air dengan minyak VCO yang terhasil. Kaedah basah lebih banyak digunakan untuk menghasilkan VCO berkualiti tinggi dinegara kita. Harga pasaran tempatan minyak kelapa dara sekitar RM 20.00 satu botol (150 -250 ml) bergantung kepada lokasi.


Minyak Kelapa juga merupakan satu bahan asas yang penting untuk Industri kosmetik dan produk kesihatan. Banyak produk kosmetik berasaskan minyak kelapa yang di campur dengan bahan-bahan lain dijadikan sebagai krim pemutih kulit, agen pelembab kulit muka, produk pewarna kecantikan dan banyak lagi yang tidak dapat diterangkan. Minyak Rambut berasaskan minyak kelapa merupakan produk asli yang sejak sekian dulu digunakan untuk kesihatan rambut. Siapa tidak kenal Minak Rambut Cap 'Aminah' yang berwarna hijau dimana komponen utamanya adalah minyak kelapa dan daun Pegaga (Centella asiatica) yang dibuktikan mampu menghitamkan rambut sampai kita tua. Orang zaman sekarang jarang menggunakan minyak rambut jenis ini maka ramai rakan-rakan saya dan mula beruban sebelum pun mencapai umur 50 tahun. Minyak Urut kebanyakannya adalah menggunakan minyak kelapa sebagai bahan utama dicampur dengan ramuan-ramuan untuk minyak urut seperti serai, kayu  beraroma, tulang burung bubut, minyak gamat dan sebagainya. Minyak urut merupakan produk tradisional yang sememangnya ada dalam setiap keluarga.


Minayak Urut 'Wak Dakam' yang di proses dikilangnya di Sri Medan, Batu Pahat contohnya menggunakan minyak kelapa yang diproses dengan pelbagai jenis ramuan untu kegunaan luaran sahaja. Semasa saya melawat kilang tersebut pada tahun 2004 mendapati yang mereka telah menerima sijil HACCP. Saya dapati minyak kelapa digunakan sebagai satu komponen penting dalam pembuatan minyak urut 'Wak Dakam'. Kini harga jualan di sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya dan Bangi adalah RM 10.00 sebotol. Minyak VCO pula disahkan mengandungi Asid Laurik yang tinggi dan mampu memberikan tahap kesihatan baik kepada pengguna. Salah satu pengusaha VCO dengan jenama 'ALIFF' adalah usahawan bimbingan Jabatan Pertanian Johor yang saya lawat di Batu Pahat menghasilkan minyak VCO yang berkualiti. Kini minyak ini dipercayai dapat menyembuhkan penyakit gastrik jika diamalkan mengambilnya selalu serta beberapa masaalah lain yang berkaitan. 


Air Kelapa Muda (Klik disini) merupakan satu produk untuk minuman yang telah lama  dipromosikan oleh bekas Menteri Pertanian sekitar tahun 1980'an iaitu Sanusi Junid. Air kelapa muda kini menjadi minuman yang mudah dibeli di Pasar Malam, Gerai Tepi Jalan, Hypermarket dan paling selalu saya minum di Kedai Sate Kajang. Air Kelapa dipercayai mampu menghilangkan dahaga terutamanya jika diminum dengan ais atau dicampur dengan bahan perisa seperti pandan dan sedikit gula. Air Kelapa Pandan mendapat permintaan yang tinggi dikalangan peminat air kelapa dimana sebiji kelapa pandan dijual dengan harga RM 1.50 - RM 2.50 sebiji diladang dan kalau beli dihotel mencapai RM 10.00 - RM 15.00 sebiji jika diminum di tepi kolam mandi. Air kelapa juga berkesan untuk menghilangkan kesan racun pada badan, pengidap demam campak dan juga untuk acara 'potong jambul' bagi baby yang baru lahir dalam majlis 'Puputan'. Amalan minum air kelapa muda dulu sering dikaitkan dengan 'lemah lutut' selepas meminumnya kini bukan lagi jadi satu masaalah. Minuman air kelapa muda kini didakwa  mampu menggantikan minuman isotonik bagi athlet negara.  


Berkait dengan air kelapa juga boleh di proses menjadi produk yang sangat popular masa kini iaitu 'NATA DE COCO'. Produk ini merupakan satu produk industri yang dikomersilkan dimana air kelapa dikumpulkan dan diproses menggunakan teknologi yang mudah bagi menghasilkan nata de coco. Bunyinya memang macam produk dari 'Koko' tetapi sebenarnya ia  macam agar-agar yang dihasilkan dari air kelapa. Kini banyak produk ini diubah suai dengan perisa asli (tanpa apa- apa bahan tambahan), perisa mangga, perisa oren, perisa ros dan macam-macam lagi. Nata de coco dimasukkan dengan sirap yang dijual di Hypermarket dalam saiz 300 ml, 500 ml dan lebih besar lagi. Selain dari rasanya yang kenyal atau lembut , nata de coco kini sesuai untuk dijadikan bahan utama dan menu 'cocktail'. 


Pada pokok kelapa boleh di kutip Air Nira Kelapa (Klik disini). Nira Kelapa merupakan manisan yang dihasilkan daripada mayang kelapa yang di potong serong dimana air yang keluar akan dikutip untuk dijadikan air nira. Nira Kelapa yang manis ini mengandungi banyak gula dan boleh diminum segar atau diproses untuk dijadikan tuak. Tuak juga merupakan minuman yang boleh memabukkan jika diperam dan diminum dengan banyak. Nira kelapa juga boleh dimasak dengan menggunakan kuali diatas sabak untuk dijadikan Gula Melaka. Gula Melaka atau Gula Apong ini merupakan satu produk penting bagi penanam kelapa. Saya ada menulis artikel mengenai teknologi pembuatan gula melaka (Klik disini). Gula Melaka asli adalah lembut, manis yang sederhana dan warna coklat kekuningan jika hendak dibandningkan dengan gula melaka tiruan yang dibuat dari gula pasir yang dimasak berwarna coklat kehitaman, sangat manis dan ketulan yang keras. Gula ini sesuai untuk dibuat kuih (Buah Melaka), bahan untuk masakan asam pedas dan sebagainya.


Sabut Kelapa merupakan produk satu sampingan dalam mengopek kulit kelapa untuk di proses dijadikan santan atau kopra. Sabut Kelapa kini menjadi bahan utama dalam pembuatan kusyen kereta (Tak percaya cuba buka kerusi Proton anda dan apa yang ada dibawah tempat duduk....Sabut Kelapa). Bahan ini juga digunakan sebagai alas untuk membuat tilam (sebelum popularnya tilam getah) dan juga di jadikan papan (dipress sehingga keras). Paling terkini sabut kelapa telah dikisar halus dijadikan media tanaman yang dipanggil sebagai 'COCOAPEAT (Klik artikel cocopeat - Klik disini)'. Bahan ini menjadi bahan penting dalam industri nurseri, semaian anak benih dan media untuk sistem penanaman fertigasi yang cekap. Kini terdapat pula cocoapeat yang telah diperkayakan dengan nutrien makanan tumbuhan (enriches cocoapeat) yangsesuai untuk media penanaman semaian anak benih. Harga cocopeat tempatan sekitar RM 8.00 - RM 12.00 satu liter berbanding dengan cocopeat impot yang jauh lebih mahal. 


Batang Kelapa digunakan sebagai jambatan apabila pokok kelapa tua ditebang. Kulit batang kelapa yang keras menyebabkan batang kelapa yang dibuat jambatan diladang sesuai digunakan dan tahan beberapa tahun. Batang Kelapa yang dipotong-potong juga sesuai untuk dijadikan tiang pagar kebun atau pagar rumah. Batang yang dipotong juga boleh dijual kepada kilang untuk dihancurkan bagi dijadikan kayu atau papan yang dipress sehingga keras. Papan kelapa ini boleh dijadikan perabut dan bahan hiasan. Tempurung Kelapa pula merupakan bahan bakar yang baik untuk kelapa salai dan juga boleh dijadikan produk kraf  yang bernilai. Kini teknologi telah ada untuk memproses tempurung kelapa dijadikan 'activated carbon' yang mendapat pasaran baik untuk pelbagai kegunaan. Activated carbon ini disediakan dengan membakar tempurung kelapa dalam keadaan anaerobik selama lebih 8 jam sehingga terjadi bahan tersebut. 


Daun Kelapa merupakan bahagian berguna daripada pohon kelapa. Saya merupakan pakar dalam menganyam daun kelapa muda (Janur) untuk dijadikan Ketupat. Saya menulis artikel ketupat - Klik disini. Ketupat menggunakan daun kelapa muda yang masih belum terbuka dan dianyam untuk dijadikan ketupat bawang, Ketupat Sate, Ketupat Sintok atau Ketupat Jantung. Walau pun telah ujud nasi himpit yang yang diperbuat menggunakan plastik seperti Ketupat Nona, Ketupat Adabi dan Ketupat Lain2 tetapi pada saya ketupat daun kelapa masih yang paling enak dimakan dengan lodeh dan rendang atau sate. Daun kelapa tua juga sesuai dibuat Penyapu Lidi dari daun kelapa. Setiap helai daun kelapa dibuang daunnya dengan menggunakan pisau tajam dan tinggalkan lidinya sahaja dan diikat sekitar 20 -30 batang lidi. Dulu harganya cuma 50 sen satu ikat tetapi kini mencecah RM 4.00 - RM 5.00 dikawasan Kuala lumpur. Penyapu Lidi mudah digunakan dan tanah lama walau pun kini dah ada penyapu plastuk dan penyedut hampagas (vacuum cleaner). 


Sebenarnya banyak lagi hendak dikongsi maklumat mengenai kegunaan kelapa. Saya harap industri ini akan digalakan lagi dengan penambahan kawasan atau setidak-tidaknya dikekalkan kawasan sedia ada. Jangan terlalu asyik dengan menukarkan kawasan tanaman kelapa dengan kelapa sawit atau ditukar menjadi tapak perumahan. Pemulihan kawasan kelapa dengan kelapa dan penanaman baru pokok kelapa perlu diteruskan dengan serious. Pengeluar utama kelapa dunia iaitu Indonesia masih aktif dalam indsutri penanaman kelapa. Jangan satu hari nanti kita banyak mengimpot produk kelapa sedangkan dinegara kita banyak kawasan sesuai dan boleh dimajukan dengan tanaman kelapa. Penanaman kelapa memang agak kurang pendapatannya jika dibandingkan dengan tanaman kelapa sawit, tanaman sayuran dan tanaman kontan tetapi kita perlu bijak dengan melaksanakan tanaman kelapa berintergrasi bersama nenas, pisang, ternakan, ternakair atau projek Industri Asas Tani. Semuga bahan asas untuk produk kelapa di negara kita akan terus ada! ...Wasallam....


POKOK KELAPA...MEMANG BANYAK GUNA....
TUMBUH MENEGAK....ADA DIMANA-MANA....
BATANG DAN BUAH....SEMUA BERHARGA...
CUKUPKAH KELAPA...UNTUK SEMUA?...


Artikel lain berkaitan kelapa:
1. Kopra (Klik disini)
2. Minyak Kelapa Dara (Klik disini)
3. Coconut (Klik disini)
4. Air Nira Kelapa (Klik disini)
5. Gula Melaka (Klik disini)
6. Air Kelapa Muda (Klik disini)
7. Kelapa Pandan (Klik disini)
8. Kelapa Matag (Klik disini)
9. Kelapa Komeng (Klik disini)
10.Cocoapeat (Klik disini)
11. Ketupat (Klik disini)
12. VCO Technology (Klik disini)
13. Kelapa Sawit (Klik disini)


By,
M Anem
Jalan Istana,
Taman Cendana,
Lebuh Air Keruh,
Melaka, Malaysia.
(10 Rabiul Akhir 1433H)

2 comments:

zaireey said...

Blog yang sangat menarik.jangan lupa singgah diblog saya juga www.zairedin.com

Jayasankar Jayasankar said...

selamat malam encik zaireey,disini saya memerlukan bantuan encik untuk mengetahui kegunaan sabut kelapa selain cocopeat.soalan saya ialah adakah sabut kelapa boleh di press dalam bentuk cylinder yang padat dan keras dan digunakan sebagai bahan api(boiler).nama saya jaya,nombor hp 0192707929,email adress :jaya.hms@gmail.com.
terima kasih.

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...