KLIK SAYA SOKONG BLOG

Monday, March 26, 2012

CENDAWAN GORENG

CENDAWAN GORENG merupakan salah satu jenis makanan berasaskan kepada cendawan khususnya dari jenis Cendawan Tiram Kelabu (Pleorotus cajor saju). Semalam saya balik kampong di Gersik, Ledang , Johor cuti satu hari dan sempat singgah di ladang cendawan Organik kepunyan rakan lama C&CMushroom iaitu Mr Chew. Dah dua tahun tidak jumpa beliau dan semalam sempat berbincang dengan beliau mengenai industri tanaman cendawan di Kawasan Muar dan Ledang. Katanya syarikat beliau sahaja mampu menghasilkan lebih 25 metrik tan cendawan setiap bulan tidak termasuk usahawan yang ada kontrak farming dengan beliau seramai lebih 20 orang. Industri ini kini telah mencapai tahap stabil dengan permintaan bulanan terus meningkat dan harga pasaran yang stabil dari RM 6.00 - RM 8.00 sekilogram mengikut gred dan jenis. Hampir 70% adalah daripada jenis cendawan tiram kelabu dan bakinya dari jenis Cendawan Ling Zhi dan Cendawan Putih.


Cara makan cendawan ini bermacam-macam sama ada dijadikan sup, di goreng dengan tepung, di tumis pedas, goreng dalam 'Vacuum Fry' dan sebagainya. Syarikat C&C Mushroom juga banyak memproses cendawan tiram kelabu untuk produk 'mushroom vacuum fry' untuk pasaran domestik dan antarabangsa. Jenama yang digunakan adalah 'Frulli-fresh' yang mempunyai rasa original, lada hitam, kari dan mixed sweet taste (Lihat foto). Produk ini mendapat pasaran yang sangat baik di Jepun. Negara-negara Arab dan juga pasaran China. Produk ini juga diedar dan dijual di Hypermarket Giant, Jusco serta supermarket lain diseluruh Malaysia. Siapa sangka kawasan Mukim Gersik menjadi satu hub pengeluaran cendawan yang penting di Malaysia. Jabatan Pertanian dan lain-lain agensi ada membantu meningkatkan industri ini dengan berkesan.


Cendawan Goreng mudah disediakan dan dimakan dengan segera selepas digoreng. Satu paket cendawan dari Syarikat C&C Mushroom yang dijual di Bandar Bukit Gambir berharga RM 3.50 - RM 4.00 dengan berat 300 gram. Saya beli 3 paket cendawan segar ini. Produk ini dibungkus dengan jenama 'OYSTER MUSHROOM- 100% PESTICIDE FREE' dan mendapat sijil SOM (Sijil Organik Malaysia) dari Jabatan Pertanian. Pada label jug di tulis sebagai 'Grow under greenhouse' dan label 'Organically Grown' sebagai bukti ianya memang bebas dari penggunaan sebarang racun kimia. Kalau sudah macam itu agak  beranilah kita buat cendawan goreng. Saiz yang sesuai ialah cendawan yang tidak besar sekitar 5-6 cm panjang dan bahagian kudup yang kecil sahaja sekitar 2-4 cm lebar. Bahagian batang inilah yang paling sedap dimakan dan rangup selepas digoreng.


Bancuh tepung berempah untuk menggoreng cendawan dengan air dan panaskan minyak pada kuali. Basuh dahulu cendawan dari paket dan toskan untuk membuang sebarang kekotoran jika ada. Celup setiap ulas cendawan dalam ramuan tepung dan masukkan kedalam kuali. Setelah bertukar warna coklat kemerahan maka angkat cendawan dan toskan minyak. Saya ambil masa kira-kira 3-4 minit untuk menggoreng dengan api yang sederhana. Cendawan Goreng boleh dimakan terus begitu sahaja atau yang minat boleh mencecah dengan sos tomato cili, sos tomato, sos tiram atau pun kegemaran saya sambal kicap Ala-Johor. Memang sedap makan cendawan goreng beramai-ramai dengan ahli keluarga...pekena kopi pula lepas itu...pasti puashati. Entah bila lagi hendak melawat projek-projek cendawan tiram kelabu yang telah saya majukan semasa bertugas di Muar dulu ... ada 15 usahawan. Wasallam...


CENDAWAN GORENG....LAZAT RASANYA....
SENANG DISEDIA...CEPAT MEMASAKNYA...
CENDAWAN ORGANIK...MURAH HARGANYA...
BELI SENDIRI...TEMPAT PENGELUARANNYA....


By,
M Anem
Pt Bengkok, Gersik, Ledang,
Johor, Malaysia.
(3 JamadilAwal 1433H)  

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...