KLIK SAYA SOKONG BLOG

Tuesday, March 27, 2012

LEPAS TUAI MANGGA

MANGGA (Mangnifera indica) merupakan sejenis tanaman buah-buahan yang popular dibeberapa negara dan merupakan buah ke 3 terpenting dihasilkan dikalangan buah-buahan tropika. Keluasan tanaman mangga di negara kita sebanyak 9,760 hektar pada tahun 2010 dengan pengeluaran sebanyak 35,510 metrik tan yang dianggarkan bernilai RM83.545 juta (Sumber:Laporan Statistik Agromakanan MOA 2011). Hanya seluas 4,734 sahaja daripada keluasan fizikal tanaman yang mengeluarkan hasil pada tahun tersebut. Antara varieti mangga yang popular ditanam adalah Chok Anan dan Harummanis serta beberapa jenis lagi seperti Sala, Nam Dok Mai, Melele dan jenis mangga tempatan. Mangga varieti Harummanis dipopularkan di Perlis dan sedikit di Kedah dengan keluasan sedia ada 346 hektar pada tahun 2012 dan dirancang untuk penanaman seluas 1,000 hektar sehingga 2015. Mangga Chok Anan banyak di tanam di Melaka, Perak, Selangor, Sarawak dan beberapa negeri lain. Artikel subuh Selasa ini saya menulis beberapa teknologi lepas tuai buah mangga untuk pengetahuan bersama.


Mangga yang matang perrlu dituai apabila cukup masak mengikut indek kematangan dan keperluan pasaran sama ada untuk pasaran domestik atau pun untuk pasaran antarabangsa. Tuai buah mangga dengan menggunakan gunting atau galah yang mempunyai karung untuk mengelakan buah dari jatuh ketanah. Buah mangga akan lebam dan rosak apabila jatuh ketanah. Buah yang dibalut perlu disemak tarikh penuaian mengikut kalendar yang ditandakan pada pembalut buah. Buah yang masih dibalut perlu dimasukkan kedalam bakul plastik dibawah pokok dan dibawa kepusat pengumpulan bersama dengan kertas pembalutnya. Buang pembalut di pusat pengumpulan untuk kerja-kerja mencuci atau membasuh buah mangga. Isikan tangki pencuci dengan air bersih dan masukkan buah mangga kedalamnya. Buah yang cukup matang biasanya akan terus tenggelam sementara buah mangga yang belum cukup matang lazimnya akan timbul. Asingkan buah yang rosak, buah masak , buah matang dan buah belum matang. Rendam dan cuci buah dalam air suam pda suhu 50 darjah selsius selama 5 minit dan di lap dengan span lembut kemudian di keringkan. Tukarkan air mencuci jika didapati kualiti air telah kotor. 


Bagi kebanyakan mangga termasuk juga mangga varieti Chok Anan lazimnya akan digredkan mengikut saiz iaitu Saiz A pada berat buah lebih 250 gram sebiji, Gred B berat buah antara 200 - 250 gram sebiji dan Gred C pada berat buah kurang dari 200 gram sebiji. Pemeraman dilakukan dengan menggunakan 5-10 gram bahan seperti karbid bagi setiap 1 kilogram buah. Aktiviti ini bagi mendapatkan kematangan buah yang seragam dan warna kulit yang menarik. Buah mangga yang matang biasanya dituai pada indeks 2 dan 3 perlu disusun diatas kertas suratkhabar berlapis-lapis dimana bahan karbid pula akan diletakkan dibahagian bawah suratkhabar. Pastikan keliling bakul plastik diletakkan 2 lapisan suratkhabar bertujuan untuk mengepong gas dari karbid dari keluar dan simpan selama 70 jam. Susunan buah didalam bakul jangan terlalu banyak kerana akan merosakkan buah bahagian bawah akibat bertindih jika terlalu banyak. Selepas 70 jam buka lapisan atas suratkhabar dan kita akan dapat buah mangga yang masak dengan warna kulit kuning dan sedia untuk dipasarkan.


Kaedah lain pemeraman buah mangga tanpa menggunakan karbid dijalankan dimana buah yang dipetik pada indeks 2 dan 3 dibersihkan dan dikeringkan di Pusat Pengumpulan Buah. Susun buah ini didalam bakul plastik dengan bilangan yang sederhana. Simpan didalam bilik yang selamat pada suhu bilik 20 -22 darjah selsius selama 4-5 hari sehingga buah ini masak. Keluarkan buah yang telah masak dan sedia untuk diedarkan kepada peraih dipasaran tempatan. Harga runcit pasaran Mangga Chok Anan sekitar RM5.00 - RM 10.00 sekilogram bergantung kepada musim, gred, kualiti dan juga lokasi jualan. Kaedah Pembungkusan mangga menggunakan kotak yang di buat kompartment atau tidak dengan bilangan sebanyak 4 - 10 biji satu kotak. Label yang menarik pada kotak mangga akan memberikan nilai tambah kepada mangga yang dijual.


MANGGA DI TUAI....PERLU DI CUCI....
TERUS DIPERAM...JADI KUNING LAGI....
PERLU DIGRED...IKUT KUALITI....
HARGA JUALAN...LEBIH TINGGI...


By,
M Anem
Air Keroh, Melaka,
Malaysia
(4 JamadilAwal 1433H). 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...