Support My Blog

Saturday, February 12, 2022

EMPING PADI DAN KISAHNYA

EMPING PADI
adalah sejenis makanan yang diperbuat daripada padi yang belum cukup matang terutamanya dari jenis padi (Oryza sativa) dimana proses pembuatannya dipanggil sebagai 'Mengemping'.  Mungkin ramai generasi masa kini yang tidak pernah dengar atau dapat ujirasa akan makanan 'Emping Padi' ini atau berpeluang membuat emping sendiri. Saya berpengalaman makan, merasa dan membuat emping padi ketika zaman muda dahulu sekitar tahun 1970'an kerana arwah bapa memang ada menanam padi untuk dimakan sendiri dan juga untuk dibuat emping di Sawah Ring, Muar, Johor. Emping Hijau yang di proses dari padi pulut yang selalunya lewat masak daripada padi sawah biasa dituai dan dijadikan emping yang sedap. Nama perkataan 'Emping' saya agak berasal dari kata asal iaitu 'E' = Enak, 'M'= Makan dan 'Ping'= Berkeping-keping (padi yang ditumbuk nipis). Pemilihan Bahan Asas membuat Emping iaitu padi muda separuh masak (Lihat foto sebelah dari website) yang dipotong tangkainya menggunakan Ketam Padi. Ketam Padi ini orang kampong panggil sebagai 'ani-ani' yang kami dibuat sendiri (Tidak ada dijual dikedai). Tangkai padi yang dipotong diikat dalam satu ikatan yang dipanggil sebagai 'Gemal Padi'. Sebaiknya pilih tangkai padi yang ada padi berwarna hijau dan kuning dalam satu tangkai padi. Bawa balek tangkai padi dan leraikan biji padi daripada tangkai padi dengan tangan dan masukkan kedalam kuali untuk digoreng tanpa minyak (saya panggil di 'SANGAI') sehingga garing. Tanda biji padi telah cukup masak di sangan adalah apabila telah ada biji padi yang berbunyi seperti meletup-letup. Sebaiknya kuali diletakkan diatas bara api yang menggunakan kayu api. Banyak resepi pembuatan emping ini dan ia adalah berlainan dari satu tempat ketempat lain diseluruh nusantara. Makanan yang berkhasiat dan enak ini merupakan seenis makanan tradisional sejak dahulu dan ada juga emping padi yang dikomersilkan. Penulis blog google sahaja emping memang ada dijual secara on-line dalam Lazada dan Shopee dan mudah membelinya semurah RM6.50 hingga RM22.00 satu paket bergantung kepada kuantiti, jualiti dan jenamanya. Artikel subuh ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya kongsikan mengenai kisah makanan emping padi yang dilaporkan dalam media tempatan untuk bahan rujukkan pembaca semua.

Penulis blog percaya generasi muda memang jarang dapat makan emping padi. Ada yang memang langsung tidak kenal dah makanan ringan tradisional ini dimana memang dahulu menjadi emping padi adalah salah satu makanan masyarakat kampung sebagai juadah makanan ringan. DIkawasan sawah padi yang luas padi terbentang aktiviti pembuatan emping dilaporkan masih ada dijalankan. Selepas menuai padi  dimana mana-mana padi muda yang dikumpulkan itu akan digoreng lepas itu terus ditumbuk menjadi emping. Lazimnya cara untuk memakan emping ini akan digaul dengan kelapa muda (diparut isinya) dan gula pasir serta sedikit garam. Apabila memakannya memang enak kerana ia ada rasa kombinasi lemak, manis dan juga masin sedikit da ia memang mengenyangkan juga. Makan emping waktu petang merupakan satu cara memakannya bersama dengan minuman kopi atau teg panas. Kisah pertama di Pekan, Pahang dimana masyrakat tempatan adakan 'Pesta Lawan Mengemping" yang sesuai dikongsikan. NSTP melaporkan dimana dalam pesta tersebut k
eenakan rasa dan keunikan persembahan menjadi kelebihan kepada pasukan Serai Putih muncul juara pertandingan mengemping dalam program Moh Mengemping Padi 2017 di dataran awam Kampung Pahang Tua, Pahang. Program musim kedua anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pahang Tua itu menarik penyertaan sembilan pasukan tempatan dan luar daerah ini bersaing memburu kejuaraan untuk membawa pulang wang tunai keseluruhan RM4,500 dan hadiah iringan. Jenis padi yang digunakan adalah padi separuh masak yang direndam 12 jam sebelum digoreng selama lima minit. Kemudian aktiviti menumbuk dengan lesung tangan atau kaki dilakukan berterusan tanpa henti antara lima hingga 10 minit. Terdapat beberapa jenis seperti emping raja, emping kelapa, emping serawa yang begitu terkenal di daerah ini satu ketika dulu terutama pada musim menuai. Emping menjadi antara makanan utama masyarakat zaman dulu disediakan secara gotong-royong dalam kalangan keluarga dan masyarakat kampung di kawasan Jelapang Padi Negara Pahang Tua.

Dalam pada itu kisah 'Angkat kembali makanan tradisi Kedah' juga menarik dikongsikan. Kisah dari Alor Setar ini melaporkan dalam program Pameran PeladangNita telah berjaya menggamit pengunjung apabila menyediakan makanan tradisional masyarakat Kedah yang semakin ditelan zaman. Antara makanan yang disediakan adalah emping padi huma atau ringgi, serunding halia dan serai, cucur jawa, tapai, ikan pekasam dan pelbagai lagi makanan lain. Ramai pengunjung agak teruja melihat pelbagai jenis makanan disediakan ahli PeladangNita kerana ada makanan yang  di pameran itu tidak pernah dilihat, apatah lagi mengetahui namanya. Ada yang kata inilah kali pertama mereka melihat emping padi huma. Warnanya kehijauan dan lembut tidak seperti emping beras dan rasanya lebih manis dan sedap (Sila lihat foto disebelah). Emping atau Ringgi ini disediakan oleh petani selepas menuai padi bukit. Zaman sekarang sukar menemui petani mengusahakan padi bukit, dimana ini menjadikan program seperti ini sangat baik untuk pendedahan kepada generasi muda. Pameran yang diadakan di kawasan pekarangan Stadium Darul Aman tersebut mudah dikunjungi dan banyak tempat letak kereta disediakan. Selain itu antara makanan tradisional lain adalah seperti makanan Cucur Jawa yang selama ini pengunjung sangka menggunakan acuan. Sebenarnya makanan ini disediakan dengan berbeza dan hanya memerlukan adunan tepung beras, gandum dan gula merah. Bagi memastikan cucur ini berbentuk di tepi maka ia memerlukan sukatan bahan tadi dengan betul. Dilaporkan memang ramai golongan muda yang terpegun dengan cara demonstrasi masakan tradisional yang dijalankan. Pameran yang diadakan ini mempunyai hampir 500 produk termasuk pelbagai jenis makanan tradisional dan produk tempatan.

Kisah bagaimana 'Mengemping padi dan berkubang: Pesta warisan Pahang' memang unuk. Pesta Mengemping Padi adalah di antara salah satu daripada tarikan pelancongan di Negeri Pahang kerana keunikan penggunaan elemen tradisi dan kaedah lesung kayu dalam proses pembuatannya menyebabkan ia terus dikekalkan dalam Kalendar Tahun Melawat Pahang. Program Moh Mengemping Dan Berkubang anjuran Pejabat Penghulu Mukim Pahang Tua dengan kerjasama Tourism Pahang dan Pejabat Daerah dan Tanah Pekan telah diadakan di Padang Awam Kampung Pahang Tua, Pekan. Dilaporkan Program tahunan yang telah masuk musim keempat penganjurannya ini begitu meriah dengan ramai penglibatan daripada penduduk kampung, beberapa agensi dan jabatan kerajaan serta pelancong dari luar negara seperti Perancis, Jerman dan Australia. Banyak acara dan permainan rakyat yang dipertandingkan. Ini sekaligus memperkenalkan kembali identiti dan mempertahankan tradisi warisan kalangan masyarakat di Negeri Pahang. Di antara acara dan sukan tradisi tersebut ialah pertandingan mengemping, memancing, larian paya, bola tampar paya, pukul bantal, perdap itik dan menggagau ikan. Pada kebiasaannya pesta mengemping dibuat waktu musim menuai. Emping terhasil daripada padi muda yang belum matang setelah melalui beberapa proses pembuatannya. Padi yang telah dituai, terlebih dahulu ditampi bagi mengasingkan padi dengan hampa. Seterusnya ia perlu direndam. Kemudian digoreng seketika. Sesudah itu diletakkannya ke dalam lesung kayu dan ditumbuk dengan menggunakan kayu yang dipanggil antan. Kaedah menumbuk hendaklah dilakukan dengan berhati-hati. Kebiasaannya dua atau tiga individu diperlukan untuk proses ini. 
Peraturan dan kesefahaman juga perlu diambil kira bagi melancarkan proses ini. Proses menumbuk berakhir apabila padi goreng tersebut menjadi leper dan kulit terpisah daripada isi. Emping yang masih bercampur kulit kemudiannya diletakkan ke dalam nyiru bagi menjalani proses menampi untuk membuang kulit tersebut. Akhirnya,emping boleh dihidangkan. Ia memang enak dinikmati bersama kelapa muda yang diparut dan gula atau gula merah. Walau apapun jenisnya iaitu kerabu emping, serawa emping dan emping raja, ianya kudapan yang pasti menyelerakan. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!,
MAKANAN EMPING... MENU LAMA...
PADI MUDA... DITUMBUK LEPERNYA...
CAMPUR KELAPA... DAN JUGA GULA...
DI PAHANG SANA... ADA PESTANYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(8 Rejab 1443H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...