Support My Blog

Friday, May 31, 2013

POKOK PECAH BELING

POKOK PECAH BELING (Strobilanthes crispus) adalah sejenis tumbuhan kategori Herba dikenali juga dengan pelbagai nama lain seperti Pecah Kaca, Bayam Karang, Ngo Kilo, Keji Beling dan Jin Batu. Ia merupakan tumbuhan herba yang dipercayai natif dari Madagascar hingga ke Malaysia. Pokok pecah beling adalah dari keluarga Acanthaceae dimana saya dapati ia amat mudah ditanam dikawasan keliling rumah sama ada atas tanah atau dalam pasu. Saya masih mempunyai 2 pasu pokok ini hasil pemberian Hj Adnan (PPN Johor). Tumbuhan ini hidup subur di kawasan-kawasan lapang atau belukar dan selalu dilihat sebagai rumpai atau tumbuhan yang tidak diingini. Tumbuhan ini merupakan sejenis tumbuhan ubatan yang dikenali sebagai "Pecah Kaca” dalam bahasa Melayu kerana saya dapati bunyi daunnya apabila dihancurkan menyerupai bunyi seperti kaca yang dipecahkan. Ia juga mudah didapati di tebing sungai dan dipadang padang terbiar. Mungkin ia amat mudah dikelirukan dengan spesies lain Cusia strobilanthes atau Assam Indigo. Kedua-duanya kelihatan serupa tetapi perbezaan utama adalah pada warna bunga. Assam indigo menghasilkan bunga berwarna ungu manakala Pecah Beling menghasilkan bunga berwarna kuning, Walau bagaimanapun, ia amat jarang menghasilkan bunga sepanjang tahun. Artikel malam Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai tumbuhan pecah beling yang dikatakan banyak khasiat.


Pokok Pecah Beling yang saya nampak mempunyai batang yang tumbuh menegak dengan ukurlilit batang sekitar 0.2 - 0.7 cm.  Kulit luar batang seakan berwarna ungu dengan bintik-bintik hijau dan apabila batang menjadi tua berubah menjadi coklat. Pokok pecah beling boleh mencapai ketinggian sehingga 2.0 meter jika tidak dicantas dengan baik dan mampu tumbuh merimbun atau banyak dahan. Selain dipercayai ia boleh dijadikan ubat, pokok pecah beling juga ditanam sebagai tanaman landskap penyeri dihalaman rumah . Tumbuhan ini amat mudah berkembang biak pada tanah subur walau pun ia agak terlindung apa laagi kalau di tempat terbuka. Daun bujur-meruncing berbentuk agak bulat dihujung (obtuse) dengan garis cetek tidak lurus (crenate-crispate). Bahagian tepi daun saya dapati ia bergerigi dengan jarak agak jarang serta berbulu halus hampir tidak kelihatan. Panjang helaian daun (tanpa tangkai) antara 5.0 – 8.0 cm (ukuran normal) dengan lebar daun kira-kira 2.0 – 5.0 cm. Permukaan daun agak kesat dan berbulu. 


Didalam banyak rujukkan yang saya baca, didapati secara tradisinya daun pecah beling telah digunakan sebagai ubat untuk masaalah diuretik, antidiabetik, antilytic dan juga julap. Banyak kajian dijalankan dan telah dibuktikan secara saintifik bagi menimbulkan aktiviti antioksidan yang tinggi, anti-AIDS, dan sifat-sifat anti-kanser. Khasiat dari tumbuhan ini biasanya diambil dalam bentuk minuman teh herba. Kajian makmal juga mendapati yang ekstrak daun ini memang telah disahkan  mengandungi flavonoid seperti quercetin, naringenin dan kaempferol. Walau bagaimanapun, flavonoid yang dikesan dalam ekstrak daunnya berbeza kerana kaedah atau cara pengekstrakan. Daun pokok pecah beling banyak digunakan dalam perubatan tradisional seperti merawat kanser, kencing manis serta batu karang. Ia digunakan juga sebagai agen diuretik.  Ekstrak air pecah beling mempunyai kompoun atau molekul yang boleh merencatkan pertumbuhan retrovirus iaitu sejenis agen dalam jangkitan virus seperti sindrom kurang daya tahan penyakit (AIDS) dan mampu merencatkan pertumbuhan sel leukemia. Kajian di UPM mendapati daun pecah beling mempunyai kandungan mineral yang sangat tinggi seperti Kalium, kalsium, natrium, ferum, fosforus serta vitamin C, B1 dan B2. Terdapat juga kandungan bahan kafeina dalam daun pecah beling tetapi ianya rendah. Kandungan ini merupakan penyumbang kepada antioxidant yang sangat tinggi. Selain dari itu ekstrak pecah beling secara in vitro (tisu kultura) mampu membunuh sel kanser kolon, kanser hati dan kanser buah dada dengan mengaruh sel ini mati secara semula jadi (apoptosis) tanpa kesan sampingan atau keradangan. Ekstrak ini juga mampu memendamkan gen penyebab kanser dan sekali gus mengurangkan risiko kanser. 


Antara lain kegunaan secara perubatan pokok pecah beling berupaya mengubati penyakit kencing manis kerana ekstrak air daun pecah beling dikatakan berkesan sebagai agen antidiabetis. Ekstrak ini tidak mempunyai kesan ke atas paras gula darah yang telah diuji pada tikus normal, tetapi mampu untuk meningkatkan paras jumlah antioksida (total antioxidant level). Peningkatan paras jumlah antioksidan (total antioxidant level) dalam darah adalah penting untuk melindungi badan daripada radikal bebas. Ekstrak ini sesuai bukan sahaja untuk mereka yang berpenyakit, tetapi juga untuk mereka yang normal bagi tujuan pencegahan. Selain dari itu pecah beling didapati mampu menghancurkan batu yang terdapat dalam hempedu di buah pinggang. Tumbuhan ini juga berupaya menurunkan kolestrol dalam badan dan melancarkan pembuangan air kencing jika diamalkan pengambilannya. Pastikan anda mengambil mengikut kadar yang betul. 


Daripada kajian makmal yang dilakukan oleh Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM), didapati daun pecah beling mempunyai kandungan mineral yang sangat tinggi seperti kalium (51%), kalsium (24%), natrium (24%), ferum (1%) dan fosforus (1%). Daunnya juga mempunyai kandungan vitamin C, B1, B2 yang agak tinggi berbanding tumbuhan herba lain iaitu banyak bahan yang lain seperti katekin dan tannin. Daun ini juga mengandungi kafeina (Caffein) tetapi kandungannya adalah rendah. Kesemua kandungan yang dinyatakan menyumbang kepada paras jumlah antioksidan (total antioxidant activity) yang sangat tinggi jika dibandingkan dengan yerbamate (sejenis teh herba - Klik artikel saya disini) dan vitamin E (alfa-tokoferol). Bagi kajian antikanser pula, kajian pra-klinikal telah dijalankan untuk menilai keberkesanan ekstrak pecah beling secara in-vitro (kultur tisu) dan in-vivo (kajian haiwan). Bagi kajian kultur tisu, ekstrak pecah beling bertindak secara efektif untuk merencatkan pertumbuhan sel kanser kolon, kanser hati dan kanser buah dada. Ekstrak ini mampu membunuh sel kanser dengan mengaruh sel kanser ini mati secara semula jadi (apoptosis) tanpa kesan sampingan atau keradangan. Di samping itu, ekstrak pecah beling ini juga mampu untuk memendamkan gen penyebab kanser, sekali gus mengurangkan risiko dan perebakkan kanser. Bagi kajian haiwan pula, ekstrak air pecah beling pada kepekatan 2.5% dan 5% mampu untuk mengurangkan kanser hati dari menjadi lebih serius bagi tikus yang dijangkiti kanser hati.


Daun kering Strobilanthes crispus mengandungi sejumlah abu yang tinggi (21.6%)hasil daripada jumlah tinggi mineral termasuk kalium (51%), kalsium (24%),natrium (13%), ferum (1%), dan fosforus (1%). Kandungan tinggi vitamin larut air(C, B1, dan B2) menyumbang kepada aktiviti antioksida yang tinggi dari daun. Bahagian daun juga mengandungi angaran kasar sejumlah komposisi sederhana sebatianlain seperti catechin, alkaloid, kafein dan tanin, menyumbang lagi kepada jumlahaktiviti antioksida. Catechins dari daun Strobilanthes crispus menunjukkan aktiviti antioksida yang tertinggi berbanding Yerbamate dan vitamin E. Strobilanthescrispus telah digunakan secara tradisional sebagai antidiabetik, diuretik, antilytic,dan julap dan telah dibuktikan secara saintifik mempunyai aktiviti antioksida tinggi,anti-AIDS dan sifat antikanser. Ia biasanya dimakan dalam bentuk teh herba dimana kandungan antioksidan dan polifenol yang hadir dalam ekstrak mungkin boleh menyumbang kepada ciri-ciri seperti antihyperglycemic dan antilipidemic.


Penggunaan ekstrak daun setiap hari (5 gram sehari) sebagai teh herba boleh menyumbang kepada nutrien tambahan dan antioksida yang diperlukan badan untuk meningkatkan sistem pertahanan. Perkara ini terutamanya ke arah insiden penyakit-penyakit degeneratif dan untuk melindungi hati terhadap hepatocarcinogenesis. Dos yang dicadangkan sebanyak 5 mg sehari yang diambil daripada daun kering dibancuh dalam satu cawan air panas mendidih sama seperti meminum teh biasa. Kesimpulannya. pokok pecah beling yang tumbuh melata di kawasan kebun atau belukar dan dianggap tumbuhan rumpai yang tidak diperlukan, sebenarnya adalah tumbuhan herba yang sangat berkhasiat yang terdapat disekeliling kita. Tidak akan menjadi kemudaratan jika kita menggunakan tumbuhan ini sebagai alternative untuk perubatan walau pun kajian secara klinikal (human study) belum benar-benar dijalankan keberkesanannya terhadap pesakit kanser, diabetes atau batu karang.

Sumber Rujukkan:
1. http://herbadantumbuhan.blogspot.com/2012/06/pecah-beling-strobilanthes-crispus-ubat.html
2. https://en.wikipedia.org/wiki/Strobilanthes_crispa
3. http://www.doa.gov.my/c/document_library/get


PECAH BELING ... PECAH KACA...
HERBA TEMPATAN...KENA CUBA...
MUDAH DITANAM...DIMANA-MANA...
KHASIAT HERBA...SIHAT SENTIASA...

By,
M Anem
Senior Agronomist
Precint 11, Putrajaya
Malaysia
(12 JamadilAkhir 1434H)

Thursday, May 30, 2013

LEBAH - PENYAKIT SACBROOD (Part 2)

Penyakit  Mati Anak Lebah (Sac Brood Disease) adalah salah satu daripada masaalah ternakan Lebah Madu di negara kita dimana jika tahap serangan serius ia akan menyebabkan projek ternakan lebah gagal diteruskan. Ternakan Lebah Madu di Malaysia merupakan satu industri yang masih belum sampai kepada tahap yang boleh dikatakan memmbanggakan. Pada masa ini tidak ramai pengusha lebah madu yang beroperasi di Malaysia secara komersil dimana menurut Persatuan Pengusaha Ternak Madu Malaysia, hanya sekitar kurang dari 50 orang yang aktif dalam industri ini. Saya pernah terlibat dalam memberi khidmat pengembangan dalam teknologi ternakan lebah madu selama 10 tahun ketika mula bertugas di Melaka dahulu. Projek ternakan Lebah Keran (Apis cerana) dan Lebah Impot (Apis melifera) sehingga kini masih ditakuk lama malahan semakin berkurangan. Kegiatan memburu Lebah Tualang atau Lebah Hutan (Apis dorsata) juga semakin kurang akibat pelbagai gangguan alam semulajadi. Malaysia masih benyak mengimpot madu lebah dari luar negara untuk menampung permintaan madu lebah yang semakin meningkat setiap tahun. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai masaalah serangan dan kawalan penyakit anak lebah yang mudah berjangkit iaitu Penyakit Sac Brood berdasarkan kepada pengalaman penulis dan juga rujukkan dari buku Jabatan Pertanian yang diterbitkan lama dulu.


Kajian saintis menunjukkan penyakit anak lebah (sacbrood) ini sebenarnya disebabkan oleh sejenis VIRUS. Sering kita akan lihat larva yang baru mati yang lazimnya berwarna kekuningan adalah punca merebaknya jangkitan (Lihat foto sebelah). Larva ini akan menjadi kering dan bertukar marna kepada coklat dimana dua bulan lebih selepas jangkitan ia tidak akan menjadi punca jangkitan. Daripada beberapa pemerhatian yang saya pernah lakukan, jangkitan penyakit sacbrood dalam haif lebah apabila debunga (pollen), air (water) dan manisan (Nectar) tercemar oleh virus. jangkitan akan berlaku apabila lebah perawat (nurse bee) ini merawat dengan membersihkan sel-sel larva yang berpenyakit. Ia akan membawa bersama virus tersebut kepada larva baru yang masih sihat dalam kom. 


Rajah 1: Cara jangkitana penyakit sacbrood lebah madu.
Lebih baik kita kaji juga bagaimana penyakit sacbrood mampu merebak kepada koloni lain atau haif lain lebah lain. Rajah 1 diatas menunjukkan beberapa cara bagaimana masalah penyakit sacbrood ini merebak jika tidak ada kawalan dijalankan. Jangkitan pertama melalui lebah yang berpenyakit pindah kepada sarang atau haif lebah baru yang mash sihat. Cara isecara tidak langsung akan menyebarkan bersama virus. Kejadian lebah menceroboh kepada haif atau koloni lebah lain yang sihat untuk mencuri madu juga mampu menyebarkan jangkitan ini. Sebaliknya pula ada berlaku bagaimana lebah yang sihat juga menceroboh kepada koloni atau haif lebah yang berpenyakit dan ia akan membawa bersama virus tersebut untuk disebarkan kepada koloninya. Memang unik bagaimana penyakit ini berjangkit apabila lebah yang berbenyakit memngunjungi bunga yang sama akan dikunjungi oleh lebah yang sihat. Virus yang terdapat pada bunga tersebut juga akan berpindah kepada lebah lain. Manusia juga membantu menyebarkan penyakit ini. apa yang saya pasti adalah jika kita menggunakan peralatan yang tercemar untuk menguruskan banyak haif lebah membantu menyebarkan penyakit sacbrood dalam kawasan ternakan lebah madu. Kejadian mencuri (Robbing) haif lebah yang telah ditinggalkan oleh koloni kerana berpenyakit oleh lebah sihat juga akan menyebabkan jangkitan. Begitulah uniknya penyebaran dan jangkitan penyakit sacbrood lebah madu yang kita perlu faham. Artikel ini akan bersambung pada Part 3 iaitu bagaimana kita boleh mengawal penyakit ini agar projek ternakan lebah madu berjaya. Wasallam!  


PENYAKIT LEBAH...SACBROOD NAMANYA...
MENYERANG LARVA...MATI AKHIRNYA..
POPULASI KOLONI...SEDIKIT JADINYA...
KOLONI LEMAH... HASILNYA TIADA..

By,
M Anem
Ex-Bee Trainer Moderator
Bukit Katil, Melaka,
Malaysia
(6 JamadilAkhir 1434H)   

Wednesday, May 29, 2013

LEBAH - PENYAKIT SACBROOD (Part 1)

Penyakit  Mati Anak Lebah (Sac Brood Disease) adalah salah satu daripada masaalah ternakan Lebah Madu di negara kita dimana jika tahap serangan serius ia akan menyebabkan projek ternakan lebah gagal diteruskan. Ternakan Lebah Madu di Malaysia merupakan satu industri yang masih belum sampai kepada tahap yang boleh dikatakan memmbanggakan. Pada masa ini tidak ramai pengusha lebah madu yang beroperasi di Malaysia secara komersil dimana menurut Persatuan Pengusaha Ternak Madu Malaysia, hanya sekitar kurang dari 50 orang yang aktif dalam industri ini. Saya pernah terlibat dalam memberi khidmat pengembangan dalam teknologi ternakan lebah madu selama 10 tahun ketika mula bertugas di Melaka dahulu. Projek ternakan Lebah Keran (Apis cerana) dan Lebah Impot (Apis melifera) sehingga kini masih ditakuk lama malahan semakin berkurangan. Kegiatan memburu Lebah Tualang atau Lebah Hutan (Apis dorsata) juga semakin kurang akibat pelbagai gangguan alam semulajadi. Malaysia masih benyak mengimpot madu lebah dari luar negara untuk menampung permintaan madu lebah yang semakin meningkat setiap tahun. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai masaalah serangan dan kawalan penyakit anak lebah yang mudah berjangkit iaitu Penyakit Sac Brood berdasarkan kepada pengalaman penulis dan juga rujukkan dari buku Jabatan Pertanian yang diterbitkan lama dulu.


Penyakit anak lebah (sacbrood) ini mudah berjangkit dan ia menyerang pada peringkat larva. Ia boleh membiak dengan serius kepada anak lebah dalam koloni tersebut jika tidak dikawal dan tidak diperiksa sarang lebah. Sacbrood menyebabkan larva mati dimana ini akan mengurangan bilangan lebah pekerja dewasa yang akan keluar mencari makan dan mengawal koloni.  Saya dapati walau pun serangan penyakit ini tidak menghapuskan keseluruhan koloni lebah tetapi ia boleh menyebabkan koloni lebah menjadi kecil dan mudah diserang oleh perosak lain. Tanda awal serangan sacbrood adalah apabila terdapatnya anak-anak lebah yang mati dalam sel-sel kom yang belum tertutup dan juga sel-sel kom yang telah ditutup (Lihat foto paling atas sekali). Apa yang saya lihat, warna larva yang baru dijangkiti sacbrood akan menjadi putih kekelabuan. Setelah mati maka larva akan menjadi warna kekuningan dan kepalanya akan menjadi warna hitam dan larva tersebut akan menjadi kempis (Lihat foto itu disebelah).


Peringkat seterusnya adalah dimana larva akan menjdi seperti bentuk pundi yang mengandungi cecair (Lihat foto sebelah kiri). Beberapa hari kemudian larva akan bertukar menjadi warna coklat dan seterusnya ia akan menjadi kehitam-hitaman. Seterusnya saya lihat semasa larva yang mati menjadi reput, kulit luarny menjadi keras dan larva mudah dikeluarkan dari sel kom (lazimnya larva yang hidup sehat sukar dikeluarkan dari sel kom). Kedudukan badan larva yang mati adalah melengkung dengan kepalanya diatas dengan bentuknya menyerupai 'bentuk sampan'. Sekiranya banyak larva yang dijangkiti dalam koloni, maka populasi koloni lebah akan menjadi kurang dan sedikit. Bilangan lebah dewasa amat berkurangan dan ini melemahkan koloni lebah tersebut. Apa yang saya lihat, lebah perawat (nurse- bee) tidak akan mampu untuk membersihkan larva-larva yang telah mati. ini juga menyebabkan ratu lebah (Queen bee) bertelur dimerata-rata tempayt dibahagian tepi kom. Ini juga akan menyebabkan telur-telur tidak tersusun mengikut aturan dan menyukarkan pengurusan kom tersebut. Teknologi bagaimana penyakit Sac-brood ini merebak akan dijelaskan didalam artikel bahagian kedua (Part 2).
Selamat membaca. Wasallam! 

PENYAKIT LEBAH...SACBROOD NAMANYA...
MENYERANG LARVA...MATI AKHIRNYA..
POPULASI KOLONI...SEDIKIT JADINYA...
KOLONI LEMAH... HASILNYA TIADA..

By,
M Anem
Ex-Bee Trainer Moderator
Bukit Katil, Melaka,
Malaysia
(6 JamadilAkhir 1434H)       

Tuesday, May 28, 2013

MADU KELULUT - KHASIATNYA (Part 2)

KELULUT (Trigona spp) merupakan sejenis serangga dari keluaarga APIDAE yang terdapat di negera kita dan dibanyak kawasan didunia dikenali sebagai sejenis lebah yang mampu mengasilkan manisan madu dan dan ia tidak menyengat. Serangga kelulut ini bersaiz kecil iaitu lebih kecil daripada lalat. Pokok Kelulut (Urena lobata) pula anda jangan keliru kerana ia merupakan sejenis tumbuhan jenis herba yang mudah didapati dikawasan tanah terbiar dimana antara khasiat buah kelulut untuk perubatan sakit gigi, rabuan ubat periok dan juga untuk permainan (Baca artikel - Klik disini). Serangga Kelulut juga di panggil sebagai 'Stingless Bee' dimana ia mempunyai 33 spesis di Malaysia dimana sebanyak 21 spesis terdapat di Semenanjung Malaysia dan bakinya hanya ada di Sabah dan Sarawak. Tidak ramai usahawan di negara kita yang mempunyai teknologi untuk menternak kelulut kerana ianya masih dianggap sebagai serangga liar yang hidup dalam habitat semulajadi. Artikel subuh Sabtu ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai khasiat yang ada pada Madu Kelulut yang merupakan antara jenis madu yang ada dipasaran berdasarkan pengalaman, kajian persendirian dan juga rujukkan daripada beberapa lamanweb.


Lebah Kelulut juga menghasilkan apa yang di panggil sebagi PROPOLIS LEBAH KELULUT (Lihat foto sebelah). Saya ada membaca satu iklan dari dilamanweb menyatakan propilis kelulut dijual dengan harga RM25.00 bagi10 ml. Propolis adalah terbentuk dari bahan resin yang diambil oleh kelulut atau lebah dari pohon yang mengandungi getah. Lebah kelulut membawa pulang kesarang dan kemudian memprosesnya sehingga pekat dan membentuk propolis. Propolis yang saya nampak adalah satu bahan yang berwarna hitam, kuning atau coklat tua yang terletak di sarang lebah kelulut. Dari beberapa laporan saya dapati yang bahan propolis mampu merawat ulser dan mencuci buah pinggang serta berkesan untuk mencegah pembiakan sel kanser. Propolis juga berfungsi sebagai antibakteria 1.5 – 2.0 kali ganda lebih berbanding propolis lebah keran. Dalam propolis mempunyai berberapa bahan aktif seperti flavonoid, fenolik hidroquinon, tannin, triterpenoid dan gula.  Propolis lebah kelulut dengan kepekatan 8.2% mampu menghalau pertumbuhan 4 jenis bakteria. Bakteria tersebut adalah seperti Staphylococcus aureus, Bacillus subtilis, Escherichia coli dan juga Pseudomonas aeruginosa. Propolis lebah kelulut boleh dibuat ubat untuk berkumur dan diberikan kepada beberqapa pesakit yang menderita radang gusi. Kajian tersebut mendapati seramai 87% pesakit telah sembuh. Propolis juga boleh berfungsi sebagai antikulat, antifungus, antibakteria dan antiradang yang biasanya digunakan sebagai bahan aktif dalam kosmetik, krim dan tablet. 


Ternakan Kelulut juga menghasilkan sejenis produk yang dipanggil sebagai BEE BREAD atau dalam Bahasa malaysia dipanggil sebagai ROTI LEBAH KELULUT. Kajian menunjukkan harga pasarannya adalah sekitar RM38.00 sebotol dimana isipadu sebotol sekitar 300 gram. Ia adalah merupakan makanan simpanan kelulut selain daripada madu. Bee Bread merupakan campuran debunga (pollen) dengan madu yang diolah menggunakan air liur kelulut. Ianya kemudian melalui proses pencernaan dan fermentasi. Daripada beberapa sumber, saya dapati yang antara khasiat daripada bee bread ini amatlah banyak berbanding pollen kerana ianya mempunyai banyak asid amino essential. Kajian dari USM Kubang Kerian telah membuktikan bahawa pengambilan bee bread ini akan memperkuatkan fungsi hati, hempedu, otot, mata, serta dapat meningkatkan daya kreativiti dan imaginasi seseorang pengamalnya. Kalau anda ingin mendapatkan bee bread kelulut ini perlu cari dari pembekal berwibawa.


Serangga Kelulut seperti lebah madu juga berfungsi sebagai serangga iaitu AGEN PENDEBUNGAAN. Dalam lawatan saya ke Projek TKPM Besit Terengganu, ramai peserta perojek telah menggunakan lebah kelulut yang diletakkan didalam SPH (Struktur Pelindung Hujan). Tanaman melon didebungakan oleh kelulut dengan sangat signifikan keberkesanannya (Lihat foto sebelah yang saya ambil). Ada beberapa pengusaha yang memberikan perkhidmatan untuk menjual koloni kelulut bagi tujuan pendebungaan dengan harga RM50.00 satu koloni. Dalam kawasan terbuka, satu ekar kawasan tanaman makanan boleh diletakkan sebanyak 3 koloni kelulut (atau RM 150.00 seekar atau RM 350.00 sehektar). apa yang saya perhatikan, kelulut memainkan peranan sebagai agen pendebungaan yang penting, terutama pokok sayur-sayuran,  pokok buah-buahan, pokok hutan dan sebagainya (ornamental tree). Saiz kelulut yang kecil membolehkannya melakukan proses pendebungaan berkesan kepada bunga-bunga kecil yang tidak dapat dilakukan oleh lebah tualang dan lebah keran. Pemerhatian saya mendapati kesan ternakan burung walit, pencemaran udara akibat asap kilang dan jerebu menyebabkan kadar pendebungaan oleh agen semulajadi terjejas. Masalah ini saya dapati mula berlaku dalam proses  pendebungaan dimana berlaku penurunan populasi agen pendebungaan. Ini sekaligus memberi kesan kepada pengeluaran hasil tanaman dan di sinilah fungsi lebah kelulut sebagai agen pendebungaan mainkan peranan. Kepada mereka yang ingin mulakan projek ternakan kelulut boleh berhubung dengan Pegawai Pertaniian Daerah yang berdekatan untuk memohon kursus ternakan kelulut. Semuga berjaya! Wasallam!



TERNAK KELULUT...DAPAT PROPOLIS...
BANYAK KHASIAT... TEKSTERNYA HALUS...
ROTI KELULUT...BUNGA CAMPUR PROPOLIS..
PERANAN KELULUT...DEBUNGA DI PROSES...

By,
M Anem
Pulau Gadong Agriculture Station
Melaka Tengah, Melaka,
Malaysia
(5 JamadilAkhir 1434H)






Monday, May 27, 2013

KAILAN - CARA SEMAI

KAILAN (Brassica oleracea var alboglabra) merupakan sejenis sayuran berdaun yang sangat popular dari keluarga Cruciferae terutama untuk masakan ala-Thai di Restoran Tomyam disediakan sebagai 'Kailan Ikan Masin'.  Ia adalah sejenis sayuran daun dengan diusahakan secara komersil oleh petani di Malaysia khususnya di Projek Kelompok Batu 19, Kg Sengkang, Bukit Gambir, Ledang , Johor. Kelompok ini telah memenangi JOHAN Anugerah Projek Berkelompok Peringkat Kebangsaan 2009 anjuran Jabatan Pertanian Malaysia. Kailan tergulong dalam beberapa banyak keluarga sawi seperti Sawi Bunga, Sawi Putih, Sawi Hijau dan Sawi Jepun. Keluasan tanaman kailan di Malaysia meningkat daripada 512 ha (1990) kepada 972 ha (1996) dan kini seluas 1,685 ha (2012) menunjukkan permintaan sayuran jenis ini terus meningkat. Sayur ini dipercayai berasal dari kawasan Meditrenean dan telah pun sesuai pada iklim tropika. Kawasan utama tanaman kailan di Malaysia ialah di Johor (Daerah Ledang - dulu kawasan ini didalam Daerah Muar dan Daerah Johor Bahru), Melaka, Perak, Pahang (Cameroon Highland), Sabah (Ranau) dan Pulau Pinang. Artikel pagi ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" teknologi penyediaan anakbenih tanaman kailan berdasarkan kajian penulis di Ladang Sayuran Tan Soo Tiok yang merupakan Pengerusi Penanam Sayur Malaysia di ladang ini untuk dikongsi semua pembaca blog ini.


Tan Soo Tiok dalam ladang Kailan dibawah SPH.
Berikut adalah teknologi menyemai sayuran kailan yang saya buat penelitian di Kebun Tan Soo Tiok semasa membuat tinjauan banyak kali. Teknik menyemai menggunakan alatan dan media penanaman ini berneza dengan cara penyemaian konvensional dan memberikan kesan kos yang signifikan dan peratus kejayaan yang sangat baik. Selain daripada itu kadar pertumbuhan diatas batas adalah sekata dan menjimatkan masa menyemai atau menyulam pokok kailan.  Saya paparkan teknologi penyemaian benih kailan untuk dijadikan panduan kepada semua pembaca blog ini.

1. Benih Kailan berkualiti disediakan dahulu dan pastikan ia telah dirawat dengan racun kulat. Benih kailan adalah diimpot daripada luar negara dari jenis hibrid yang mahal harganya.


Benih Kailan berkualiti
2. Bahan media yang sesuai adalah Substrate 701 iaitu media impot untuk digunakan. Harga satu beg media ini sekitar RM 70 - RM 80 satu beg yang diperkayakan dengan nutrien NPK.

Substrate 701 impot untuk media tanaman.
3. Isikan media tanaman kedalam tray semaian yeng mempunyai 108 lubang setiap satu tray. Kadar media adalah separas dengan permukaan dulang semaian.

Tray semaian 108 lubang diisi dengan media.
4. Pengisian biji benih kailan dibuat dengan menggunakan Alat Khas menabur benih (Lihat foto dibawah) dengan melatakkan tray berisi media dibawahnya dan setiap lubang akan diisi dengan satu biji benih. Simpan trau semaian didalam para khas beberapa tingkat selama 4-5 hari sehingga biji kailan bercambah,


Pengisian biji bebih Kailan dengan 'Seeder'.

5. Tray Semaian yang ada benih yang bercambah perlu diperiksa kadar pertumbuhannya yang seragam dan boleh dialihkan kerumah semaian.

Benih kailan baru bercambah dalam tray.

6. Bawa tray semaian tersebut untuk di letakkan didalam rumah semaian (Lihat foto dibawah) bagi proses pembesaran. Pada masa ini serangga perosak seperti cengkerik dan semut suka makan anakbenih kerana ianya adalah manis. Buat penyiraman mengikut kesesuaian cuaca sehingga anakbenih sesuai untuk diubah keladang dalam 5-7 hari.


Susunan tray semaian dalam RUMAH SEMAIAN.

7. Buat pemeriksaan sekali lagi dialam rumah SPH agar tidak berlaku banyak kerosakan dan kadar pertumbuhan benih seragam.


Benih Kailan yang sihat dan sedia untuk diubah.

8. Tray semaian yang sedia untuk diubah dikeluarkan dari rumah semaian dan dihantar kelokasi penanaman.

Menghantar tray semaian ke batas tanaman.

8. Kailan ditanam didalam kawasan struktur kalis serangga untuk mendapatkan hasil. Tanaman kailan sangat mudah diserang oleh serangga Plutella spp yang merosakan kailan jika tidak dijaga dengan baik.

Tanaman kailan dalam struktur berjaring yang sihat dan seragam.

Penanaman Kailan merupakan satu perkara yang tidak mudah dijalankan. Tanaman ini mendapat permintaan baik dan harganya juga konsisten kerana permintaan daripada beratus-ratus hotel dan restoran Thai sentiasa meningkat. Bayangkan pemilik restoran hanya menggunakan sebatang pokok kailan untuk dimasak dengan ikan masin berharga antara RM 5.00 - RM 6.00 sepinggan (untuk satu orang makan). Cuba anda kira adakah jumlah kailan yang digunakan itu sampai sepokok?.  Teknologi yang saya paparkan diharap memberikan maklumat berguna kepada anda semua. Wasallam!...

SEMAI KAILAN... PENTING SEKALI...
TEKNIK MODEN... ALAT KHAS DIBELI...
SUBSTRATE IMPOT..TAHAN BERHARI....
CARA INI....PERCAMBAHAN TINGGI...

By,
M Anem
Ladang Sayur Kelompok Bt 19, Sengkang,
Bukit Gambir, Ledang,
Johor, Malaysia.
(17 Rejab 1434 Hijrah)
- Lokasi hampir dengan kampong penulis

Sunday, May 26, 2013

BUAH JENTIK-JENTIK

BUAH JENTIK (Baccaurea polyneura) adalah sejenis buah nadir yang natif di Malaysia daripada famili Euphobiaceae (ada yang kata ia famili Phyllanthaceae). Kali pertama saya jumpa buah ini ialah semasa lawatan ke Kampong Jeram Ulu, Mukim Bakri, Muar bersama-sama dengan rombongan Pegawai Daerah Muar masa itu iaitu Tn Hj Mislan. Ketika dihulur buah kecil yang isinya merah menyala (lihat foto diatas), saya memang teruja hendak makan kerana buah yang telah masak pada tangkai ini akan pecah apabila 'dijentik' iaitu pada tahun 2009. Ada dua spesis jentik-jentik yang saya rujuk iaitu jenis Baccaurea Polyneura yang sering juga dipanggil jentik-jentik merah dan Baccaurea hookeri dipanggil jentik-jentik hutan. Seingat saya setangkai buah jentik ini mengandungi beratus biji dimakan oleh 3 orang ketua jabatan sehingga habis semua tapi tidak rasa kenyang. Didalam saya merujuk kepada laporan rasmi Jabatan Pertanian, tidak ada maklumat rasmi mengenai keluasan, lokasi dan pengeluaran hasil buah jentik ini memang tidak direkodkan. Kalau mengikut anggaran saya, mungkin keluasan pokok ini sekitar bawah 20 hektar CHE sahaja kerana kebanyakannya ditanam oleh 'orang lama' dan sebahagian lagi didalam hutan. Tanaman ini yang saya jumpa di Kampong Jeram, ada 2 pokok yang berumur lebih dari 15 tahun dan berbuah lebat. Artikel petang Ahad ini selepas letih mengecat pagar rumah, saya menulis dalam "Anim Agro Technology" sejenis buah nadir dinamakan buah jentik atau buah jentik-jentik untuk bacaan dan rujukkan anda.


Pokok buah jentik-jentik adalah natif dari Malaysia, Sumatera hingga ke Borneo dan tumbuh dikawasan tanah yang bercampur dengan tanaman lain. Pada saya, mengenali keunikannya buah ini adalah apabila sudah masak dan apabila dijentik terus terbuka (asal usul namanya) dan bijinya yang berjus biasanya saya akan dimakan terus. Daripada tinjauan saya di Pameran MAHA International 2012, Jabatan Pertanian ada mempamerkan buah ini dimana sebilangan besar pengunjung terutama gulungan muda sekarang ini mungkin tidak pernah melihat buah jentik-jentik dan bertanya kepada kami. Ramai mereka memang tidak pernah jumpa apa lagi memakannya.  Apabila tiba musim pengeluaran hasil (ia buah bermusim), lazimnya kanak-kanak gemar memakan buahnya dan terus menelan bijinya. Pokok ini mungkin tidak mempunyai nilai ekonomi dimana banyak pokok ini telah banyak ditebang tanpa memikirkan akan kepunahan habitat  pokok ini untuk genarasi akan datang. 


Pokok jentik-jentik merah tumbuh menegak dengan batang berkayu ukuran sederhana (Lihat foto sebelah).  Pokok ini mempunyai banyak dahan dan merimbun serta mampu tumbuh sehingga mencapai ketinggian antara 20 - 25 meter. Pokok ini hampir sama dengan pokok rambai dari segi taksonominya. Daunnya berbentuk oblong berwarna hijau yang berukuran sekitar 12 - 15 cm panjang, 4 - 6 cm lebar dengan susunan bertentangan. Bunganya adalah sangat kecil dengan rumpun kecil yang banyak,padat pada tangkai jambak yang berjuntai sepanjang 20 - 30 cm dari dahan tua. Buah jentik-jentik yang muda berwarna hijau seakan-akan buah rambai yang bergantung-gantung pada tangkai. Ia akan bertukar kepada warna kekuningan dan akhir sekali akan bertukar kemerahan apabila masak. Terdapat tiga biji dalam satu buah dimana isinya adalah saya dapati berjus. Warna isi adalah merah dengan rasanya masam-masam manis. Spesis Baccaurea Hookeri yang juga dikenali sebagai jentik-jentik mempunyai buahnya yang seakan-akan buah rambai tetapi lebih besar sedikit daripada buah jentik-jentik merah walau pun saya belum jumpa lagi spesis ini.


Saya perhatikan, bila buah ini cukup masak ia berwarna kuning keperangan. Buah yang cukup masak apabila dijentik terus terbuka. Lazimnya didapati ada sebanyak 3 ulas biji didalamnya dengan warna kemerahan (Lihat foto sebelah).  Isinya memang amat berjus dan rasanya masam-masam manis walau pun saiznya sekita 1.0 - 1.4 cm garispusat sahaja. Walau pun makan sebanyak 4 - 5 tangkai, saya tidak rasa kenyang pun. Cara pembiakannya adalah dengan cara menyemai biji benih dalam nurseri atau dalam polibeg. Tanah yang subur dengan saliran baik sesuai untuk menanam buah jentik ini walau pun ramai petani tidak berminat. Mungkin disebabkan saiz buah sangat kecil, lamat berhasil, penghasilan buah bermusim, ramai tidak kenal, pasaran yang tidak pasti dan tidak ada varieti disyorkan menyebabkan pokok jentik-jentik ini kurang mendapat minat petani menanamnya. Saya agak buah nadir ini akan pupus jika tidak dijaga dengan baik. Wasallam!

POKOK BUAH NADIR...JENTIK-JENTIK...
BUKAN LARVA NYAMOK...IA PELIK ...
SAIZ KECIL... WARNA ISI MENARIK...
MAKAN BANYAK... ELAKKAN SEMBELIT...

By,
M Anem
Senior Agronomist
Jalan Istana, Persimpangan Air Keroh,
Bandar Melaka, 
Malaysia
(16 Rejab 1434H)

Saturday, May 25, 2013

BUAH TAMPOI

BUAH TAMPOI atau nama saintifiknya Baccaurea microcarpa atau Baccaurea griffithii adalah sejenis pokok hutan yang menghasilkan buah tampoi atau juga disebut 'tampui' dimana ia lazimnya tumbuh dikawasan hutan di negara kita. Pokok Tampoi merupakan pokok saka dioceous daripada keluarga Phyllanthaceae adalah natif di Sumatra, Semenanjung Malaysia dan Borneo. Beberapa nama lain yang diberi pada buah tampoi adalah seperti tampoi batang, tampui, larah, merkeh, ngeke dan juga tampoi bulan. Saya jumpa buah  ni dijual di tepi jalan dekat Tampin, Negeri Sembilan pada musim tertentu dsengan harga sekitar RM 4.00 sekilogram. Walau pun asalnya kurang minat hendak membeli buah tampoi, demi hendak rasa akan buahnya saya membeli dan makan. Buah tampoi sama seperti buah rambai mempunyai struktur buah dan rasa hampir sama tetapi ia lebih besar dan ada rasa sedikit kelat. Saya dapati buah tampoi juga mempunyai rasa yang enak dan sedikit lemak. Namun, ada juga yang kata isinya yang bewarna putih itu mempunyai rasa yang sedikit masam. Bagi masyarakat Orang Asli pula ia boleh dijadikan minuman keras. Didapati pokok tampoi belum dikomersilkan lagi penanamannya di negara kita kerana ia adalah jenis buah nadir yang ditanam secara suka-suka sahaja dikawasan dusun atau keliling rumah. Tidak ada rekod mengenai keluasan dan taburan pokok tampoi dilaporkan oleh Jabatan Pertanian. Artikel subuh Rabu ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai teknologi dan informasi pokok tampoi untuk dibaca dan dirujuk pembaca semua.


Pokok Tampoi adalah jenis pokok saka yang tumbuh menegak dengan ketinggian mencecah 25 - 60 meter didalam keadaan semulajadi (Lihat foto sebelah). Ia mempunyai batang yang tumbuh menegak dengan banyak cabang dan kulitnya beralur sedikit berwarna coklat kelabu. Dibahagian bawah pokok ia mempunyai banir yang kuat dengan sistem akar tunjang kukuh masuk dalam tanah. Daunnya adalah berbentuk ovate (bulat lonjong) berwarna hijau dan agak tebal berukuran sekitar 8-17 cm panjang dan 4 - 8 cm lebar. Ia mempunyai tangkai daun agak panjang sekitar 10 - 15 cm dengan susunan daun yang bertentangan.  


Bunga pokok tampoi keluar daripada tangkai yang keluar daripada dahan atau batang pokok. Bunga kecil ini berwarna putih, hijau dan kekuningan yang terbit pada batang dengan tangkai bunga yang agak panjang dimana  tangkai jantan sekitar 13 cm dan tangkai betina sekitar 18 cm (Lihat foto sebelah). Saiz bunga jantan adalah kecil sedikit (2 mm) tetapi saiz bagi bunga betina lebih besar iaitu sekitar 4.5 mm. Pendebungaan berlaku secara semulajadi oleh angin dan serangga seperti semut dan kerengga. Buah Tampoi yang terhasil dari tangkai yang berangkai adalah berwarna hijau ketika muda dan coklat terang apabila masak. Buah Tampoi mempunyai kulit tebal dengan bentuk bulat lonjong atau bulat leper sedikit (Lihat foto dibawah). Buah yang masak berukuran sekitar 30 -70 cm garispusat dengan mempunyai biji sebanyak 2- 4 ulas didalamnya. Isinya adalah lembut yang berwarna putih krim, kekuningan dan sebagainya bergantung kepada spesis. Bijinya agak keras dan boleh dijadikan biji benih untuk disemai dinurseri. 


Isi buah tampoi yang manis menjadikan ia dipetik untuk dimakan dan dijual diPasar Tani, Pasar Tamu dan Gerai tepi jalan. Selain dimakan segar, saya tidak pasti adakah ia ada digunakan dalam masakan atau sebagainya. Bahagian lain pokok tampoi seperti pucuk daun dan akarnya masih belum dimenafaatkan. Bagaimana pun batang pokok yang berkayu keras boleh dijadikan bahan bakar kayu api dan batangnya yang besar boleh diproses untuk dijadikan perabut. Pokok tampoi ini juga tidak mempunyai perosak semulajadi yang serius dimana ia tumbuh tanpa gangguan didalam keadaan biasa. Saya berani katakan kebanyakan buah tampoi boleh dikatakan sebagai 'Buah Organik' kerana didapati kebanyakannya tidak disembur racun atau dibaja dengan baja kimia. Saya percaya buah tampoi ini masih banyak lagi dijual di pekan-pekan kecil atau di pasar tani di kawasan dan marilah kita sama-sama membeli dan makan buah ini jika terjumpa dijual dimana-mana untuk merasa buah nadir yang semakin pupus ini. Wasallam!.



BUAH TAMPOI... ENAK ISINYA...
BANDAR TAMPOI...JOHOR LETAKNYA...
POKOK TINGGI...LEBAT BUAHNYA...
BUAH NADIR... HAMPIR PUPUS AGAKNYA...

By,
M Anem
Room B-4-12, Best Western Prima Inland,
Port Dickson, Negeri Sembilan,
Malaysia
(11 Rejab 1434H) 

Friday, May 24, 2013

SAYUR - AKTIVITI LEPAS TUAI

PENUAIAN HASIL LADANG merupakan operasi awal dalam pengendalian lepas tuai. Beberapa aspek penting bagi penuaian adalah untuk menentukan tahap kematangan yang sesuai dan cara penuaian yang betul. Lazimnya tahap kematangan sayuran dan buah-buahan ketika penuaian mempengaruhi mutu selepas tuai dan ketahanan semasa penyimpanan. Saya dapati citarasa sesuatu jenis sayur berbeza sekiranya hasil dikutip terlalu muda atau terlalu tua. 
Masa penuaian yang sesuai bagi sayuran bergantung pada iklim, musim penanaman tertentu, varieti dan jenis sayur. Menentukan tahap sesuatu jenis sayur itu telah mencapai puncak mutu terbaik, bukanlah satu perkara yagn mudah dilakukan. Jangka masa kematangan yang tertera pada label yang terdapat pada paket atau katalog biji benih boleh digunakan sebagai panduan sahaja. Indeks penuaian bagi kebanyakan jenis sayuran buah dan sayur daun adalah berdasarkan saiz dan warna. Sayur buah pada peringkat muda seperti timun dan bendi, misalnya, boleh dipetik pada beberapa saiz mengikut keperluan pasaran. Manakala kebanyakan sayur buah yang diperlukan pada peringkat matang seperti tomato dan cili, penuaian mungkin bergantung pada perubahan warna sayuran tersebut. Bagi sayur daun pula, saiz biasanya digunakan sebagai kriteria utama bagi indeks penuaian. Manakala sayuran seperti kubis, kepadatannya boleh digunakan sebagai asas penuaian. Umumnya, peringkat kematangan yang sesuai untuk penuaian berbeza mengikut jenis sayur dan cara pemasarannya. Artikel pagi Jumaat ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai aktiviti penuaian dan lepas tuap produk tanaman untuk dijadikan bahan bacaan ringan dan rujukan.

Pengendalian hasil sayuran yang dibuat di ladang perlu dilakukan dengan cermat bagi mengelakkan berlakunya sebarang kecederaan mekanikal yang boleh memberi kesan lebam, calar atau pecah. Pengendalian awal yang dilakukan di ladang lazimnya akan dapat mengurangkan kadar kerosakan sayuran pada peringkat pengendalian yang berikutnya. Disamping itu, operasi penyediaan di rumah pembungkusan dapat dikurangkan sekiranya penyediaan awal telah dilakukan di ladang. Saya sering memeriksa beberapa ladang terutama di TKPM (Lihat foto sebelah) dimana struktur lindungan perlu dibina untuk aktiviti menuai diladang bagi membuat prenggredan, pemilihan dan juga memasukan sayuran kedalam bakul plastik atau bakul buluh. Kawasan teduhan ini penting untuk melindungi sayuran daripada terdedah kepada matahari dan dapat bekerja ketika hujan atau cuaca terlalu panas.


Saya dapati aktiviti memetik sayuran dikebun dinegara kita kebanyakan menggunakan tangan sahaja atau menggunakan pisau yang tajam. Pisau yang digunakan mestilah sentiasa tajam dan bersih untuk kita mengelakkan penyebaran virus dari satu pokok ke pokok yang lain. Teknik untuk penuaian berbeza bergantung pada bahagian tanaman yang dipetik. Bagi sayur jenis crucifer (kobis, kailan, kubis bunga dan brokoli), batang utamanya dipotong dengan pisau tajam dan pembersihan boleh dibuat di ladang. Manakala sesetengah sayur daun yang lain (bayam, kangkung) biasanya dicabut dengan tangan. Perlulah dipastikan supaya bahagian tangkai yang dipotong tidak menyentuh permukaan tanah. Sayur buah yang mempunyai tangkai yang ada lapisan pemisah (kacang panjang, buncis, cili) boleh dipetik dengan cara memutuskan tangkai dengan mudah menggunakan tangan. Sebaliknya sayur buah yang mempunyai tangkai yang liat, memetik menggunakan tangan boleh merosakkan sama ada tangkai atau buah (bendi, terung, timun, labu). Sayur jenis ini boleh dipetik dengan cara memotong tangkai buah dengan menggunakan gunting (secateurs) atau pisau.

Apa yang saya tahu, masa yang sesuai untuk menjalankan operasi penuaian perlu difikirkan. Penuaian perlu dilakukan pada waktu yang paling sejuk, sama ada pada awal pagi atau lewat petang (Lihat foto sebelah di projek MAFC Lembah Bertam). Bagi sayuran untuk pasaran tempatan boleh dipetik pada waktu pagi. Bagi tujuan untuk pasaran yang jauh, penuaian lebih baik dilakukan pada waktu petang sekiranya pengangkutan yang sesuai dapat diatur untuk mengangkut sayuran ke pasaran pada waktu malam atau awal pagi keesokan harinya. Pengalaman saya menjaga beberapa projek TKPM telah memberikan kefahaman tinggi mengenai perkara ini.  Bekas pengisi sayuran yang digunakan semasa penuaian mestilah mempunyai saiz yang sesuai dan boleh dibawa oleh pekerja ke seluruh ladang. Bekas tersebut mestilah mempunyai dinding yang tidak tajam untuk mengelakkan kerosakan pada sayur. Penggunaan bekas yang kotor atau tercemar oleh tanah, sisa tumbuhan dan sisa yang reput perlulah dielakkan.

Sayuran yang telah dipetik mestilah dikumpulkan di tempat yang redup sekiranya pengangkutan segera tidak dapat dilakukan. Sayuran yang terdedah pada cuaca panas matahari akan mengalami peningkatan suhu yang menyebabkan sayur mudah rosak dan layu. Merenjis dengan air mungkin perlu supaya sayur tidak layu. Sayuran yang telah dipetik juga mesti dielakkan daripada tercemar degan tidak meletakkannya secara terus di tanah terutamanya tanah basah. Jadual 1 dibawah menunjukkan beberapa jenis sayur daun dan sayur buah serta jangkamasa untuk ia sesuai dituai. Bagi tujuan ini kita akan merujuk terus kepada varieti tanaman yang lazimnya ditulis pada label paket benih. Sebagai contoh, bayan akan dituai 4 minggu lepas tanam (MLT), Kailan (6 HLT), Sawi (4 HLT), Bendi (8 HLT) sehinggalah kepada tanaman sengkuang iaitu 3-5 HLT.  

JADUAL 1: JANGKAMASA MENUAI SELEPAS DITANAM

Pembungkusan di ladang lazimnya adalah aktiviti menggunakan bahan pembungkus yang sesuai serta tahan lasak semasa di ladang dimana ini amat penting untuk mengurangkan kerosakan semasa pengendalian dari kebun dan pengangkutan dengan lori. Kaedah pembungkusan yang baik dapat mengurangkan kehilangan air daripada sayuran dan kerosakan mekanikal yang boleh mempengaruhi mutu sayuran pada peringkat penggunaan. Memasukkan hasil yang dituai terus ke dalam bungkusan yang tersedia untuk dipasarkan adalah digalakkan bagi mengurangkan kerosakan disebabkan oleh pengendalian berganda. 


Mengangkut sayuran keluar dari ladang ke rumah pembungkusan perlu dilakukan dengan cepat untuk mengelakkan sayuran daripada terdedah terlalu lama pada persekitaran yang kadangkalanya terlalu panas atau terlalu lembap. Jenis kenderaan yang digunakan perlu disesuaikan dengan jarak pasaran dan jumlah sayuran yang dikendalikan. Lori kecil atau trailer yang disambungkan ke traktor boleh digunakan untuk mengangkut sayuran yang dipetik ke tempat pengumpulan atau rumah pembungkusan. Jalan ladang perlulah dalam keadaan baik sebab kerosakan terhadap sayuran mudah berlaku jika diangkut melalui jalan yang tidak rata lebih lebih lagi jika menggunakan kenderaan yang tidak sesuai. Bekas yang berisi sayur mestilah dipunggah ke dalam kenderaan dengan cermat dan disusun dengan sebaik mungkin supaya tidak mudah terbalik atau terlalu memberi beban kepada bekas di lapisan bawah, yang boleh menyebabkan kecederaan. Akhir sekali adalah aktiviti di Rumah pembungkusan iaitu merupakan kawasan teduhan untuk melakukan operasi penyediaan bagi menyediakan sayuran untuk pasaran. Rumah untuk aktiviti  pembungkusan boleh merupakan bangsal yang mempunyai peralatan yang terhad atau kompleks yang dilengkapi dengan berbagai-bagai jenis peralatan moden. Operasi penyediaan yang dijalankan meliputi pemilihan, pemotongan, pembasuhan, pengeringan, penggredan, penyimpanan dan pembungkusan. Kesesuaian sesuatu operasi penyediaan berbeza mengikut jenis sayur dan jenis pasaran. Diharap artikel ini memberi ilmu pengetahuan kepada anda semua dalam pengenadlian lepastuai sayuran. Wasallam!


Memeriksa cili yang sesuai dipetik di TKPM Sekijang.
MEMETIK HASIL... HATI AMAT SENANG...
DIKUMPUL DI GRED... ROSAK DIBUANG...
MASUK BAKUL ... KE LORI DINAIKKAN...
HANTAR KE PEMBORONG... DIJUALKAN...

By,
M Anem
Senior Agronomist
Pengasas TKPM Sekijang,
Segamat, Johor,
Malaysia.
(15 Rejab 1434H)

Thursday, May 23, 2013

BELALAI GAJAH - LAWATAN LADANG

BELALAI GAJAH (Clinachantus nutans Lindau) adalah sejenis tumbuhan dari keluarga Anthaceae iaitu sejenis herba yang kini menjadi popular kerana ia dipercayai mampu mengubati penyakit kronik seperti kanser. Saya telah melawat Ladang You Dun Chao di Sendayan pada 22 Mei 2013 bersama beberapa Pegawai Pakar Teknikal keladang tersebut. Kali pertama saya mendengar nama herba ini saya bayangkan ia merupakan tumbuhan besar dan panjang seperti belalai gajah tetapi ianya meleset sama sekali. Belalai Gajah juga dikenali dengan nama Sabah Snake Grass (English), Saled Pangpon pua mea (Thailand) dan Dandang Gendis (Jawa Indonesia). Pokok herba belalai gajah adalah tidak sama dengan herba Hempedu bumi(Snake grass) atau Herba Sambung Nyawa (Gynura procumbens)kerana ianya memang berlainan. Hempedu bumi mempunyai rasa pahit dengan bunga berwarna putih sementara belalai gajah adalah rasa tawar dengan bunga merah muda. Penanaman herba belalai gajah di Malaysia secara komersial dijalankan dibeberapa negeri terutama disekitar Negeri Sembilan, Pahang dan Selangor. Herba ini didakwa mampu menyembuhkan banyak penyakit kronik kerana khasiatnya yang mampu mengaktifkan sel-sel tubuh manusia dengan kandungan antioksi dan yang tinggi. Artikel subuh ini saya menulis dalam 'Anim Agro Technology' mengenai pengalaman lawatan keladang tersebut mengenai penanaman belalai gajah.

Taklimat diberikan oleh En Asmadi yang memperkenalkan maklumat mengenai ladang herba terbesar di Malaysia ini. Tanah seluas 10 ekar disewa daripada FELDA merupakan tanah berbukit yang disewa dengan kadar RM 700.00 seekar. Tanaman utama diladang ini adalah Belalai Gajah (80%) sementara beberapa tanaman herba lain yang ada ditanam seperti Pecah Beling (Lihat foto sebelah), Sabung Nyawa dan beberapa jenis lagi. Ladang ini baru beroperasi dalam setahun lebih dimana kawasan yang telah ditanam hanya 6 ekar sahaja sementara 4 ekar lagi baru di bersihkan untuk ditanam dengan Belalai Gajah. Sistem pengairan menggunakan sistem sprinkler yang menyedut air daripada kolam berukuran 40kaki x 50 kaki dibahagian bawah ladang menggunakan paip HDPE 4 inci. Lawatan saya keladang ini adalah pada musim panas kering dimana telah 3 minggu tidak hujan menyebabkan keadaan pokok agak kering dan saiz daun tanaman herba kecil sedikit. Bagaimana pun daun belalai gajah yang ditanam dibawah lindungan rumah pelindung didapati lebuh subur.

Penerangan seterusnya diberikan oleh Ketua Pekerja Ladang (Bapak Mazlan - Asal Jogjakarta) yang telah bekerja diladang tersebut hampir setahun dulu sejak ladang dibuka. Ladang seluas 10 ekar ini hanya diuruskan oleh 4 orang pekerja ladang sahaja. Antara tugas pekerja ladang adalah uuntuk memetik hasil, menyiram tanaman dengan pam air (musim panas), membaja, menanam (kawasan baru) dan juga kawalan rumpai. Katanya ladang ini hanya menanam herba Belalai Gajah tetapi tanaman ini akan dituai setiap 2 bulan sekali dengan memotong pangkal rumpun dan akan dihantar ke Pahang untuk diproses. Kilang memproses herba syarikat ini di Pahang untuk dijadikan ekstrak herba belalai gajah dengan kadar pertukaran ekstrak adalah sebanyak 1 metrik tan belalai gajah segar akan menjadi 90 kg ekstrak. Pokok yang dipootong akan dihantar dari ladang ke Pahang mengikut jadual setiap 2 hari sekali atau mengikut permintaan pihak pengilang. Harga jualan dari ladang kekilang tidak dinyatakan.

Berdasarkan kepada risalah yang diedarkan, syarikat ini telah menghasilkan 5 produk berasaskan herba belalai gajah iaitu UTurn Tea, UTurn Extra, UTurn Fresh, UTurn King Herb Belalai Gjah dan UTurn SSG Plus Drink. Produk UTurn adalah produk yang dihasilkan untuk melindungi buah pinggang, membantu mengeluarkan detok, mengurangkan kolesterol, membantu mengurangkan tekanan darah tinggi dan membantu didalam mengurangkan kadar gula dalam darah. Ia merupakan serbuk teh yang diminum 1-2 uncang yang direndam selama 10 minit dalam air panas. Setiap kotak mengandungi sebanyak 25 sachet seberat 3 gram satu sachet. Produk UTuen Extra adalah hasil dari campuran herba ini dengan campuran protin dan kurma merah. Produk ini mengandungi 20 pek seberat 25 gram dimana setiap pek terdapat sebanyak 50 helai daun belalai gajah. Ia sesuai untuk mengatasi kemurungan, melindungi buah pinggang, melaraskan haid, melindungi hati, meningkatkan tenaga dan meningkatkan imuniti kita. Produk UTurn Fresh pula merupakan perisa campuran epal dan lemon bersama daun belalai gajah. Dalam kotak mengandungi 20 pek seberat 25 g setiap pek dengan sebanyak 50 helai daun dalam satu pek. Ia didakwa membantu melindungi buah pinggang, legakan sembelit, detoksifikasi, pencegahan kanser kolon dan melegakan senak. Demikianlah catatan yang saya kongsikan dengan pembaca hasil lawatan keladang herba Belalai Gajah terbesar di Malaysia masa kini. Wallahualam!

Penulis di ladang herba Sendayan.
LUAS DILIHAT ....LADANG HERBA... 
PROJEK EPP1... BARU NAK MULA...
BELALAI GAJAH...TANAMAN UTAMA...
PRODUK PROSES... 'UTURN' JENAMA...

By,
M Anem
Ladang You Dun Chao,
Sendayan, Negeri Sembilan,
Malaysia
(13 Rejab 1434H) 

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...