Support My Blog

Friday, May 17, 2013

JUJUBE

JUJUBE (Ziziphus jujuba Mill) merupakan sejenis tanaman buah-buahan yang mana kita di Malaysia menamakan sebagai 'Buah Bidara'. Buah ini juga diberi nama sebagai Chinese date, Korean date, Indian date dan Red date yang ditanam untuk pokok hiasan disamping menghasilkan buah. Tumbuhan ini merupakan pokok dari keluarga Rhamnaceae yang menghasilkan buah yang manis dan disukai oleh ramai peminat. Tumbuhan ini adalah natif dari kawasan China dan di Asia Selatan dengan terdapat lebih dari 400 kultivar. Tumbuhan ini bolehh tumbuh dengan baik dalam keadaan iklim yang pelbagai. Bagaimana pun ia perlukan kawasan beriklim panas dan sejuk dengan ketahanan suhu sejuk sehingga -15 darjah selsius. Pokok juga boleh hidup dikawasan gurun sehingga kawaasan tanah tinggi yang sejuk dan paling ideal adalah dikawasan beriklim sederhana. Beberapa negara menanam jujube untuk penghasilan dimana jumllah pengeluaran buah ini sekitar 800,000 metrik tan setahun. Antara negara yang banyak menanam jujube seperti China, India, Korea, Iran, Pakistan dan Lebanon. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai sejenis tumbuhan iaitu Jujube yang menghasilkan buah untuk bacaan dan juga menambhkan ilmu pengetahuan pembaca semua.


Tumbuhan jujube merupakan jenis pokok renek  yang tumbuh menegak dengan ketinggian sekitar 5-10 meter bergantung kepada kultivar dan sistem pengurusan. Pokok jujube mempunyai banyak dahan dan mempunyai duri yang tajam. Daunnya adalah bersaiz kecil dengan ukuran 2-7 cm panjang dan 1-3 cm lebar serta berkilat. Bentuk daun adalah acute ovate atau kecil tirus berwarna hijau dan bahagian tepi yang bergelombang. Lazimnya ada dua duri pada pangkal daun. Bunganya adalah bersaiz kecil (4-5 mm panjang) berwarna hijau kekuningan pada kelopaknya dengan mengeluarkan aroma kuat yang wangi.  Kaedah pendebungga bagi jujube kurang pasti tetapi kemungkinan oleh serangga seperti semut dan juga oleh angin. Kajian menunjukkan kebanyakan jujube tidak menjalankan proses prndebungaan bersilang.


Buah jujube adalah dalam bentuk 'Drupe' atau berangkai dengan saiz buah sekitar 1.5 - 3.0 cm (Lihat foto sebelah). Bentuk buah juga banyak variasi daripada bentuk bentuk bulat kepada bentuk bulat memanjang dengan saiz buah daripada seperti buah ceri hingga kepadqa saiz buah plum. Ia mempunyai lapisan kulit nipis dengan isi buah yang boleh dimakan berwarna putih dan manis rasanya. Buah muda lazimnya berwarna hijau dan akan menjadi kuning hijau sehingga kepada warna merah mahogani apabila cukup matang. Buah masak mempunyai rasa manis serta rangup apabila ia cukup merah. Setiap buah mempunyai satu biji yang berbentuk bulat seperti biji zaitun.  


Kaedah pembiakan lazimnya secara kaedah CANTUMAN (grafting or budded) pada dahan yang sesuai. Pembiakan dengan cara keratan batang boleh dijalankan walau pun kadar kejayaan agak rendah. Biji dari buah jujube boleh digunakan sebagai bahan tanaman tetapi ketulinan varieti tidak ada jaminan. Anak benih yang sesuai ditanam dengan jarak 3 meter x 4 meter bergantung kepada jenis tanah dan varieti yang digunakan. Setelah mencapai ketinggian 1.0 - 1.2 meter boleh dipotong batang untuk mendapatkan sistem percabangan yang seimbang. Buat cantasan sehingga mendapat bentuk pokok yang dikehendakki. 


Tumbuhan jujube perlukan kawasan yang terbuka dengan sinaran matahari banyak dan kurang sesuai dikawasan teduhan. Tumbuhan ini juga sesuai tumbuh pada banyak jenis tanah tetapi tanah berpasir, saliran yang baik dan kurang tahan kepada tanah yang mudah terendam. Tumbuhan ini juga sesuai untuk ditanam diatas tanah yang agak masin (saline soil) dan tinggi pH (high alkaninity). Pokok ini tidak perlukan kaedah pembajaan yang rumit dan boleh hidup jika tidak dibaja pun. Bagaimana pun lazimnya pokok akan dibaja dengan baja NPK 8:8:8 dengan kekerapan setiap 2 bulan sekali. Tabur baja tersebut diperingat pembesaran pokok (growing stage). Aktiviti pangkasan pada pokok jujube tidak banyak perbezaan dengan pertumbuhan pokok yang tidak dipangkas. 


Tanaman jujube tidak mempunyai masaalah serangan perosak dan penyakit yang serius. Oleh itu jarang-jarang dilakukan semburan racun kimia pada tanaman ini. bagaimana pun terdapat serangan seperti cacing nematod dan serangga perosak akar yang tidak berapa serius. Pokok jujube akan matang beberapa tahun selepas ditanam dengan penghasilan buah masak berperingkat-peringkat. Buah masak dipetik untuk beberapa minggu dari sebatang pokok. Buah yang dipetik hijau tidak akan bertukar warna walau pun disimpan lama. Lazimnya buah jujube yang telah masak berwarna kemerahan atau mahogany akan dipetik untuk pasaran segar. Buah yang telah masak dipetik dengan tangan dan dikumpulkan untuk dibuat penggredan sebelum dihantar untuk jualan. Buah jujube segar boleh tahan selama seminggu jika disimpan pada suhu agak sejuk. Buah ini dimakan segar, di proses untuk dijadikan jujube kering dan juga dibuat candy. Buah jujube yang kering dipokok mempunyai nilai pasaran lebih baik berbanding dengan buah yang diproses dengan bahan pengawet. Semuga anda telah mendapat maklumat berguna dari artikel ini. Wasallam!  

Memetik buah jujube di China.

POKOK JUJUBE....TEGAK TUMBUHNYA..
BANYAK BUAH... MANIS RASANYA..
DIMAKAN MENTAH...SEGAR AMATNYA...
DIMANA DIJUAL...HENDAK BELINYA...

By,
M Anem
Bilik 127, Hotel Seri Malaysia,
Air Keroh,
Melaka,
Malaysia
(13 Mac 2013)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...