Support My Blog

Saturday, May 25, 2013

BUAH TAMPOI

BUAH TAMPOI atau nama saintifiknya Baccaurea microcarpa atau Baccaurea griffithii adalah sejenis pokok hutan yang menghasilkan buah tampoi atau juga disebut 'tampui' dimana ia lazimnya tumbuh dikawasan hutan di negara kita. Pokok Tampoi merupakan pokok saka dioceous daripada keluarga Phyllanthaceae adalah natif di Sumatra, Semenanjung Malaysia dan Borneo. Beberapa nama lain yang diberi pada buah tampoi adalah seperti tampoi batang, tampui, larah, merkeh, ngeke dan juga tampoi bulan. Saya jumpa buah  ni dijual di tepi jalan dekat Tampin, Negeri Sembilan pada musim tertentu dsengan harga sekitar RM 4.00 sekilogram. Walau pun asalnya kurang minat hendak membeli buah tampoi, demi hendak rasa akan buahnya saya membeli dan makan. Buah tampoi sama seperti buah rambai mempunyai struktur buah dan rasa hampir sama tetapi ia lebih besar dan ada rasa sedikit kelat. Saya dapati buah tampoi juga mempunyai rasa yang enak dan sedikit lemak. Namun, ada juga yang kata isinya yang bewarna putih itu mempunyai rasa yang sedikit masam. Bagi masyarakat Orang Asli pula ia boleh dijadikan minuman keras. Didapati pokok tampoi belum dikomersilkan lagi penanamannya di negara kita kerana ia adalah jenis buah nadir yang ditanam secara suka-suka sahaja dikawasan dusun atau keliling rumah. Tidak ada rekod mengenai keluasan dan taburan pokok tampoi dilaporkan oleh Jabatan Pertanian. Artikel subuh Rabu ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai teknologi dan informasi pokok tampoi untuk dibaca dan dirujuk pembaca semua.


Pokok Tampoi adalah jenis pokok saka yang tumbuh menegak dengan ketinggian mencecah 25 - 60 meter didalam keadaan semulajadi (Lihat foto sebelah). Ia mempunyai batang yang tumbuh menegak dengan banyak cabang dan kulitnya beralur sedikit berwarna coklat kelabu. Dibahagian bawah pokok ia mempunyai banir yang kuat dengan sistem akar tunjang kukuh masuk dalam tanah. Daunnya adalah berbentuk ovate (bulat lonjong) berwarna hijau dan agak tebal berukuran sekitar 8-17 cm panjang dan 4 - 8 cm lebar. Ia mempunyai tangkai daun agak panjang sekitar 10 - 15 cm dengan susunan daun yang bertentangan.  


Bunga pokok tampoi keluar daripada tangkai yang keluar daripada dahan atau batang pokok. Bunga kecil ini berwarna putih, hijau dan kekuningan yang terbit pada batang dengan tangkai bunga yang agak panjang dimana  tangkai jantan sekitar 13 cm dan tangkai betina sekitar 18 cm (Lihat foto sebelah). Saiz bunga jantan adalah kecil sedikit (2 mm) tetapi saiz bagi bunga betina lebih besar iaitu sekitar 4.5 mm. Pendebungaan berlaku secara semulajadi oleh angin dan serangga seperti semut dan kerengga. Buah Tampoi yang terhasil dari tangkai yang berangkai adalah berwarna hijau ketika muda dan coklat terang apabila masak. Buah Tampoi mempunyai kulit tebal dengan bentuk bulat lonjong atau bulat leper sedikit (Lihat foto dibawah). Buah yang masak berukuran sekitar 30 -70 cm garispusat dengan mempunyai biji sebanyak 2- 4 ulas didalamnya. Isinya adalah lembut yang berwarna putih krim, kekuningan dan sebagainya bergantung kepada spesis. Bijinya agak keras dan boleh dijadikan biji benih untuk disemai dinurseri. 


Isi buah tampoi yang manis menjadikan ia dipetik untuk dimakan dan dijual diPasar Tani, Pasar Tamu dan Gerai tepi jalan. Selain dimakan segar, saya tidak pasti adakah ia ada digunakan dalam masakan atau sebagainya. Bahagian lain pokok tampoi seperti pucuk daun dan akarnya masih belum dimenafaatkan. Bagaimana pun batang pokok yang berkayu keras boleh dijadikan bahan bakar kayu api dan batangnya yang besar boleh diproses untuk dijadikan perabut. Pokok tampoi ini juga tidak mempunyai perosak semulajadi yang serius dimana ia tumbuh tanpa gangguan didalam keadaan biasa. Saya berani katakan kebanyakan buah tampoi boleh dikatakan sebagai 'Buah Organik' kerana didapati kebanyakannya tidak disembur racun atau dibaja dengan baja kimia. Saya percaya buah tampoi ini masih banyak lagi dijual di pekan-pekan kecil atau di pasar tani di kawasan dan marilah kita sama-sama membeli dan makan buah ini jika terjumpa dijual dimana-mana untuk merasa buah nadir yang semakin pupus ini. Wasallam!.



BUAH TAMPOI... ENAK ISINYA...
BANDAR TAMPOI...JOHOR LETAKNYA...
POKOK TINGGI...LEBAT BUAHNYA...
BUAH NADIR... HAMPIR PUPUS AGAKNYA...

By,
M Anem
Room B-4-12, Best Western Prima Inland,
Port Dickson, Negeri Sembilan,
Malaysia
(11 Rejab 1434H) 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...