Support My Blog

Sunday, December 18, 2022

TANAMAN RUMBIA DAN SAGU

RUMBIA
(Metroxylon sagu) atau dipanggil sebagai pokok Sagu adalah sejenis pokok palma yang terdapat di hutan Indonesia, Malaysia dan Papua New Guinea serta beberapa negara Asia Tenggara lain. Tumbuhan ini boleh dilibatkan kepada semua pokok dalam kumpulan Metroxylon yang kebanyakannya tumbuh liar dikawasan lembap. Dulu tumbuhan ini tidak dikisahkan sehingga ianya dilihat sebagai ada nilai ekonomi untuk ditanam dan diproes. Kajian marfologi tumbuhan ini mendapati terdapat kelainan pada rumbia iaitu jenis yang berduri dan tanpa duri. Pokok Rumbia adalah tumbuhan yang hidup di merata hutan pedalaman hutan hujan tropika. Pokok Rumbia selain ditebang untuk mendapatkan sagunya, bahagian daunnya juga boleh dijadikan atap. Indonesia merupakan antara negara yang banyak mempunyai pokok rumbia dan dikomersilkan sehingga menghasilkan produk sagu yang digunakan untuk keperluan domestik dan ekspot. Di Malaysia negeri Sarawak merupakan antara yang banyak mempunyai tanaman rembia dan dikomersilkan. Pokok rumbia boleh ditanam untuk tujuan penghasilan sagu secara besar-besaran. Tempoh ia matang bergantung kepada kesuburan tanah. Lazimnya secara purata tanaman pokok rumbia boleh dituai apabila telah pun menjangkau umur 12-13 tahun di tanah mineral dan 15-18 tahun di tanah gambut. Pokok rumbia matang yang telah ditebang perlu diproses secepat mungkin bagi mengelakkan kemerosotan kandungan kanji dimana ia biasanya tidak melebihi 2 hari selepas ditebang. Hasilnya adalah tepung sagu rumbia boleh ianya digunakan untuk memproses serbuk perasa (MSG), sirap glukosa, alkohol, makanan bayi, gum gula-gula, tekstil, kertas, pelekat, gam, bahan pembeku, plastik dan lain-lain. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai apakah potensi tanaman rumbia di negara kita dan kegunaan hasilan sagu rumbia sebagai makanan yang disukai ramai untuk dijadikan bahan rujukkn pembaca semua.

Penanaman rumbia kini didakwa semakin menguntungkan dimana kini pokok rumbia telah ditanam oleh pekebun kecil sebagai tanaman komersial untuk menampung pendapatan mereka di kawasan Dalat, Mukah, Sarawak. Ini berdasarkan kepada laporan akhbar dimana Bahagian Mukah merupakan satu-satunya kawasan di Sarawak yang menjadikan tanaman rumbia atau pokok sagu sebagai tanaman komersial (Sila lihat foto disebelah).  Keluasan tanaman untuk pokok sagu kini dianggarkan 67,957 hektar yang meliputi 43,426 hektar milik para pekebun kecil manakala 24,531 hektar lagi dibangunkan secara estet. Pada masa kini tahap kemahiran dan pengalaman Sarawak dalam usaha memajukan pertanian rumbia atau pokok sagu mendapat perhatian daripada kerajaan Papua New Guinea yang telah berkunjung ke Sarawak untuk meninjau akan teknologi penanaman dan pengurusan. Negara berkenaan yang turut mempunyai tanah paya sesuai untuk tanaman rumbia, bagaimanapun menurut Gabenor Wilayah Sandaun, Simon Solo tidak diusahakan secara komersial. Papua New Guinea akan mengambil contoh bagaimana banyak kilang pemprosesan tepung sagu rumbia beroperasi serta beberapa strategi pemasaran untuk produk itu. Susulan lawatan ini mereka akan cuba mengikuti langkah bagi mengkomersialkan tanaman rumbia di negara kami dan untuk permulaan kita merancang untuk membina sebuah kilang pengeluaran tepung sagu. Tanaman berkenaan tumbuh subur di kawasan tanah paya gambut kerana ia memerlukan air yang banyak untuk tumbesarannya.

Dalat merupakan daerah dalam bahagian Mukah yang mempunyai kebun-kebun kecil tanaman rumbia dengan keluasan tanaman kira-kira 28,745 hektar. Apabila harga jualan rumbia tinggi, para pekebun kecil ini akan mengambil peluang menebang dan menjualnya di empat buah kilang pemprosesan. Ini berikutan harga komoditi berkenaan mengalami kenaikan dan penurunan harga berdasarkan permintaan di pasaran dunia. Antara negara yang menjadi pengimport tepung sagu dari Sarawak ialah Jepun, Singapura dan Taiwan. Harga tepung sagu di pasaran antarabangsa mencecah RM1,239 satu tan metrik bermula sejak bulan Mac 2018. Jika dibandingkan pada 1970 harga tepung sagu hanya sekitar RM140 satu tan metrik. Kini ramai pekebun rumbia mempunyai masa depan yang cerah berikutan kenaikan mendadak harga komoditi itu di pasaran antarabangsa. Ini secara langsung menambah pendapatan para pengusaha kebun rumbia. Pada masa ini sekerat batang rumbia yang sudah ditebang dijual dengan harga RM7. Dalam sepohon pokok rumbia dewasa biasanya ia boleh dipotong menjadi sekurang-kurangnya 10 kerat menjadikan anggaran pendapatan kasar RM70 sepokok. Bagaimana pun penentuan harga agak berbeza dengan banyak faktur semenjak kebelakangan ini.

Dalam pada itu bagi menggandakan jumlah pengeluaran tepung sagu dan pelbagai produk tambah nilai dilaporkan kerajaan negeri telah menubuhkan Craun Research Sdn. Bhd. Syarikat ini dimiliki oleh kerajaan dan ia ditubuhkan bagi membuat penyelidikan dan pembangunan berkaitan penanaman dan produk berasaskan sagu. Seorang pekerja kilang tempatan pemprosesan tepung sagu bernama Peter David kata pokok sagu lazimnya hanya boleh ditebang apabila mencapai usia kira-kira 10 tahun. Jika pokok sagu mempunyai batang yang besar, tegap, mencapai ketinggian antara 10 - 12 meter biasanya akan mempunyai isi yang lembut dan mengandungi kandungan kanji yang tinggi. Pokok sagu memang amat berkait rapat dengan penduduk Dalat dimana sehingga sekarang ramai remaja mengambil upah menebang rumbia pada masa cuti sekolah.

Makanan tradisional berasaskan sagu yang dihasilkan daripada pokok rumbia atau pokok sagu merupakan makanan tradisional yang cukup popular dalam kalangan masyarakat suku kaum Melanau di bumi Kenyalang. Malah pada zaman dahulu, tepung sagu atau juga dikenali sebagai tepung lemantak oleh penduduk Malanau merupakan makanan ruji komuniti tersebut. Tepung lemantak yang diproses menjadi linut iaitu dituang dengan air panas dan digaul sehingga likat seperti gam amat enak dimakan dengan sambal belacan bersama-sama lauk-pauk menggantikan na­si. Selain 'linut' satu lagi makanan terkenal dalam kalangan masyarakat Melanau ialah biji atau bebola sagu yang sesuai dijadikan makanan ringan, dimakan bersama umai (isi ikan mentah) atau ikan bakar. Kedua-dua makanan tradisional berasaskan sagu ini cukup popular di bahagian Mukah yang terletak di wilayah tengah Sarawak kerana merupakan kawasan penanaman terbesar pokok sagu di negeri ini. Kini biji sagu telah menjadi makanan komersial dan mendapat sambutan menggalakkan bukan sahaja dalam kalangan penduduk tempatan di Mukah tetapi sehingga dieksport keluar seperti ke Semenanjung Malaysia. Bagit tujuan menghasilkan biji sagu sebenarnya amat rumit dan mengambil masa agak lama untuk diproses. Namun kebanyakan masyarakat Melanau masih lagi menggunakan cara tradisional untuk menghasilkan produk makanan tersebut. Biji sagu dihasilkan dengan menggunakan tepung lemantak yang telah dibasuh sehingga menjadi warna putih-keputihan

Tepung lemantak kemudian dikeringkan sebelum dicampur dengan kelapa parut kering (kerisik), dedak padi, santan, dan garam. Kesemua bahan tersebut akan ditumbuk lumat supaya mudah diadun. Sebahagian daripada penduduk menghasilkan adunan biji sagu dengan menggunakan mesin kelapa. Setelah siap maka kesemua adunan tersebut akan diayak di dalam takung iaitu acuan khas diperbuat daripada batang pokok buluh. Adunan yang telah diayak dalam takung digelek menggunakan gaah iaitu sejenis alat khas yang dianyam menggunakan daun pokok nipah. Selepas itu maka gelekan tersebut akan menghasilkan adunan berbentuk bulat melalui lubang-lubang sedia ada. Adunan biji sagu berbentuk bulat diperoleh akan dibakar dalam belanga diperbuat daripada tanah liat dan bata tanpa menggunakan minyak. Semasa proses pembakaran, biji sagu harus sentiasa diratakan menggunakan penyapu lidi bagi memastikan pembakaran seimbang. Proses pembakaran mengambil masa lama iaitu kira-kira lima jam untuk menjadikan biji sagu betul-betul rangup dan sedap dimakan.

Penulis blog yang pernah bertugas dengan Jabatan Pertanian Sarawak selama 2 tahun faham akan produk sagu sebagai makanan tradisi Melanau. Foto disebelah menunjukkan dimana biji atau bebola sagu yang mentah sedang dipanggang di rumah belanga menggunakan api yang kuat serta stabil dan perlu kerap digaul dengan penyapu lidi agar ia tidak hangus. Dilaporkan ada di kalangan masyarakat Melanau menamakan makanan ini sebagai 'sagu' dan ada juga yang menyebutnya sebagai 'bulu'. Tetapi apa yang pasti dua istilah itu merujuk kepada benda yang sama iaitu sejenis makanan tradisional suku kaum Melanau di Sarawak. Kalau dahulu makanan berbentuk bebola dan sebesar saiz kacang itu merupakan makanan ruji komuniti tersebut kini ia merupakan satu kebiasaan juga. Difahamkan ketika Jepun menakluk Sarawak dalam awal tahun 1940-an maakanan ini merupakan antara makanan ruji penduduk di kawasan Mukah, Sarawak. Ini mungkin disebabkan bahan untuk menghasilkan sagu mudah diperoleh di Mukah, Dalat dan Oya iaitu kawasan tanah berpaya gambut dimana ia menjadi makanan ruji ketika itu. Bahagian Mukah yang terletak di wilayah tengah Sarawak merupakan kawasan penanaman terbesar pokok sagu. Dalam ingin mengetahui proses membuat sagu, seorang pembuat sagu bernama Cicie Ilul yang berumur 56 tahun nyatakan dimana proses untuk dia menghasilkan sagu sebenarnya bukan mudah
.

Proses membuat sagu dilakukan di rumah khas yang dipanggil rumah belanga oleh penduduk tempatan. Pembuat sagu perlu menahan panas kerana rumah belanga sengaja dibina tanpa ruang pengudaraan yang elok (Sila lihat foto disebelah). Ia bertujuan untuk membolehkan suhu di dalam rumah belanga sentiasa panas bagi memastikan biji sagu yang dipanggang cepat masak. Terdapat pengusaha tempatan terpaksa menyewa rumah belanga kerana tidak semua pengusaha makanan itu mampu membinanya. Bayaran sewaan rumah belanga dikira melalui jumlah sagu yang dihasilkan. Misalnya penyewa dapat menghasilkan sagu sebanyak 10 kilogram maka bayaran sewa adalah RM2 atau formula yang digunakan bagi setiap sekilogram sagu ialah 20 sen. Sagu yang dihasilkan biasanya untuk keperluan harian bagi makanan sekeluarga dan lebihan makanan itu akan dijual pada harga RM8 sekilogram. Terdapat juga pengusaha yang tidak menjual dalam jumlah yang banyak kerana mereka hanya membuat sagu secara sampingan. Biasanya memang ada di kalangan pembuat sagu yang sudah lama menceburi bidang ini secara komersial. Proses terlibat seperti menyediakan tepung lemantak disedia dengan campuran habuk padi dan kelapa parut dimana ia juga merupakan ramuan yang diperlukan untuk menghasilkan sagu. Tepung lemantak diperoleh daripada isi pokok rumbia yang banyak ditanam di sekitar daerah Dalat dan Mukah. Akhirnya campuran bahan-bahan itu akan diayak di dalam rawa khas dan kemudian setelah diayak beberapa ketika maka tepung itu akan berbentuk bulat menjadi sagu. Campuran bahan-bahan dibentuk menjadi bebola kecil dan ia perlu dipanggang menggunakan api yang kuat dan stabil. Sagu itu akan masak dalam masa setengah jam. Lazimnya tempat memanggang itu dikenali sebagai belanga dan diperbuat daripada tanah liat. Kerja membuat sagu rumbia ini memerlukan sekurang-kurangnya dua orang kerana aktiviti mengayak bahan-bahan tersebut bukannya mudah. Setiap orang daripada mereka akan memegang bucu rawa yang digunakan untuk mengayak bahan-bahan. Biasa berlaku ketika menunggu sagu untuk masak terdapat kerja yang diperlukan untuk menjaga api dan menggaul bebola sagu. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!..
MENANAM RUMBIA... MENGUTUNGKAN...
SARAWAK TENGAH...LUASNYA TANAMAN...
DIPROSES SAGU...IA ADA KEPAKARAN...
AMAT SEDAP... IA DIJADIKAN MAKANAN...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
Wilayah Persekutuan,
Malaysia.
(5 JamadilAkhir 1440H).
Kemaskini pada 21 Jamadilawal 1444H
(Ditulis 4 tahun lepas).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...