KLIK SAYA SOKONG BLOG

Saturday, July 23, 2016

INDUSTRI BUNGA NEGARA

INDUSTRI BUNGA (Flowers) atau florikultur dikenal pasti sebagai satu daripada industri penting, berdaya maju dan berpotensi sebagai sumber pertumbuhan baharu bagi menjana ekonomi negara. Komoditi bernilai tinggi ini memang setanding dengan komoditi pertanian yang lain seperti kelapa sawit, getah, padi, kelapa dan juga sayur-sayuran. Industri bunga menawarkan pelbagai jenis produk termasuk bunga keratan, bunga berpasu, bunga kering dan dedaun serta pokok tanaman hiasan. Industri bunga Malaysia mencatat pertumbuhan yang baik dengan kadar peningkatan kadar eksport 31 peratus sepanjang tempoh 2009 hingga 2015. Peningkatan permintaan terhadap produk bunga dalam pasaran dunia dijangka berterusan dengan kadar pertumbuhan enam peratus setahun. Kadar itu telah menjadikan nilai eksport meningkat sebanyak 51 peratus iaitu daripada RM283 juta pada 2009 kepada RM428 juta pada 2015. Pada masa ini negara Jepun merupakan negara pengimport utama iaitu sebanyak 25 peratus daripada jumlah pasaran diikuti Singapura (20%), Thailand (15%), Australia, Belanda, Hong Kong, Jerman dan Emiriyah Arab Bersatu masing-masing lima peratus. Bunga kekwa merupakan bunga keratan yang paling banyak dieksport diikuti orkid, mawar, teluki, lili dan lain-lain. Kawasan utama pengeluaran bunga di Malaysia tanah tinggi adalah di Cameroon Highland sementara bagi bunga Orkid di Sekitar Johor Bahru dan Lembah Kelang. Penanaman bunga di Cameroon Highland menghasilkan pelbagai jenis bunga temperate yang subur dan berkualiti untuk pasaran domestik dan eksport. Kini ada bunga lavender, kekwa, liliaceae, anthurium dan beberapa lagi ditanam secara intensif. Artikel malam Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai industri bunga dan beberapa perkara mengenai industri ini.


Jumlah keluasan tanaman bunga di Malaysia pada 2015 adalah 2,610 hektar yang melibatkan pengeluaran sebanyak 510,290,217 keratan per pasu. Kawasan yang menjadi tumpuan pengeluaran bunga adalah seperti Cameron Highlands, Pahang (bunga iklim sederhana), Selangor, Perak dan Johor bagi bunga orkid dan tanaman hiasan. Setakat ini, terdapat 107 pengeksport bunga dan 48 pengekport yang telah mendaftar dengan Skim Perakuan Pensijilan Fitosanitasi Malaysia (MPCA) di negara ini. MPCA adalah satu skim yang membantu syarikat pengeksport dalam industri bunga bagi mempercepatkan proses dari permohonan dengan merujuk kepada Bahagian Biosekuriti Tumbuhan, Jabatan Pertanian. Walaupun industri bunga menunjukkan peningkatan yang ketara, ia masih lagi berdepan dengan jaringan pemasaran yang kurang mantap dan galakan pasaran sama ada promosi dalam serta luar negara. Bagi mengatasi permasalahan itu, kerajaan dan agensi yang berkaitan terus memberi komitmen serta sokongan yang tinggi dalam menyediakan insentif, infrastruktur asas dan khidmat nasihat kepakaran serta teknologi pengeluaran terkini.


PERANAN Jabatan Pertanian sebagai agensi yang membantu industri bunga mampu meningkatkan produktiviti komoditi itu. Kemudahan pembiayaan daripada institusi kewangan, penglibatan usahawan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mempunyai sokongan kewangan yang kukuh juga dilihat terus membantu memperkembangkan industri bunga ini. Pengukuhan dan juga kerjasama yang lebih erat antara agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dalam usaha untuk mempromosikan industri bunga mampu memberi impak yang besar. Peranan Jabatan Pertanian sebagai agensi yang membantu dalam proses pengeluaran dan pemindahan teknologi terkini manakala bagi pihak Matrade ia berperanan mempromosikan di peringkat antarabangsa. Hubungan kerjasama yang wujud akan memudahkan proses rantaian daripada pengeluaran hingga pemasaran. Penyediaan sistem pasaran tempatan dan eksport yang mantap akan meningkatkan lagi permintaan terhadap industri bunga. Kini dalam Festival bunga dan pameran seperti Floria Diraja Putrajaya, Pameran Orkid Asean Shah Alam, Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan 2016 (MAHA) dan pameran bunga yang lain adalah platform yang baik untuk memberi peluang kepada industri bunga terus berkembang. Melalui pameran-pameran seperti ini, ia diharap dapat mewujudkan hubungan kerjasama antara pengeluar, pengubah, usahawan, pengeksport dan pengimport bunga.


Daya kreativiti dan kualiti produk yang dipamerkan akan menarik peminat-peminat bunga-bungaan tempatan dan seluruh dunia, sekali gus membuka peluang kepada pembangunan yang berterusan kepada industri bunga. Justeru itu, Jabatan Pertanian berperanan memberi sokongan khidmat nasihat teknikal dan pemindahan teknologi terkini akan terus berusaha bagi memastikan industri bunga terus berkembang dan menjadi antara penyumbang terbesar dalam pengeksportan serta pembangunan ekonomi negara. Industri bunga mampu meningkatkan ekonomi negara jika dilaksanakan dengan baik dan teratur. Beberapa insentif dan jaringan pasaran yang telah tersedia ini mampu membantu dan pesatkan lagi industri florikultur. Beberapa jenis bunga yang mempunyai nilai pasaran baik perlu diperluaskan dengan sistem jaringan pasaran yang lebuh luas. Jika Malaysia mampu mengeksport bunga dengan nilai yang lebih banyak maka ini akan mampu mengurangkan kadar kerugian pertukaran wang asing akibat pembelian makanan dalam negara. Pada tahun 2015 kadar bill import makanan negara mencecah RM18 billion dan jumlah ini menjejaskan kestabilan ekonomi negara. semuga artikel ini mampu memberi info berguna kepada anda pembaca semua. Wasallam!...

INDUSTRI BUNGA... MASIH KETINGGALAN...
DITANAH TINGGI... KURANG KAWASAN...
SECARA KOMERSIL...MENGUNTUNGKAN...
MEMBACA ARTIKEL.... KURANG SOALAN...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Lavender Garden, Brinchang,
Cameroon Highland,
Pahang, Malaysia.
(20 Ramadan 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...