KLIK SAYA SOKONG BLOG

Thursday, July 7, 2016

BUNGA CENGKIH - SATU ANALISIS

BUNGA CENGKIH (Eugenia aromaticum synonim Syzygium aromaticum) dari keluarga Myrtaceae adalah sejenis tumbuhan kumpulan herba atau rempahratus yang terkenal semanjak zaman dulu kala sehinggakan orang-orang Eropah datang menjejaki kawasan Asia Tenggara bagi tujuan untuk mendapatkannya. Bunga Cengkih di percayai berasal atau natif dari Mollucas, Indonesia dan kini masih terus ditanam secara komersil di Brazil, West Indies, Zanzibar, Tanzania, Madagascar, India dan Sri Lanka. Cengkih juga di panggil sebagai Cloves (Inggeris), Grampoo; lavangam ; Lavang ; Lavangalu ; Krabu (India), dinh hurong (Vietnam), ding heung (China), ley-nyin-bwing (Myanmar), Gahn plu (Thailand), Clou de girofle (Perancis), Gewuzenelke (German) dan Chiodo di garofano (Itali). Pokok Cengkih memerlukan hujan yang banyak melebihi 3,500 mm setahun dan persekitaran yang lembab dimana selalu juga perlukan ada musim kering untuk aktiviti penuaian hasil. Penanaman cengkih di Malaysia pernah direkodkan pada zaman kolonial dahulu tetapi ia kini ditanam dengan skala tidak komersil dan tiada maklumat rasmi keluasan tanaman cengkih di Malaysia. Dulu Jabatan Pertanian pernah menjalankan beberapa projek penanaman cengkih pada awal tahun 1960-1980'an terutama dikawasan pulau-pulau tropika di sekitar Semenanjung dan beberapa kawasan pendlaman. Penulis yang pernah menjejakki Pulau Aur, Pulau Tinggi dan Pulau Tioman mendapati cengkih pernah ditanam disini sebagai komoditi rempah yang signifikan. Bagaimana pun projek penanaman cengkih ini didapati kurang berjaya disebabkan petani tidak berminat dengan tanaman ini yang memberikan pendapatan sedikit serta proses yang agak rumit. Mereka yang berada dipulau lebih berminat mengusahakan chalat dan beberapa aktiviti pelancongan. Pokok cengkih kini ada ditanam dalam plot beberapa stesyen pertanian dan juga dijadikan tanaman ri keornamental. Artikel subuh pada Raya Aidilfitr 1437H hari ke 2 ini saya berkongsi maklumat dalam blog "Anim Agro Technology" mengenai tanaman bunga cengkih berdasarkan buku teks agronomi, laporan kajian, laporan teknikal dan rujukan persendirian penulis.


Terdapat sebanyak 3,000 spesis pokok bunga cengkih dalam keluarganya dimana kebanyakkannya terdapat dikawasan tropika dan sub-tropika. Pokok cengkih sesuai untuk hidup rendang dengan banyak cabang dan mampu mencapai ketinggain sehingga 18-20 meter (pada pokok liar) tetapi untuk sistem penanaman perladangan cuma 7-12 meter tinggi sahaja dan perlu selalu dibuat pangkasan. Kulit batang pokokk cengkih berwarna kelabu (grey) bercabang yang agak rendah. Daun berbentuk 'lanceolate' yang selalu berwarna hijau gelap berkilat dan mempunyai bau yang wangi. Kuntum bunga cengkih lazimnya berwarna hijau ketika muda dan akan bertukar kepada warna kemerahan apabila mekar (Sila lihat foto disebelah). Bunga cengkih pula jenis berkumpulan (group) dengan 4 kelopak yang akan menghasilkan buah berwarna ungu berukuran 2.5 cm panjang. Kaedah sistem penanaman cengkih boleh juga dibiakkan dengan pemilihan biji benih cengkih yang bersaiz agak besar dari buah segar yang telah cukup matang. Kadar kehilangan kesuburan (vigorous) biji benih sangat cepat jika dibiarkan buah terlalu masak. Biji tersebut boleh disemai terus ditapak semaian berteduh selama 12 - 18 bulan sebelum diubah kekebun. Jalankan proses pengerasan (Hardening process) pada semaian anakbenih sebelum ia sesuai untuk ditanam. Sediakan lubang penanaman dan masukkan baja asas seperti MOP, Baja Organik dan bahan lainnya. Jarak tanaman pokok cengkih yang disyorkan adalah pada jarak 4-5m x 3-4m bergantung kepada jenis kesesuaian tanah dan terrain. Anak pokok yang baru ditanam perlukan lindungan atau naungan dari kerosakan akibat angin atau kekeringan. Kawalan rumpai dijalankan dengan cara manual atau pun kawalan kimia. Penulis yang melawat beberapa kebun cengkin mendapati cara membaja untuk pokok cengkih menggunakan baja organik dan NPK dengan kadar disyorkan.


Pokok Cengkih dilaporkan memang tidak mempunyai sebarang masaalah serangan serius oleh perosak dan penyakit. Pada keadaan biasa, pokok cengkih akan mula berbunga 6-8 tahun selepas ditanam dikebun. Bunga cengkih akan keluar dari bahagian hujung pucuk dahan. Laporan pemerhatian menunjukkan bahawa pokok cengkih mempunyai jangkahayat sehingga 60 tahun atau lebih jika dijaga dengan baik jika tidak diserang penyakit. Penuaian bunga cengkih dijalankan dengan memetik buah-buah cengkih yang telah matang menggunakan tangan secara manual. Bunga cengkih yang telah matang lazimnya akan berwarna gelap dan ianya perlu dipetik sebelum bunga terbuka dan ia kemudian perlu dikumpulkan dalam bekas sebelum dibawa pulang untuk diproses. Kerja memetik ini memakan masa lama sama seperti menuai pokok Lada Hitam (Piper nigrum). Bunga cengkih tersebut akan di jemur dibawah sinaran matahari diatas tikar plastik atau tikar buluh yang sesuai untuk selama 2-4 minggu sehingga kering. Saya dapati bunga cengkih akan berwarna coklat kehitaman (Lihat foto disebelah)Cengkih digunakan sebagai rempah untuk masakan terutama masakan popular di Malaysia dan di India seperti Makanan Nasi Beriyani atau masakan 'masalla' atau masakan lain. Dikalangan negara Barat seperti di Eropah, cengkih diproses untuk dibuat cheese, speculaas ; achee (makanan Belanda), masakan daging dan pelbagai lagi kegunaan dalam permakanan mereka. Bunga Cengkih juga merupakan komponen penting dalam membuat ramuan serbuk kari yang dijadikan komersil. Rakyat Malaysia adalah pengguna tegar makanan berasaskan kari.


Cengkih juga merupakan satu komponen utama untuk membuat Jeruk (pickles). Dinegara jiran Indonesia memang terkenal dengan produk Rokok Kretek. Penulis yang pernah melawat pabrik (kilang) jenama rokok kretek 'Sempoerna' mendapati ia adalah jenis rokok kretek yang menggunakan cengkih. Bahan cengkih telah diguna sebagai komponen utama dicampur dengan daun tembakau yang kini telah menjadi satu produk kebanggaan dari Negara Indoesia. Ketika saya melawat kilang rokok jenama 'SAMPOERNA' di Surabaya pada tahun 2009 dan saya kagum kerana mendapati kilang tersebut mampu memproses berjuta-juta batang rokok kretek secara manual (manusia yang membuat rokok tanpa mesin). Daun tembakau yang telah di adun dengan ramuan pelbagai bahan termasuk bunga cengkih digulung dengan kertas putih oleh pekerja wanita dengan cekap. Penggunaan cengkih yang di hisap juga dapat mengurangkan ketagihan alkohol. Dari segi perubatan didapati cengkih dapat mengubati cirit-birit, kurap (ringworm), hernia, pelbagai sakit kulit dan dapat memperbaiki sistem penghadaman dalam perut. Kajian oleh beberapa pakar Ayuverda India pula mendapati bunga cengkih mampu mengubati masaalah sistem pernafasan dan sistem penghadaman. Di Jerman para doktor menggunakan cengkih sebagai salah satu ramuan untuk anti-gout. Sejak dulu kita diberitahu oleh orang tua kampong untuk gunakan cengkih bagi mengurangkan sakit gigi... anda boleh cuba keberkesanannannya!. Sebenarnya cengkih digunakan untuk bahan pembersih mulut dalam bentuk larutan. Kajian lanjut telah dibuat dengan cengkih bagi rawatan kanser dan juga bahan sebagai antioksidan. Cengkih juga membasmi kuman terutama dalam usus manusia, melegakan urat-urat yang tegang dan banyak lagi kegunaanya.


Kajian lanjut mungkin boleh djalankan di negara Asia Tenggara termasuk Malaysia dan negara lain mengenai potensi tanaman cengkih. Beberapa isu seperti kekurangan varieti cengkih yang sesuai, kaedah untuk atasi masaalah penuaian manual perlukan tenaga buruh ramai, penentuan kawasan yang sesuai serta keujudan teknologi tersedia mungkin boleh juga dikenalpasti. Bagaimanapun satu bidang yang sesuai dijalankan di Malaysia mengnenai cengkih adalah menjadikan cengkih sebagai satu potensi baru dalam industri asas tani untuk dijadikan bahan seperti produk makanan, kosmetik, produk perubatan dan sebagainya. Kalau susah hendak keluarkan sendiri bahan mentah cengkih aktiviti penanaman boleh dilakukan oleh bakal pengusaha dan boleh buat aktiviti hiliran mengenai cengkih. Malaysia mengimport bunga cengkih daripada beberapa negara seperti Indonesia, Sri Lanka, India dan Vietnam. Kebanyakan pengimportan ini dalam bentuk bunga cengkih yang telah dikeringkan dan ia tahan lama dalam simpanan. Pengeluaran tempatan tidak signifikan dalam pembekalan bunga cengkih tempatan selagi tiada mereka yang berminat menanamnya. Banyak usaha yang boleh dilakukan keatas komoditi ini dimasa akan datang. Wasallam!.



TANAM CENGKIH....HASILNYA LAMBAT....
IMPORT CENGKIH....MERATA TEMPAT...
GUNAKAN CENGKIH ... SEBAGAI UBAT...
HERBA TROPIKA ... RASANYA HEBAT....

Related articles:
1. Buah Pala (Klik disini)
2. Jintan (Klik disini)
3. Ketumbar (Klik disini)
4. Asam Gelugor (Klik disini)
5. Buah Keras (Klik disini)
6. Buah Pelaga (Klik disini)
7. Lada Hitam (Klik disini)
8. Cili Padi (Klik disini)

By,
M Anem
Senior Agronomist
Precint 11, Putrajaya
Wilayah Persekutuan, 
Malaysia
(Ditulis pada 23  Rejab 1436H)
Posted on 2 Syawal 1437H
'SELAMAT HARI RAYA'

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...