Support My Blog

Monday, July 11, 2016

DURIAN BELANDA - BUAH UNIK

DURIAN BELANDA (Annona muricata) merupakan sejenis buah yang unik dan kini menjadi tumpuan petania dan penanam buah-buahan untuk dikomersilkan. Buah ini juga dipanggil sebagai Sirsak di Indonesia dan Soursop dalam bahasa Inggeris. Buah unik berbentuk jantung ini didakwa sangat berkhasiat kerana mempunyai unsur khusus yang boleh mengelakkan masaalah sel barah atau sel kanser. Selain daripada buahnya yang dimakan segar, dibuat jus dan sebagainya kini bahagian daun durian belanda telah diproses untuk dijadikan tek yang dikategorikan sebagai teh untuk kesihatan. Harga buah durian belanda diladang kini menjadi mahal diantara RM8.00 - RM10.00 sekilogram bagi Gred A dan sekitar RM6.00 - RM8.00 sekilogram bagi Gred B dan selepas itu sekitar RM5.00 untul lain-lain gred. Di pasaran runcit pula durian buah belanda segar kini dijual dengan harga diantara RM14.00 - RM19.00 sekilogram. Siapa sangka buah durian belanda yang dahulu hanya ditanam dikeliling rumah atau tumbuh sendiri kini telah dikomersilkan kerana mempunyai pasaran yang baik. Bagaimana pun bukan mudah untuk membolehkan pokok durian belanda ini berbuah kerana masaalah utama bagi tanaman ini adalah proses pendebungaan (fertilization process). Kalau setakat tanam sepokok sahaja dirumah memang agak sukar untuk dapat buah yang banyak. Ini kerana proses kematangan debunga jantan dan penerimaan stigma betina selalunya tidak sama selain daripada kudup bunga durian belanda yang tertutup rapat. Oleh itu proses pendebungaan berbantu (artificial pollination) tanaman durian belanda boleh dilakukan atau ditanam dengan kaedah komersil (banyak pokok dalam satu lokaliti). Kumbang Tukang (Xylocopa spp) yang sering menebuk kayu dipercayai mampu membuka kudup bunga durian belanda seterusnya membolehkan proses untuk pendebungaan dapat dilakukan. Artikel ke 4,007 pada subuh Isnin sempena cuti Hari Raya ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai testimoni usahawan durian belanda yang dilaporkan oleh akhbar tempatan sekadar dijadikan satu bahan rujukkan. 

Dalam membuat tinjauan teknologi penanaman durian belanda kali ini penulis perlu meredah jalankebun selama 20 minit dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda menuju ke ladang durian belanda. Kehadiran kami disambut kabus tebal tatkala jarum jam masih menunjukkan pukul 7 pagi. Dari jauh kelihatan beberapa biji durian belanda yang belum ranum dan berwarna hijau tergantung di deretan pepohon renek dengan ketinggian kira-kira empat meter. Ketika kabus semakin menghilang kemudian kelihatan satu susuk tubuh sedang bertinggung berdekatan pokok sambil di tangan kanannya tersemat sebilah gunting. Dari satu pohon ke pohon lain, dia melakukan gerakan fizikal yang sama. Pertama memegang daun, kemudian meneliti debunga dan terakhir memegang hujung durian belanda. Hanya sesekali dia menggelengkan kepala kemudian memotong sebahagian daripada pucuk yang terdapat pada pokok itu. “Pucuk ini sudah rosak dan perlu digunting. Jika tidak, ia dikhuatiri berjangkit pada buah. Selain itu, pucuk perlu dibuang untuk memastikan ketinggian pokok kira-kira empat meter sahaja. “Ketinggian pokok perlu rendah dan mudah untuk dicapai supaya buah tidak rosak ketika jatuh ke tanah selain memudahkan proses memetik,” jelas lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Dami itu.

Dalam perbualan dengan beliau ada dia menceritakan mengenai isu 'Kahwin pokok'. Kini pada usia 27 tahun usahawan bernama Dami merupakan petani yang bertanggung jawab menjaga kualiti tanaman keluaran Kiashing Pengimport dan Pengeksport Sdn. Bhd. (Kiashing) yang terletak di Parit Sulong, Batu Pahat, Johor. Rutin hariannya bermula seawal pukul 6 pagi sehingga 10 pagi dimana dia kemudian menyambung rutinnya pada 1 petang hingga 7 malam. Selalunya pada sebelah pagi, Dami dipertanggungjawab memeriksa keadaan pokok dan mengenal pasti buah yang berpotensi untuk dipetik pada sebelah petang. Durian belanda amat sensitif terhadap sentuhan dan mudah rosak sekiranya individu yang tidak mempunyai pengetahuan memetik buah tersebut. Memegang buah durian belanda pun perlu ada caranya. Antara teknik memegang buah ini adlah elakkan dan jangan sesekali memicit dengan kuat pada sekeliling buah sebaliknya tekan dengan lembut pada penghujung buah. Sekiranya sudah ranum permukaan itu sedikit empuk. Pada sebelah pagi juga dilarang untuk memetik buah kerana buah belum ranum sepenuhnya. Tempoh yang baik memetik buah dari pukul 1 petang hingga 7 malam,” jelasnya. Penulis berpeluang melihat sendiri durian belanda di ladang tersebut yang ternyata buah yang dihasilkan Syarikat Kiashing berbeza dengan durian belanda sedia ada di pasaran. Durian belanda keluaran Kiashing menyerupai bentuk jantung manakala bentuk lazim yang berada di pasaran adalah berbentuk ginjal.

Durian belanda jika tidak dibantu proses pendebungaan dan pembajaan yang cukup hanya menghasilkan buah yang bentuknya tidak seragam. Buah yang berbentuk jantung ini lazimnya mencapai Gred A dengan harga jualan lebih baik dipasaran. Dari tinjauan didapati berat buah durian belanda dikebun ini pernah mencecah 9 kilogram sebiji dan mendapat permintaan tinggi di pasaran Singapura. Buah dengan bentuk jantung mendapat permintaan tinggi di pasaran walaupun harganya mampu mencecah sehingga RM22 sekilogram (kg). Sungguhpun begitu dinyatakan iaitu harga buah ini juga bergantung kepada keadaan semasa dan kos seperti pengedaran dan penghantaran. Buah berbentuk jantung menunjukkan pokok dijaga dengan baik sama ada daripada sudut pembajaan, pengairan dan pendebungaan. Bagi tujuan tersebut pendebungaan berbantu perlu menggunakan debunga subur. Aspek pendebungaan pokok ini merupakan cabaran buat penggiat tanaman durian belanda. Menurut Alvin Lo yang juga Pengarah Kiashing merupakan antara pelopor konsep pendebungaan berbantu yang diciptanya sendiri (Sila lihat foto disebelah)Sejak dua tahun bergiat aktif dalam pasaran komersial durian belanda, dia menguasai pasaran di sekitar Batu Pahat dan Johor Bahru. Jelasnya, pendebungaan berbantu sering digelar sebagai kahwin pokok. Hasil pendebungaan tersebut menghasilkan durian belanda yang berkualiti, kepadatan jus yang tinggi dan biji secara purata 30 hingga 80 biji yang turut dijadikan benih.

Secara umumnya pokok dan daun durian belanda tidak digemari serangga. Oleh itu selalunya ia tidak mempunyai pengantara (pollination agent) yang menjalankan pendebungaan secara normal. Sebaiknya teknik lain digunakan untuk mengatasi masaalah ini. Kini perlu dijalankan membantu pokok durian belanda ini melakukan pendebungaan untuk hasil tuaian yang memberangsangkan. Syarikatnya kini sedang berusaha melaksanakan projek penanaman durian belanda di Pahang untuk pasaran Pantai Timur. Pokok durian belanda amat sensitif terhadap sentuhan dan perlu dikendalikan dengan baik. Selalunya proses pendebungaan berbantu dilakukan pada waktu pagi memandangkan tempoh itu bunga sedang kembang dan debunga berada pada tahap subur. Serbuk debunga terbabit diambil menggunakan berus lukisan kemudian disapu pada stigma. Sekiranya pendebungaan berjaya, dalam tempoh sebulan, putik buah akan mula terhasil. Sebaliknya, jika gagal tangkai bunga akan gugur dalam tempoh dua hingga tiga minggu. Bercerita lebih lanjut mengenai penguasaan pasaran durian belanda di Johor, kata Alvin, dalam tempoh sebulan syarikatnya mampu mengutip hasil dari 500kg hingga 5 tan. Pencapaian yang paling memberangsangkan ialah kemampuannya mengeksport produk berkenaan ke Singapura setiap hari.

Sebagai galakkan usahawan lain, syarikat ini sedia membekalkan benih dan teknologi penanaman serta ruang pasaran jika ada yang berminat. Dari segi asasnya kejayaan Alvin itu didorong oleh penghasilan durian belanda yang banyak berbentuk jantung di ladang yang mempunyai kira-kira 3,000 batang pokok durian belanda. Beliau pernah mencatatkan pencapaian peribadi apabila pernah dan dapat menghasilkan durian belanda bentuk jantung seberat 9kg. Bagi Alvin dia bertekad untuk menembusi pasaran durian belanda kerana hasilnya boleh dipelbagaikan. Durian belanda sesuai untuk dijadikan sebagai produk sampingan. seperti kordial dan jus. Itu sasaran saya pada masa hadapan. Dalam kes lain, Jabatan Pertanian Negeri Johor dalam kenyataannya memberitahu dimana kini Johor mempunyai tanaman durian belanda seluas 90.8 hektar. Daerah Segamat merupakan daerah terluas dalam pengeluaran tanaman durian belanda seluas 33 hektar. Kini ruang pasaran sama ada untuk eksport dan domestik antara faktor perniagaan durian belanda meningkat di Johor. Apabila melihat kepada kebaikan dan khasiat durian belanda dan potensinya dalam pasaran tempatan dan eksport, maka Jabatan Pertanian dalam usaha untuk menggalakkan petani atau usahawan untuk terlibat dalam pengeluaran buah tersebut. Sebenarnya selain untuk pasaran segar, kadar permintaan bagi tujuan proses industri hiliran juga tinggi seperti pembuatan kordial. Selaras dengan itu juga, pihak Jabatan Pertanian akan mempertingkatkan lagi khidmat pengembangan teknologi dan khidmat nasihat bagi tujuan membantu petani atau usahawan untuk mempertingkatkan pengeluaran mereka. Artikel ini diharap memberi info berguna kepada pembaca semua. Wasallam!!!.

BUAH HIJAU... ITU DURIAN BELANDA.. 
DITANAM KOMERSIL...DI MALAYSIA...
HARGA BAIK...KUALITI BUAH DIJAGA...
USAHAWAN DI JOHOR...BERJAYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Persimpangan Istana,
Bukit Beruang, Melaka,
Malaysia.
(3 Syawal 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...