KLIK SAYA SOKONG BLOG

Sunday, June 12, 2016

POKOK KETUM - APA BAHAYANYA? (Part 1)

POKOK KETUM (Mitragyna speciosa Korth., Havil ) adalah merupakan sejenis tumbuhan yang tumbuh liar dikawasan hutan tropika dan kini dikategorikan sebagai tumbuhan yang terkawal dibawah Akta Dadah Merbahaya 1952. Nama lain tumbuhan ini adalah seperti Kratom, Kakuam, Ithang, Biak atau Thom dimana ia adalah daripada famili Rubiaceae. Daripada segi taburan tumbuhan Ketum ini didapati banyak tumbuh liar di Utara Semenanjung Malaysia iaitu di kawasan hutan, belukar, sawah padi dan juga di persekitaran kawasan kampung. Pokok ketum lazimnya hidup subur di kawasan bertanah lembap dan tanah tidak mudah tenggelam terutama pada musim hujan. Pokok ketum merupakan pokok saka yang mana ia lazimnya memang boleh mencapai ketinggian melebihi 50 kaki. Ia boleh dibiakan melalui biji benih atau juga keratan batang yang boleh dijadikan benih untuk ditanam dengan banyak. Daun ketum dari segi sejarah memang telah lama digunakan secara tradisional untuk tujuan mengeluarkan angin dalam badan dan meningkatkan lagi tenaga untuk melakukan kerja-kerja berat serta oleh wanita lepas bersalin. Batang tumbuhan ini tumbuh menegak dengan banyak cabang dan daun. Daun Ketum berwarna hijau gelap dan tebal dengan susunan bersilang berukuran 4-10 cm lebar dan 10-18 cm panjang. Bentuk daun adalah jenis 'Ovate-accuminate'. Daunnya akan gugur sedikit semasa musim panas tetapi ia akan menjadi sangat lebat semula dalam musim hujan. Bahagian daun inilah yang mengandungi bahan aktif MITRAGININE iaitu sejenis bahan alkoloids yang memabukkan dan ia boleh menyebabkan KETAGIHAN (addicted). Akar pokok ketum adalah terdiri dari akar tunjang dengan kuat masuk jauh kedalam tanah. Bunga ketum adalah berwarna kuning dengan berjambak dimana ia mengandungi lingkungan 120 kelopak setiap satu tangkai (Sila lihat foto dibawah sekali). Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai laporan akhbar tempatan mengenai bahaya pengambilan daun tumbuhan Ketum iaitu sejenis tanaman terkawal untuk dijadikan bahan rujukkan teknikal kepada semua.

Tajuk artikel tersebut seperti diakhbar 'Penyeludupan daun ketum sukar dibanteras' dengan caption menarik iaitu 'Permintaan tinggi, tiada akta halang pokok itu ditanam'. Berita yang dipetik dari Padang Besar, Perlis pada 8 Mac 2016 menyatakan pihak polis kini menyifatkan masalah penyeludupan daun ketum di ne­geri ini sukar dibanteras ekoran permintaan yang tinggi di negara jiran dan ketiadaan akta baharu untuk menghalang pokok itu ditanam. Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Shafie Ismail juga berkata, sehingga kini, isu penyeludupan daun ketum masih terus berlaku terutama di kawasan sempadan dalam operasi memusnahkan pokok ketum. Katanya, malah pihaknya kini telah mengetahui terdapat kebun-kebun pokok ketum yang ditanam penduduk di negeri ini antaranya di Simpang Empat. Pokok-pokok ini ditanam oleh penduduk termasuklah yang ada di belakang-belakang rumah secara kecil-kecilan kerana memberi keuntu­ngan lumayan. Kita mempunyai profail dan latar belakang kumpulan ini (penanam) tetapi tidak boleh berbuat apa-apa sehingga satu akta baharu diwujudkan. Pada masa ini, menanam pokok ketum bukan lagi satu kesalahan kerana tidak dikategorikan memiliki,” katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Pelupusan Barang Kes Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri di sini hari ini (Sila lihat foto disebelah). Penanam ketum mengaut keuntungan apabila ada individu yang membeli dan menjualnya kenegara jiran melalui jalan tertentu.


Dalam majlis itu, sebanyak 2.9 tan (atau 2,900 kg daun - banyak tu..) daun ketum bernilai kira-kira RM108,000 telah dapat dimusnahkan dengan cara ditanam setelah selesai menjalani proses perundangan bermula dari 2009 sehingga 2015. Dalam tempoh tersebut juga, seba­nyak 297 kertas siasatan berkaitan narkotik dibuka dengan 118 daripadanya me­libatkan daun ketum dan air ketum yang disiasat di bawah Akta Racun 1952. Menurut ACP Shafie lagi, sebahagian besar kes rampasan daun ketum di negeri ini tidak melibatkan tangkapan kerana kebanyakan suspek berjaya melarikan diri (Sila lihat hasil tangkapan pada foto disebelah). Antara cara penyeludupan daun ketum adalah menerusi pagar sempadan di daerah ini katanya yang juga memberitahu, harga daun ketum di Thailand adalah RM80 sekilogram. Tambah beliau, setakat ini, penyeludupan daun ketum hanya melibatkan orang persendirian dan keluarga serta tidak membabitkan mana-mana sindiket. Pokok Ketum juga dikenali sebagai Pokok Biak (bahasa Inggeris: Kratom), ialah sejenis tumbuhan daripada famili Rubiaceae yang juga banyak terdapat di Afrika, di utara dan tengah Semenanjung Malaysia serta di Selatan Thailand. Di Thailand, pokok ini dipanggil Kakuam, Ithang atau Thom, di Amerika Syarikat pula sebagai Kratom. Nama botaninya Mitragyna speciosa korth. Daun Ketum telah lama menjadi bahan perubatan tradisional sebagai minuman pemulih tenaga bagi wanita yang baru lepas bersalin. Daun ini direbus dan airnya diminum sebagai pemulih tenaga, juga bagi rawatan mengeluarkan angin dalam badan dan bagi merawat sakit belakang. Bagaimanapun air rebusan daun Ketum telah disalahgunakan dan mula dijual secara meluas kepada pengguna biasa.

Pokok Ketum menjadi terkenal pada awal tahun 2003 kerana ia dikatakan berupaya menjadikan seseorang itu ketagihan kerana ia mengandungi mitraginin. Mitraginin telah disenaraikan dalam Third Schedule of Poisons (Psychotrapic Substance) Regulation 1989, Poison Ordinance 1952. Dengan itu pokok Ketum telah diisytiharkan sebagai bahan larangan mulai Januari 2003. Kandungan Bahan Aktif dalam daun ketum adalah didapati mengandungi banyak alkaloid psikoaktif, lebih daripada 25, tetapi Mitragynine merupakan alkaloid yang utama. Bahan Mitragynine memberi kesan-kesan stimulan, sedatif dan euforik, oleh itu ia berfungsi sebagai drug narkotik seperti candu jika diambil (Sila lhat foto disebalah). Bahan Alkaloid Mitragynine diasingkan (isolated) pada tahun 1907 dan struktur kimianya ditentukan pada tahun 1964. Strukturnya ini berkait dengan alkaloid yohimbin dan voakangin (voacangine). Akhbar tersebut juga telah melaporkan terdapat perkaitan jauh dengan ‘tryptamine-based psychedelic drugs’ seperti yohimbin, psilosibin dan LSD. Pada masa ini terdapat pelbagai cara mengambil ketum seperti dengan mengambil daun segar dikunyah bersama sirih atau ambil daun kering dihisap bersama tembakau atau candu. Cara lain adalah dengan merebus dan minum air rebusan ketum sebagai sirap atau seperti minum teh. Ada yang mengambil daun segar atau kering kemudian ditumbuk halus dan dimakan diikuti dengan minum air suam. Serbuk juga diletakkan pada lidah untuk dapatkan rasa kesan gian. Akhirnya dikalangan mereka ada yang membuat ekstrak resin mentah dibentukkan kepada gentel kecil yang ditelan atau dicairkan dalam air panas. Artikel ini bersambung pada Part 2. Wasallam!!..
POKOK KETUM...HIJAU DAUNNYA...
KESAN DADAH... JIKA AMBILNYA...
KINI DIKAWAL.. CAR PENANAMNYA...
AKTA RACUN 1952... ITU HUKUMANNYA..

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pusat Pemuliharaan dan Penetasan Penyu,
Cherating, Kuantan,
Pahang, Malaysia.
(4 Ramadan 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...