KLIK SAYA SOKONG BLOG

Thursday, June 23, 2016

PENYAKIT GETAH - CARA KAWALAN (Part 5)

POKOK GETAH (Hevea brasiliensis) ialah pokok dalam famili Euphorbiaceae dan ahli terpenting dalam genus Hevea. Pokok ini penting dari segi ekonomi kerana hasil seperti lateks boleh dikumpulkan dan merupakan sumber utama getah asli. Getah merupakan sejenis tanaman yang boleh hidup dikawasan tropika dan memerlukan hujan sebanyak 180 cm - 250 cm setahun. Ia juga memerlukan suhu diantara 25 - 30 darjah Celcius. Kesesuaian ketinggian tanah dari paras muka laut yang boleh ditanam dengan getah ialah 500 meter. Semakin tinggi getah ditanam maka akan semakin berkurangan perolehan hasil dan kecergasan pertumbuhannya. Keperluan tanah yang sesuai untuk tanam getah ialah jenis loam yang mempunyai saliran yang baik, tidak asidik, tidak banjir da tanah subur. Pokok getah ialah jenis pokok saka dan ketinggiannya boleh mencapai 18 meter. Umur pokok getah yang ekonomik ialah diantara 20 hingga 30 tahun. Pokok getah menghasilkan lateks (getah asli) yang penting dalam industri tayar dan lain-lain industri berasaskan getah. Selain daripada itu, kayunya adalah terdiri daripada jenis separuh keras dan boleh dijadikan perabut. Dalam pada itu lazimnya pokok getah mampu mengeluarkan lateks putih atau kuning terhasil dalam salur lateks pada kulit pokok, terutamanya pada floem luar. Saluran ini berpilin naik pada batang pokok menurut pusingan ke kanan yang selalu membentuk 30 darjah pada ufuk. Pokok getah mencapai usia 5-6 tahun boleh diitoreh dengan goresan dibuat secara ortogon pada salur lateks. Dengan kedalaman yang hanya mencukupi untuk mengambil lateks tanpa menjejaskan pertumbuhan pokok. Sap itu dikumpulkan di dalam baldi yang kecil. Pokok-pokok yang lebih tua menghasilkan lebih banyak lateks. Pokok getah pada mulanya hanya tumbuh di Amazon kini menjadi tanaman penting di Malaysia dimana peningkatan permintaan semenjak tahun1839 dan telah pun mendorong perkembangan ekonomi. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai beberapa cara kawalan dan rawatan beberapa penyakit yang mungkin menyerang tanaman getah untuk dijadikan bahan rujukkan dan bacaan anda.

Mengawal Penyakit 
Tanaman getah yang diserang oleh penyakit perlu dibuat kawalan pada semua peringkat pertumbuhan agar serangan penyakit tersebut tidak mengurangkan hasil lateks dan tidak membunuh pokok getah jika dibiarkan sahaja. Kini terdapat banyak kaedah kawalan daripada amalan agronomi sehingga kepada kawalan kimia. Umumnya mempraktikkan amalan agronomi yang boleh mengurangkan serangan penyakit adalah seperti  dengan menanam klon pokok getah yang rintang atau tahan kepada jangkitan penyakit terutama di kawasan berpenyakit berdasarkan syor penanaman enviromaks. Bagi tujuan mengelakkan serangan penyakit luruhan daun sekunder yang disebabkan oleh Oidium dan juga Colletotrichum dengan cara meluruhkan daun tua sebelum musim luruh dengan bahan kimia. Penyakit-penyakit sperti ini selalunya hanya akan menjangkiti hanya daun-daun getah muda. Daun-daun getah tua digugurkan pada masa tertentu supaya daun-daun muda muncul pada musim kering dan ketika musim kering jangkitan penyakit-penyakit ini sangat rendah. Dalam pada itu pekebun perlu menjauhi penyakit luruhan daun Oidium dengan meningkatkan pembajaan nitrogen pada masa perdaunan semula selepas musim luruhan daun. Peningkatan baja nitrogen akan membantu mempercepatkan perdaunan dan seterusnya meningkatkan kepadatan kanopi pokok.

Merawat Dengan Racun Kimia 
Penggunaan racun kimia dikebun getah merupakan satu kaedah pilihan ramai pekebun dan estet. Ini kerana ia cepat berkesan, ekonomik, murah dan mudah dilakukan. Ini sama ada menggunakan bahan kimia untuk mengawal rumpai sehingga bahan kimia untuk mengawal penyakit. Jenis racun kimia dan cara penggunaanya berbeza mengikut jenis serangan dan umur pokok. 


Merawat Penyakit Luruhan Daun Oidium 
Antara kaedah untuk merawat penyakit ini adalahj dengan beberapa cara seperti menggunakan pendebuan belerang pada kadar 9 kg/ha setiap lima atau tujuh hari dilakukan sehingga empat ke enam pusingan. Cara melakukan pendebuan belerang bermula apabila daun-daun muda mula muncul pada musim luruh. 

Merawat Penyakit Luruhan Daun Colletotrichum 
Bagi merawat masaalah ini disyorkan akan melakukan aktiviti penyemburan dengan Daconil atau Antracol (0.2%) setiap lima atau tujuh hari sehingga daun-daun menjadi hijau dapat mengawal penyakit luruhan daun. 

Merawat Penyakit Luruhan Daun Phytophthora 
Masaalah penyakit ini dirawat dengan menyembur racun kulat seperti kuprum oksiklorida yang dilarut dalam minyak (1.2 kg bahan aktif/ha) sebelum musim tengkujuh (monsun). 


Merawat Penyakit Calar Hitam
Penyakit ini boleh dirawat dengan menyembur atau menyapu dengan racun kulat yang mengandungi bahan aktif metalaksil seperti Ridomil 25WP pada kadar kepekatan 0.8% dua kali seminggu sehingga pulih (Sila lihat foto disebelah)Racun kulat lain yang mengandungi campuran oksadiksil dan mankozeb seperti Sandofan M atau campuran oksadiksil dan propineb seperti Fruvit pada kepekatan 0.6% boleh juga digunakan untuk merawat penyakit ini. Lakukan rendaman pisau torehan ke dalam racun kulat untuk mengelakkan jangkitan dari pokok ke pokok melalui pisau torehan. 

Pengurusan Penyakit Akar 

Merawat Penyakit Akar 
Penyakit akar adalah agak rumit kaedah kawalannya kerana ia berada didalam tanah. Antara kaedah memulau dengan parit pemisah dimana pekebun perlu mengenali pokok yang sakit dengan menjalankan pemeriksaan daun setiap tiga bulan sekali. Kemuidan mengenali jenis penyakit akar dengan mengorek sedikit tanah di perdu pokok dan melihat kewujudan miselium kulat. Pastikan pekebun memeriksa semua akar di sekeliling pokok yang berpenyakit hingga pokok yang sihat dijumpai. Kemudian dilakukan pemisahan akar pokok yang berpenyakit dengan akar pokok yang sihat dengan menggali parit yang dalamnya 0.6 meter (2 kaki) dan luasnya 0.3 meter (1 kaki). Lakukan aktiviti cantasan atau potong mana-mana akar yang menyeberangi parit digali. Kemudian ia perlu dikambus balik parit tersebut ke dua pertiga bahagian sahaja. Sebaiknya parit tersebut digali balik setiap tahun dan mana-mana akar menyeberangi parit tersebut dicantas.
Sila baca bersama artikel berkaitan penykit getah dalam Part 1, Part 2, Part 3 dan Part 4 sebelum ini. Wasallam!.

PENYAKIT GETAH... DIRAWAT SEGERA...
CARA LAMA... KINI AMALAN KULKTURA...
BAHAN KIMIMA..LEBIH MUDAH DIGUNA...
HASIL MENINGKAT... PENDAPATAN ADA..

By,
M Anem,
Senior Agronmist,
Kebun Getah FELCRA Tebing Tinggi,
Segamat, Johor,
Malaysia.
(11 Rejab 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...