KLIK SAYA SOKONG BLOG

Sunday, June 19, 2016

GETAH - PENYAKIT POKOK GETAH (Part 1)

POKOK GETAH (Hevea brasiliensis) ialah pokok dalam famili Euphorbiaceae dan ahli terpenting dalam genus Hevea. Pokok ini penting dari segi ekonomi kerana hasil seperti lateks boleh dikumpulkan dan merupakan sumber utama getah asli. Getah merupakan sejenis tanaman yang boleh hidup dikawasan tropika dan memerlukan hujan sebanyak 180 cm - 250 cm setahun. Ia juga memerlukan suhu diantara 25 - 30 darjah Celcius. Kesesuaian ketinggian tanah dari paras muka laut yang boleh ditanam dengan getah ialah 500 meter. Semakin tinggi getah ditanam maka akan semakin berkurangan perolehan hasil dan kecergasan pertumbuhannya. Keperluan tanah yang sesuai untuk tanam getah ialah jenis loam yang mempunyai saliran yang baik, tidak asidik, tidak banjir da tanah subur. Pokok getah ialah jenis pokok saka dan ketinggiannya boleh mencapai 18 meter. Umur pokok getah yang ekonomik ialah diantara 20 hingga 30 tahun. Pokok getah menghasilkan lateks (getah asli) yang penting dalam industri tayar dan lain-lain industri berasaskan getah. Selain daripada itu, kayunya adalah terdiri daripada jenis separuh keras dan boleh dijadikan perabut. Dalam pada itu lazimnya pokok getah mampu mengeluarkan lateks putih atau kuning terhasil dalam salur lateks pada kulit pokok, terutamanya pada floem luar. Saluran ini berpilin naik pada batang pokok menurut pusingan ke kanan yang selalu membentuk 30 darjah pada ufuk. Pokok getah mencapai usia 5-6 tahun boleh diitoreh dengan goresan dibuat secara ortogon pada salur lateks. Dengan kedalaman yang hanya mencukupi untuk mengambil lateks tanpa menjejaskan pertumbuhan pokok. Sap itu dikumpulkan di dalam baldi yang kecil. Pokok-pokok yang lebih tua menghasilkan lebih banyak lateks. Pokok getah pada mulanya hanya tumbuh di Amazon kini menjadi tanaman penting di Malaysia dimana peningkatan permintaan semenjak tahun1839 dan telah pun mendorong perkembangan ekonomi. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai beberapa jenis penyakit (11 jenis) yang mungkin menyerang tanaman getah untuk dijadikan bahan rujukkan dan bacaan anda. 


Tanaman getah seperti tanaman lain diserang pelbagai jenis penyakit. Antara jenis penyakit tersebut adalah serious manakala yang lainnya kurang serius tetapi jika tidak dikawal akan merosakan tanaman getah juga. Secara umumnya apa yang penulis pelajari, terdapat 11 jenis penyakit yang boleh menyerang pokok getah tetapi di sini hanya 3 jenis penyakit sahaja yang biasa dijumpai iaitu Penyakit Akar, Penyakit Cendawan Lapuk dan juga Penyakit Batang. Bagi masalah Penyakit Akar ia merupakan penyakit berbahaya yang menyerang pokok getah dawasa. Penyakit akar disebabkan oleh kulat yang pada mulanya menyerang kulit akar, kemudian menembusi kayu dan akhirnya akar pokok getah nenjadi lapuk dan mati. Spora kulat akan diterbangkan oleh angin dan hinggap di mana-mana bahagian kayu pokokgetah yang terdedah akibat luka atau cedera. Selain itu, penyakit akar boleh disebabkan oleh pertemuan akar, iaitu akar sihat bertemu dengan akar yang berpenyakit. Terdapat enam jenis penyakit akar yang menyerang pokok getah, iaitu penyakit akar putih, penyakit akar merah dan penyakit akar perang yang boleh diklasifikasi kepada jenis yang besar. Nama - nama penyakit akar ini berdasarkan kepada warna kulitnya. Tiga jenis lagi penyakit akar ialah penyakit akar lapuk Ustulina, penyakit akar lapuk Poria dan penyakit akar lapuk Busuk. Secara ringkasnya Penyakit Akar adalah pertama Penyakit Akar Putih merupakan penyakit paling sering berlaku dan disebabkan oleh kulat Rigidoporus lignosus, ke 2 adalah Penyakit Akar Merah disebabkan oleh kulat Ganoderma philippi dan ke 3 Penyakit Akar Perang disebabkan oleh kulat Phellinus noxious. Antara tanda serangan penyakit akar seperti daun-daun pokok yang dijangkiti oleh penyakit akar akan bertukar warna menjadi kekuningan dan daun akan menjadi keras dan melengkung ke bawah. Pada permulaannya, tanda-tanda ini hanya melibatkan satu atau dua dahan sahaja tetapi akhirnya akan melibatkan seluruh pokok. Pokok-pokok yang dijangkiti penyakit akar mungkin juga berbunga dan berbuah di luar musim. Daun-daun akhirnya gugur dan pokok akan mati.


i. Penyakit Akar Putih
Nama kulat yang menyerang penyakit akar putih ialah jenis Rigidoporous Lignosus. Penyakit akar putih dianggap paling berbahaya kerana boleh merebak dengan cepat. Kulatnya berwarna putih seolah-olah seperti benag membalut akar (Sila anda lihat foto disebelah). Penulis dapati bentuk kulat Rigidoporos lignosus bulat dan gemuk pada bahagian pangkal dan pipih tajam pada bahagian hujung dan lama kelamaan warnanya berubah menjadi jingga pucat. Ibu kulat Rigidoporous Lignosus berwarna jingga pada bahagian atas dan pada bahagian bawah berwarna kemerah-merahan. Ibu kulat biasanya terdapat pada tunggul pokok yang mati dan selalu menyerang pokok getah muda.

ii. Penyakit akar merah
Kulat yang menyerang penyakit akar merah ialah jenis yang dikenali dengan nama Ganoderma pseudoferrum atau Ganoderma philippi. Kulat ini berwarna merah yang ada bertompok-tompok pada akar. Selalu penyakit ini menyerang dengan melekatkan tanah pada akar. Ibu kulat penyakit akar merah berwarna merah tua pada sebelah atas dan kelabu asap pada sebelah bawah. Kulat ini biasanya terdapat pada tunggul pokok yang sudah mati akibat serangan tersebut. 

iii. Penyakit Akar Perang
Kulat yang menyerang penyakit akar perang ialah Phellinus noxius. Keadaan kulat penyakit akar perang hampir sama dengan penyakit akar merah tetapi warna kulatnya perang. Keadaan akar yang diserang itu bergerutu apabila dibelah dua dan jalur-jalur hitam dapat dilihat pada permukaannya. Permukaan akar akan bergerutu disebabkan tanah berpasir yang melekat padanya (Sila lihat foto disebelah).  Ada tompok-tompok miselium berwarna keperangan terdapat pada permukaan akar. Corak-corak seperti sarang lebah terjadi pada permukaan akar setelah dikupas kulitnya. Jasad buahnya berwarna perang tua di bahagian atas dan kelabu di bahagian bawahnya. Ibu kulat ini juga terdapat pada tunggul pokok yang mati. Pada bahagian atas tunggul berwarna perang tua dan pada bahagian bawah selalu didapati berwarna kelabu. 


iv. Penyakit Akar Yang Lain 
Selain penyakit akar yang besar, terdapat tiga jenis penyakit akar yang kecil. Penyakit Akar Lapuk Ustulina disebabkan oleh kulat Ustulina deusta. Penyakit akar lapuk Ustulina ini boleh dirawat dengan mencantas mana-mana bahagian akar yang ditembusi kulat dan bekasnya disapu tar. Penyakit Akar Lapuk Poria pula menyerang pokok getah disebabkan oleh kulat jenis Poria hyperbrunnea. Cara merawat penyakit akar lapuk Poria sama dengan penyakit akar lapuk Ustulina. Bagi Penyakit Akar Lapuk Busuk pula disebabkan oleh sejenis kulat iaitu Sphaerostilbe repens. Penyakit ini boleh dirawat dengan mencabut dan membuang pokok yang dijangkiti bersama- sama dengan akar. Sistem saliran di ladang perlu juga dibaiki bagi mengawal penyakit-penyakit akar. Begitulah 6 jenis penyakit yang menyerang akar pokok getah untuk dirujuk dan diketahui oleh pembaca semua. Semuga tulisan ini dapat menyumbang info kepada semua dalam Part 1, Part 2, Part 3 dan Part 4. Wasallam!...
PENYAKIT GETAH... APA DIA...
ADA DI AKAR... BATANG JUGA....
DAUN DIATAS... PUN TERKENA...
BACA ARTIKEL... BARU LEGA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Jalan Istana,
Persimpangan Bukit Beruang,
Bandar Melaka,
Melaka, Malaysia.
(6 Rejab 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...