KLIK SAYA SOKONG BLOG

Sunday, June 26, 2016

BERJAGUNG-JAGUNG DULU SEMENTARA PADI MASAK

Peribahasa lama "Berjagung-jagung dahulu sementara menunggu padi masak" merupakan satu peribahasa berkaitan dengan sektor pertanian yang dicipta oleh bijak pandai Melayu dan digunakan sehingga kehari ini. Secara umumnya peribahasa ini memberi maksud sebagai (1) Membuat kerja sambilan sementara mendapat pekerjaan tetap atau (2) Sementara menunggu sesuatu yang lebih baik, yang kurang baik boleh digunakan dahulu. Dalam bahasa mudah diertikan dengan sementara menunggu apa-apa yang baik, lakukanlah kegiatan atau perkara-perkara yang memberi faedah. Dalam perbincangan mengenai peribahasa ini terdapat beberapa andaian seperti jika banyak pekerjaan yang boleh diisi semasa waktu senggang kita (waktu rehat atau waktu lapang). Ramai orang menganggap bahawa waktu senggang untuk diisi dengan istirahat, berlibur-libur, berehat, berlapang-lapang atau berlepak-lepak. Sebenarnya banyak pekerjaan yang boleh kita buat semasa waktu senggang untuk mendapatkan kepuasan dan keperluan rohani dan jasmani, ukhrawi dan duniawi dan untuk tujuan kemaslahatan dan kebajikan umat, untuk pembangunan diri, untuk bertujuan menambahkan kemahiran dan sebagainya. Seperti pesawah yang selalu menanam padi dan mereka tidak menantikan padi di bendang meranum untuk meraih hasil tetapi akan melakukan pekerjaan lain tujuan untuk menambahkan daya hasil dan menambahkan pendapatan. Pesawah akan membuat kerja lain sambil selalu pantau sawah padi selama 100 hari. Jangan pula kita mengisi waktu senggang atau waktu lapang kita dengan kerja-kerja yang tidak berfaedah dan tidak menguntungkan kita. Ada juga dikalangan mereka tidak membuat kerja berfaedah dengan minum dikedai kopi dan bersembang berjam-jam, bermain dam haji, bermain daun terup atau berborak tanpa had. Hargai masa dan perlu diteruskan kehidupan yang dapat membahagiakan dan memakmurkan keluarga kita. Artikel petang Sabtu ini saya menulis dan mengupas dalam "Anim Agro Technology" mengenai peribahasa yang disebut oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani semasa Majlis perhimpunan bulanan di MAEPS, Serdang, Selangor pada 23 Jun 2016 yang penulis sendiri amat teruja dengan moto "DOA Kata..." dan juga peribahasa ini. Peribahasa ini dikaitkan dengan penanaman jagung bijirin dinegara kita untuk mengatasi isu jumlah pengimportan bahan ini amat tinggi terutama bagi membekalkan makanan ternakan.


Penanaman padi merupakan satu aktiviti pertanian sangat penting bertujuan untuk membekalkan makanan kepada lebih separuh penduduk dunia. Kita juga pesawah di Malaysia menanam sekitar 660,000 hektar tanaman padi dengan purata hasil sekitar 4.3 mt sehektar. Padi (Oryza sativa) merupakan satu daripada tanaman bijirin dan merupakan makanan ruji bagi ramai penduduk dunia termasuk di Asia, Amerika Latin dan Caribbean. Di Malaysia padi yang ditanam terbahagi kepada dua jenis iaitu Padi Sawah yang juga dikenali sebagai padi bendang dan Padi Huma atau padi bukit. Padi sawah atau padi bendang adalah jenis padi yang paling banyak di tanam kerana dapat mengeluarkan hasil yang tinggi dengan beberapa varieti terpilih. Pada masa artikel ini ditulis, 56% daripada varieti padi yang ditanam adalah MR220CL2. Lain-lain varieti seperti MR219 dan juga MR220. Padi sawah memerlukan banyak menggunakan air, baja dan perlu ditanam dengan cara yang teratur. Padi sawah banyak di tanam di Semenanjung Malaysia iaitu di Pantai Barat terutamanya di 8 kawasan Jelapang Padi Utama yang kebanyakannya berada di bahagian Utara seperti di Kedah, Kelantan, Terengganu, Perak dan Selangor serta sedikit di Pahang dan Sabah. Keadaan ini berlaku kerana terdapat kawasan berpaya yang datar dan terdapat satu musim lembap yang ketara dengan purata hujan tahunan melebihi 3,500 mm. Kesesuaian ini di tambah lagi dengan adanya musim panas yang biasanya berpanjangan. Penanaman padi menjadi utama dibeberapa negara seperti di ASEAN antaranya di Vietnam, Thailand, Myanmar dan juga Indonesia. Terdapat padi yang ditanam dikawasan dalam kawasan Jelapang Padi (Dalam Skim Pengairan Lengkap) dan Kawasan Luar Jelapang Padi (Ada yang didalam dan Luar Skim Pengairan). Kawasan padi ada yang ditanam 2 kali setahun ada yang ditanam sekali setahun kerana kekurangan air dan beberapa faktor lain.


Kerajaan akan memperluaskan penanaman jagung bijirin di seluruh negara untuk menangani kenaikan harga import bekalan itu. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata Malaysia ketika ini mengimport sehingga 4 juta tan jagung bijirin bernilai RM 33.33 billion setahun. Katanya, import bekalan itu mencetuskan defisit dagangan sektor pertanian makanan negara menjangkau RM18.1 billion, namun ia perlu dilaksana bagi memastikan jaminan bekalan makanan ayam sebagai sumber protein termurah. Bagi mengatasi masalah kenaikan harga bekalan import ini maka pelbagai usaha penanaman jagung bijirin secara tempatan perlu akan dilaksanakan secara percubaan dulu sebelum ia seterusnya diperluaskan di seluruh negara. Penanaman pertama secara komersial sedang dimulakan di Kg Dadong, Kemaman, Terengganu. Jenis jagung bijirin baru keluaaran GWG (Green World Genetic) yang terlibat dengan projek NKEA dibawah EPP17 adalah Jenis GWG 111 dan GWG 888.  Presiden Persatuan-Persatuan Persekutuan Penternak Malaysia (FLFAM), Jeffry Ng yang menyifatkan harga jagung bijirin import meningkat secara mendadak sejak kebelakangan ini. Terkini kos jagung import jagung bijirin meningkat beberapa kali daripada RM800 kepada RM1,200 setiap tan sejak Mei 2015 lalu, sekali gus menambah bebanan penternak ayam di negara ini. Katanya, jagung bijirin adalah bahan mentah utama dalam penghasilan makanan ternakan ayam iaitu sekitar 60 peratus hingga 65 peratus. Berikutan peningkatan ini maka ramai penternak tempatan kini terpaksa terus menanggung peningkatan harga makanan ternakan yang tinggi. Ketika ini dakwanya hampir 80 peratus hingga 90 peratus daripada jagung bijirin yang digunakan di Malaysia diimport dari Argentina. Mereka turut berdepan masalah penghantaran bekalan yang lewat kerana perkhidmatan pelabuhannya tergendala susulan banjir besar dialami Argentina tahun ini. FLFAM terpaksa mengambil langkah alternatif dengan mengimport bekalan jagung bijirin dari beberapa negara Asia Selatan yang sebahagiannya kurang berkualiti. Saranan Menteri Pertanian agar penanaman jagung bijirin di Malaysia perlu dimulakan kerana ini boleh mengelakkan kebergantungan import yang terus meningkat dan sesuai dengan prinsip 'Kedaulatan Makanan' dinegara ini. Oleh itu kempen 'Berjagung-jagung dahulu sebelum padi masak' amat bertepatan dengan saranan ini.


Di Malaysia terdapat lebih dari 50,000 hektar kawasan sawah padi yang ditanam sekali setahun kerana kekurangan air terutama untuk penanaman padi luar musim. Selain itu Jabatan Pertanian ada melaporkan terdapat lebih dari 100,000 hektar tanah terbiar yang sesuai dibangunkan untuk pelbagai aktiviti pertanian. Kesemua kawasan tanah sawah dan tanah terbiar ini boleh dimajukan dengan tanaman jagung bijirin jika ada perancangan dan skim insentif penanaman jagung bijirin yang baik. Jika kita melihat jiran disekitar ASEAN mereka ada menanam dan menghasilkan jagung bijirin untuk kegunaan domestik seperti di Indonesia (Sila lihat foto disebelah). Penulis memetik satu lamanweb iaitu http://www. kabupatenreport.com/ panen-jagung- aceh-utara/ iaitu dimana mereka ada melaporkan kawasan tanaman jagung bijirin (Disebut jagung pipil) siap dituai seluas 38 hektar dan ianya dikelolakan oleh kelompok Tani Setia Kawan, Acheh, Sumatra diketuai oleh Razali Ahmad. Terkini kelompok mereka mempunyai seluas 38 hektar dan telah produksi setiap hektar menghasilkan sebanyak 5 ton jagung, rencananya akan ditambah lagi sekitar 12 hektar, sehingga total area yang akan ditanami jagung mencapai 50 hektar,” jelasnya. Selama ini, tambah benih (bibit) unggul jagung jenis hibrida varieti Pertiwi 3 mendapat bantuan dari Dinas Pertanian Tanaman Pangan dan Peternakan Provinsi Aceh melalui Distannak Aceh Utara. Bagaimana pun  ahli kelompok tani jagung pipil tersebut masih mengeluhkan belum adanya Alat Pelerai Biji Jagung (mesin pipil jagung). Masalah mesin pipil jagung hingga saat ini belum ada sehingga petani masih mengalami kendala saat sudah panen tiba, terpaksa dipipil secara manual dan makan waktu cukup lama, padahal petani berharap hasil panen segera terserap pasar. Laporan tersebut menunjukkan negara Indonesia mampu untuk menghasilkan jagung pipil sebagai satu usaha mengurangkan import jagung tersebut. Ini adalah satu contoh sesuai dilakukan oleh petani di negara kita.


Penanaman Jagung Manis oleh ramai petani di Malaysia masih menguasai aktiviti dalam pengeluaran jagung segar. Hampir lebih dari 95% petani menanam jagung manis (sweet corn) dimana ia dituai dalam masa 3 bulan sahaja dan dijual dengan harga ladang diantara RM0.60 - RM1.00 setongkol bergantung kepada varieti, saiz, lokasi dan kualiti jagung manis tersebut. Ada petani yang menanam jagung manis dan mempunyai kontrk pasaran dengan beberapa syarikat pengedar produk 'Cup Corn' seperti Nelson's dengan jaminan harga yang lebih tinggi dan stabil untuk satu jangkamasa yang lama. Anda boleh baca tulisan saya mengenai penanaman jagung dengan (Klik disini), (Klik disini), (Klik disini) dan (Klik disini). Jaminan pasaran dan harga tinggi serta masa singkat dalam agronomi dan masa penanaman jagung manis membolehkan ia merupakan komoditi yang masih relevan kepada petani. Belum ada petani yang menghadapi pasaran jagung manis dengan serius sehingga ia tidak laku. Jagung Bijirin (Grain Corn) pula amat kurang atau hampir tiada langsung ditanam oleh petani tempatan kerana mungkin ada banyak faktor mereka tidak memilihnya. Persoalan dikalangan mereka adalah apakah varieti jagung bijirin yang hendak ditanam?. Dimana boleh dapatkan benih?, Berapa lama ditanam?, Apakah amalan agronomi tanaman jagung bijirin?, Berapa harga jualan jagung bijirin?, Dimana hendak menjual dan siapa pihak pembelinya?, Adakah insentif seperti tanaman padi?, Untung atau tidak? dan banyak persoalan lagi. Penulis amat percaya semua persoalan ini akan terjawab apabila ada skim untuk menggalakkan atau skim khusus untuk penanaman jagung bijirin ini diperingkat awal. Memang amat wajar penanaman jagung bijirin dilaksanakan terutama dikawasan sawah padi yang ditanam secara bergiliran dengan musim utama tanaman padi dan diluar musim ditanam jagung bijirin. Pihak berkaitan perlu menyediakan pakej amalan teknologi untuk penanaman jagung bijirin yang selalunya akan mengambil masa lebih lama untuk matang berbanding dengan jagung manis dan juga kemudahan infra lain termasuk alat pelerai biji jagung dan skim pasaran. Memang amat tepat sekali peribahasa 'berjagung-jagung dahulu sementara padi masak' diintergrasikan dengan usaha untuk menanam jagung bijirin untuk kedaulatan makan negara kita. Wasallam!!...


TANAM JAGUNG... BIJIRIN JENISNYA...
JAGUNG MANIS...PETANI TELAH BIASA..  
PERLU DIMULAKAN... DIMANA-MANA...
SISTEM PENANAMAN...PERLU ADA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kg Dadong, Chukai,
Kemaman, Terengganu,
Malaysia.
(21 Ramadan 1437H) 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...