KLIK SAYA SOKONG BLOG

Tuesday, June 28, 2016

KG DADONG - PELANCARAN JAGUNG BIJIRIN

PELANCARAN PENANAMAN JAGUNG BIJIRIN dalam satu majlis ringkas di Kg Dadong, Chukai, Kemaman, Terengganu oleh YB Dato Seri Sabery Cheek pada 26 Jun 2016 membuka sejarah baru. Pelancaran yang dilakukan pada petang 22 Ramadan 1437H ini jatuh pada bulan puasa dalam cuaca panas terik menjadi cabaran kepada bakal pemain industri penanaman jagung bijirin di Malaysia. Kampong ini dipilih berdasarkan kepada kawasan sawah padi seluas 38 hektar melibatkan 51 pesawah yang ditanam sekali setahun dengan padi dan kemudian tidak ditanam apa-apa untuk musim penanaman padi berikutnya. Lazimnya padi ditanam selepas musim banjir atau musim tengkujuh bermula daripada Januari sehingga Mei setiap tahun. Kemudian ia akan kosong dengan tiada apa-apa aktiviti pertanian lain yang dijalankan. Kini dengan ujudnya projek pilot tanaman jagung bijirin varieti GWG111 dan GWG888 ia telah memberikan peluang baru aktiviti ekonomi tambahan kepada pesawah. Ini selaras dengan saranan YB Menteri Pertanian yang juga sebagai Ahli Parlimen Kemaman ingin melihat berlaku aktiviti pengeluaran jagung bijirin untuk makanan ternakan terutamanya ayam dinegara ini. Malaysia mengimport hampir 100% jagung bijirin dari luar negara bernilai RM3.2 billion (RM3,200 juta) pada tahun 2015 dan terus meningkat dengan kadar 5% setiap tahun. Malaysia juga mengimport kacang soya untuk tujuan sama dengan nilai RM2.1 billion pada tahun yang sama. Kebergantungan pengimportan yang besar ini telah menyebabkan aliran wang keluar dengan jumlah yang amat besar. Saranan kerajaan untuk memulakan penanaman jagung bijirin perlu disambut baik oleh semua pihak daripada petani, pemain industri dan sebagainya. Negara-negara jiran seperti Indonesia, Thailand, Vietnam dan Filipina telah menanam jagung bijirin dinegara mereka dan tidak bergantung sepenohnya dari pengimportan seperti Malaysia. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai majlis pelancaran penanaman jagung bijirin dan potensi penanaman jagung bijirin di negara kita seperti apa yang dilancarkan oleh YB Menteri Pertanian di Kg Dadong, Kemaman, Terengganu. 


Daripada penerangan oleh Pengarah Pertanian Terengganu, beliau menyatakan sawah disini memang sesuai ditanam dengan jagung bijirin berdasarkan kepada kajian kesesuaian tanah dan juga ruang atau jangkamasa penanaman sehingga musim padi akan datang. Pemerhatian awal menanam jagung GWG111 dan GWG888 telah dimulakan sejak awal tahun 2016 di Pusat Pertanian Ajil dan Pusat Pertanian Padang Ipoh, Kuala Berang dimana ia menghasilkan prestasi penghasilan jagung bijirin yang baik. Penulis mendapati jagung bijirin yang dituai dalam masa 110-120 hari sudah cukup matang untuk dileraikan bagi tujuan untuk makanan ternakan dan produk makanan berasaskan jagung yang lain (Sila lihat foto disebelah). Konsep perlaksanaan penanaman jagung bijirin ini diatur melibatkan syarikat swasta bagi menanam dimana kelak keuntungan akan dibahagikan 70:30 setelah ditolak kos pengeluaran. Penanaman yang telah dimulakan pertengahan Jun 2016 akan dijangka dituai pada 110-120 hari kemudian iaitu sekitar September atau Oktober. Pokok jagung bijirin ini dilaporkan lebih cergas (vigorous) daripada pokok jagung manis hibrid. Ia merupakan varieti jagung yang agak 'rugged' atau lasak berdasarkan kepada prestasi semasa percubaan penanaman yang dilakukan di 2 pusat pertanian. Bagaimana pun amalan agronomi tanaman jagung mesti dipatuhi untuk mendapatkan pertumbuhan dan tongkol yang optima. Tanaman jagung perlu diberikan pengairan, pembajaan, kawalan rumpai dan penyakit serta penjagaan baik untuk penghasilan yang berkualiti.


Sistem tanaman jagung bijirin kini dilakukan dengan cara tugal menggunakan mesin 'Japper' dan 'Corn Seed planter'.  Dari segi teknikal penanaman dengan menugal cepat dilakukan tetapi kadar pertumbuhan tidak seragam dengan potensi produktiviti selalunya sekitar 65-85% sahaja. Ini juga bermakna dengan jarak penanaman 0.25m x 0.75m maka berikan kepadatan pokok sekitar 53,000 pokok sehektar. Kaedah menugal ini boleh dilakukan dengan cara menggunakan benih sekitar 1.5 kg sehektar sahaja. Jabatan Pertanian membuat pengesyoran agar cara petani menanam benih yang telah dicambahkan 4-5 hari dalam kotak semaian (sowing tray) dimana ia akan menghasilkan anak pokok seragam dan kadar produktiviti hasil mencecah lebih 95%. Benih jagung GWG111 dan GWG888 dimasukan dalam tray yang mengandungi media cocopeat sebiji selubang (Sila lihat foto disebelah). Ia kemudian perlu dialihkan (transplant) terus kelubang penanaman. Walau pun kerja ini agak rumit sedikit tetapi ia menjamin penghasilan lebih baik dimana pada perkiraan akhir memberikan keuntungan lebih tinggi daripada kaedah menugal secara logiknya. Analisa kasar cashflow perbandingan pendapatan diantara tanaman padi dan jagung bijirin dilakukan oleh Jabatan Pertanian. Tanaman padi akan memberikan purata pendapatan sekitar RM667.00 sebulan dan tanaman jagung bijirin akan memberikan pendapatan tambahan kepada petani sebanyak RM1,000 sebulan dari keluasan satu hektar.


Setakat ini semua amalan agronomi penanaman jagung bijirin diprojek pilot ini dibantu oleh pengurusan syarikat GWG diketuai oleh Dr Chua. Penanaman varieti jagung ini pernah dilakukan di pusat-pusat penyelidikan syarikat yang terletak di Batu Arang, Rawang, Selangor, Cameroon Highlands, Pahang dan di Bukit Tangga, Kedah. Majlis pelancaran ini telah dimulakan dengan aktiviti penerangan perancangan projek untuk menanam dan seterusnya dengan gimik aktiviti menanam benih jagung dikawasan sawah oleh VVIP dan para pengusaha (Sila lihat foto disebelah). Sehingga jam 6.00 petang dilaporkan seluas 8 hektar kawasan sawah telah siap ditanam sejak 3 hari lepas dan akan selesai semua penanaman dalam masa seminggu lagi. Dalam perancangan untuk mengembangkan penanaman jagung bijirin, beberapa lokasi lain seperti di Temerloh, Pahang, Baling di Kedah dan Sungai Besar, di Selangor teleh dikenalpasti untuk penanaman seterusnya dimasa akan datang. Bakal peserta dari ketiga-tiga kawasan ini turut hadir dalam majlis penerangan dan pelancaran penanaman jagung bijirin di Kg Dadong untuk menyaksikan sendiri bagaimana ia dilaksanakan. Semuga majlis ini akan menjadi sejarah di Malaysia untuk memulakan penanaman jagung bijirin yang akan menjadikan sektor pertanian lebih maju dan mampu menyumbang dalam kedaulatan makanan negara. Wasallam!..

KG DADONG... JAUH TEMPATNYA...
SAWAH PADI... PILIHAN BERSAMA...
JAGUNG BIJIRIN...PERLU DIUSAHA...
SUDAH DILANCAR...KENA BERJAYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kg Dadong, Chukai,
Kemaman, Terengganu,
Malaysia.
(23 Ramadan 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...