Support My Blog

Monday, March 28, 2016

USAHAWAN 'SAMBAL PAHANG'

SAMBAL PAHANG merupakan satu produk insdustri asas tani yang terkenal di Negeri Pahang terutama diDaerah Lipis, Jerantut dan Raub berasaskan kepada Buah Belimbing Buluh. Belimbing Buluh (Averrhoa bilimbi) yang dahulunya hanya dikenali sebagai buah nadir kini telah dikomersilkan penanamannya oleh beberapa orang petani didaerah-daerah tersebut. Penulis yang baru-baru ini mengunjungi daerah tersebut berperluang untuk terus berinteraksi dengan beberapa pakar pertanian, penanam belimbing buluh dan pengusaha IAT Sambal Pahang atau juga lebih popular dengan 'Sambal Hitam' dikalangan penduduk tempatan. Sambal Pahang yang pedas ini enak dimakan dengan nasi putih, ubi kayu rebus dan makanan lain seperti roti dan sebagainya. Walau pun sambal ini dahulu hanya terkenal dikalangan warga Pahang sahaja tetapi kini setelah banyak program promosi dilakukan ia semakin mendapat permintaan tinggi oleh orang ramai di luar Negeri Pahang terutama di Lembah Kelang, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Beberapa program promosi telah mampu dibuat dan mempromosikan produk Sambal Pahang atau Sambal Hitam ini seperti pada Pameran MAHA, HPPNK, SDSI, KUD dan banyak lagi. Memang wajar penanaman pokok belimbing hitam ini diberikan insentif galakkan untuk daerah yang mana ada permintaan tinggi untuk diproses menjadi produk yang semakin popular ini. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai Sambal Pahang atau Sambal Hitam serta pengalaman penulis mengenai aktiviti penanaman belimbing buluh untuk rujukkan anda.


Terdapat dua (2) jenis belimbing buluh yang ditanam iaitu Jenis Belimbing Buluh Kuning dan Jenis Belimbing Buluh Hijau (Sila lihat foto belimbing buluh hijau disebelah). Walau pun penulis telah menyemak dengan Daftar Varieti Tanaman Kebangsaan di Jabatan Pertanian, sehingga kini belum ada pendaftaran mengenai varieti belimbing buluh dilakukan di Malaysia. Perkara ini berkemungkinan pencirian dan pendaftaran belimbing buluh perlu dilakukan oleh pihak tertentu. Saya ada menulis artikel mengenai Belimbing Buluh sebelum ini untuk rujukkan (Sila klik disini), (Sila Klik Disini), (Sila Klik Disini) dan (Sila Klik Disini). Tanaman belimbing buluh dahulu selalunya ditanam sebagaii tanaman keliling rumah sebanyak sepokok dua dan jarang ditanam secara monokrop. Bagaimana pun dengan galakkan daripada Jabatan Pertanian kini telah ramai juga petani yang menanam pokok belimbing buluh secara monokrop atau tanaman bercampur dengan buah-buahan lain. Bagi pengusaha seperti Pn Zainab ini beliau akan terus mendapatkan bekalan daripada kawasan sekitar yang menanam dikawasan sekeliling rumah dan kebun dicelah-celah tanaman dusun. Harga belian segar dikawasan kampong sekitar RM0.70 - RM0.80 sekilogram buah segar. Buah yang dibeli adalah masih hijau iaitu pada indeks kematangan 3 (Masak muda). Katanya jika menggunakan belimbing yang masak ranum (warna kekuningan) maka hasil sambal ini tidak mendapat warna hitam yang menarik seperti yang dikehendakki. 


Tinjauan penulis di Daerah Jerantut pula mendapati iaitu harga belimbing buluh diladang sekitar RM2.00 - RM2.50 sekilogram iaitu jenis yang telah cukup masak (Indeks 4 dan 5). Analisis juga dibuat bagaimana belimbing buluh ini akan dibersihkan dan direbus dahulu untuk proses selanjutnya. Harga Belimbing Buluh yang telah di rebus sekitar RM18.00 - RM25 sekilogram dan boleh disimpan lama sebelum dijadikan produk sambal hitan, halwa dan sebagainya. Perbezaan berat antara belimbing buluh segar yang baru dipetik dengan yang direbus adalah sekitar 20 kg buah segar menjadi 3 kg bila direbus. Ini menjadikan ia berharga mahal jika dibanding dengan belimbing buluh yang masih segar. Merujuk perkara tersebut usahawan Zainab kini membuat keputusan untuk mendapatkan nelimbing buluh segar yang sederhana matang dan dibeli dengan harga sekitar RM0.70 sekilogram dari penanam di Jengka, Kuala Medang, Kg Budu. Ia melalui beberapa proses penyediaan sehingga kering dan dibotolkan. Harga produk Sambal Pahang dalam bentuk 'Sambal Kering' dibungkus dalam satu bekas dijual RM8.00 dikilang dan harga runcit RM10.00 bagi 100 gram (Jenis sambal Pahang Kering). Sambal ini dijamin tahan selama setahun jika dijaga dengan baik dan tidak dibuka. Pengusaha Zainab juga menjual sambal yang basah dimasukkan dalam bekas lain yang hanya tahan tidak lama.


Sambal Hitam yang dihasilkan oleh usahawan ini ada dua jenis iaitu Jenis Basah dan Jenis Kering. Jenis basah disediakan terutama untuk pasaran berdekatan dan sekitar dalam daerah yang dibungkus dalam bungkusan bekas plastik. Pengusaha menggunakan jenama 'ezus' untuk produk sambal pahang dan mee sanggul. Sambal jenis ini tahan sekitar 2 minggu sahaja dan sering ditempah untuk majlis-majlis keramaian seperti kenduri kahwin atau jamuan rasmi. Jenis basah di jual dengan harga RM4.00 - RM5.00 bagi bungkusan 220 gram. Bahan digunakan adalah belimbing buluh, ikan bilis, cili api, garam dan gula. Bagi jenis kering ia dibotolkan dengan berat 100 gram dengan kedap udara. Jenis ini pula tahan selama satu tahun. Setiap botol mengandungi maklumat nutrisi iaitu tenaga 169 kcal, Karbohiderat (21.6 gram), Protin (20.6 gram) dan Lemak (32.3 g) bagi setiap 100 gram hidangan (Sila lihat foto disebelah). Produk sambal ini telah dikenali ramai melalui pelbagai program promosi seperti HPPNK, SDSI, MAHA dan sebagainya melalui syarikat sendiri atau dianjurkan oleh pelbagai jabatan dan agensi.


Dalam tinjauan lain, penulis melawat seorang petani iaitu En Saiful di Kg Lumpur dimana beliau menanam 150 pokok belimbing buluh semenjak 2014. Bantuan diberikan oleh Pejabat Pertanian Daerah Lipis adalah Benih, Baja, Racun dan khidmat nasehat teknikal. Penghulu Hafiz yang ada bersama penulis ada membantu Pegawai Pertanian untuk memperbanyakkan penanaman belimbing buluh dikawasan keliling rumah pada masa akan datang. Benih belimbing buluh disediakan daripada biji benih dan boleh dijual dengan harga RM3.00 - 4.00 sepokok selepas 3 bulan dalam polibeg. Bagaimana pun permintaan untuk benih yang besar dengan ketinggian 3 kaki (Advanced Planting Material) boleh dijual dengan harga RM18.00 - RM20.00 sepokok (Pokok semaian yang berumur 8 - 10 bulan). Musim panas banyak berlaku kes daun terbakar (scorching) dikawasan projek dan perlu dibuat penyiraman air. Semuga tulisan ini memberi info berguna kepada pembaca semua. Wasallam!.


BELIMBING BULUH... DITANAM JUGA...
BUAHNYA MASAM... DIBUAT HALWA...
SAMBAL PAHANG...'ezus' JENAMA...
KUALA MEDANG... ADA KILANGNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kilang Sambal Pahang,
Kuala Medang, Lipis,
Pahang, Malaysia.
(8 Mac 2016)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...