KLIK SAYA SOKONG BLOG

Saturday, March 12, 2016

STRAWBERRY - VARIETI FESTIVAL

STRAWBERRI (Fragaria x ananassa) jenis atau kultivar 'Festival' merupakan satu varieti yang paling popular ditanam di kawasan tanah tinggi Cameroon Highland, Pahang sebagai tanaman berpotensi. Jenis ini didapati sesuai dengan persekitaran cuaca di kawasan tanah tinggi tersebut berbanding dengan beberapa kultivar lain yang pernah ditanam seperti 'Camarosa' dan beberapa lagi. Kultivar Festival mempunyai warna, saiz, bentuk dan rasa masam manis yang disukai oleh pelancong yang datang berkunjung kekawasan tanah tinggi di Cameroon Highlands. Ia dijual segar dalam kotak plastik lutsinar dimana harganya sekitar purata RM30.00 sekilogram bergantung kepada kualiti (Sila lihat foto diatas). Benih asal strawberi ini dipercayai diimport daripada luarnegara seperti dari USA, Holland, Australia atau China dalam bentuk plantlets dahulu. Kini proses pembiakan dilakukan secara vegetatif dengan kaedah menggunakan 'runners' atau stolon daripada pokok strawberi yang matang (Baca artikel saya berkaitan - Sila klik disini). Strawbweri Festival mempunyai bentuk dan warna yang menarik dan amat disukai oleh pelancong tempatan. Ia juga dikelaskan sebagai buah yang mempunyai warna matang merah terang sehingga terlalu ranum menjadi merah gelap. Varieti ini mendapat nama sebagai 'Strawberi Festival' kerana ditempat asal ia dibiakbaka iaitu di Florida State, USA lazimnya ia meluas ditanam dan kemuncak menuai akan dilakukan pesta (Festival) semenjak sedekad yang lalu iaitu pada bulan Febuari sehingga bulan Mac setiap tahun. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai strawberi jenis Festival yang ditanam di Cameroon Hilands dan merupakan kultivar popular ditanam diseluruh dunia.


Strawberi Festival kini menjadi pilihan ramai petani dibanyak kawasan tanaman strawberi kerana ia didakwa mempunyai jangkamasa simpanan yang lama berbanding dengan jenis lain. Ia juga mempunyai saiz buah yang sederhana besar dan seragam bentuknya yang seakan berbentuk 'kon' (Sila lihat foto disebelah). Ia mudah disusun dalam kotak plastik dengan warna merah terang yang menarik minat pembeli. Isinya juga mempunyai warna merah lembut dengan berair (juicy) dan rasa masam manis yang sederhana. Ia mengandungi asidik yang sederhana dengan kulitnya yang tahan untuk tujuan penyimpanan lebih lama. Jenis strawberi festival ini pokoknya dikatakan lebih tahan kepada hujan berbanding dengan varieti lain walaupun di Malaysia ia mesti ditanam dibawah Struktur Pelindung Hujan (SPH). Pokoknya adalah 'vigorous' dan cepat membesar dengan akar yang panjang yang membolehkan ia mudah dipetik tanpa akan merosakkan akarnya. Konsep memetik sendiri buah strawberi dalam taman pelancongan sebenarnya akan menyebabkan akar terganggu atau terputus menyebabkan ia menjejaskan pertumbuhan seterusnya kerana pelancong tidak faham akan isu ini. Jarak tanaman sekitar 12-15 inci dalam bag yang mengandungi media tanaman dimana dibekalkan baja melalui sistem fertigasi. Jenis ini adalah sensitif dengan program pembajaan yang perlukan N tinggi diperingkat awal pertumbuhan sebelum baja untuk peringkat berbunga dan berbuah diberikan.


Dalam beberapa laporan luar negara ada dinyatakan varieti festival ini agak rintang serangan Penyakit Reput Akar (disebabkan oleh Phythopthora spp) dan Reput Buah Botrytis (Disebabkan oleh kulat Botrytis cinrea). Bagaimana pun ia rentan terhadap serangan Penyakit Bintik Daun disebabkan oleh Xanthomonas spp atau serangan pada bahagian pucuk oleh sejenis kulat Collectotricum gloeosporonoides. Walau jenis ini cepat membesar tetapi ia juga cepat mengeluarkan stolon atau 'runner' untuk dijadikan benih tanaman. Dari segi sejarah, jenis strawberi festival ini telah dibiakbaka di Florida, USA dengan didaftarkan nombor patent 6578 (USA Patent code). Ia merupakan hasil kacukan antara varieti 'Ros Linda' dengan varieti 'Oso Grande' yang diistiharkan pada tahun 1996. Selepas itu seluas lebih dari 2,500 hektar strawberi festival dikomersilkan di Florida tersebut sehingga sering diujudkan pesta strawberi ini. Varieti ini dikelaskan sebagai 'short day cultivar' dengan purata panjang batang atau stolon sekitar 120 cm. Purata panjang daun utama adalah 78 mm sementara lebar daun 73mm. Saiz daun kedua sekitar 69 mm panjang dan 72 cm lebar. Buah yang keluar daripada pedicel panjang dengan anggaran panjang buah sekitar 188 - 240 mm. yang kebanyakannya adalah berbentuk kon (conic shape). Warna luar buah adalah merah kuat dan didalamnya merah cerah menyamai dengan warna varieti Camarosa. Kalau anda berkunjung ke Cameroon Highlands rasanya amat mudah menjumpai strawberi fstival kerana ia juga merupakan paling banyak ditanam disana. Makan strawberi segar yang cukup masak dengan coklat menjadi kesukaan pengunjung dikawasan tanah tinggi ini. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada pembaca semua. Wasallam!.
STRAWBERI 'FESTIVAL'...NAMA DIA...  
CAMEROON HIGHLAND... IA UTAMA..
WARNA MERAH... MASAM MANIS RASA..
BACA ARTIKEL... BARU KENAL JENISNYA..

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room D10, Rosa Pasadena Hotel,
Brinchang, Cameroon Highland,
Pahang, Malaysia.
(12 Jamadilakhir 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...