KLIK SAYA SOKONG BLOG

Tuesday, March 15, 2016

TANAMAN MESTA KOMERSIL

TANAMAN MESTA KOMERSIL amat jarang dilakukan oleh penanam buah-buahan kerana ia dikatakan susah untuk dilaksanakan. Mesta (Garcinia mangostana) merupakan sejenis tanaman yang menyerupai dengan tanaman manggis dan popular hanya di Negeri Pahang dalam beberapa daerah tertentu sahaja. Buah Mesta telah pun lama didaftarkan dengan Jabatan Pertanian dalam Senarai Varieti Tanaman Kebangsaan (National Listing) pada tahun 1993 oleh Jabatan Pertanian dengan No Daftar GA2. Dalam keterangan ringkas mengenai pendaftaran hanya dinyatakan buah ini didaftarkan berasal dari Pahang. Buah Mesta merupakan sejenis buah-buahan tropika daripada kumpulan Manggis. Buah Mesta ini mungkin tidak ramai kita yang kenal secara tepat kecuali petani pemilik pokok dan pegawai pertanian dikawasan Maran dan Temerloh di Pahang. Mesta sebenarnya berlainan dengan buah manggis dari beberapa ciri khusus. Sekilas pandang, mereka yang tidak kenal akan buah ini akan mengatakan bahawa buah yang digantung tersebut adalah manggis. Ini kerana warna, bentuk dan rasanya mungkin serupa bagi mereka yang tidak kenal akan buah ini. Buah mesta ini mungkin natif dari kawasan kampong tradisional sepanjang Sungai Pahang dan hingga kini belum disebar luas keseluruh negara. Bagaimana pun permintaan untuk anakbenih mesta adalah tinggi dimana harganya mencecah sehingga RM 15.00 - RM 20.00 sepokok. Kalau ditanam di kawasan lain penulis tidak pasti pokok tersebut akan mampu menghasilkan kualiti buah dan pokok seperti di tempat asalnya di Termerloh ,Bera dan Maran kerana faktur tanah dan Agro-iklim . Maklumat dalam artikel kali ini ditulis dengan berdasarkan pembacaan, pemerhatian dan lawatan teknologi penulis dan perbualan dengan beberapa individu termasuk En Shuib yang menanam buah mesta. Artikel kali ini dalam "Anim Agro Technology" saya menulis mengenai aktiviti seorang pengusaha iaitu En Shuib yang menanam buah mesta dimana beliau ada lebih dari 150 pokok secara monokrop untuk dijadikan bahan kajian kes dan rujukkan.


Tanaman Mesta sedikit berbeza dengan pokok manggis dari segi struktur buah, pokok, saiz dan beberapa ciri lagi. Mengikut perbincangan saya dengan En Hasan (APK Kawasan Maran) dan En Shuib, mereka mennyatakan pokok mesta lazimnya kecil sedikit dan rendah berbanding dengan pokok manggis walau pun ia agak relatif. Bagaimana pun dengan pengurusan agronomi yang baik isu ini tidak signifikan. Terdapat banyak daun yang lebat dan ianya rimbun dengan saiz daun agak kecil sedikit jika dibandingkan dengan pokok manggis. Lebih banyak jumlah dahan pada pokok mesta. Buah mesta saya dapati berbentuk BULAT LONJONG dimana dibahagian bawahnya agak tajam sedikit dan bukan berbentuk 'bulat dempak' seperti buah manggis (Lihat foto paling disebelah). Jika dilihat isinya, mesta mempunyai susunan ulas yang hampir sekata dimana tidak ada yang berbiji besar seperti buah manggis. Lazimna ia mempunyai 6 ulas isi berwarna putih bersih dengan rasa amat manis. Paling istimewa mengenai mesta ini saya rasa kerana ia tidak mempunyai getah yang boleh mengotorkan tangan atau baju walau pun buah mesta baru dipetik. Saya amat suka akan buah mesta ini yang dipetik dari pokok disekitar kawasan dusun mesta di Temerloh apabila musim tiba. Harga buah mesta mungkin agak tinggi sedikit atau pun sama dengan buah manggis.


Pokok Mesta di Kebun En Shuib yang terletak di Kg Sg Paya Pasir, Maran hidup subur dan telah beberapa tahun mengeluarkan buah. Beliau yang juga seorang pesara kerajaan telah membeli sebidang tanah seluas 4 ekar dengan harga RM200,000 pada 7 tahun dahulu iaitu bekas kebun getah. Jenis tanah adalah alluvium tepi sungai yang subur. Kemudian beliau membeli benih mesta daripada pembekal tempatan termasuk daripada Jabatan Pertanian dan terus menanam dengan jarak 10 meter x 10 meter. Kini setelah 5 tahun dan dijaga dengan baik ia telah tinggi sekitar 20 kaki dan pernah dilakukan cantasan batang (Pollarding). Ini kerana jika pokok dibiarkan tinggi akan menyukarkan aktiviti memetik hasil (Sila lihat foto disebelah). Katanya aktiviti 'pollarding' dilakukan pada ketinggian pokok 5-7 kaki pada masa dulu untuk menghasilkan dahan yang banyak dan ranting banyak merimbun bagi menghasilkan buah mesta. Pembajaan dengan baja NPK 12:12:17:2TE dilakukan mengikut syor jabatan dan baja organik tahi ayam diberikan setiap 6 bulan sekali. Satu guni baja tahi ayam dalam beg akan dibahagi dua dan dipotong bahagian bawah beg diletakkan dibawah pokok. Baja tahi ayam merupakan jenis baja organik yang membekalkan nutrien dan membantu memberi kemanisan kepada buah mesta.  Kejadian banjir besar pada Disember 2014 dan Januari 2015 menyebabkan 15% daripada pokok mesta yang matang mati dan kini telah pun disulam semula. 


Aktiviti mengutip hasil mesta selalunya dibuat mengikut musim dimana buah akan keluar pada bulan Julai-Ogos setiap tahun. Boleh dikatakan memang tidak ada masaalah pasaran untuk buah mesta ini kerana apabila putik keluar, seorang pemborong Cina dari Melaka akan datang membuat 'pajakkan' atau tempahan awal. Menurut Shuib, pada masa ini ada 3 orang petani yang menanam pokok mesta secara monokrop sepertinya di Daerah Maran dan Temerloh. Dalam lawatan dan juga perbincangan teknikal dengan En Shuib, belum ada isu Gamosis, kerosakan buah akibat serangan perosak dan penyakit dan masaalah pasaran dijalankan (Sila lihat foto disebelah). Berapa banyak pun buah mesta atau Manggis (jika berkualiti) yang dihasilkan maka pemborong sentiasa bersedia untuk membelinya. Buah Manggis dan buah Mesta termasuk dalam jenis buah tropika yang semakin mendapat permintaan pasaran antarabangsa seperti ke China, Jepun dan negara maju lain. Indonesia mencatatkan sebagai negara pengeksport buah manggis yang terkenal dirantau ini selain daripada Thailand. Dakwa En Shuib pendapatan hasil tanaman mesta dikebunnya adalah 2.5 kali ganda lebih lumayan daripada tanaman kelapa sawit yang beliau miliki dengan keluasan sama dalam setahun. Ini kerana harga komoditi kelapa sawit rendah sejak beberapa tahun ini sedangkan kos operasi makin meningkat. Penulis berbangga dengan ilmu pengetahuan dan kehebatan En Shuib dalam penanaman pokok mesta secara monokrop yang boleh dijadikan ikon 'seorang pelopor tanaman mesta komersil di Pahang'. Semuga tulisan ini memberi info yang berguna kepada pembaca blog Anim Agro Technology kali ini. Salamat Po!...Wasallam!..
Penulis berbincang amalan agronomi tanaman Mesta dengan En Shuib.
TANAM MESTA ...MONOKROP CARANYA...
PERLUKAN ILMU... MANGGIS RUJUKANNYA...
AMALAN AGRONOMI... SEDIKIT BERBEZA...
ARTIKAL DITULIS... RUJUKAN ANDA SEMUA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kg Paya Pasir, Kg Awah,
Maran, Pahang,
Malaysia.
(4 JamadilAkhir 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...