KLIK SAYA SOKONG BLOG

Wednesday, March 9, 2016

KELULUT - CORONG BOTOL

CORONG BOTOL merupakan satu inovasi seorang belia bernama En Saifulizam berusia 23 tahun di Kg Chendor, Kuantan sebagai kawalan musuh dan perosak (Sila lihat foto diatas dan foto paling bawah sekali) projek ternakan kelulut. Penulis yang merupakan salah seorang bekas tenaga pengajar penternakan lebah kelulut (Trigona spp) telah membuat kunjungan kepada beliau pada awal March 2016 dalam program pemantauan bekas peserta kursus. Beliau kini mempunyai sebanyak 48 sarang koloni kelulut yang kebanyakannya adalah jenis Trigona itama dan hanya ada 8 koloni dari jenis Trigona thoracica. Beliau pernah menerima tunjuk ajar daripada penulis semasa hadir berkursus Asas Ternakan Kelulut di Pusat Pertanian Setiu, Terengganu pada 2015 dibawah program Agropreneur Muda menyatakan amat gembira berjumpa penulis. Kini beliau juga merupakan salah seorang belia yang berjaya membuat projek menternak kelulut yang boleh dibanggakan. Dalam pada itu belia ini banyak belajar kepada rakan-rakan lama semasa berkursus melalui aplikasi 'WhatsApp' dan banyak merujuk kepada info dalam capaian internet termasuk blog teknikal 'Anim Agro Technology'. Kini beliau dalam usaha untuk menambahkan lagi jumlah bilangan koloni kelulut dengan memasang beberapa lagi perangkap disekitar kawasan ternakan dan berjaya mendapat 12 koloni baru semanjak 2 bulan lepas. Sumber makanan utama kawasan ternakan kelulut beliau adalah jenis pokok Akasia (Acacia mangium). dan beberapa tumbuhan lain seperti Pokok Cucur Atap, Honolulu Creepers dan Tunera. Apa pun penulis menasihatkan beliau untuk meletakkan beberapa perangkap koloni dengan cara betul memandangkan cara yang beliau aplikasikan tidak sesuai. Beliau yang dibantu oleh dua rakannya yang juga terlibat dengan penanaman cili fertigasi sebanyak 800 polibeg dengan Cili Kulai amat gembira dengan hasil tuaian madu kelulut yang dilakukannya setiap 3 minggu hingga sebulan setiap koloni. Artikel ini bagaimana pun membincangkan inovasi yang beliau lakukan untuk tujuan mengawal perosak iaitu Mengkarung, Cicak dan Tabuan yang terdapat pada beberapa koloni semasa pemeriksan dilakukan oleh penulis. Artikel terkini dalam "Anim Agro Technology" kali ini akan membincangan inovasi tersebut dan aktiviti bekas peserta kursus yang penulis terlibat. 


Penternakan Kelulut kini menjadi satu bidangusaha paling ramai diminati banyak pihak terutama golongan belia. Ramai belia yang telah hadir berkursus atau belajar sendiri menggunakan lamanweb atau telah melihat kejayaan rakan mereka berminat menternak kelulut. Ini kerana kelulut tidak menyengat (Stingless bee), mudah diternak dan madu dijual diantara RM150.00 - RM200.00 sekilogram. Tinjauan penulis golongan usahawan muda merupakan kelompok yang paling ramai memajukan usaha menternak kelulut walau pun kos membeli koloni amat tinggi diperingkat permulaan. Ini adalah berbeza dengan menternak Lebah Keran Madu (Apis cerana atau Lebah Keran atau Apis mellifera - Lebah Import) yang sering menyengat dan teorinya lebih sukar cara pengurusannya. Mereka mencari kawasan belukar dan dusun buah-buahan serta hutan akasia untuk meletakkan batang kayu (Log) yang mengandungi koloni kelulut dan meletakkan kotak super diatasnya. Encik Saifulizam telah mendapatkan lokasi menternak kelulut di Kg Chedor iaitu kawasan belukar yang banyak pokok akasia matang (Sila lihat foto disebelah). Kawasan sedikit berpaya ini didapati sesuai untuk menternak kelulut tetapi beliau perlu sentiasa datang kelokasi untuk mengawasi kehadiran musuh dan serangga perosak. Beliau juga sentiasa mengawasi koloni yang diletakkan agar tidak 'dicuri' oleh orang kerana harga koloni adalah mahal. Laluan masuk kelokasi hanya boleh dengan gunakan motorsikal atau kenderaan 4WD kerana melalui kawasan paya berair dan jauhnya 1.5 km daripada kawasan kampong.


Antara masaalah menternak kelulut di kawasan belukar yang berpaya seperti ini adalah ujudnya musuh ternakan kelulut seperti Mengkarung, Cicak dan Tabuan.  Semasa pemeriksaan koloni dilakukan oleh penulis blog, hampir setiap sarang kayu yang ditutup dengan plastik kanvas apabila dibuka terdapat cicak dan beberapa sarang juga ada mengkarung. Jumlah cicak pula bukan seekor tetapi terdapat beberapa ekor dengan saiz badan 'besar' dan 'gemuk' kerana cukup makanan dengan menyambar kelulut yang keluar masuk kedalam sarang. Mereka sebenarnya lebih suka menyerang kelulut dari spesis Trigona thoracica. Apa pun yang mengejutkan penulis adalah dari 7 sarang yang dibuka penutupnya, sebanyak 4 sarang terdapat beberapa ekor Mengkarong (Sila anda lihat foto disebelah). Satu kotak terakhir yang dibuka terdapat 3 ekor mengkarong yang sihat dan berkilat menunjukkan ia mendapat makanan yang mencukupi. Mengkarung dan cicak ini akan duduk dipintu masuk koloni kelulut dan melekat pada batang kayu dengan mudah. Kaki cicak dan mengkarung yang boleh melekat pada batang kayu amat membantu haiwan itu berada disitu. Kehadiran dua jenis haiwan pemangsa kelulut ini didapati menyebabkan ada beberapa sarang kayu dimana akhirnya koloni kelulut meninggalkan sarangnya. Beliau berfikir cara bagaimana hendak mengatasi masaalah ini. Akhirnya beliau mendapat idea dengan membuat inovasi sendiri yang penulis dapati praktikal dicetus bersama rakan lain.


Penggunaan penutup botol plastik bekas minuman air didapati mampu membantu mengurangkan gangguan cicak dan juga mengkarung. Botol bekas air minuman ini dipotong dibahagian atasnya dan kemudian dipaku pada batang kayu dengan kuat (Sila lihat foto disebelah). Ia dikuatkan dengan meletakkan propolis pada pangkal botol yang melekat pada kayu log. Botol ini sepanjang 10 - 15 cm panjang akan dibiarkan muncungnya terletak jauh daripada batang kayu. Bahagian permukaan botol plastik yang 'agak licin' didapati menyukarkan mengkarung untuk berada dimulut botol plastik begitu juga untuk cicak. Kaki cicak bagaimana pun lebih 'melekat' pada botol tersebut kerana badannya ringan. Bagi Mengkarung pula dari pemerhatian sememangnya agak sukar melekat pada corong botol tersebut kerana badan berat dan permukaan botol yang licin. Kalau anda perhatikan dengan teliti, kelulut tidak akan menutup lubang tersebut dengan propolis dan membiarkan lubang terbuka luas. Ini memberikan ruang lebih kepada kelulut untuk keluar masuk berbanding dengan pintu propolis asal yang bersaiz kecil sekitar 1 cm sahaja. Pintu kecil memudahkan perosak menunggu dipintu masuk berbanding dengan saiz pintu masuk yang besar ini. Teknik corong ini juga memudahkan kita menutup botol agar kelulut tidak keluar dengan penutup botol ketika kerja-kerja meracun rumpai atau racun kimia diaplikasikan oleh petani lain bersebelahan. Inovasi ini telah penulis rakamkan dalam tulisan artikel kali ini untuk dijadikan sebagai salah satu rujukkan teknologi kepada semua penternak kelulut diseluruh negara. Kepada mereka yang ingin membuatnya sendiri boleh membaca artikel ini dan semuga ia berjaya mengawal musuh seperti tuliasn teknikal ini. Wasallam!!!...

TERNAK KELULUT...PELBAGAI CARA...
MENGKARUNG...CICAK MUSUHNYA...
MEMAKAN KELULUT...ITU KERJANYA...
GUNA 'CORONG'...SUDAH BERJAYA... 

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Projek Kelulut Kg Chendor, 
Kuantan, Pahang, 
Malaysia.
(19 JamadilAwal 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...