KLIK SAYA SOKONG BLOG

Monday, March 7, 2016

NEKTAR AKASIA - ANUGERAH TERHEBAT

POKOK AKASIA (Acacia mangium) merupakan tumbuhan yang hidup liar terutama disepanjang kawasan pesisir pantai atau dikawasan hutan akasia yang memang ianya tidak dipedulikan semenjak sekian lama. Senario ini telah berubah apabila kini kawasan tumbuhan akasia menjadi rebutan ramai orang terutama dikalangan penternak Lebah Madu dan khususnya Penternak Kelulut untuk mengutip madu asli. Penulis membuat beberapa tinjauan teknikal kekawasan penternakan kelulut dibanyak lokasi terutama dibeberapa negeri di Pantai Timur iaitu di Pahang, Terengganu dan juga di Kelantan. Semasa membuat tinjauan tersebut, penulis dapat rasakan penternak hanya tahu bahawa pokok akasia adalah sangat sesuai untuk penternakkan kelulut tetapi tidak berapa pasti akan bagaimana nektar tersebut dikeluarkan. Lawatan penulis kekawasan penternakkan sering membawa kamera dan memberitahu penternak bagaimana dan dimana nektar dari pokok akasia dikeluarkan. Akhirnya foto diatas yang diambil dengan kamera Nikon dihasilkan dimana ia jelas menunjukkan antara lokasi dibahagian pucuk daun akasia yang menghasilkan nektar. Foto yang diambil sekitar jam 10.45 pagi ini dengan jelas menunjukkan dimana lokasi atau 'node' yang mengeluarkan nektar dilihat dengan jelas. Kawasan lain disekelilingnya pula kelihatan 'secretion of nectar' dilihat dengan tanda permukaan daun pucuk yang berkilat. Titisan nektar yang jernih ini akan dipungut oleh kelulut, semut, lebah, kerengga yang berkunjung setiap beberapa saat atau beberapa minit. Artikel tengahari Ahad ini sambil menonton Berita TV3 jam 1.30 tengahari saya terus menulis artikel ke 3,899 dalam "Anim Agro Technology" satu temuan penulis bagaimana nektar dari pucuk daun akasia dihasilkan untuk dibuat rujukkan.


Meneliti lanjut pucuk pokok akasia, penulis menunjukkan ada bonjolan jelas pada bahagian pucuk yang terus mengeluarkan nektar. Bahan nektar yang dipanggil sebagai 'extrafloral nectary' pada pokok akasia mengeluarkan nektar daripada bahagian luar ranting pucuk pokok iaitu dilokasi yang dipanggil sebagai 'Axadial side ' berada dipangkal setiap daun akasia dewasa (Sila lihat foto disebelah). Penelitian penulis dengan mata kasar dapat melihat ketulan nektar tersebut dengan jelas. Dalam kajian dimakmal oleh saintis dengan menggunakan mikroskop elektron mendapati terdapat bentuk sesalur nektar (nectary cavity) terdiri daripada sel-sel 'parenchyma' yang mana ia berfngsi mengeluarkan cairan manis ini. Bentuknya adalah seperti 'pancake' diman asalnya membesar bergantung kepada saiz tangkai daun pada cabang pokok. Apabila pokok sudah matang lazimnya ia mempunyai saiz sama besar dengan ukurlilit tangkai daun. Lazimnya sel-sel parenchyma ini akan bertindakbalas dengan safranin yang terdapat disekeliling tisu yang terbahagi kepada banyak tisu nektar (nectariferous tissue) atau sel Tisu Epithelial yang membolehkan ia menghasilkan cairan manisan nektar. Cairan ini akan dikeluarkan melalui rongga-rongga (cavity) disekitar pangkal daun pokok Acasia mangium yang dewasa. Penulis membuat bacaan daripada beberapa buku mengenai perkara ini dengan tujuan untuk mengetahui akan keunikan pada pokok akasia ini. Ini kerana rasa ingin tahun bagaimana pokok akasia mampu menghasilkan nektar dengan kuantiti yang banyak dan sesuai untuk dijadikan lokasi menternak lebah madu terutama Jenis Lebah Import (Apis mellifera). Selain itu ternakan ada Lebah Keran (Apis cerana) dan Kelulut (Trogona itama dan Trigona thoracica) juga sesuai dikawasan hutan akasia.


Nektar dari pokok akasia merupakan lelehan semulajadi manisan pada celah-celah daun dipangkal dahan (leaf petiol) terutapa pada dun muda dan dibahagian pucuknya. Nektar ini yang dikeluarkan (secretion process) oleh pokok akasia dimana ia kini telah pun dikenalpasti mempunyai potensi yang tinggi untuk dikutip melalui penternakan lebah madu dan ternakan kelulut (Sila lihat foto disebelah). Pokok akasia merupakan pokok yang mudah tumbuh disesuatu kawasan jika mempunyai kawasan tanah yang telah ada pokok akasia. Pokok akasia hidup di kawasan hutan dan ada yang ditanam sebagai pohon hiasan dan ketinggian boleh mencapai 15 meter. Mempunyai bunga berwarna kuning dan agak wangi, buahnya leper, berkulit keras berisi kekacang dan apabila masak akan bergulung. Ia digunakan sebagai Pokok hiasan jalan ini dapat mencegah hakisan tanah. Tumbuhan ini juga pernah di laporkan untuk digunakan sebagai julap iaitu ubat sembelit untuk kanak-kanak. Ia juga mempunyai aktiviti yang mengurangkan ketegangan dan ‘anti-anxiety’ serta antifilaria untuk kegunaan manusia. Kajian menunjukkan ada kesan keracunan dimana racun pada tumbuhan ini berkebolehan merencat sistem saraf pusat atau otak, menghalang aliran urin, merosakkan buah pinggang, bengkak di kawasan alat kelamin dan kegagalan hati berfungsi secara normal serta memberi kesan toksik kepada sperma. Bagaimana pun penanaman pokok akasia secara komersial adalah untuk mendapatkan sumber bekalan seperti KAYU, MADU ASLI, TANIN, MAKANAN TERNAKAN dan KARBON. Ia juga kini telah ditanam oleh Jabatan Perhutanan dikawasan bekas hutan sebagai gantian dan dijadikan projek bernilai tinggi.


Daripada beberapa buku rujukan yang penulis baca dilaporkan madu asli yang dihasilkan dari kawasan pokok akasa memberikan kualiti madu yang sangat berkualiti. Dalam kajian keratan rentas nectary menunjukkan terdapat organ dinamakan 'slit-like nectar cavity' pada peringkat awal pembentukan tisu yang menghasilkan nektar. Kajian makmal terhadap kualiti manisan nektar daripada akasia mendapati kandungan nektar terdiri daripada bahan gula iaitu 60% adalah Sukros, 25% adalah Glucose dan 15% adalah Fructose. Manisan ini amat digemari oleh semua jenis serangga yang hidup disekeliling pokok akasia seperti Semut, Kerengga, Lebah Madu dan kelulut yang akan menyedut manisan tersebut berulang-ulang kali sehingga habis. Nektar ini akan dibawa balik kesarang kelulut dan menyimpannya didalam kantung madu (Sila lihat foto yang penulis ambil disebelah). Jika tidak ada serangga yang mengambilnya, maka cairan nektar ini akan mengering akibat tersejat oleh panas sinaran matahari atau pun ditiup angin. Jika hujan juga maka nektar ini akar cair terlarut oleh air hujan. Kesan daripada kawasan nektar yang kering lazimna akan dapat dilihat ada kelihatan warna berkilat atau kehitaman kerana terdapat jelaga yang tumbuh. Nektar dari pokok akasia dihasilkan dengan banyaknya daripada bulan Januari sehingga Ogos sebelum ia mengurang pada musim hujan pada hujung tahun. Lazimnya pokok akasia dewasa akan banyak hasilkan bunga dan debunga pada bulan September sehingga Disember setiap tahun. Semuga foto dan artikel ini berjaya memberi info berguna kepada anda. Wasallam!. 

POKOK TERBIAR... ITULAH AKASIA...
DAUN PUCUK... 'NEKTAR' DIJANA...
SERANGGA DATANG... KUTIPNYA...
KELULUT LEBAH...MADU HASILNYA...

By..
M Anem,
Senior Agronomist,
Projek Ternakan Kelulut, 
Kg Chendor, Kuantan,
Pahang, Malaysia.
(24 JamadilAwal 1437H) 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...