KLIK SAYA SOKONG BLOG

Friday, March 4, 2016

PLANT BOOSTER - INOVASI BARU


ORGANIC Plant Booster telah didakwa mampu untuk meningkatkan pertumbuhan dan hasil tanaman serta ketahanan pokok yang manghasilkan makanan. Pada masa ini di negara kita, penggunaan mikroorganisma tempatan dilihat mempunyai prospek yang luas dan dijangka menjadi satu pencetus industri baharu yang akan menyokong lagi tentang perkembangan industri pertanian khususnya dalam aktiviti pertanian organik di Malaysia. Pelbagai kaedah untuk penghasilan mikrob berfaedah (Beneficial microbe) secara semula jadi dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian Malaysia. Antaranya kaedah pemerangkapan mikrob di bawah pokok buluh atau hutan, kaedah pemeraman yang menggunakan bahan-bahan seperti susu, sayur-sayuran dan buah-buahan serta pemeraman isi perut haiwan ruminan. Kebanyakan kaedah ini menghasilkan kumpulan beberapa jenis mikrob seperti Lactobasillus sp, Fotosintetik bakteria dan yis. Kebanyakan kaedah-kaedah atau teknologi yang diamalkan di negara ini adalah seperti pemerangkapan mikrob daripada kawasan pokok buluh yang dikenali sebagai Indigeneous Mikroorganism (IMO) yang diperoleh dari Korea dan juga pemeraman mikrob daripada haiwan ruminan serta susu yang dikenali sebagai Beneficial Indegeneous Microorganism (BIM) diperoleh dari Jepun. Kini penggunaan nama IMO dan BIM hanya untuk membezakan dua kaedah serta sumber kedapatan mikrob yang berbeza. Terpulang kepada petani untuk memilihnya mengikut keadaan setempat serta kepada kebolehan mendapatkan bahan-bahan tersebut. Jabatan Pertanian Malaysia juga memperkenalkan teknologi penghasilan baja cecair seperti Fish Amino Acid (FAA), Fermented Plant Juice (FPJ), Fermented Fruit Juice (FFJ) dan kompos. Artikel kali ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai inovasi 'Plant Booster' yang dihasilkan oleh Jabatan Pertania dan dilaporkan oleh Akhbar Kosmo untuk dijadikan bahan rujukan anda.

Bahan untuk membuat Plant Booster ini terdiri daripada belacan, nanas, pisang, betik dan kangkung perlu dikisar separa halus sebelum dimasukkan ke dalam satu bekas yang telap cahaya. Kesemua produk ini bertindak sebagai baja dan pelengkap untuk kesuburan tanah serta tanaman. Seiring dengan perkembangan inovasi negara, kaedah pemerangkapan ini sentiasa berkembang mengikut kreativiti dan keupayaan untuk digunapakai oleh para petani. Secara tidak langsung, penambahbaikan ini berjaya menghasilkan satu kaedah baharu yang lebih mudah, cepat dan berkesan untuk diaplikasi dalam sektor pertanian. Hasil gabungan teknologi pertanian dari Korea, Jepun dan India terciptalah satu kaedah inovasi baharu daripada Jabatan Pertanian Malaysia yang diberi nama Organic Plant Booster (OPB). OPB adalah teknologi yang menggabungkan unsur-unsur seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan susu yang menghasilkan kumpulan mikroorganisma berfaedah, enzim-enzim dan hormon-hormon pertumbuhan semula jadi. Ia tidak dikategorikan sebagai baja kerana mempunyai nilai nutrien yang sangat rendah bagi memenuhi keperluan tanaman. Oleh itu, ia lebih berfungsi sebagai merangsang tanaman untuk meningkatkan pertumbuhan dan hasil serta ketahanan pokok melalui pengambilan nutrien yang lebih efisien. Bagi penyediaan OPB sebanyak 80 liter, antara bahan yang digunakan adalah molases/gula merah sebanyak 3 kilogram (kg), belacan (3kg), buah nanas (5kg), telur (10 biji), susu (5 liter), buah pisang (5kg), buah betik (5kg), buah labu (5kg), kangkung (3kg), ragi (5 biji) dan air (50 liter).

Setelah bahan-bahan tersebut diperoleh, kaedah pembuatan OPB adalah seperti berikut:

1. Belacan, nanas, pisang, betik dan kangkung perlu dikisar separa halus dan dimasukkan ke dalam satu bekas yang telap cahaya.

2. Bahan yang dikisar tadi dicampur dengan telur, susu segar atau susu tepung, gula merah dan air.

3. Kemudian, bahan tersebut dimasukkan ke dalam bekas yang sama dan dikacau sehingga sebati.

4. Masukkan buah labu yang dipotong nipis dengan ketebalan 2 milimeter, panjang (5 hingga 6 sentimeter) dan lebar (2 hingga 3 sentimeter). Akhir sekali taburkan ragi yang telah dipecahkan di atas permukaan labu atau media dan kacau sehingga sebati. Pastikan air yang digunakan untuk mengisar buah-buahan dan sayur-sayuran adalah sebanyak 50 liter.

5. Bekas tersebut ditutup secara separa anaerobik dan diperam melalui proses fermentasi antara tujuh hingga sepuluh hari di tempat yang gelap. OPB ini dianggap matang apabila terdapat miselium putih tumbuh di atas permukaan media dan berbau masam manis.

OPB (tidak mengeluarkan miselium dan tidak berbau masam manis), sebanyak 0.5kg molases atau gula merah disyorkan untuk dimasukkan ke dalam bekas tersebut. Kacau sehingga sebati dan bekas tersebut ditutup secara separa anaerobik dan diperam semula melalui proses fermentasi selama seminggu.

6. Setelah matang, OPB dikacau dan ditapis sebelum digunakan pada tanaman. Bagi tujuan penyimpanan stok, OPB perlu disimpan di tempat yang gelap.

Tempoh hayat penyimpanan OPB adalah enam bulan dan boleh dilanjutkan penyimpanan sehingga setahun dengan menambah 20 gram urea dan 500 gram gula merah.

Aplikasi pada tanaman
OPB dicairkan bersama air bersih dan dimasukkan ke dalam tong semburan mengikut sukatan yang telah disyorkan. Larutan tersebut dikacau sehingga sebati kemudian disembur pada keseluruhan pokok dan tanah/media tanaman. Bagi penanaman secara fertigasi, selain semburan pada pokok dan media tanaman OPB juga boleh dilarutkan bersama baja fertigasi yang dimasukkan ke dalam tangki larutan. Perlu diingatkan OPB bukan baja. Jadi, aplikasi baja sangat penting sebelum mengaplikasikan OPB. Contoh sukatan aplikasi OPB ke atas tanaman cili adalah seperti berikut:

Minggu selepas tanam
1 dan 3 (15 ml/liter)
5 dan 7 (20 ml/liter)
9 dan keatas (30 ml/liter)


Kesan OPB kepada tanaman
Hasil pemerhatian dan tinjauan yang dilaksanakan bersama petani oleh Jabatan Pertanian Malaysia, dapat disimpulkan bahawa OPB ini boleh membantu dalam mempercepatkan pertumbuhan pokok, meningkatkan hasil tanaman antara 20 antara 30 peratus, penjimatan dalam penggunaan baja, mempercepatkan tempoh masa dalam proses pembungaan, memanjangkan tempoh hayat tanaman dan meningkatkan ketahanan penyakit pada tanaman. Justeru itu, penggunaan OPB ini adalah sangat digalakkan kepada semua peringkat seperti petani dan suri rumah. Kepada anda yang ingin mendapatkan info tambahan boleh berhubung dengan Pusat Pertanian Serdang (Bahagian Hortikultur), Selangor atau merujuk kepada lamanweb mengenai perkara tersebut. Wasallam!.
PLANT BOOSTER... PRODUK APA...
BUAT SENDIRI... CARI BAHANNYA...
JENIS MIKROB...HASILKAN BAJA...
POKOK SUBUR... HASIL DIJANA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pusat Pertanian Serdang,
Serdang, Selangor,
Malaysia.
(17 Syaaban 1436H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...