KLIK SAYA SOKONG BLOG

Friday, December 18, 2015

PROJEK KELULUT DI MELAKA


TERNAKAN KELULUT (Trigona spp) merupakan satu industri penghasilan madu lebah yang semakin popular dikalangan usahawan di Malaysia. Penulis telah meninjau dan membuat lawatan teknikal kepada usahawan Encik Osman, 58 tahun dan anaknya yang menternak kelulut di Kg Tebing Tinggi, Kandang, Melaka Tengah, Melaka iaitu satu projek yang dikira berjaya. Lawatan ini disertai oleh seramai 30 pegawai daripada Bahagian PTIF, Jabatan Pertanian dari seluruh Malaysia. Lokasi penternakan ini terletak jauh dari kawasan kediaman melalui kebun kelapa sawit dan mempunyai sumber makanan daripada tanaman sumber makanan kelulut serta hutan belikar disekelilingnya. Antara tanaman makanan yang terdapat di kawasan ternakan seperti Bunga Air Pengantin (Honolulu creepers), Bunga 9 pagi, Bunga Pentas, Ulam Raja, Senduduk, Pokok Mangga, Balung Ayam dan berpuloh jenis lagi. Terdapat juga banyak pokok leban bersebelahan kawasan ternakan yang menjadi sumber makanan yang banyak. Kawasan ternakan ini mempunyai pintu gerbang yang menarik dengan perkataan 'Selamat Datang ke T.t. Bee Honey' yang mana kawasan ternakan adalah dipagar sepenohnya.Selain daripada ternakan lebah dan kelulut, usahawan ini juga menternak kambing. ayam dan juga beberapa ekor rusa. Rumah untuk pengunjung juga dilengkapkan dengan pameran produk madu asli daripada 3 buah ladang beliau. Antara bahan pameran yang diadakan adalah sarang kelulut, haif super, sarang tebuan (musuh utama kelulut dan lebah madu), peralatan menternak kelulut, poster dan risalah serta keratan akhbar berkaitan industri ini. Artikel kali ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai usahawan ternakan kelulut dan lebah madu dari Melaka yang dikira berjaya dalam memajukan industri ini sehingga mampu mengeluarkan madu kelulut asli yang dijamin kualitinya.  


Memulakan taklimat, Encik Osman menyatakan bahawa dulunya beliau adalah seorang kontraktor binaan. Minat beliau untuk menghasilkan madu asli bermula apabila ada ahli keluarganya yang pernah diserang penyakit TB dan telah sembuh apabila mengambil madu asli dalam masa 2 minggu sahaja dan disahkan oleh doktor dihospital Melaka. Ini membuatkan beliau terus mendapatkan ilmu mengenai teknik menternak lebah madu daripada pengusaha berbangsa Cina tidak jauh daripada kampungnya selama beberapa bulan. Kemudian berbekalkan modal sendiri sebanyak RM40,000, beliau telah memulakan membeli Lebah Import (Apis melifera) daripada pembekal yang dikenali pada tahun 2005. Bagaimana pun dengan nada sedih beliau memberitahu bahawa Banjir Besar 2006 telah menenggelamkan semua koloni lebah madu beliau dan mengalami kerugian amat besar dalam hidupnya. Kemudian beliau mula mendapat bantuan daripada Jabatan Pertanian untuk memulakan projek kelulut dengan belajar ilmu ternakan kelulut. Antara kejayaan beliau yang terhebat adalah apabila berjaya menternak kelulut dalam struktur Rumah Melaka yang dipamerkan beberapa kali dalam Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) dibeberapa lokasi (Sila lihat foto disebelah). Struktur rumah Melaka ini mendapat pujian dari banyak pihak sehingga ada yang menawarkan harga tinggi untuk rumah tersebut.


Keunikan struktur Rumah Melaka untuk dijadikan daya penarik kepada ramai peminat ternakan kelulut. Pada penulis idea ini juga merupakan satu inovasi menarik yang boleh diketengahkan dengan lebih jauh jika mahu dikomersilkan (Sila lihat foto disebelah). Teknik ini membolehkan sarang kelulut ini diletakkan dimana-mana bahagian rumah untuk dijadikan taman hiasan yang menarik sama ada dirumah Bunglo, Rumah Semi-D, Rumah Teres apa lagi kalau dikeliling rumah kampong yang banyak sumber makanan untuk kelulut. Batang Kayu (Log) dibahagian bawah adalah dimana koloni termasuk ratu dan pekerja tinggal dan bentuk rumah Melaka diatasnya adalah merupakan 'haif super' untuk kelulut menyimpan madu. Rekabentuk yang menarik ini memang agak unik daripada rekabentuk 'haif super' berbentuk kotak biasa empat segi sama. Dahulu beliau ada menerima banyak tempahan untuk buat sendiri struktur unik ini tetapi beliau kini telah mengupah orang lain untuk membuatnya kerana ketiadaan masa. Lazimnya masa untuk membuat kotak super rumah Melaka sekitar 2 minggu untuk menyiapkannya. Harga struktur yang ditawarkan bergantung kepada jumlah permintaan, saiz diperlukan dan juga jarak penghantaran. Sesiapa berminat boleh berhubung dengan En Osman.


Pada masa ini Encik Osman dan anaknya mempunyai sebanyak 780 koloni kelulut di 3 lokasi penternakan. Selain dari Kg Tebing Tinggi, Kandang Melaka, dua lokasi ternakan lain adalah di Kem Sirajudin, Gemas dan juga di PLPP Sg Udang, Melaka. Jenis utama kelulut yang diternak adalah Trigona itama dan juga sebahagian lagi adalah Tripona thoracica. Katanya kedua-dua spesis ini mempunyai potensi hasil yang sama bergantung kepada musim dan cara-cara pengurusan (Sila lihat foto disebelah). Anak beliau telah menghadiri kursus Asas Penternakan Kelulut anjuran Jabatan Pertanian di Sekayu, Terengganu dibawah Program Khas Agropreneur Muda Kementerian Pertanian. Beliau kini dalam proses kelulusan bantuan dibawah program ini dengan kadar insentif RM15,000 berbentuk 'in-kind' yang sedang diproses kelulusan akhir oleh UAM (Unit Agropreneur Muda). Insentif ini akan digunakan untuk menambah koloni kelulut dan kelengkapan lain yang akan diletakkan di PLP Sg Udang dimana ia diperingkat akhir perundingan. Antara isu utama yang dihadapu pengusaha adalah apabila beberapa kali berlaku adalah kes kecurian koloni kelulut dimana ia telah dilaporkan kepada pihak polis walau pun belum ada tangkapan dilakukan sehingga kini. 


Produk madu asli yang dihasilkan dari usaha penternakan kelulut beliau kini kebanyakannya dipasarkan untuk pasaran domestik. Ia dibungkus dengan pelbagai saiz pengisian dan bentuk packaging yang sangat menarik dan komersil. Ada yang dimasukkan dlam botol panjang, leper, bulat dan ada yang dipek kecil (Sila lihat foto disebelah). Madu keluaran T.t Bee Honey ini dijamin asli (pure) dan tiada yang madu 'express'.  Beliau menerangkan ada beberapa usahawan dan syarikat yang dia kenal mampu menghasilkan madu kelulut tipu dengan menggunakan acuan plastik (plastic casing) dan diisi dengan madu tiruan atau madu lebah madu lain. Koloni pekerja kelulut akan menutup madu tiruan yang dimasukkan dalam acuan dan ia akan dituai sebagai madu kelulut asli. Mereka akan menjual sebagai madu asli tetapi amat merbahaya kepada pengguna yang tidak mengetahuinya. En Osman juga meminta pihak berwajib untuk membuat penguatkuasaan mengenai aktiviti ini. Katanya usahawan seperti ini akan memusnahkan industri madu kelulut asli apabila pengguna hilang kepercayaan (Sila anda baca artikel saya disini - Sila klik disini). Akhir kata penulis ucapkan selamat maju jaya kepada En Osman semuga terus maju dalam industri ternakan kelulut di Melaka. Wasallam!.
TERNAK KELULUT... DIMELAKA...
RUMAH MELAKA,,, CANTIKNYA...
MADU ASLI.. ADA JAMINANNYA...
DIHARAP...TERUSKAN USAHA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Apartment B-6-29, Blok Tahiti,
Bayou Lahoon Park Resort,
Bukit Katil,
Melaka,
(4 RabiulAwal 1436H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...