KLIK SAYA SOKONG BLOG

Thursday, December 31, 2015

DEDALU - TUMBUHAN PARASIT

POKOK DEDALU (Salix tetrasperma Roxb ) adalah sejenis tumbuhan parasit yang tumbuh dengan ia menumpang pada pokok lain. Dedalu jangan disamakan dengan Pokok Dedap atau Dedap Merah (Erythirina variegata) walau pun bunyi sebutannya hampir-hampir sama atau mengelirukan (Sila anda lihat foto diatas). Pokok Bunga Dedap Merah atau sebenarnya merupakan tumbuhan dari keluarga Fabaceae (dulu ia adalah Leguminosae) yang ditanam untuk berfungsi sebagai pokok bunga sebagai pagar hidup dikeliling rumah dengan warna bunganya merah terang tetapi tiada baunya. Ia merupakan tumbuhan yang juga berfungsi sebagai pokok peneduh dan mempunyai banyak nama gelaran lain. Ada peribahasa iaitu 'Laksana Bunga Dedap, sungguh merah Berbau Tidak' yang saya tulis sebelumini (Sila klik disini). Berbeza dengan pokok dedalu dimana tumbuhan ini adalah daripada keluarga Salicaceae yang sering menempel pada dahan dan batang pokok lain dan menyerang tanaman buah-buahan dengan teruk jika pokok dedalu tidak dikawal dengan baik. Bagaimana pun ahli bahasa kita lebih bijak mengenai pokok dedalu dimana mereka mencipta satu peribahasa iaitu "Bagai dedalu hinggap di pohon, hinggap ke batang dan ranting mati". Ini bermakna tanggapan bahawa pokok dedalu itu sejenis parasit sudah diketahui oleh pakar bahasa kita sejak dulu kala. Mungkin mereka melihat pokok besar yang mati hanya disebabkan oleh pokok dedalu yang telah lama menempel padanya. Adakah kita semua faham akan dua tumbuhan yang namanya bermula dengan 'D' iaitu Dedalu dan Dedap ini mempunyai kekuatan untuk dijadikan peribahasa yang diajar sehingga kini. Pokok dedap memberi erti berbeza iaitu "Orang yang berpenampilan elok dan menawan tetapi tiada budi bahasa atau tidak beradab" sedangkan Pokok Dedalu memberi maksud peribahasa sebagai "Orang yang berbuat jahat itu selalu mengajak orang yang baik itu mengikutinya". Bagaimana pun keduanya memberikan maksud sikap yang kurang baik. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai pokok dedalu yang merupakan parasit kepada tumbuh-tumbuhan terutama buah-buahan sama seperti pokok duit-duit (Sila klik disini) dan sebagainya untuk rujukkan anda semua.

Sebenarnya tumbuhan jenis parasit ini mempunyai lebih daripada 320 spesis diseluruh dunia dengan banyak terdapat dihemispiar utara. Saya kenal akan pokok dedalu ini kerana ia menghasilkan manisan pada kantung bunganya yang sering kami ambil masa remaja dulu. Kadang-kadang seringkali jumpa dimana ada burung yang mendatangi pokok dedalu untuk menyedut manisannya (Sila lihat foto disebelah). Dedalu sering menumpang pada pokok buah-buahan dikawasan dusun seperti pada Pokok Jering (Archidendron jiringa), Pokok Jambu Batu (Psidium guajava), Mempelam (Mangifera indica), Pokok Ciku (Manikara sapota) dan Pokok Rambutan (Nephellium lappaceum). Tumbuhan ini juga menumpang pada batang tumbuhan lain dengan bahagian akarnya masuk kedalam batang akar dan menyerap air serta makanan daripada pokok tersebut. Dalam banyak situasi, keujudan pokok dedalu ini akan menyebabkan dahan pokok kemudian akan menjadi kering, daun berguguran dan akhirnya dahan pokok tersebut akan kering dan mati jika ia berlaku pada tahap serius. Tumbuhan ini banyak didapati dikawasan hutan dan sekitarnya di Malaysia dan negara-negara ASEAN lain. Dedalu juga merupakan musuh kepada petani yang mempunyai kebun tidak diuruskan dengan baik dimana ia perlu dikawal daripada peringkat awal lagi.

Pokok Dedalu adalah pokok jenis parasit atau pokok tumpang membentuk bonjolan pada dahan tumpang dimana akarnya akan melekat pada tumbuhan lain dengan kuat. Dari bonjolan atau 'bonggol' akan keluar beberapa batang berkayu yang tumbuh menegak atau melempai. Daunnya adalah berwarna hijau coklat terutama dibahagian bawah daun. Saiz daun sekitar 10-18 cm panjang dan 4-7 cm lebar dengan susunan daun bertentangan (opposite). Warna daun ini dapat kita bezakan dari jauh dengan daun pokok tumpang yang kebanyakannya berwarna hijau. Paling unik saya perhatikan adalah bentuk bunganya seperti trompet panjang dengan ia kembung dibahagian tengah berwarna coklat bersaiz 2-4 cm panjang. Bunga ini keluar dalam bentuk jambak dan ia mengandungi spora yang apabila matang akan diterbangkan oleh angin untuk hinggap pada dahan lain bagi tujuan pembiakan.  Saya dapati tidak banyak tulisan atau artikel yang dapat kita jumpa dalam lamanweb mengenai pokok dedalu ini. Ini mungkin tidak ramai yang perasan akan kehadirannya pada fauna kita terutama keujudannya dikawasan hutan yang menumpang pada pokok balak yang tinggi. Walau pun pokok dedalu dikatakan jenis pokok parasit yang boleh menyebabkan pokok yang ditumpanginya mati, namun saya dapati dalam perubatan tradisional Melayu pokok ini mempunyai nilai perubatannya yang tersendiri. Apa juga pun pokok dedalu merupakan tumbuhan parasit yang perlu dimusnahkan. Caranya dengan mengutip dan membuang semua pokok dedalu yang melekat pada pokok dari peringkat awal lagi. Sebaiknya dedalu mesti dibuang sebelum ia berbunga sebab bunga yang matang akan menaburkan benihnya kepada pokok lain dengan cepat. Bakar semua pokok dedalu yang dikutip dari pokok sehingga selesai. Semuga anda mendapat info berguna daripada tulisan artikel kali ini. Wasallam!.

POKOK DEDALU...PARASIT SIFATNYA...
HIDUP MENUMPANG..ADA MANGSANYA...
DAHAN MATI... TERJEJAS HASILNYA...
JUMPA...PERLU DIBUANG BAKAR SEGERA...

By,
M Anem
Senior Agronomist
Jalan Istana, Persimpangan Bukit Beruang,
Bandar Melaka, Melaka,
Malaysia
(17 JamadilAkhir 1434H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...