KLIK SAYA SOKONG BLOG

Friday, December 25, 2015

PISANG RAJA UDANG

PISANG RAJA UDANG (Musa acuminata) atau dikenali dengan 'Red Banana' merupakan sejenis pisang yang unik kerana warna kulitnya berwarna kemerahan ungu atau reddish purple atau meroon atau dalam bahasa kita 'Merah Hati'. Pisang ini tergolong dalam kumpulan Kultivar AAA Group (sama dengan jenis pisang Cavendish) dimana ia berbeza kerana kebanyakan pisang adalah hijau dimasa muda dan kuning apabila ia masak. Pisang ini jarang ditanam secara komersil di Malaysia kerana ia dikatakan tidak komersil dan agak sukar untuk mendapatkannya atau untuk membeli dipasaran. Kalau anda pergi kegerai jualan pisang pun amat jarang dapat kita jumpa pisang  raja udang dijual segar. Apa yang unik bagi penulis tentang pisang ini kerana ia mempunyai kulit berwarna kemerahan ungu tetapi isinya tetap berwarna keputihan krim atau sedikit merah jambu (pinkish colour). Penulis memang pernah makan pisang ini semasa remaja dikampong dulu dimana ia ada ditanam oleh penduduk kampong. Bagaimana pun penulis paling suka pisang ini kerana apabila buah yang kecil ini dipotong bahagian pangkalnya ia seakan burung pipit haji yang boleh digunakan untuk memikat burung tersebut dikawasan sawah padi. Dalam blog banyak juga dituliskan bagaimana pisang raja yudang ini dikaitkan dengan pelbagai mitos dan cerita. Artikel subuh ini saya menulis lagi didalam "Anim Agro Technology" mengenai pisang Raja Udang untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukan anda. 


Pisang Raja Udang sama dengan pokok pisang lain ditanam dengan menggunakan sulur anak pisang. Sulur Anak Pisang Raja Udang perlu diambil daripada pokok induk yang sihat dan digali menggunakan alatan sesuai (Sila lihat foto disebelah). Sulur ini sebaiknya dirawat dahulu dengan baik sebelum ditanam dikebun. Sama seperti tanaman pisang lain, lubang penanaman perlu disediakan lebih awal dibubuh baja asas dan baja organik. Cara menanam pisang ini boleh dibuat secara Tanaman Tunggal atau Tanaman Selingan dengan tanaman kekal seperti getah, kelapa sawit, dusun durian atau pokok lain. Jarak tanaman pisang ini disyorkan pada jarak 3 meter x 3 meter memberikan densiti tanaman 1,100 pokok/ha (tanaman tunggal) dan 700 - 900 pokok/ha (Tanaman Selingan). Lubang penanaman digali berukuran 45cm x 45 cm x 60 cm dan bubuh sebanyak 12-14 kg baja organan serta 100-120 gram baja fosfat dibahagian atas dan gaulkan. Masukkan anak benih kedalam lubang penanaman dan kambus dengan menaikan sedikit pangkal pokok. Pilih kawasan penanaman yang mempunyai sistem saliran baik dan tidak ditenggelami air dimusim hujan.


Pokok Pisang Raja Udang seperti juga jenis pisang lain mempunyai tahap responsif yang kritikal dengan program pembajaan (Sila lihat foto disebelah). Tahun pertama penanaman berikan baja NPK 15:15:15 sebanyak 60-120 gram sepokok dalam 5-8 kali aplikasi setahun. Pada bulan ke 12 tanaman ini diberikan baja NPK 15:15:15 sebanyak 150 gm/pokok, Baja NPK 12:12:17:2 sebanyak 150 gram serta Kapor GML sebanyak 1 kg/pokok. Baja buah diberikan seterusnya pada 18 bulan keatas mengikut kadar sesuai. Kawalan rumput dijalankan dengan menyembur racun rumpai jenis racun sentuh diantara barisan pokok. Kawasan keliling pangkal pokok dibersihkan menggunakan tajak dan cangkul secara manual. Pisang ini juga memerlukan air sebanyak 8 - 12 liter sepokok sehari. Kekurangan air akan menyebabkan pokok lambat membesar dan pemasangan sistem pengairan untuk tanaman pisang hanya dibuat oleh petani yang banyak modal. Aktiviti membuang sulur pisang ini yang tidak dikehendaki dengan tujuan menjarakkan penuaian hasil dalam satu-satu rumpun serta memastikan hasil dan mutu buah tidak terjejas akibat persaingan dalam permakanan.  


Pisang Raja Udang lazimnya akan mengeluarkan jantung dalam masa 8-10 bulan selepas ditanam dan buah boleh dikutip lapan minggu kemudian (Sila lihat foto disebelah). Bagi mengelakkan buah pisang ini tercedera sebaiknya ditebang pokok pisang jarak kira-kira 0.5 meter daripada tandan buah. Potong sedikit-sedikit sementara sebelah tangan lagi memegang tandan pisang agar buah tidak terhempas di tanah. Buah pisang yang telah cukup matang mempunyai warna kulit yang merah ungu dan saiz ukurlilit 4-7 cm dan panjang sekitar 10-15 cm bergantung kepada varieti dan kaedah pengurusan penanaman. Buah yang cukup matang akan mempunyai isi putih krim apabila cukup masak dengan rasa yang kelat sederhana manis dan aroma yang biasa. Pisang ini jarang digredkan kerana ia tidak bertahap komersil seperti pisang lain. Apa yang istimewa tetang pisang ini adalah ia mengandungi bahan Beta Carotene dan Vitamin C yang lebih tinggi daripada jenis pisang yang masaknya kuning. Ia juga mengandungi banyak zat Besi dan Potassium dimana lebih merah gelap buah pisang maka kandungan zatnya semakin tinggi. Ia perlu dikupas kulitnya sebelum dimakan segar. Ia juga boleh dipotong-potong untuk dijadikan dessert atau dikeringkan menjadi kerepik. Kepada petani yang ingin cuba menanam pisang raja udang secara komersil boleh mencubanya selepas membaca artikel ini. Wasallam!.
PISANG MERAH...UNIK WARNANYA...
RAJA UDANG... JARANG DIJUMPA...
KULIT MERAH UNGU... PUTIH ISINYA...
RASA MANIS.. TINGGI KHASIATNYA..

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Aras 13, Desaminium Flora,
Persiaran Desaminium, Taman Desaminium,
43300 Seri Kembangan,
Selangor, Malaysia.

(12 RabiulAwal 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...