KLIK SAYA SOKONG BLOG

Thursday, December 24, 2015

JAMBU AIR - TEKNOLOGI SEDIA BENIH

JAMBU AIR (Syngium samarangense) atau Wax Apple atau Rose Apple adalah merupakan sejenis buah dari keluarga Myrtaceae bolh ditanam dengan anakbenih yang disediakan menggunakan teknologi moden. Penulis baru-baru ini telah berpeluang melihat bagaimana cara penyediaan benih menggunakan KERATAN DAUN (Leaf cutting) berjaya mempercepatkan proses pembiakan jambu air (Sila lihat foto diatas). Teknologi pembiakan cara vegetatif ini selain dari ia mudah dan cepat disediakan, ianya juga dapat menjamin ketulinan baka pokok induk yang berkualiti. Buah ini juga mempunyai nama botani sinonim lain seperti Syngium javanica dan Eugenia samarangense. Jambu Air mempunyai banyak varieti di Malaysia, Thailand, Indonesia dan Filipina serta beberapa negara sekitar. Jambu Air adalah natif di Malaysia, Indonesia, Thailand dan juga Malaysia bagaimana pun Negara Taiwan merupakan antara negara yang maju dalam pembangunan varieti jambu air dengan menjalankan kajian biakbaka jambu air. Walau pun Taiwan hanya mampu menghasilkan hasil buah jambu air dalam masa 6 bulan sahaja dalam setahun, tetapi nilai pengeluaran domestik dan eksport mencecah jutaan ringgit setahun. Agensi seperti TWADA (Taiwan Wax Apple Development Association) merupakan satu NGO boleh mengawal kualiti buah dan juga pengeksportan jambu air yang berpengaruh di Taiwan. Bentuk buah jambu lazimnya berbeza-beza mengikut varieti. Asas bagi bentuk buah jambu air ada 3 bentuk iaitu 'Pear shape', 'Elongated shape' dan 'Bell shape'. Terdapat benyak warna buah jambu air daripada yang berwarna putih, hijau terang, hijau gelap, merah terang, merah jambu, merah terang, merah gelap dan ungu malahan kehitaman (wild variety). Saiz buah sekitar 5-12 cm panjang dengan berat mencecah 150 gram sebiji. Buah jambu air akan terbentuk diantara 30 - 40 hari selepas anthesis. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai buah jambu air tanpa biji dengan buah jambu air berbiji sekadar menambah imlu mengenai teknologi pertanian. 


Pokok Jambu Air merupakan pokok yang tumbuh menegak dengan banyak dahan dan ranting yang dipenohi dengan daunnya yang berwarna hijau. Kalau dahulu kaedah pembiakan tanaman jambu batu hanya menggunakan biji benih yang terpilih dan semai atau cara pembiakan tampang seperti tut dan cantuman tetapi kini telah dicipta satu lagi teknologi baru yang cekap. Jambu air yang biasa dibiakkan dengan kaedah tradisional dan kini ada teknologi untuk menyediakan anak semaian pokok cara paling mudah. Teknik mennggunakan keratan daun cara ini telah pun menjadi amalan dan terkenal di Thailand semenjak dahulu kerana saintis dan petani mereka amat rajin membuat kajian saintifik. Pertama adalah untuk membuat pemilihan pokok induk jambu air yang telah dikenalpasti dari varieti komersil, berhasil tinggi, buah berkualiti, pokok yang tahan penyakit dan mudah diuruskan. Pokok ini akan dipilih untuk dijadikan sumber daun untuk dibuat benih keratan. Sebaiknya pokok tersebut telah diperiksa dahulu sebagai mempunyai daun yang sesuai untuk dijadikan sebagai bahan tanaman dan semaian. Mula-mula potong tangkai atau batang daun dengan dua helai daun diatasnya (Sila lihat fotosebelah). Kemudaian lai daun dikerat sehingga meninggalkan 1/3 daripada panjang daun dengan potongan merentas.  


Proses seterusnya adalah menyediakan kiub diperbuat dari span bunga yang ada dijual. Span besar yang poros itu perlu dipotong-potong kecil empat segi atau lonjong berukuran 4cm x 4cm x 3 cm atau mengikut kesesuaian dan dibuat lubang dengan pisau dibahagian atasnya untuk tujuan menyelitkan pangkal ranting atau tangkai daun anak benih semaian. Jenis span ini sebaiknya mampu menyerap air dengan baik. Keratan daun jambu air yang telah dipotong kemudian perlu dipangkal ranting daun untuk dicelupkan dengan ubat penggalak akar yang ada dipasaran (Seperti Seradix/ serbuk putih dan sebagainya). Kemudian sisipkan pangkal keratan daun tersebut kedalam lubang dalam kiub span yang disediakan sekitar 1-2 cm dalam agar melekat dengan kuat (Sila lihat foto disebelah). Walau pun nampak mudah tetapi kerja ini perlu berhati-hato agar tangkai daun tidak patah atau terputus. Jika tangkai daun tercabut atau putus maka ia sudah tidak sesuai untuk digunakan dan perlu diganti dengan keratan daun yang lain.


Seterusnya adalah merendam keratan yang telah dibubuh ubat penggalak akar dan disisipkan tadi kedalam bekas yang mengandungi air (Sila anda lihat foto disebelah). Sebaiknya bekas ini diletakkan di kawasan yang ada cahaya matahari (bukan panas terik kerana air panas akan memnyebabkan keratan daun mati). Proses merendam dilakukan beberapa lama sehingga serapan air masuk dalam span lengkap dan keratan untuk daun tersebut berjaya untuk mengeluarkan akar. Lazimnya jika semua syarat diikuti maka akar boleh keluar dalam masa 4 -10 hari. Pastikan air yang digunakan adalah sesuai dan bersih. Bagaimana pun perlu sesekali ditukar air atau ditoskan dan keratan daun serta span disembur dengan air menggunakan sprayer. Rendam semula apabila air dalam span telah kering dan tunggu sehingga akar keluar daripada permukaan kiub span. 


Keratan akar jambu air yang berjaya akan mengeluarkan akar dengan baik daripada span bunga (Sila lihat foto disebelah). Keratan ini mempunyai akar yang keluar daei kiri atau kanan atau bawah bahagian span dan lembut. Pada masa yang sama perlu disediakan polibeg yang diisikan dengan media semaian seperti tanah campuran 3:2:1 atau pun cocoapeat atau peatmoss. Gunakan polibeg semaian berwarna hitam dengan saiz sesuai (Sila lihat foto paling atas) dan susun didalam tapak semaian setelah benih keratan daun berakar tadi ditanam. Menanam benih keratan daun  berakar ini perlu berhati-hati dengan membuat lubang ditengahnya dan masukan kedalam lubang dengan elakkan daripada akar tersebut putus. Tekan sedikit lubang pnanaman dengan jari dan kemudian perlu disiram dengan air sehingga ia keluar menjadi anak benih jambu air yang sedia untuk dialihkan keladang.  Jalankan pengairan dan pembajaan sama seperti aktiviti menjaga tapak semaian buah-buahan yang lain. Diharap tulisan ini memberi idea baru kepada anda untuk mencubanya. Apa pun mungkin kejayaan bergantung kepada banyak faktur. Wasallam!.


Anak benih keratan daun sedia dialih keladang.
Hasil buah jambu air yang ditanam gunakan benih keratan daun.
JAMBU AIR.... BUAH TEMPATAN...
TEKNIK BARU... DAUN KERATAN...
MUDAH, CEPAT...DISEDIAKAN...
ARTIKEL INI..HASIL PEMERHATIAN...

By,
M ANem,
Senior Agronomist,
Precint 11,
Putrajaya, WP, MAlaysia.
(12 RabiulAwal 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...