KLIK SAYA SOKONG BLOG

Sunday, December 6, 2015

KUIH LOMPANG

KUIH LOMPANG merupakan sejenis kuih tradisional kegemaran ramai di Malaysia dan kini telah dikomersilkan. Kuih Lompang ini amat saya suka kerana keenakannya dimana cara membuat sama seperti proses membuat kuih kasui cuma cara ia menggunakan acuan. Asal nama Kuih Lompang sesuai dengan sifat fizikal kuih ini yang selalunya akan membentuk lekukan atau lubang atau lompang iaitu dibahagian tengahnya bergantung kepada acuan dan adunan tepong yang digunakan. Kuih lompang tradisional selalunya berwarna coklat ini merupakan kuih lompang standard yang dikomersilkan. Kadang-kadang ada juga mereka yang membuat sendiri kuih lompang dengan mereka menggunakan warna lain seperti hijau, putih, kuning, merah atau kombinasi beberapa warna mengiktu kesukaan. Kuih lompang murah jika dijual dipasar malam atau pasar tani atau gerai kuih yang menjual kepada para peminatnya. Pada saya kuih lompang tradisional yang berwarna coklat gelap amat saya suka makan kerana ia mempunyai tekstur yang lembut, manis, wangi dan sebiji terus masuk dalam mulut. Ia menghasilkan rasa masin sedikit dan lemak daripada kelapa parut yang ditabur diatasnya. Kini ada ramai juga usahawan membuat kuih sejukbeku yang membuat kuih lompang ready made untuk pasaran komersil seperti id hotel dan restoran. Kuih lompang ready made ini hanya perlu dikukus atau masuk oven semula untuk memanaskan dan memasaknya. Tidak payah kita hendak bertungkuslumus membuat sendiri. Artikel malam ini sambil meninton TV1 perlawanan suku akhir Piala Malaysia antara JDT dengan FELDA United saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai kuih lompang dan resepi umum untuk membuatnya. 


Kuih Lompang mudah disediakan dengan bahan yang murah, mudah didapati dan berkhasiat. Lazimnya untuk membuat kuih lompang diperlukan dua bahan iaitu Bahan A dan Bahan B. Bagi bahan A diperlukan iaitu bahan 0.5 cawan gula pasir, 1 cawan gula merah (Saya lebih suka dicampur dengan Gula Melaka), 1.5 cawan air  dan juga sebanyak 3 helai daun pandan. Bahan ini digunakan untuk menyediakan ramuan untuk dicampur dengan bahan B sama seperti membuat kuih kasui. Sementara itu Bahan B yang diperlukan adalah 1.5 cawan tepung gandum, 0.5 cawan tepung ubi, 0.5 cawan tepung beras, 0,5 cawan isi durian (kepada mereka yang suka kuih lompang perisa durian sebagai satu pilihan sahaja)Sedikit garam, 3 sudu besar air kapur dan 3 cawan air. Bahan ini juga murah serta mudah didapati. Keperluan untuk memasak kuih lompang adalah dapor gas, kuali kukus, loyang kukus, acuan kuih lompang dan senduk atau penyepit serta pengisar (blender). Keperluan lain sepertu mangkuk adunan dan cawan. Lazimnya minyak masak digunakan untuk disapu pada acuan kuih lompang. Ini bertujuan agar kuih lompang tidak melekat pada acuan. Bahan pelengkap seterusnya adalah kelapa parut yang dibubuh sedikit air garam.

Cara untuk membuat kuih lompang yang enak ini sebenarnya amat mudah kepada mereka yang ada kemahiran. Mula-mula sekali adalah menyediakan bahanA iaitu memasak gula pasir, gula merah (gula melaka) dan air untuk dijadikan bahan A diatas sehingga gula larut kemudian ia perlu ditapis dan sejukkan. Masukkan 3 cawan air, air kapur dan garam ke dalamnya. Kenudian baha-bahan B diayak ke semua tepung dan masukkan ke dalam air gula tadi. Kacau adunan ini sehingga sebati dan rata. Seterusnya adalah aktiviti menapis bancuhan tepung ke dalam kuali untuk mengelakkan dari berketul-ketul. Saya lebih suka untuk mengisar dengan blender sahaja untuk mendapatkan kadar larut yang baik. Masukkan adunan cair dalam bekas yang mudah untun menuangkannya nanti. Bagaimana pun jika suka dimasukkan isi durian untuk menghasilkan kuih lompang berperisa durian. Kacau seketika di atas api yg kecil sehingga kelihatan agak pekat. Seterusnya adalah menyapu acuan dengan minyak masak supaya kuih lompang mudah dikeluarkan dan panaskan acuan di dalam pengukus seketika. Tuang adunan ke dalam acuan dan kukus selama 15 minit atau sehingga betul-betul masak. Apabila masak ia boleh diangkat dan biarkan kuih lompang menjadi sejuk maka barulah dikeluarkan dari acuan. Kuih ini sebelum dihidangkan ditabur dengan kelapa parut yang dibubuh sedikit garam yang dikukus sekejap supaya tahan lama. Kuih yang enak dan berkhasiat ini amat sesuai dimasukkan terus kedalam mulut sebiji sekali. Ia lembut dan ada aroma pandan dan gula merah yang mengenyangkan. Semuga anda berilmu dengan tulisan artikel ini. Wasallam!.



KUIH LOMPANG... ENAK DIMAKAN...
ADUNAN KASUI... MASUK ACUAN...
DITABUR KELAPA..MENYEDAPKAN.. 
MUDAH DISEDIA...JIKA ADA BAHAN...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
Wilayah Persekutuan,
Malaysia.
(14 Safar 1437H)





No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...