KLIK SAYA SOKONG BLOG

Monday, July 27, 2015

PADI - KAWALAN PEROSAK MESRA ALAM

TANAMAN PADI (Oryza sativa) merupakan satu industri yang amat penting dinegara kita demi membekalkan beras kepada rakyat Malaysia. Pada masa ini kadar kecukupan (Self sufficient level - SSL) dalam negara sekitar 70-75% dimana bakinya adalah beras yang perlu diimport daripada negara jiran. Malaysia mengimport beras daripada Thailand, Vietnam, India dan beberapa negara lain sebanyak 25-30% bagi menampung kecukupan bekalan. Keluasan sawah padi di negara kita secara fizikal sekitar 660,000 hektar yang melibatkan 8 Kawasan Jelapang Padi (Jelapang padi bermaksud kawasan penanaman padi yang luas khusus untuk tanaman padi). Kawasan utama jelapang padi dikelolakan oleh MADA, KADA dan 6 IADA lain dibawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia. Selain itu terdapat kawasan luar jelapang padi yang bertaburan diseluruh negara untuk ditanam dengan padi. Padi sekarang ditanam hanya selama 100 hari sahaja dimana ia ditanam 2 kali setahun atau 5 kali dalam 2 tahun mengikut musim penanaman iaitu Penanaman Musim Utama dan Penanaman Luar Musim. Kedua-dua musim penanaman padi diatur mengikut Jadual Penanaman Padi dan agihan air sawah mempunyai kelebihan dan kekurangan dalam hasil dan pengawalan perosak dan penyakit tanaman. Kini purata hasil padi negara adalah 4.2 mt sehektar. Tanaman padi adalah jenis tanaman intensif yang perlukan pengurusan rapi untuk mempastikan ia mampu menghasilkan hasil tinggi dan berkualiti. Terdapat banyak kempen dan pendekatan dalam kawalan perosak dan penyakit padi dilakukan sepanjang masa oleh pihak berkaitan. Artikel subuh ini saya menulis lagi dalam "Anim Agro Technology" mengenai kawalan perosak dan penyakit tanaman padi untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukkan anda.

Perosak Tanaman sering kali menjadi penghalang kepada pengusaha-pengusaha tanaman untuk mereka mendapatkan hasil pendapatan yang baik. Biasanya  serangan perosak boleh menyebabkan kerugian antara 20 - 30 peratus dalam penanaman padi jika tidak dijaga baik. Penulis juga sering mendengar dimana bagi keadaan yang teruk maka perosak tanaman boleh juga menyebabkan kerosakan tanaman yang menyeluruh (Total loss). Racun Perosak (Pesticide) ialah input paling utama pertanian terutama bagi tanaman padi dan sayur-sayuran. Penggunaan racun selalunya merupakan pilihan pertama bagi petani yang mengamalkan pengawalan perosak secara konvensional. Namun kaedah penggunaan racun mengikut kalendar seperti semburan sekali atau dua kali seminggu tidak digalakkan. Tambahan cara pengawalannya adalah tidak mesra alam dan boleh menyebabkan kesan sisa baki racun yang tinggi pada hasil tanaman. Kesan toksik ini juga akan mendedahkan bahaya kepada pengguna sekiranya tidak dibasuh dengan betul sebelum mengambil produk makanan tersebut. Beberapa jenis sayuran merupakan antara jenis sayuran yang banyak menggunakan racun dan ianya tidak disedari oleh pihak pengguna. Pengguna hanya memilih sayuran yang licin, elok dan cantik sahaja sedangkan ia sebenarnya mengandungi kesan sisabaki racun yang tinggi. 

Pada masa ini penggunaan racun yang tinggi juga boleh menyebabkan perosak menjadi lebih kebal kepada racun dan memerlukan dos yang lebih tinggi untuk pesawah dapat  mengawalnya. Dalam keluaran yang lepas, telah menerangkan kaedah Pengurusan Perosak Bersepadu (IPM) secara umum. Kempen berterusan untuk menerangkan kejayaan perlaksanaan IPM di negara ini terus dijalankan setiap masa. Sehingga kini dilaporkan yang Jabatan Pertanian telah melaksanakan projek IPM di seluruh negara yang melibatkan petani, pengusaha tanaman padi, buah-buahan dan sayur-sayuran dengan keluasan 1,500 hektar. Walaupun angka itu masih kecil tetapi jumlah tahap kesedaran faedah penggunaan IPM dalam pertanian telah mula meningkat. Pengurusan perosak bersepadu yang dijalankan di kawasan tanaman padi boleh mengatasi masalah serangan perosak dan penyakit seperti bena perang, tikus, siput gondang, ulat batang atau lipat daun, karah dan reput tangkai tanpa bergantung sepenuhnya kepada racun kimia. Antara pendekatan IPM yang boleh dijalankan adalah seperti pemantauan perosak bagi mengenal pasti populasi perosak sama ada telah mencapai Paras Ambang Ekonomi (paras populasi yang perlu diambil tindakan semburan). Maklumat tersebut akan membantu petani menjalankan semburan racun yang ekonomik dan pemilihan jenis racun yang tepat. Sekiranya bilangan Musuh Semula Jadi (MSJ) seperti pepatung, lelabah, kumbang kura-kura (lady bird) adalah tinggi maka tindakan kawalan yang menggunakan racun perosak adalah tidak perlu. Ini kerana perosak yang ada akan dikawal secara semula jadi oleh MSJ yang ada pada ketika itu.

PEMASANGAN kayu-T sebagai tempat burung pungguk 
jelapang hinggap untuk mengawal tikus


Populasi perosak dalam sawah padi perlu ditentukan sebelum sebarang cara kawalan dijalankan. Sebagai contoh bagi kawalan tikus dengan menggunakan Burung Pungguk Jelapang (Tyto alba atau ringkasnya BPJ) didapati amat berkesan mengawal tikus di kawasan sawah padi (Sila lihat foto diatas). Bagi tujuan memudahkan BPJ menangkap tikus, pemasangan kayu-T yang akan menjadi tempat BPJ hinggap adalah perlu disediakan di petak sawah. Selain itu, pemasangan rumah BPJ yang dipasang di sawah juga perlu sebagai tempat pembiakan dan tempat persinggahan BPJ. Penggunaan Itik juga dilihat amat berkesan mengawal serangan siput gondang dan rumpai sawah selain kawalan kimia. Sebagai contoh, kawasan tanaman padi Blok D, Parit Hj. Md. Zain, Seberang Perak, Daerah Perak Tengah, Perak telah mengikuti projek IPM ini. Kawasan projek berkeluasan 83.6 hektar yang diusahakan oleh 45 orang petani adalah di bawah Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Seberang Perak. Sebelum projek dilaksanakan, petani di kawasan ini menggunakan pendekatan kawalan racun kimia berjadual tetapi masih berlaku serangan perosak seperti bena perang dan ulat lipat daun serta serangan tikus.

Apabila projek IPM dilaksanakan, kumpulan kerja pemantauan yang terdiri daripada golongan petani telah ditubuhkan. Kumpulan itu menjalankan aktiviti pengawasan sebanyak lima pusingan semusim bagi mengesan kehadiran perosak. Aktiviti itu telah berjaya mengatasi serangan perosak apabila tindakan untuk mengawal serangan perosak dapat dibuat pada peringkat awal serangan lagi dengan menggunakan kaedah IPM yang diterangkan di atas. Petani telah mengurangkan kekerapan semburan racun dari empat kali semusim kepada dua kali semusim. Ini dapat mengurangkan kos operasi sebanyak RM6,640. Ketua kelompok juga mengakui banyak faedah dapat diperoleh dengan mengamalkan pengurusan perosak secara bersepadu di kawasan sawah. Antaranya dari aspek alam sekitar, pencemaran terhadap sisa racun perosak dapat dikurangkan, ekosistem kawasan sawah akan lebih stabil dan populasi serangga perosak dapat dikawal dengan kehadiran musuh semulajadi (MSJ). Manakala dalam sudut sosial pula, golongan petani akan bersatu padu dan saling bekerjasama menjaga tanaman padi untuk mendapat hasil yang tinggi. Kesihatan peserta projek dan pengguna amnya lebih terjamin dan selamat daripada risiko bahaya racun perosak yang digunakan. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada pembaca semua. Wasallam!.

TANAM PADI... 3 BULAN LAMANYA...
SETIAP MUSIM.. HASIL BERBEZA..
KAWAL PEROSK... PELBAGAI CARA...
IPM DIAMALKAN... LEBIH MESRA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP, Malaysia.
(7 Syawal 1436H)
Masih bercuti raya lagi....

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...