Support My Blog

Tuesday, July 14, 2015

CHINESE WOLFBERRY (GOJI)

CHINESE WOLFBERRY (Lycium chinese) atau juga dikenali dengan nama Buah GOJI atau Chinese Boxton, Chinese Matrimoni-vine, Chinese Teaplant atau Wolfberry adalah tumbuhan daripada keluarga Solanaceae (Sama dengan terung dan Cili). Tumbuhan ini menghasilkan buah yang popular dengan nama Gojiberry (Buah Goji) yang sangat istimewa terutama pada masyarakat Zhongning, negeri Ningxia. Buah Goji ini dikatakan yang terbaik di dunia kerana ia mungkin dari tanah beralkalin (pH 8.2 - 8.6) dan iklim yang bersuhu melampau dari 102 F-16 F (38C - 27C). Daripada beberapa rujukkan penulis mendapati buah ini subur di tanam di China terutama dikawasan Ningxia dimana kebanyakan penduduknya beragama Islam. Mereka mengamalkan makan buah goji ini sebagai makanan harian untuk kekal sihat dimana kajian menunjukkan kebanyakkan usia penduduk dikawasan ini mencapai usia lebih 100 tahun. Buah ini banyak yang dikeringkan untuk disimpan lama dan beberapa syarikat dari Malaysia mengimport buah giji kering ini untuk kegunaan rakyat Malaysia yang mengetahui akan khasiatnya. Penulis kurang kenal akan buah ini sebelum menerima beberapa sampel daripada pihak tertentu untuk mengetahui akan pencirian dan khasiat buah goji kering baru-baru ini. Semasa berkunjung ke China dulu penulis menjumpai buah goji kering dibungkus dalam bentuk kering di dalam kotak atau paket. China adalah pengeluar terbesar buah goji kering ke seluruh dunia. Buah goji segar boleh dimakan sebagai buah segar yang berkhasiat. Sementara itu didapati secara tradisional, buah goji berry yang kering digunakan dalam beberapa resepi masakan seperti sup, puding, nasi, sayur-sayuran dan sebagainya. Daun pucuknya digunakan sebagai sayur-sayuran dan ulam makanan. Ada juga digunakan sebagai bahan perasa pada makanan dan minuman. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai buah goji atau Chinese Wolfberry sebagai menambah pengetahuan dan kepekaan minda kita.


Pokok Goji adalah tumbuhan renek (Shrubs) yang tumbuh dengan ketinggian antara 1-4 meter. Batangnya berduri dengan daun yang kecil menirus dan susunan daun bersilang (alternate). Pokok ini adalah jenis pokok yang tahan lasak dengan mempunyai bunga dalam kluster yang berwarna ungu, putih atau hijau bergantung kepada spesis. Buah goji adalah berbentuk lonjong dengan tajam dikedua hujungnya. Buah muda berwarna hijau tetapi akan bertukar kepada wana merah, kuning, oren atau kehitaman apabila masak. Buah ini lazimnya manis apabila masak dengan setiap beri mengandungi antara 8 - 10 biji benih didalamnya. Kerja memetik buah giji ini dengan memilih setiap satu buah yang masak pada pokok goji (Sila lihat foto disebelah). Pokok goji adalah deciduous dan daunnya akan gugur setelah musim sejuk atau kena salji. Tanah dengan pH antara 6.8 sesuai ditanam dengan pokok goji. Penanaman goji boleh dilakukan diatas tanah atau pun dalam bekas kontainer sebagai hobi disekeliling rumah.  


Buah ini amat sinonim dengan Perubatan Tradisional di China sejak zaman dahulu.
Gojiberry telah digunakan sejak 6,000 tahun lalu oleh masyarakat perubatan herba China, Tibet dan India. Kehebatan khasiat buah ini adalah bertujuan untuk menyihatkan hati, mata, meningkatkan tenaga batin dan sistem kesuburan manusia.  Khasiat lain dari buah goji ini kerana ia didakwa mampu meguatkan bahagian kaki dan tulang, memperteguh sistem kekebalan tubuh, melancarkan sistem pengaliran darah dan paling kita hendak dengar kerana ia mampu untuk melanjutkan usia. Masyarakat Cina menggunakan daun dan kulit akar sebagai bahan diproses untuk dijadikan minuman teh. Dibeberapa lokasi lain buah ini juga di campur sebagai salah satu bahan dalam minuman arak. Walau pun buah ini banyak yang dieksport dalam bentuk kering (Sila lihat foto disebelah) khasiatnya masih hebat dan dipasarkan diseluruh dunia. Buah Gojiberry boleh di makan samada dalam bentuk mentah atau kering. Harini buah Gojiberry di buat jus minuman di campur atau tanpa di campur dengan buah-buahan lain. Masyarakat Asia, terutamanya orang-orang Cina, mencampurkan goji berry sebagai bahan rempah dalam masakan daging, ikan dan juga makan dengan nasi. Ia juga di adun dalam pembuatan roti sepertimana kismis. Terdapat juga Gojiberry sebagai salah satu bahan sabun, yogurt dan minyak essential.


Terdapat banyak khasiat mengenai buah goji yang telah dijalankan. Kajian oleh Dr. Earl Mindell, Ph.D iaitu seorang pakar herba dan nutrisi telah dapat menyenaraikan 34 sebab mengapa buah goji perlu diambil untuk menambahkan tahap kesihatan. Pertama sekali adalah dimana khasiat buah goji mampu memanjangkan usia, menghalang diri anda daripada tua sebelum masa menerusi tindakan anti-oksida yang tinggi. Ia juga dapat melawan penyakit, menjadikan anda rasa dan kelihatan muda dan ia merangsang rembesan HGH ( Hormon Pertumbuhan Manusia), 'hormon remaja". Ia juga didakwa mengekalkan tekanan darah yang sihat, mengurangkan risiko kanser, mengurangkan kolestrol dan menormalkan gula dalam darah pada peringkat awal diabetes. Seterusnya ia meningkatkan fungsi seksual dan merawat masalah seksual, membantu mengurangkan berat badan, melegakan sakit kepala dan pening. Khasiat lain seperti dimana buah goji melegakan insomnia dan tidur yang lebih nyenyak, mengekalkan kesihatan mata dan penglihatan anda, menguatkan jantung anda, menghalang peroksidaan lipid (yang menyebabkan sakit jantung) dan meningkatkan halangan penyakit. Buah goji ini dapat meningkatkan respons imunisasi , digunakan sebagai rawatan kanser, menempatkan semula dan membaik pulih DNA (menghalang mutasi yang menyebabkan kanser). Ia juga menghalang tumbesaran tumor, mengurangkan kesan toksik kemoterapi dan radiasi. Buah goji akan membina darah yang kuat, meningkatkan produksi sel-sel darah merah, sel-sel darah putih dan platelet), meningkatkan limfosit, mengaktifkan enzim anti-radang dan juga menyokong fungsi hati yang sihat. Seterusnya ia akan merawat simptom-simptom menopause, menghalang loya di peringkat awal mengandung, meningkatkan kesuburan, menguatkan otot dan tulang anda serta menyokong fungsi buah pinggang. Buah goji meningkatkan memori dan memulih ingatan, membantu batuk kering yang kronik, menghilangkan tekanan dan gelisah, meningkatkan keceriaan dan semangat anda dan ke 34 adalah membantu sistem penghadaman. Buah ini yang berkhasiat ada dijual dikedai-kedai perubatan tradisional Cina (Singseh) dengan harga yang sederhana dan mampu. Diharap artikel ini membantu dalam menambah ilmu pengetahuan anda. Wasallam!.
BUAH GOJI... BANYAK DICHINA...
BUAH BERI... MERAH MENYALA...
APABILA KERING...DIJUAL MERATA...
BANYAK KHASIAT...PANJANG USIA...

By,
M Anem, 
Senior Agonomist,
Precint 11, Putrajaya,
Wilayah Persekutuan,
Malaysia.
(26 Ramadan 1436H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...