KLIK SAYA SOKONG BLOG

Thursday, July 2, 2015

USAHAWAN KIMCHI TEMPATAN


KIMCHI adalah makanan tradisional Korea dan merupakan salah satu jenis jeruk dari sayur kobis yang dihasilkan daripada proses fermentasi yang diberi ramuan pedas. Pertama sekali saya jumpa Kimchi semasa berkursus di Semaul Undong Center, Seoul, Korea pada tahun 1992. Kali kedua berkursus Senior Officer Management di COTI, Seoul, Korea pada 1994 selama 10 hari juga dapat makan kimchi. Mulanya teragak-agak untuk makan Kimchi tetapi setelah beberapa kali mencuba, hari-hari berikutnya saya selesa makan kimchi dengan nasi melekit (sticky rice) atau nama saintifiknya Oryza japonica dengan berselera. Mereka menyatakan sayuran kimchi adalah sejenis sayuran diawet  yang paling umum. Lazimnya sayur kimchi dibuat daripada bahan seperti kobis, sawi putih, timun dan lobak. Dari segi sejarah pada zaman dulu apa yang diterangkan adalah nama 'kimchi' diucapkan sebagai chim-chae (Hangul: 침채; Hanja: 沈菜) yang berarti "sayuran yang direndam." Ini memberikan kefahaman dimana penduduk Korea menyimpanan makanan ini untuk musim sejuk yang berpanjangan kerana sukar mendapatkan sayuran segar pada musim tersebut. Kini kimchi bukan sahaja dimakan oleh rakyat Korea tetapii telah dijadikan makanan yang popular dinegara lain sama ada oleh pemastatautin korea diluar negara atau orang tempatan yang suka makan kimchi. Pengaruh drama Korea dan K-Pop juga membolehkan makanan sayuran kimchi ini terkenal diseluruh dunia. Selain kimchi minuman Ginseng juga menjadi ikon kepada rakyat Korea dimana sahaja. Artikel subuh 7 Ramadan 2436H ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai usahawan tempatan yang membuat sayuran kimchi yang kini telah popular di negara kita sekadar untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukkan seperti testimoni akhbar tempatan.

TESTIMONI AKHBAR KOSMO

Usahawan Kimchi 
(Telah disusun semula oleh Penulis blog)


BAGI peminat drama Korea Selatan selalunya mereka pasti pernah melihat aksi-aksi yang memaparkan bagaimana meriahnya suasana masyarakat di Korea ketika mereka tayangkan kaedah menghasilkan kimchi. Mungkin ada yang terdetik untuk menikmati sendiri makanan kimchi tersebut sepertimana penulis pernah kali pertama makan Kimchi di Seoul berbelas tahun dulu. Semasa menyaksikan drama Korea dan K-Pop yang keghairahan dimana ditujukkan para pelakon memakan sayur jeruk yang digaul bersama nasi dalam drama yang ditonton itu. Adakah benar-benar ia enak seperti dalam lakonan?. Apa rasanya?. Pedas ke rasanya? Merahnya? dan pelbagai persoalan lagi kepada mereka yang tidak kenal akan kimchi ini. Sebenarnya Kimchi atau sayur jeruk merupakan makanan tradisi yang terkenal dalam masyarakat Korea Selatan khususnya pada musim sejuk kerana aktiviti pertanian berasaskan sayur-sayuran terbantut pada waktu itu. Dianggarkan, terdapat lebih daripada 100 jenis kimchi di negara yang terkenal dengan budaya K-Pop itu. Pelbagai jenis sayur, cara dan rasa digunakan untuk menghasilkan makanan tersebut. Bagi Nor Ain Fadzil, bau masam hirisan kubis cina yang direndam dengan garam sudah menjadi kebiasaan buatnya. Kimchi sudah menjadi sebahagian daripada hidupnya. Malah, pada setiap hari, tangannya akan cekap menggaul hirisan sayur kubis Cina itu bersama air serbuk cili sebelum dijual kepada pelanggan. Seawal pukul 7 pagi, dia menjadikan rutin untuk membasuh dan membersihkan sehingga 8 kilogram (kg) kubis Cina yang kemudiannya direndam bersama air garam selama empat jam. Sementara menunggu tempoh rendaman tersebut, Nor Ain, 29, akan menghantar anak sulungnya ke sekolah. Sebaik pulang daripada menghantar anaknya itu, dia bergegas ke dapur untuk menyiapkan bahan-bahan lain. Lobak merah akan diracik halus manakala daun kucai pula dipotong kecil.


Proses membuat kimchi dilakukan dengan mengisar bersama bahan ramuan. Tangan ibu kepada dua cahaya mata itu akan ligat mengacau tanpa henti acuan tepung beras dan gula yang dimasak di atas api sehingga mendidih. Dia mencapai bahan seperti bawang putih, bawang merah, serbuk cili dan sos ikan yang sudah dikisar bersama untuk dimasukkan ke dalam acuan yang sejuk setelah dibiarkan seketika. Pes ikan bilis dicapai lalu dimasukkan ke dalam bahan yang sudah dikacau sekata dalam periuk. Bau pedas dengan manis bawang cukup menggiurkan ditambah dengan warna merah serbuk cili yang menarik. Kubis yang direndam itu kemudiannya ditoskan, sebelum digaul bersama lobak merah dan daun kucai yang disiapkan lebih awal. “Sos merah digaulkan bersama sayur-sayuran. Selepas sebati, saya akan memasukkan sayur jeruk ini ke dalam bekas untuk dihantar kepada pelanggan sama ada melalui pos atau ke rumah yang berdekatan. Proses menyiapkan sayur jeruk perlu dihabiskan sebelum pukul 3 petang kerana ia melepasi waktu penghantaran barang secara pos,” cerita usahawan kimchi itu. Ketika ditebak tentang ketaksuban terhadap kimchi, Nor Ain memberitahu, pada awalnya, dia bukan seorang penggemar kimchi. Dia juga tidak mempunyai perancangan secara serius untuk mengusahakan perniagaan itu. Sos istimewa daripada serbuk cili dituangkan ke dalam sayur-sayuran sebelum digaul menjadi pelengkap kepada pembuatan kimchi. “Semuanya berlaku secara kebetulan. Pada tahun lalu, saya berkunjung ke Cameron Highlands, Pahang dan membeli banyak sayur termasuk kubis Cina.


Laporan akhbar menyatakan bermula daripada situ usahawan ini telah membuat pelbagai kajian tentang kimchi termasuk khasiat selain menyesuaikan rasanya mengikut selera orang tempatan. Keputusan untuk berhenti kerja selepas melahirkan anak pada awal tahun lalu dan mengusahakan perniagaan kimchi menghasilkan pulangan yang lumayan. Malah, ia dapat memberikan kepuasan kepada diri saya,” ujarnya yang kini menjual sehingga 300 hingga 400 bekas kimchi bersaiz 400 gram sebulan. Hanya bermodalkan RM70, pengusaha telah mengusahakan perniagaan sayur jeruk yang diberi nama Daebakk Kimchii pada Ogos tahun lalu. Sehingga kini, dia mempunyai ramai pelanggan dari seluruh negara termasuk negara jiran, Indonesia. Kimchi boleh dimakan bersama nasi atau diratah begitu sahaja. Saya menjual kimchi pada harga serendah RM12 untuk satu bekas 400g manakala RM29 untuk 1kg. Bagi pelanggan di sekitar Kuala Lumpur dan Ampang, saya akan membuat penghantaran bagi pembelian 5 bungkus ke atas manakala yang berada di luar kawasan tersebut melalui pos atau boleh mengambilnya sendiri di kediaman saya. “Pulangan sangat lumayan walaupun tidak sebanyak ketika menjadi jurugambar perkahwinan, Begitupun, saya berpuas hati tatkala ada pelanggan yang mengulang pesanan selang dua atau tiga hari. “Komen positif yang diterima juga menyebabkan saya semakin bersemangat untuk meneruskan perniagaan yang belum diterokai dengan meriah oleh warga tempatan walhal ia menjadi kegemaran ramai khususnya golongan belia,” terang Nor Ain tersenyum puas. Tambah Nor Ain, modal perniagaan yang kecil juga menyebabkan dia sangat tertarik untuk meneruskan perniagaan itu.


Berbanding perniagaan lain, risiko kerugian sangat minimum kerana tiada istilah kimchi rosak jika tidak kena cara menggaul atau harga sayur meningkat secara mendadak. “Saya juga sangat teruja apabila pelanggan berkongsi gambar cara mereka memakan kimchi. Ada yang memasukkan ke dalam masakan asam pedas ikan, membuat telur dadar kimchi malah meratah begitu sahaja,” ujarnya. Salah seorang pelanggan Nor Ain, Farah Diyanna Tasaruddin, 30, memberitahu, minatnya pada K-Pop telah mendorong dia untuk ke restoran makanan Korea Selatan semata-mata mahu merasa makanan tersebut terutamanya sayur jeruk yang popular itu. “Kali pertama makanan itu disua ke mulut ialah beberapa tahun lalu di sebuah restoran makanan Korea di negara ini. Rasanya tidak seperti yang saya bayangkan. “Rasanya sangat tidak kena pada lidah saya. Memang saya tidak boleh makan,” ceritanya membuka bicara. Bagaimanapun, suri rumah itu seterusnya menjelaskan, tanggapan tentang kimchi mula berubah setelah melihat gambar yang dimuat naik oleh rakannya, Nor Ain Fadzil di Facebook. Cairan pekat merah menyala yang digaul bersama hirisan kubis Cina, lobak merah yang diparut dan daun kucai itu nampak begitu menggiurkan bagi wanita tersebut. “Selepas merasa kimchi versi Malaysia yang diolah oleh Nor Ain, saya mula menjadi penggemar kimchi. Ia sangat sesuai dengan cita rasa orang Malaysia, cukup rasa masam, manis, masin dan pedasnya. “Setiap minggu, saya akan membeli kimchi untuk dimakan bersama nasi dan juadah lain atau diratah begitu sahaja,” kongsi Farah Diyanna yang akan memastikan rumahnya sentiasa ada stok kimchi untuk dimakan. Begitulah laporan akhbar mengenai usahawan kimchi untuk dijadikan teladan. Wasallam!!!


USAHAWAN KIMCHI... SUDAH ADA...
MODAL SEDIKIT... RAJIN SENTIASA...
PERLU BERKUALITI... ADA HARGA...
LAPORAN AKHBAR... BUKTI NYATA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Botani, Putrajaya,
WP, Malaysia.
(6 Ramadan 1436H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...