KLIK SAYA SOKONG BLOG

Friday, July 24, 2015

BELIMBING BULUH - KERING

BELIMBING BULUH (Averrhoa bilimbi) merupakan sejenis buah nadir yang boleh dikomersilkan sebagai tanaman yang boleh memberikan pendapatan. Belimbing ini adalah sejenis pokok buah tropika iaitu jenis Belimbing dari Keluarga Oxalidaceae yang terdapat di negara kita. Buah Belimbing Buluh yang terdapat di Malaysia kebanyakannya dari jenis masam walau pun ada yang manis sedikit. Tumbuhan ini dipercayai berasal dari Asia Tenggara dan juga hidup subur di seluruh kawasan seperti Indonesia, Malaysia, Filipina, India Selatan, Sri Lanka dan Myanmar. Buah Belimbing Buluh lazimnya adalah sangat masam dengan purata kemasaman antara pH 4.0 - 4.7 dan ditanam sebagai tanaman campuran di keliling rumah. Nama lain bagi tumbuhan ini ialah Cucumber Tree; Sorrel (English), Kamias; Iba (Filipina), Bilimbi (India), Bimbiri (Sri Lanka), Belimbing Asam; Belimbing Buloh; B'ling ; Biling-biling (Malaysia), Belimbing Besu; Balimbing ; Blimbing; Belimbing Wuluh (Indonesia), Taling Pring ; Taling Kling (Thailand) dan Khe' tau' Vietnam). Tidak ada maklumat mengenai keluasan tanaman belimbing buluh dinyatakan dalam Laporan keluasan Tanaman Jabatan Pertanian yang saya rujuk. Cuma dicatitkan keluasan tanaman belimbing besi sahaja yang dinyatakan dalam laporan tersebut. Artikel kali ini saya tulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai satu jenis perusahaan tanaman belimbing buloh untuk dikeringkan berasaskan kepada tinjauan teknologi terhadap seorang petani bernama Martinez berumur 58 tahun di Barangay Alfonso, Cavite, Filipina semasa melawat negara tersebut.


Pokok belimbing buloh adalah jenis pokok saka yang tumbuh menegak dengan ketinggian mampu mencapai 4-6 meter. Pokok ini menyerupai pokok belimbing besi (Star Fruit, Carambola atau Averrhoa carambola) dari segi taksonomi dan juga pencirian tumbuhan. Daunya berwarna hijau muda dan bersaiz kecil dengan ukuran 5-8 cm x 2-4 cm dan ia akan bersusunan bersilang. Batangnya berkayu dengan kulit berwarna coklat bercorak putih atau kehijauan. Bunganya kecil berwarna ungu kemerahan dan mempunyai 3 kelopak dan stigma berwarna putih. Bunga keluar dari bahagian batang dan dahan pokok belimbing buluh sepanjang tahun (Walau pun pada musim tertentu hasilnya agak kurang). Lazimnya buah belimbing Buluh berwarna hijau muda terang yang bulat lonjong berukuran 2-3 cm garispusat dan 4-6 cm panjang. Terdapat beberapa biji berwarna putih kehijauan didalamnya. Pemerhatian di ladang Martinez mendapati beliau mempunyai sebanyak 60 pokok belimbng buluh dikawasan ladang kopi dan koko seluas 4 hektar yang ditanam bertaburan. Pokok yang telah berumur antara 10 - 12 tahun ini lebat berbuah sepanjang tahun dan dijaga dengan baik. Mengenai varieti yang ditanam beliau berkata kesemuanya adalah varieti tempatan (sama dengan jenis yang kita ada di Malaysia). Pokok ini dahulu ditanam hanya untuk suka-suka sahaja tetapi kini setelah diproses kering ia memberikan pendapatan tambahan kepada beliau.


Kerja memetik buah belimbing buloh ini dilakukan oleh pekerja ladang upahan yang juga akan memetik buah kopi jenis robusta dengan bayaran gaji hari sekitar 30 - 45 pesos sehari (Sekitar RM30 - RM40 sehari seorang). Pada masa kini terdapat 10 - 12 orang pekerja upahan mengikut musim menuai kopi. Lazimnya buah belimbing buloh segar dipetik dua kali sebulan dan ia kemudian dibasuh sebelum dijemur diatas zink dengan cara menyusun rata diatasnya (Sila anda lihat foto disebelah). Kemasaman buah belimbing buluh ini menjadikan buah ini tidak mudah diserang Lalat Buah (Bactocera carambola) sebagaimana buah-buahan tropika yang lain. Proses untuk menjemur ini dilakukan setiap hari dibawah panas cahaya matahari selama 10 - 14 hari (Semasa lawatan dilakukan adalah musim panas terik dengan suhu antara 33 - 35 Celcius ambil masa 5-7 hari untuk kering). Buah belimbing buluh yang telah kering akan dikumpulkan dan disimpan dalam bekas yang kedap udara untuk disimpan dan dijual kepada pemborong yang datang setiap bulan. Purata jualan sebanyak 40 - 50 kg belimbing buluh yang telah kering dijual setiap bulan dengan harga 200 - 250 Pesos sekilogram (RM20 - RM30 /Kg). Ia digunakan dalam masakan sama seperti masakan asam pedas di Malaysia. Pada masa sama isteri Martinez juga mengeluarkan 'Fried Dilis' (Ikan Bilis Goreng) dan Roti Bun (masih panas lagi buatan sendiri) dan juga Coklat dalam Barli serta minuman kopi. Semua peserta lawatan amat grairah makan hidangan disediakan. Memang enak makan dikawasan kebun yang jauhnya hampir 4 jam perjalanan daripada Hotel Marco Polo, Ortigas, Manila.


Martinez dengan dibantu oleh Dr Alex Mohica daripada State Cavite University juga memberikan penerangan mengenai aktiviti penanaman kopi dan koko oleh petani ini. Tanaman utama dikebunnnya adalah kopi varieti Robusta yang kini telah berumur lebih 25 tahun dan kini dibuat pemulihan semula. Pokok kopi robusta ini masih memberikan hasil lumayan kepada petani ini dengan semua biji kopi yang dipetik dikebunnya dijual kepada Syarikat Nestle Philipines. En Martinez (Sila lihat foto - duduk) mampu menghasilkan sebanyak 3.5 - 4.0 mt biji kopi setiap hektar dengan musim puncak lazimnya pada bulan Jun - Julai setiap tahun. Kerja memetik kopi dan koko serta belimbing buloh dengan tenagakerja upahan penduduk sekitar kampong mengikut kuantum buah dipetik atau mengikut kadar jumlah hasil dipetik. Pekerja ini terdiri daripada buruh upahan pertanian (kebanyakan golongan tua) yang membantu petani. Buah kopi djual kepada Nestle dan koko akan dipecahkan untuk mengeluarkan bijinya yang kemudian akan dijemur. Belimbing Buluh katanya mampu memberikan pendapatan tambahan kepada petani ini. Antara masaalah dihadapi beliau adalah untuk mencari buruh dari sekitar kampong iaitu tenaga orang muda kerana mereka lebih suka bekerja di kilang atau di bandar. Produk belimbing buloh kering ini kurang dikomersilkan di Malaysia. Penanaman belimbing buluh mudah diuruskan. Anda boleh baca artikel mengenai amalan teknologi tanaman belimbing buloh (Sila klik disini), (Sila klik disini), (Sila klik disini) dan (Sila klik disini). Sesiapa yang berminat untuk menanam dan memproses belimbing buluh boleh mencuba. Wasallam!. 


Belimbing buloh dijemur diatas zink.


IA BELIMBING... MASAM JENISNYA...
BELIMBING BULUH... ITU NAMANYA...
DIPETIK DIKERING... DIJEMUR LAMA...
PENYEDAP MASAKAN... KENA CUBA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Barangay Alfonso, 
Province Cavite,
Philipines.

(12 Syaaban 1436H)
Lawatan pegawai Kanan Asean pada Mesyuarat NFPWG Coffee di Manila 26-30 Mei 2015) 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...