KLIK SAYA SOKONG BLOG

Tuesday, July 7, 2015

LAMPU SIGNAL NELAYAN KAWAL TIKUS?

LAMPU SIGNAL NELAYAN MENGHALAU TIKUS?. Itulah satu tajuk inovasi yang dibentangkan oleh sekumpulan saintis muda daripada Jabatan Pertanian Pulau Pinang. Adakah berkesan menggunakan lampu nelayan yang berkelip-kelip setiap 2 saat yang digunakan oleh nelayan laut untuk menandakan lokasi pemasangan jaring atau pukat dilaut dalam mengawal tikus disawah?. Apa yang penulis pasti adalah serangan dilakukan Tikus Sawah (Ratus argentiventer) akan merosakan tanaman padi pada semua peringkat penanaman malahan diperingkat penyimpanan padi dalam setor. Tikus bukan sahaja menyerang tanaman padi tetapi juga merupakan haiwan yang merosakan lain tanaman Kelapa Sawit (Elaeis guineensis), Kelapa (Cocos nucifera), Jagung (Zea mays) dan Tebu (Saccharum officanarum). Tanaman-tanaman ini juga merupakan punca atau sumber makanan yang amat disukai oleh tikus. Jika tidak dikawal dengan baik, serangan tikus pada sawah padi boleh menyebabkan pesawah tidak mendapat hasil tuaian. Laporan daripada Jabatan Pertanian menyatakan purata kehilangan hasil padi oleh serangan tikus adalah sekitar 17 - 20% setahun. Terdapat banyak cara mengawal serangan tikus sama ada cara biologi, mekanikal, kawalan kimia dan amalan agronomi yang dilakukan dengan pendekatan Pengawalan Perosak Bersepadu (IPM). Anda boleh baca artikel tulisan saya mengenai tikus (Sila klik disini), (Sila klik disini) dan (Sila Klik disini) dan beberapa pautan lagi. Pelbagai kaedah dan cara diamalkan pesawah untuk mereka mengawal serangan tikus. Artikel kali ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai inovasi penggunaan lampu signal nelayan untuk mengawal tikus daripada ia memasukki sawah padi.


Tikus merupakan sejenis haiwan yang aktif pada waktu malam untuk mencari makanan. Lazimnya mereka membuat lubang dan sarang berhampiran dengan sumber makanan dan bagi kes kawasan sawah lazimnya membuat lubang pada batas sawah. Tikus juga akan mengigit dan membawa makanannya ketempat lain sebelum memakannya. Ia akan berada dalam kepok padi dan makan padi sehingga banyak padi dirosakannya. Tikus sering menggunakan jalan atau laluan yang sama dan berulang alik dari sumber makanan kesarangnya. Ia juga sering menjilat-jilat badannya untuk membersihkan diri dan agar mempunyai bulu yang bersih. Lazimnya tikus akan melarikan dirinya apabila terasa ada ANCAMAN. Apa yang ingin dilihat oleh kumpulan inovasi adalah dimana tikus amat PEKA kepada cahaya. Apa lagi kalau cahaya itu berkelip-kelip semacam lampu nelayan. Kawalan secar amalan kultura dilakukan dengan cara iaitu membersihkan batas sawah, cara biologi dengan kaedah memelihara Burung Pungguk atau Ular dan kawalan secara mekinikal dengan memasang perangkap tikus dan cara musnahkan sarangnya. Bagaimana pun kaedah kawalan kimia dengan berukan umpan adalah paling popular.


Lampu Nelayan adalah sejenis lampu yang digunakan oleh nelayan untuk menandakan pukat di laut. Lampu ini akan diikat pada pukat dan berkelip-kelip setiap 2 saat dengan cahaya terang 80% diatas permukaan air diwaktu malam secara automatik. Ini memudahkan nelayan mengetahui kedudukan pukat tersebut sebelum menarik keatas bagi mengutip tangkapan ikan. Lampu signal nelayan berukuran 25 cm panjang, lebar 4.5 cm dan beratnya 300 gram termasuk bateri. Ia berbentuk selinder diperbuat daripada plastik tahan lasan dengan mempunyai beberapa warna seperti hijau, oren, merah, kuning dan sebagainya (Sila lihat foto disebelah). Menggunakan bateri besar ia akan berkelip secara automitik tanpa henti dari sensor apabila gelap. Kelipan ini daripada mentol LED dipercayai akan menjadikan tikus dalam sawah yang keluar pada malam hari untuk cari makan akan menjadi takut, terancam dan kurang selesa. Kalau dipasang disawah dengan kuantiti banyak tentunya sawah padi akan dilihat 'meriah' seperti lampu disco pada malam hari.


Alat ini mudah diguna dengan cara menggantung pada tiang kayu dikawasan sawah padi. Penting diingatkan bahawa sekeliling sawah padi perlu dibersihkan dari semak dan rumpai dengan cara meracun atau potong gunakan mesin potong rumput. Alat ini tidak mudah rosak, tahan lama, mudah dialihkan dengan kos penggunanaan buruh yang amat mudah. Kos yang digunakan sekitar RM0.04 sehari sehektar dengan jangka masa pemasangan lampu selama 90 hari (untuk 1 musim penanaman padi). Jika dibuat perbandingan, kos pembelian input racun tikus semusim adalah sebanyak RM165.00 sehektar. Penggunaan lampu signal nelayan ini didapati mampu mengurangkan kehadiran tikus dalam sawah tetapi penggunaan racun tikus dapat dikurangkan sebanyak 50% (menjadikan kos racun hanya RM82.50) daripada analisis kumpulan. Kos untuk sehektar pemasangan lampu signal sebanyak RM117.50 sehektar menjadikan faedah dari penjimatan dikira sekitar RM47.50 sehektar. Teknologi ini ringkas dan mudah diterima petani. Ia bertindak sebagai penjaga sawah padi dimana kelipan setiap 2 saat yang terang menyebabkan tikus tidak datang menghampiri sawah padi untuk merosakannya. Kaedah ini adalah mesra alam dan tidak membunuh haiwan  perosak mahu pun tikus itu sendiri.


Pemasangan lampu signal ini perlukan komitment pesawah secara menyeluruh. Mereka yang tidak mahu -pasang lampu ini dalam kelompok sawah yang sama akan menghadapi risiko serangan tikus yang takut untuk datang dikawasan berlampu signal. Ini menjadikan tekanan kepada pesawah yang tidak mahu bekerjasama. Kesan poditif hanya berlaku pada sawah yang bersih sekelilingnya dengan memotong rumput dan buang semak (Sila lihat foto disebelah). Jika keliling sawah terutama diatas ban semak, maka penggunaan lampu ini kurang berkesan. Lampu signal ini tahan lasak diwaktu panas dan hujan sentiasa akan berkelip sehingga bateri habis.Selain daripada itu lampu signal nelayan mungkin sesuai digunakan dikawasan kebun tanaman jagung, sayur-sayuran, kebun buah-buahan dan juga dalam rumah cendawan. Ia juga boleh digunakan digantung dikawasan rumah dimasa ada berlaku serangan tikus.Beberapa kelompok sawah padi di Pulau Pinang telah mengamalkan pemasangan lampu signal kelolaan Jabatan Pertanian. Menurut testimoni pesawah, semenjak lampu signal ini dipasang didakwa kadar serangan dan kerosakan oleh tikus telah menurun dengan ketara. Tahniah kepada pasukan saintis yang membuat inovasi penggunaan lampu signal nelayan untuk mengawal tikus disawah. Penulis berharap kajian teknikal dan penulisan saintifik dibuat dimasa akan datang dengan lebih padu. Wasallam!.
NAMA TIKUS... MALAM KELUARNYA...
MEROSAKAN PADI... ITU MAKANANNYA...
PASANG LAMPU... TAKUT JADINYA..
HASIL INOVASI... DIANGGAP BERJAYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pusat Pertanian Bumbung Lima,
Seberang Prai,
Pulau Pinang,
Malaysia.
(14 Ramadan 1436H)
Terimakasih kepad PTIF Pulau Pinang...

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...