Support My Blog

Friday, July 10, 2015

DURIAN BELANDA - USAHAWAN BERJAYA

DURIAN BELANDA (Annona muricata Linn) adalah sejenis buah-buahan tropika dari keluarga Anonaceae yang dipercayai berasal dari Afrika Sahara dan kini banyak ditanam di kawasan Tropika seperti Mexico, Caribean, Amerika Tengah dan tidak ketinggalan khususnya di Asia Tenggara seperti Malaysia, Vietnam dan Indonesia serta Thailand. Nama lain tanaman ini ialah Durian Belanda (Malaysia) adalah seperti Sirsak (Indonesia), Soursop (English), Guanabana (Spanish), Graviola (Portugis) dan sebagainya. Keluasan tanaman buah Durian Belanda di Malaysia tidak direkodkan oleh Jabatan Pertanian kerana ia adalah sejenis buah 'minor' dan saya menganggarkan sebanyak 180-200 hektar CHE sahaja. Terdapat beberapa petani yang saya kenal dan membuat beberpa kali lawatan menanam Durian Belanda (DB) secara monocrop (Seperti di Pontian, Johor - 2.5 hektar) dan di Kulai, Johor (2.0 ha). Kebanyakkan tanaman durian Belanda ditanam bercampur dengan pokok buah2an jenis lain sebagai dusun campuran. Penulis beberapa kali menjalankan aktiviti pemindahan teknologi tanaman ini semasa melawat kebun Durian Belanda. Pokok Durian Belanda sesuai ditanam dikawasan Tropika seperti di Malaysia dimana kawasan mestikah mempunyai saliran yang baik dan tanah yang subur. Pokok DB mempu mencapai ketinggian sehingga 8-10 meter dengan batang yang menegak dan banyak dahan. Daunnya berwarna hijau gelap seolah berlilin dan agak tebal. Buah DB berwarna hijau dan mempunyai kulit seakan berduri. Durinya agak lembut dan isinya berwarna putih dan mempunyai biji berwarna hitam yang agak besar. Kajian saintifik mendapati Buah Durian Belanda mengandungi 65,000 kcal tenaga, 1.00 gm Protein, 0.30 gm Lemak, 16.3 gm Karbohiderat, 14.0 mg Kalsium, 17.0 mg Posforus, 81.7 mg Vitamin C dan 0.07 mg Vitamin B1 dikategorikan sebagai buah berkhasiat (Sila baca artikel berkaitan - Sila klik disini). Artikel kali ini saya menulis teknologi penanamn durian belanda dalam "Anim Agro Technology" untuk dikongsi bersama.


TESTIMONI AKHBAR




BATU PAHAT - Perjalaanan selama 20 minit menggunakan kenderaan pacuan empat roda menuju ke ladang durian belanda disambut kabus tebal tatkala jarum jam masih menunjukkan pukul 7 pagi. Kelihatan beberapa biji durian belanda yang belum ranum dan berwarna hijau tergantung di deretan pepohon renek dengan ketinggian kira-kira empat meter. Ketika kabus semakin menghilang, kelihatan satu susuk tubuh sedang bertinggung berdekatan pokok sambil di tangan kanannya tersemat sebilah gunting. Dari satu pohon ke pohon lain, dia melakukan gerakan fizikal yang sama. Pertama memegang daun, kemudian meneliti debunga dan terakhir memegang hujung durian belanda. Hanya sesekali dia menggelengkan kepala kemudian memotong sebahagian daripada pucuk yang terdapat pada pokok itu. “Pucuk ini sudah rosak dan perlu digunting. Jika tidak, ia dikhuatiri berjangkit pada buah. Selain itu, pucuk perlu dibuang untuk memastikan ketinggian pokok kira-kira empat meter sahaja. “Ketinggian pokok perlu rendah dan mudah untuk dicapai supaya buah tidak rosak ketika jatuh ke tanah selain ianya juga memudahkan proses memetik,” jelas lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Dami itu.



Kahwin pokok durian belanda juga merupakan satu kegemaran bagi Encik Dami iaitu merupakan petani yang bertanggung jawab menjaga kualiti tanaman keluaran Kiashing Pengimport dan Pengeksport Sdn. Bhd. (Kiashing) yang terletak di Parit Sulong, Batu Pahat, Johor. Lazimnya kerja rutin hariannya bermula seawal pukul 6 pagi sehingga 10 pagi, kemudian menyambung rutinnya pada 1 petang hingga 7 malam. Pada sebelah pagi, Dami dipertanggung jawab memeriksa keadaan pokok dan mengenal pasti buah yang berpotensi untuk dipetik pada sebelah petang. Dami memberitahu, durian belanda amat sensitif terhadap sentuhan dan mudah rosak sekiranya individu yang tidak mempunyai pengetahuan memetik buah tersebut. Teknik untuk memegang buah durian belanda pun ada caranya. Jangan sesekali memicit dengan kuat pada sekeliling buah sebaliknya tekan dengan lembut pada penghujung buah. Sekiranya sudah ranum permukaan itu sedikit empuk. Pada sebelah pagi juga dilarang untuk memetik buah kerana buah belum ranum sepenuhnya. Tempoh yang baik memetik buah dari pukul 1 petang hingga 7 malam,” jelasnya. Berpeluang melihat sendiri durian belanda di ladang tersebut, ternyata buah yang dihasilkan Kiashing berbeza dengan durian belanda sedia ada di pasaran. Durian belanda keluaran Kiashing menyerupai bentuk jantung, manakala bentuk lazim yang berada di pasaran adalah berbentuk ginjal.


BERAT durian belanda semaian Alvin pernah mencecah 9 kilogram sebiji dan mendapat permintaan tinggi di pasaran Singapura. Buah dengan bentuk jantung mendapat permintaan tinggi di pasaran walaupun harganya mampu mencecah sehingga RM22 sekilogram (kg). Sungguhpun begitu, harga bergantung kepada keadaan semasa dan kos seperti faktor pengedaran dan penghantaran. Bentuk jantung menunjukkan pokok dijaga dengan baik sama ada daripada sudut agronomi seperti pembajaan, sistem pengairan dan aktiviti pendebungaan. Bagaimanapun aspek pendebungaan merupakan cabaran buat penggiat bagi tanaman durian belanda. Alvin Lo yang juga Pengarah Kiashing merupakan antara pelopor konsep pendebungaan berbantu (artificial pollination) yang diciptanya sendiri. Sejak dua tahun bergiat aktif dalam pasaran komersial durian belanda, dia telah pun berjaya menguasai pasaran di sekitar Batu Pahat dan Johor Bahru. Jelasnya, pendebungaan berbantu sering digelar sebagai 'kahwin pokok'. Hasil pendebungaan tersebut menghasilkan durian belanda yang berkualiti, kepadatan jus yang tinggi dan biji secara purata 30 hingga 80 biji yang turut dijadikan benih. Pokok dan daun durian belanda tidak digemari serangga. Oleh itu, ia tidak mempunyai serangga pengantara yang menjalankan pendebungaan secara biasa atau secara normal. “Kita perlu bantu pokok ini melakukan pendebungaan untuk hasil tuaian yang memberangsangkan,” katanya yang kini sedang melaksanakan projek penanaman durian belanda di Pahang untuk pasaran Pantai Timur.


Durian belanda amat sensitif terhadap sentuhan dan perlu dikendalikan dengan baik. Proses pendebungaan berbantu sebaiknya dilakukan pada waktu pagi memandangkan tempoh itu bunga sedang kembang dan debunga berada pada tahap subur. Serbuk debunga terbabit diambil menggunakan berus lukisan kemudian disapu pada stigma. Sekiranya pendebungaan berjaya, dalam tempoh sebulan, putik buah akan mula terhasil. Sebaliknya, jika gagal tangkai bunga akan gugur dalam tempoh dua hingga tiga minggu. Bercerita lebih lanjut mengenai penguasaan pasaran durian belanda di Johor, kata Alvin selalunya dalam tempoh sebulan syarikatnya mampu mengutip hasil dari 500kg hingga 5 tan. Pencapaian yang paling memberangsangkan ialah kemampuannya mengeksport produk berkenaan ke Singapura setiap hari. Kejayaan Alvin itu didorong oleh penghasilan durian belanda berbentuk jantung di ladang yang mempunyai kira-kira 3,000 batang pokok durian belanda. Malah, dia pernah mencatatkan pencapaian peribadi apabila pernah menghasilkan durian belanda bentuk jantung seberat 9kg. Bagi Alvin, dia tekad menembusi pasaran durian belanda kerana hasilnya boleh dipelbagaikan. “Durian belanda sesuai untuk dijadikan sebagai produk sampingan. seperti kordial dan jus. Itu sasaran saya pada masa hadapan,” tuturnya. Sementara itu, Jabatan Pertanian Negeri Johor dalam kenyataannya memberitahu, Johor mempunyai tanaman durian belanda seluas 90.8 hektar. Segamat merupakan daerah terluas dalam pengeluaran tanaman durian belanda seluas 33 hektar. Jabatan Pertanian Negeri Johor menyatakan ruang pasaran durian belanda besar sama ada untuk eksport dan domestik antara faktor perniagaan durian belanda meningkat di Johor. “Melihat kepada kebaikan dan khasiat durian belanda dan potensinya dalam pasaran tempatan dan eksport, Jabatan Pertanian dalam usaha untuk terus usaha menggalakkan petani atau usahawan untuk terlibat dalam pengeluaran buah tersebut. “Selain untuk pasaran segar, permintaan bagi tujuan proses industri hiliran juga tinggi seperti pembuatan kordial. “Selaras dengan itu juga, pihak Jabatan Pertanian Negeri Johor akan mempertingkatkan khidmat pengembangan teknologi dan khidmat nasihat bagi membantu petani atau usahawan untuk mempertingkatkan pengeluaran mereka,” jelasnya. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada anda. Wasallam!.
TAMAN DURIAN...DURIAN BELANDA...
ISU PENDEBUNGGAN... ISU UTAMA...
HARGA MAHAL... RM 22.00/KG DIA...
USAHAWAN JOHOR...IA BERJAYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Projek Tanaman Durian Belanda,
Parit Sulong, Batu Pahat,
Johor, Malaysia.
(24 Ramadan 1436H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...