KLIK SAYA SOKONG BLOG

Monday, July 20, 2015

KELULUT - INDUSTRI LUMAYAN

TERNAKAN KELULUT (Trigona spp) atau dikenali sebagai 'stingless bee' merupakan satu industri yang semakin popular semenjak kebelakangan ini dan berjaya menarik minat ramai usahawan baru. Serangga kelulut ini adalah antara spesies lebah yang terkecil dan dianggarkan terdapat hampir 500 spesies di seluruh dunia. Di Malaysia sahaja terdapat hampir 58 spesies yang telah dikenalpasti dan ke semuanya menghasilkan madu. Bagaimana pun penulis yang membuat tinjauan di seluruh Malaysia mendapati bahawa setiap madu kelulut yang dihasilkan adalah unik dan ia memiliki keunikan rasa yang tersendiri. Kelulut adalaj jenis serangga yang jinak dan mudah diternak dan apa yang penting kelulut tidak memiliki sengat menjadikan proses menjaga, memindah serta mengumpulkan madu adalah lebih mudah berbanding dengan Lebah Madu (Jenis Apis cerana atau Apis mellifera). Bagaimanapun penulis dapati pada masa ini tidak ramai dalam kalangan usahawan tempatan yang benar-benar menumpukan perhatian menternak serangga tersebut bagi tujuan pengeluaran madu kerana kekurangan kemahiran, ilmu teknikal dan beberapa masaalah lain. Dalam pada itu satu usahawan yang dipanggil sebagai SAF atau lebih dikenali sebagai Soleha Advance Farming mempunyai cara tersendiri bagi mengetengahkan madu kelulut serta serangga tersebut kepada orang awam. Dalam beberapa pemerhatian oleh akhbar tempatan dan juga jabatan pembimbing, usahawan diketuai oleh En Rosman di Merbok, Kedah kini lebih menumpukan kepada pengetahuan dan kesedaran masyarakat terhadap madu kelulut serta serangga itu sendiri. Ini kerana kelulut merupakan serangga yang unik dan memiliki kelebihan yag tiada pada serangga lain. Artikel subuh ini sempena cuti Hari Raya Eidulfitri saya dapat menulis semula testimoni akhbar dalam "Anim Agro Technology" mengenai industri  kelulut yang didakwa melalui testimoni sebagai industri lumayan.

Kini ramai orang mulai tahu bahawa kelulut adalah serangga yang tidak berbisa, jinak, mudah dikawal dan dipelihara selain menghasilkan madu yang begitu baik untuk kesihatan manusia. Bagaimana pun penulis telah disengat 'kelulut yang garang' di Kg Bahagia, Besut, Terengganu semasa membuat kajian mengenai tabiat kelulut dibeberapa negeri. Kelulut yang garang ini ada 2 sarang daripada 21 koloni yang penoh dengan madu dan pengusahanya memang tidak suka mendekatinya. Ia koloni yang sangat aktif walau pun kesakitan gigitannya pada saya cuma 'gatal' sahaja berbanding dengan sengatan lebah keran dan mellifera. Dalam industri kelulut dikatakan madu kelulut dikatakan lebih baik berbanding madu lebah biasa. Walau pun kuantiti madu yang dihasilkan oleh kelulut sedikit sahaja tetapi ia akan menjadi banyak jika diuruskan dengan baik dan cara penuaian yang baik. Lazimnya kelulut boleh ditemui di hampir semua negara-negara beriklim tropika di seluruh dunia. Pada masa ini SAF telah membina sebuah galeri serta kawasan penternakan kelulut khas untuk dilawati olah orang awam. Ia terletak berhampiran Muzium Arkeologi Lembah Bujang dimana galeri tersebut juga dibuka secara percuma kepada orang ramai yang berminat untuk mendapatkan sebarang maklumat atau membeli madu kelulut daripada SAF.

Sebenarnya aktiviti memelihara kelulut adalah tidak rumit namun serangga tersebut memerlukan persekitaran yang sesuai dengan habitat asalnya. Ini kerana habitat kelulut pada alam semulajadi (nature) adalah di dalam batang-batang pokok di dalam hutan. Oleh yang demikian untuk memeliharanya sebaiknya pengusaha perlu untuk menyediakan persekitaran yang sama dengan keadaan asal serangga tersebut. Kawasan ternakan perlulah teduh, sejuk dan nyaman dengan perlindungan daripada pokok-pokok. Antara kawasan ternakan yang sesuai adalah di sekitar pinggir kampung dan hutan. Diet kelulut juga merupakan nektar yang dihasilkan oleh bunga-bunga hutan justeru, dusun buah-buahan serta kawasan dipinggir-pinggir kampung dan hutan adalah yang terbaik. Persekitaran yang panas akan menyebabkan produktiviti pengeluaran madu berkurangan. Kajian juga menunjukkan bahawa persekitaran yang panas akan menyebabkan sebahagian kelulut yang bekerja mencari madu tidak akan keluar daripada sarang dan ‘bertugas’ untuk menyejukkan koloni mereka dengan cara mengibaskan sayap tanpa henti untuk menyejukkan koloni. Kesian dia.... penat seharian memberikan pengudaraan. Jika sebahagian kelulut pekerja sibuk menyejukan sarang maka pastinya madu yang dihasilkan juga adalah sedikit.

Selain daripada itu dalam keadaan semulajadi lazimnya kelulut yang gemar bersarang pada celah batang pokok juga mudah untuk dipindahkan ke mana-mana kawasan ternakan. Pemerhatian selanjutnya mendapati keseluruhan batang pokok yang mengandungi sarang kelulut akan dipotong dan kelulut akan dipindahkan pada waktu malam bagi mengelakkannya melarikan diri apabila dipindahkan. Penternakan cara baru adalah dengan menggunakan batang kayu berlubang dan diletakkan kotak super yang akan menyimpan madu dibahagian aatasnya (Sila lihat foto disebelah). Terdapat banyak cara untuk menternak kelulut pada masa ini dimana saya ada menulisnya dalam banyak artikel sebelum ini. Anda boleh klik disini (Sila klik disini), (Sila Klik disini) dan banyak lagi artikel kelulut berkaitan. Apa yang mustahak adalah pada masa inikloni kelulut asli dijual dengan harga tinggi. Bagi sebuah sarang kelulut, dahulu harga di pasaran mencecah antara RM150 hingga RM300 bergantung kepada keadaan sarang, spesies kelulut serta jenis kayu atau pokok. Bagaimana pun penulis mendapati satu koloni lengkap kelulut dijual antara RM800 - RM1,200 pada pasaran komersil. Kadar harga yang tinggi tersebut kadangkala menyebabkan sering berlaku kes kecurian berlaku dalam kalangan pengusaha kelulut oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Kebiasaannya pengusaha kelulut tidak akan membeli sarang kelulut daripada orang yang mereka tidak kenali malah sering bekerjasama dengan usahawan yang lain. Madu kelulut seperti juga mahu lebah, dihasilkan daripada nektar bunga, namun memiliki rasa yang masam dan bergantung kepada jenis bunga serta kaya dengan bahan antioksida yang dapat membantu menyembuhkan luka serta bertindak sebagai antibiotik. Terdapat juga kajian menyatakan bahawa kehebatan madu kelulut adalah kerana ia memiliki asid fenilpropanaoik, asid protocatechuik dan empat asid hidroksifenilasetik yang tergolong dalam kumpulan asid fenolik bebas yang baik untuk kesihatan. Semuga artikel ini mempu memberikan info berguna kepada anda. Wasallam!.
TERNAK KELULUT... DIMANA SAJA...
PERLU DIURUS... TERUS DIJAGA...
IA MAHAL... KOLONI DAN MADUNYA...
BERMINAT?... BERANI MENCUBA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 220, Laverage Hotel, 
Mergong, Alor Star,
Kedah, Malaysia.
(3 Syawal 1436H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...