KLIK SAYA SOKONG BLOG

Saturday, November 30, 2013

HALIA BARA

HALIA BARA (Zingiber officinale var rubrum) merupakan sejenis halia daripada keluarga Zingiberaceae yang sering dikaitkan dengan dunia perubatan tradisional dalam alam Melayu dan Nusantara. Halia bara juga digunakan sebagai ramuan penting didalam masakkan kita yang menyedapkan rasa pada makanan. Semasa pameran MAHA dan HPPNK yang diadakan setiap tahun, Jabatan Pertanian ada membuat pameran mengenai tanaman nadir dan herbatermasuk halia bara dimana ramai pengunjung yang bersungguh-sungguh minta anak benih halia bara untuk dibawa balik kerana katanya memang amat sukar untuk mendapatkan benih tersebut. Namun mereka kecewa kerana bahan pameran tersebut hanya sedikit untuk tujuan pameran sahaja. Tinjauan saya mendapati Halia Bara juga kadang-kadang dipanggil sebagai Halia Merah, Halia Udang atau di Indonesia dipanggil Halia Emprit (Lihat foto diatas). Halia Bara memang tanaman yang dicari oleh pengamal perubatan tradisional kerana khasiat perubatan yang ada didalam tanaman tersebut. Kepada mereka yang tidak kenal dengan halia bara memang agak sukar untuk membezakannya dengan halia biasa atau Halia Makan seperti varieti Halia Bentong atau varieti Halia Sabah. Saya dapati halia bara mempunyai saiz umbisi yang lebih kecil, berwarna kemerahan (merah tua), mempunyai bau yang lebih kuat dan saiz umbisi lebih kecil. Pada daunnya pula didapati halia bara mempunyai saiz daun lebih kecil dengan bahagian hujung yang meruncing. Artikel petang ini sambil memandang padang golf Awana Genting Highland dari aras 21, saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai halia bara untuk bacaan umum dan bahan rujukkan.


Tumbuhan Halia Bara sama seperti pokok halia biasa yang mempunyai bentuk berumpun. Ketinggian tumbuhan ini diantara 15-30 cm dari paras tanah bergantung kepada kesuburan tanah dan pengurusan tanaman. Daunnya adalah kelihatan seperti pokok halia biasa, halia padi atau bonglai (Sila lihat foto halia bara disebelah). Batang halia keluar dari perdu pokok dan mempunyai batang yang sederhana lembut naik menegak keatas dengan beberapa helai pelepah daun. Halia ini memiliki rizom bersaiz kecil daripada halia biasa dan berwarna kemerahan. Saiz rizom seakan halia padi tetapi ia berwarna merah dengan isi kekuningan dan memang terasa lebih pedas. Keunikan rasa pedas ini membezakan dengan halia biasa dan menjadikan ia amat sesuai digunakan oleh pengamal perubatan. Penanaman halia bara lazimnya adalah daripada rizom yang telah matang dan sihat serta mempunyai mata tunas. Ia boleh ditanam diatas batas atau dalam pasu atau polibeg. Amalan agronomi tanmaman halia bara serupa dengan penanaman halia biasa dan anda boleh rujuk pada artikel mengenai halia (Sila klik disini). Jangkamasa penuaian juga hampir sama dengan halia biasa iaitu sekitar 1 tahun untuk rizomnya cukup matang.


Antara khasiat halia bara adalah seperti kegunaanya didalam mengubati penyakit kulit seperti Panau dan Kurap. Selain itu khasiatnya adalah seperti ia mampu juga menghilangkan tompok-tompok panau dengan mujarab. Halia Bara juga mampu menghilangkan kelumumur pada rambut serta merawat untuk menghilangkan rasa sengal-sengal otot serta sendi urat saraf. Halia bara juga didapati dapat menghilangkan batuk, meredakan demam malaria, didakwa dapat membantu menghilangkan masaalah penyakit gout dan juga merawat penyakit resdung. Paling seronok diperkatakan adalah kerana pati halia bara mampu meningkatkan kekuatan tenaga batin lelaki. Bagaimana pun perlu diambil ingatan bahawa adalah tidak digalakan minum air rebusannya selalu kerana ia akan merosakkan usus perut dan menyebabkan pedih ulu hati. Dalam temuan lain dinyatakan bahawa halia bara mampu melembutkan perut serta membantu didalam proses penghadaman makanan . Seperti air minuman halia, minuman halia bara juga mampu mengeluarkan angin dari dalam tubuh setelah meminumnya seperti 'air sarbat halia bara'. Ramai penduduk kampong dan orang asli yang menggunakan halia bara untuk merawat kesan gatal gigitan serangga. Selain itu ia melegakan demam dan kadang-kadang digunakan sebagai bahan untuk rawatan ibu selepas bersalin.


Kepada mereka yang berminat untuk menanam halia bara boleh mendapatkan khidmat nasehat daripada agen-agen pengembangan pertanian atau berjumpa dengan penanam halia bara yang anda ketahui. Benih halia bara dalam polibeg hitam setinggi 10 -16 cm boleh dibeli dengan harga RM 5.00 - RM10.00 satu polibeg yang terjamin kualitinya (Sila lihat foto sebelah). Benih yang sihat dan bebas penyakit ditanam dengan jarak disyorkan sama seperti halia biasa. Pastikan halia bara ditanam pada tanah yang subir, banyak bahan organik serta mempunyai salliran yang sangat baik. Tanaman halia bara tidak mempunyai masaalah serangan perosak dan penyakit yang serious jika ia dikawal  Pastikan amalan agronomi ladang halia bara dipatuhi seperti buku panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian Persekutuan. Banyakkan menggunakan baja organik sama ada ia dari bekalan tempatan atau baja organik impot. Penanaman halia bara mampu menhgasilkan pendapatan lumayan jika dijalankan dengan pengurusan baik. Kini banyak produk halia bara dipasaran seperti Pati Halia Bara, Kapsul Halia Bara, Serbuk Halia Bara, 3-in-One Halia Bara dan sebagainya dijual. Berwaspada jika anda hendak membeli produk ini terutama yang datang dari negara jiran. Selamat mengenali halia bara. Wasallam! 


Produk halia bara dipasaran.
SAIZNYA KECIL...ITU HALIA BARA...
SUKAR DITANAM...BENIH DIMANA...
BANYAK KHASIAT..PELBAGAI GUNA...
KURANG DITANAM...RAMAI TANYA...

By,
M Anem,
Room 21551, Awana Genting,
Genting Highland, Bentong,
Pahang, Malaysia.
(14 Muharam 1435H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...