KLIK SAYA SOKONG BLOG

Wednesday, November 27, 2013

LEBAH - GELODOG

GELODOG merupakan struktur khas yang diperbuat daripada batang kelapa untuk memerangkap lebah madu terutama LEBAH KERAN (Apis cerana) tetapi kurang digunakan untuk LEBAH IMPOT (Apis mellifera). Kedua jenis lebah tersebut merupakan dua spesisi lebah madu yang sesuai diternak di Malaysia. Lebah Keran merupakan lebah tempatan yang bersaiz kecil berbanding dengan lebah impot yang bersaiz lebih besar. Ternakan lebah madu secara moden telah diperkenalkan di Malaysia sekitar awal tahun 1980'an oleh Jabatan Pertanian walau pun industri ini masih belum mencapai tahap yang membanggakan. Orang Malaysia dahulu lebih percayakan Madu Lebah Tualang (Apis dorsata) atau lebih dikenali dengan panggilan Lebah Hutan sebagai paling berkhasiat. Pemburu lebah tualang kini semakin sukar untuk mendapatkan bekalan madu dari lebah tersebut kerana populasi lebah tualang telah banyak berkurangan akibat penebangan hutan dan perubahan alam sekitar. Ada laporan yang menyatakan kehadiran jutaan burung walit (Edible swiftlets) telah menyebabkan populasi lebah tualang menurun dengan signifikan. Penternakan lebah keran dan lebah impot dalam sistem moden menggunakan haif atau kotak lebah kini menjadi pilihan terbaik kepada penternak lebah madu. Haif Lebah yang diperbuat daripada kayu dengan mempunyai pintu dan 'frame' didalamnya memudahkan pengurusan koloni lebah dijalankan berbanding dengan kaedah lama menternak lebah dengan memggunakan gelodog. Pengurusan koloni lebah boleh dijalankan dalam dua kategori iaitu Pengurusan Luar Koloni dan Pengurusan Dalam Koloni (Dalam Haif). Salah satu perkara penting dalam pengurusan ini adalah memindahkan lebah madu kedalam kotak lebah. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai teknologi memindahkan koloni lebah dari GELODOG kedalam haif lebah untuk rujukkan anda.


Lazimnya penternak yang baru menceburi bidang penternakan lebah keran akan mendapatkan sumber koloni liar untuk dijinakkan. Lazimnya mereka akan mengambil lebah yang bersarang dari dalam GELODOG atau gelodok untuk di pindahkan ke dalam kotak (Lihat foto gelodog disebelah). Pertama sekali pengalaman saya melihat lebah liar dalam gelodog pada tahun 1982 semasa menjadi jurulatih bersama tenaga pengajar lebah Jabatan Pertanian di Melaka. Proses pertama adalah menyediakan 'gelodog' iaitu diperbuat daripada batang kelapa yang ditebuk bahagian tengahnya dan ada penutup bahagian atas yang boleh diangkat. Gelodog ini diletakkan dikawasan yang ada lebah keran liar seperti dikawasan kebun kelapa, kebun belimbing, kawasan hutan gelam dan sebagainya. Lazimnya lebah liar akan masuk kedalam gelodog semasa musim panas (swarming). Periksa gelodog yang ada koloni lebah dengan jumlah populasi yang sederhana atau tinggi dengan terdapat beberapa lapisan kom didalamnya. 


Pemeriksaan gelodog untuk koloni yang sesuai dipindahkan perlukan kemahiran. Pastikan koloni tersebut sudah mempunyai beberapa lapisan kom dan jumlah bilangan lebah pekerja banyak serta mempunyai ratu lebah. Bagaimana kita dapat memindahkan koloni lebah ke dalam kotak (haif)?. Mungkin ia nampak mudah kalau tidak pernah melakukannya sendiri. Lebah Keran di dalam golodok selalunya membuat sarang dengan cara sarangnya berkeping2 dan melekat di atas penutup gelodok dimana saya dapati kadang2 sarang lebah di buat cara melintang. Kedudukan susunan kom ada yang melintang dari arah matahari terbit dimana lazimnya koloni ini lebahnya lebih garang. Adalah lebih baik sekiranya sarang lebah di dalam gelodok kalau dibiar lama bersarang sehingga sarangnya boleh mencapai sehingga 9 keping kom atau lebih. Kadang-kadang jika musim mengena kita mampu juga pindah lebah di dalam gelodok sambil menuai madunya sehingga madu yang saya tuai boleh di isi 2 botol 325ml. Itu adalah rezeki yang besar memandangkan sarang lebah hanya di buat didalam gelodok.biasa sarang dalam gelodok madu tidak banyak.


Kebiasaannya sebelum melakukan pemindahan lebah daripada gelodog, persiapan awal perlu dijalankan. Beberapa peralatan untuk kegunaan memindah perlu disediakan seperti pisau untuk potong sarang lebah, getah atau tali untuk mengikat kom sarang di bingkai kotak, Haif (kotak lebah) dan set lengkap pakaian pelindung muka (Veil) serta sarung tangan. Teknik terbaik adalah untuk melakukan pemindahan lebah pada waktu petang sebab waktu petang semua lebah sudah berkumpul di dalam sarang.
Lazimnya pintu sarang lebah menghala ke arah matahari terbit dan amalan semasa membuka gelodok perlu berhati-hati. Amalan lazim dengan memerhatikan kedudukan sarang lebah mengikut turutannya supaya semasa memindah sarang kedalam kotak sarang tidak bertukar tempat. Kalau ada 7 kom maka susunan hendaaklah sama dengan susunan bingkai dalam haif berturutan dari 1 hingga ke 7 secara bersiri. Ini akan mengurangkan kejutan kepada lebah dalam rumah haif yang baru. Caranya ia kena mengikut turutan sarang yang sama di dalam gelodok. Sebaiknya letakkan secukup untuk beberapa keping sarang dilekatkan didalam bingkai kotak lebah. Sebaiknya kom lebah dari sarang yang asal hendaklah dilekatkan idimana ia mengandungi banyak anak-anak atau larva lebah berserta sedikit makanan untuknya. Haif yang berisi koloni baru ini diletakkan dilokasi sesuai sehingga koloni tersebut sesuai menghuni haif tersebut dan menghasilkan madu setellah beberapa lama mengikut kaedah pengurusan lebah madu yang sesuai. Wasallam !
HAIF (Kotak lebah) yang baru dipindahkan. 
BUAT GELODOG... BATANG KELAPA...
DILETAK DIKEBUN... ADA KOLONINYA...
KOLONI DIALIHKAN...HAIF TEMPATNYA...
IA DIURUSKAN.... TUNGGU MADUNYA...

By,
M Anem,
Senior Apiarist,
Projek Ternakan Lebah Madu,
Bukit Katil,
Melaka, 
Malaysia
(13 Muharam 1435H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...