KLIK SAYA SOKONG BLOG

Sunday, November 17, 2013

LEBAH EROPAH - APA DIA

LEBAH EROPAH merupakan sejenis lebah madu tergolong dalam keluarga Apidae dengan nama saintifiknya sebagai Apis mellifera. Ini berbeza dengan lebah tempatan kita yang lebih dikenali dengan Lebah Keran (Apis cerana) dan Lebah Tualang (Apis dorsata). Lebah Eropah ini dipercayai natif dan berasal dari Afrika, Eropah dan Timur Tengah. Ia kemudian diperkenalkan pula ke Amerika, Australia dan seterusnya keseluruh dunia. Di Amerika Syarikat terdapat sejenis lebah eropah yang dikenali sebagai Apis mellifera corniola dianggap sebagai spesis lebah yang mempunyai produktiviti yang tinggi dalam menghasilkan madu. Malangnya lebah ini suka berhijrah dari satu kawasan ke kawasan yang lain mengikut keadaan perubahan cuaca semulajadi disana. Dinegara kita Malaysia, lebah eropah mula diternak secara percubaan di beberapa buah negeri yang berpotensi dalam menghasilkan lebah madu secara komersial yang diimpot oleh Jabatan Pertanian. Lebah Eropah yang saya rujuk kita boleh bahagikan kepada beberapa sub spesies iaitu Lebah Eropah Hitam (Apis mellifera mellifera L.)Lebah Itali (Apis mellifera lingustica Spin.)Lebah Belanda (Apis mellifera mellifera)Lebah Jerman (Apis mellifera lehzeni), Lebah Apis Carniolans (Apis mellifera carnica Pollman), Lebah Apis Gaucasians (Apis mellifera caucasica Gorb.),  Apis mellifera corniola dan Apis mellifera caucasia.  Di Malaysia, lebah ini telah diternak oleh beberapa penternak lebah madu terpilih di bawah Projek Lebah Madu kelolaan oleh Jabatan Pertanian. Walau pun lebah jenis ini telah lebih 20 tahun diperkenalkan di negara kita tetapi prestasi kejayaannya masih ditahap sederhana kerana benyak masaalah teknikal dan pengurusan koloni yang perlu diselesaikan. Artikel petang ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai lebah eropah untuk dijadikan bahan bacaan rujukkan peminat penternak lebah madu.

Lebah Pekerja
Koloni lebah madu lazimnya boleh dibahagikan kepada 3 kumpulan iaitu Lebah Ratu, Lebah Pekerja dan Lebah Jantan. Lebah Pekerja merupakan kumpulan paling banyak dalam koloni dimana terdapat perbezaan lebah pekerja muda (berwarna cerah) dan lebah pekerja tua (berwarna gelap). Lebah pekerja memiliki saiz badan kecil. Bilangan dalam sarang boleh melebihi 10,000 ekor (20 - 200 ribu). Jangka hayat lebah pekerja diantara  20  -  40 hari atau sehingga menggunakan sengatnya (140 hari semasa musim sejuk). Bekerja hingga akhir hayat, jantinanya adalah betina mandul. Tugas pekerja ialah untuk membina kom, menjaga sarang, larva, jantan yang muda dan ratu. Ia juga membersihkan sarang, mengumpul madu, debunga dan propolis memberi bantuan perwapan nektar, menutup sel (madu dan pupa), mengeluarkan telur jantan dan memindahkan larva untuk menjadikan ratu yang baru. Kumpulan lebah pekerja juga akan menjaga sarangnya dan akan menyengat musuhnya jika diancam. Sengatnya akan terkeluar dari bahagian belakang dan akhirnya lebah tersebut akan mati beberapa minit kemudian.


Lebah Jantan pula merupakan kumpulan lebah yang bersaiz sederhana. Terdapat sehingga 200 ekor atau kadang-kadang tiada langsung lebah jantan dalam satu masa dalam sarang. Jangkahayat boleh capai sehingga 60 hari atau sehingga mengawan. Berfungsi mengawan sahaja (dengan ratu dara atau ratu muda). Kumpulan lebah ketiga iaitu paling utama adalah Lebah Ratu (Queen Bee). Lebah ratu bersaiz besar. Hanya satu ekor sahaja dalam satu sarang. Jangkahayat lebah ratu yang dikira ekonomik  selama 2 tahun tetapi ada yang mampu bertahan sehingga maksima 8 tahun. Ianya bergantung kepada sperma yang diperolehi. Lebah Ratu mempunyai jantina sama ada ia Lebah Betina atau Lebah Bisexual (parthenogenesis). Tugas utama Lebah Ratu adalah mengawan dengan lebah jantan yang mana ia berlaku bebas di udara dikatakan sebagai  'mating flight'  selama 5-20 minit terutama berlaku di sebelah petang. Ratu lebah akan mengeluarkan hormon atau bau khusus kepada koloninya sahaja dan ianya akan bertelur sepanjang hayat dengan banyak telur.



LAPORAN AKHBAR:
Pengusaha dibekal lebah mudah diternak
Oleh TOREK SULONG


Yahaya Yaacob menunjukkan koloni lebah dari Australia yang
menghasilkan madu berkualiti tinggi dalam projek perintis
penternakan lebah Apis Melifera di Pasir Puteh.
PASIR PUTEH 9 Mei - Pejabat Pertanian Daerah Pasir Puteh membekalkan lebah jenis mudah diternak, Apis Melifera dari Australia yang mampu menghasilkan madu berkualiti tinggi kepada pengusaha berdaya maju di sini untuk meningkatkan pendapatan mereka. Penolong Pegawai Pertanian, Yahaya Yaacob berkata, projek penternakan lebah dari Melbourne ini mampu menjana hasil pendapatan sampingan sehingga RM1,500 sebulan dengan kapasiti penternakan 10 koloni lebah sama ada di persekitaran rumah atau kebun yang sempit. Beliau berkata, pihaknya terpaksa membuat pemilihan penternak untuk diagihkan baka lebah dari spesies berkenaan bagi memastikan projek ini dapat dilaksanakan sehingga berjaya. Katanya, setiap penternak yang terpilih menerima satu kotak sarang penternakan dan koloni 1,500 hingga 2,000 anak lebah untuk diternak pada peringkat permulaan. "Serangga madu ini akan meningkat bilangannya dari semasa ke semasa sehingga mencecah 5,000 ekor. Lebah mudah diternak kerana sifatnya yang jinak. "Penternak perlu membuat pecahan koloni apabila jumlah lebah meningkat. Penternakan perlu mengikut kaedah yang betul bagi memastikan serangga ini sentiasa aktif untuk memungut madu pelbagai jenis bunga di sekitar dua kilometer dari sarangnya," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Yahaya berkata, pada peringkat pertama penternak terpaksa menunggu selama empat bulan untuk memperoleh madu dan selepas tempoh itu hasilnya boleh dipungut pada setiap bulan. Beliau berkata, proses penghasilan madu lebih cepat pada musim bunga manakala pada musim hujan terutama penghujung tahun, penternak terpaksa menyediakan air gula untuk diproses menjadi madu kerana lebah tidak dapat keluar dari haif akibat hujan dan bunga yang mengandungi nektar tiada. Ianya dijalankan untuk mengelak koloni serangga itu meninggalkan kotak sarangnya ke tempat lain. "Kawasan yang sesuai untuk menempatkan kotak sarang serangga itu ialah di bawah pokok kelapa, belimbing atau pokok yang mempunyai banyak bunga sepanjang tahun. "Penternak juga perlu mengawal koloni daripada ancaman serangga lain seperti semut, lipas dan serangga tebuan bagi membolehkan mereka mendapat hasil madu yang baik," katanya. Bagaimanapun, katanya, sehingga kini hanya seorang penternak diberi peluang mengusahakan penternakan ini sebagai projek perintis yang telah diusaha sejak empat bulan lalu dengan hasil yang memberangsangkan. "Projek ini boleh diperluaskan bagi membantu penternak terutama masyarakat petani mengusahakannya sebagai sebahagian alternatif menjana pendapatan sampingan. Namun, sekiranya projek penternakan ini dilaksanakan secara komersial dalam skala yang besar, tidak mustahil petani yang menceburinya berjaya tampil sebagai usahawan madu yang berjaya," katanya.



LEBAH EROPAH... BOLEH DITERNAK....
BANYAK JENIS... SIAPA YANG HENDAK...
PERLU BERKURSUS... DAN ADA MINAT...
MADU TERHASIL... BANYAK KHASIAT...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pusat Apiari Nasional,
Stesyen Pertanian Parit Botak,
Batu Pajat, Johor,
Malaysia.
(12 Muharam 1435)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...