KLIK SAYA SOKONG BLOG

Friday, November 22, 2013

LEBAH MELIFERA - PENGURUSAN (Part 2)

 
LEBAH MELLIFERA (Apis mellifra) merupakan sejenis lebah dari Eropah yang masuk ke Malaysia semenjak tahun 1976 oleh Jabatan Pertanian. Sebenarnya terdapat beberapa jenis lebah tempatan yang mampu menghasilkan madu seperti Lebah Keran (Apis cerana) dan Lebah Tualang (Apis dorsata) walau pun pengeluaran masih rendah dan tidak menentu. Daripada pembacaan dan pengalaman penulis, terdapat 8 spesis lebah yang terdapat dinegara ini yang perlu di'explore' lagi termasuk terkini yang mendapat perhatian iaitu Lebah Kelulut (Trigona spp). Saya mula kenal dengan lebah madu semenjak awal 1980'an semasa saya mula bertugas di Melaka dan aktif dalam mengembangkan ternakan lebah keran dikawasan tanaman kelapa teutama di Merlimau. Kini banyak pokok kelapa dikawasan Merlimau, Melaka yang telah pun ditebang dan digantikan dengan pokok kelapa sawit dan menjadi kawasan perumahan dan kawasan kilang dan sebagainya. Agaknya penternakan lebah madu dikawasan tersebut semakin kurang sesuai. Penternakan lebah eropah sebagai satu alternatif juga pernah dijalankann di Melaka. Selain itu aktiviti penternakan lebah kini semakin kurang aktif kerana tidak ramai usahawan yang menceburi bidang ini. Artikel subuh ini saya terpanggil untuk menulis teknologi pengurusan Lebah Eropah atau kita lebih kenali dengan Lebah Mellifera dalam "Anim Agro Technology" untuk rujukkan dan bacaan anda berdasarkan pengalaman dan rujukkan teknikal.


Kepada mereka yang ingin menceburi bidang ternakan perlabahan (Apiarist), mereka perlu ada MINAT, KEMAHIRAN, KEBERANIAN dan MODAL. Beberapa alatan asas dalam penternakan lebah adalah seperti Haif, Penutup Muka (Veil), Pengasap (Smoker), Pengempar Madu (Extractor) dan sarung tangan perlu dibeli dan disediakan sebelum kita memulakan projek. Kawasan tapak apiari atau kawasan ternakan lebah mesti mempunyai sumber makanan yang mencukupi, tiada gangguan haiwan perosak dan gangguan daripada tiupan angin kencang. Baka lebah mellifera boleh dibeli daripada pembekal bertauliah dengan harga diantara RM 700 - RM 900 satu koloni (established colony). Jika anda hendak menternak Lebah Keran pula harganya sekitar RM150 - RM 300 satu koloni sebagai perbandingan yang boleh dibeli datipada pembejal tempatan. Pada saya, satu pilihan lagi pilihan untuk mendapatkan koloni lebah adalah memindahkan koloni lebah liar (Keran) kedalam haif walau pun ia memerlukan kemahiran tinggi untuk membuatnya. Sering saya pasang GELODOG (Rumah perangkap lebah keran liar yang dibuat dari batang kelapa dilubangkan dan diletakkan dimana ada populasi lebah liar) dan dipantau selalu. Lazimnya lebah liar akan masuk dalam musim kering sewaktu lebah keran pecah koloni (swarming) dikawasan dimana ada populasi lebah. Teknik mengambil atau mengalihkan lebah liar kedalam haif perlu dijalankan dengan teliti agar lebah tersebut tidak 'lari' semula selepas dipindahkan. Semasa memindahkan lebah liar, pastikan kita menempatkan Ratu Lebah dahulu bersama koloninya dan potong kom sedia ada kedalam frame dann tambah dengan lilin kom baru. Lazimnya kalau kita mahir untuk mengalihkan lebah liar akan mencapai sehingga 80 - 90% kejayaan. Lebah yang baru dipindahkan daripada gelodog kedalam haif baru perlu dijaga dengan baik pada peringkat awal seperti memberikan makanan tambahan, diletakkan ditempat sesuai dan tidak berjauhan dari lokasi asal gelodog.


Pengurusan Koloni Lebah merupakan asas kepada penternakan lebah madu untuk menghasilkan pendapatan lumayan.Terdapat dua kategori pengurusan lebah madu iaitu Pengurusan Luar Koloni dan Pengurusan Dalam Koloni. Kedua-duanya perlu ada pada penternak dengan tahap kemahiran tinggi yang boleh dijana melalui kursus rasmi atau menimba pengalaman semasa menternak. Pada saya membuat latihan amali bersama penternak lebah sedia ada sehingga mendapat kemahiran adalah kaedah terbaik. Tidak banyak kursus-kursus mengenai perlebahan diadakan dinegara kita. Jabatan Pertanian Negeri Johor ada beberapa kali menganjurkan kursus perlebahan yang diadakan di Pusat Apiari Kebangsaan di Stesyen Pertanian Parit Botak, Johor dan beberapa pejabat pertanian daerah. Kalau ada ramai yang berminat untuk menghadiri kursus perlebahan bolehlah mereka menghubungi pusat apiari kebangsaan untuk diadakan kursus tersebut. Ianya terdiri daripada kursus asas perlebahan sehingga kepada kursus lanjutan seperti menyediakan ratu lebah, permakanan lebah, pengurusan musim hujan dan sebagainya.

Pengurusan Luar Koloni melibatkan pemeriksaan terhadap kehadiran sumber makanan, sumber perosak dan penyakit, sumber dan keadaan fizikal haif lebah yang digunakan. Paling utama adalah kita mempastikan sumber makanan untuk lemah iaitu nektar dan debunga ujud dikawasan penternakan lebah setiap masa. Sumber tumbuhan ini sama ada semulajadi (Pokok Gelam, Rumput Israel dan Bunga Pengantin) atau yang di tanam seperti Kelapa, Nenas, Pokok Belimbing dan sebagainya. Bagi pengurusan dalam koloni, sebaiknya dijalankan dengan pemeriksaan lebah didalam haif sekurang-kurangnya setiap 7 hari. Bagaimana pun jadual pemeriksaan boleh disesuaikan dengan keadaan koloni lebah sama ada ianya baru dipindahkan, perubahan cuaca dan iklim atau pun terdapat kejadian serangan perosak dan penyakit. Pemeriksaan meliputi jumlah populasi lebah, Taburan telur dan anak dalam kom, kehadiran sel ratu, keadaan kom, penyimpanan madu dan debunga dan kehadiran perosak dan penyakit. Bersambung pada artikel berikutnya (Part 1, Part 3, Part 4, Part 5 dan Part 6). Wasallam.


Pemeriksaan kom lebahmadu perlu dilakukan.
LEBAH MADU ... ADA SENGATNYA...
DALAM HAIF..PERLU DIJAGANYA...
HASILKAN MADU... DAN DEBUNGA...
MAKAN MADU.. SIHAT SEJAHTERA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Projek Ternakan Lebah,Madu,
Kg Sungai Gersik, Parit Jawa,
Muar,Johor,
Malaysia.
(27 Zulhijjah 1434H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...