KLIK SAYA SOKONG BLOG

Tuesday, April 30, 2013

MATA PELANDUK (ULAM)

ULAM MATA PELANDUK (Ardisia crispa) merupakan pucuk dari sejenis tumbuhan dari keluarga Myrsinaceae yang tumbuh dinegara kita. Ramai kita kurang kenal akan tumbuhan mata pelanduk ini yang juga dipanggil sebagai pokok 'Mata Ayam' oleh penduduk kampong. Foto diatas dipetik dari wiki menunjukkan pucuk pokokk mata pelanduk tetapi ia tidak dapat menjelaskan kaitannya dengan nama yang diberikan kepada tumbuhan ini. Sebenarnya nama 'mata pelanduk' atau 'mata ayam' ini saya fikir adalah dari bentuk buahnya seperti buah ceri berwarna merah seolah-olah sama seperti mata pelanduk (jika disuluh dengan lampu picit ketika memburu waktu malam) atau mata ayam (Lihat foto dibawah). Saya kenal tumbuhan ini juga ketika melawat Taman Herba Perak beberapa kali kerana memang minat untuk mengetahui lebih mendalam tentang beberapa tanaman herba di Malaysia. Apabila sampai dilokasi tanaman ini, Pn Azizah menerangkan akan khasiat dan ciri-ciri pokok mata pelanduk kepada semua pengunjung taman ini. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai tumbuhan mata pelanduk yang jarang-jarang kita jumpa untuk menambahkan ilmu pengetahuan pembaca blog ini.


Tumbuhan mata pelanduk adalah jenis pokok renek yang tumbuh menegak dengan ketinggian sehingga 1.5 meter. Pokok ini tumbuh dikawasan yang panas dengan cahaya matahari banyak atau dengan sedikit naungan. Pokok ini juga mempunyai cabang berkayu sederhana keras dengan jumlah cabang yang sederhana banyak. Daunnya berbentuk simpel yang tajam dihujungnya dan mempunyai warna berkilat dipermukaan atas. Susunan daun adalah bersilang tunggal dengan laidaun bergeriji yang jelas kelihatan. Buah mata pelanduk berbentuk beri yang bulkat kecil dengan warna buah merah cerah sehingga merah pudar mengikut dimana pokok tumbuh. Buah ini boleh dimakan dengan rasa agak manis den boleh dijadikan sebagai ubatan untuk masaalah tertentu. Saya masa kecil dulu memang selalu jumpa pokok ini didalam kebun getah atau belukar dikawasan kampong di Johor dan sering kutip buahnya untuk dimakan.


Bunga mata pelanduk mempunyai 5-6 kelopak dengan warna putih kemerahan terutama dibahagian tepi kelopak (Lihat foto sebelah). Bunga yang cantik ini akan dikunjungi oleh serangga seperti semut, lebah dan lalat untuk proses menyedut bektar dan membantu dalam proses  pendebungaan. Bunga akan menjadi buah yang cantik dimana burung amat suka makannya dan bijinya akan diberakkan kekawasan lain dan akan bercambah menjadi pokok baru. Saya belum pernah jumpa petani yang menanam pokok mata pelanduk secara komersil malahan dikawasan kebun getah ia merupakan rumpai yang perlu dihapuskan jika terlalu banyak.  Pokok ini juga tubuh cepat dikawasan yang banyak naungan seperti dikawasan ladang getah terbiar. 


Beberapa artikel dan buku rujukkan yang saya baca menyatakan beberapa khasiat dari pokok mata pelanduk. Bahagian akar pokok ini dipercayai mengandungi khasiat untuk mrnyrmbuhkan penyakit meroyan jika ia direbus dan airnya diminum. Terdapat juga amalan di Kg Orang asli Kg Peta di Mersing, Johor yang saya jumpa merebus akarnya dan minum air untuk menghilangkan masaalah sakit tekak atau sakit sesak nafas. Air rebusan ini juga dapat menghilangkan batuk, demam dan juga saya pasti menghilangkan dahaga. Kepada mereka yang ingin mengamalkan perubatan tradisional ini dinasehatkan mengambil akar pokok mata pelanduk yang bebas dari pencemaran racun. Dapatkan nasihat klinikal jika anda minum dan ada kesan sampingan. Wallahualam!

MATA PELANDUK....DIBERI NAMA...
MATA AYAM ...POKAK YANG SAMA...
BUAHNYA MERAH..MENYALA-NYALA...
DIBUAT UBAT... AKAR BERGUNA...

By,
M Anem
Kg Orang Asli Peta, 
Mersing, Johor, 
Malaysia.
(Lawatan pada tahun 1999 -2001)
Ditulis pada 7 Mac 2013
  

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...