KLIK SAYA SOKONG BLOG

Saturday, April 20, 2013

BUAH KUNDANG (Part 1)

BUAH KUNDANG (Boues macrophylla) merupakan sejenis buah nadir yang natif dikawasan Asia Tenggara dari keluarga Anacardiaceae. Pokok buah kundang ini juga mempunyai kaitan juga sedikit persamaan dengan pokok buah mangga berdasarkan kepada keluarga yang sama. Buah Kundang ini lebih dikenali dengan nama Ma-Praang atau Ma-Yong di Thailand dan dikomersilkan dinegara tersebut sehingga mereka mampu mengekspot ke negara kita apabila musim buah tersebut tiba. Buah ini juga dipanggil sebagai Marian Plum atau Plum Mango dalam Bahasa Inggeris. Dalam bahasa Indonesia buah ini dipanggil sebagai Gandaria atau Jatake. Saya yang berasal dari Muar telah biasa dengan nama 'Kundang' dimana berdekatan kampong saya ada tempat iaitu Pekan Kundang Ulu dan juga Kampung Kundang di Kesang. Kemungkinan kedua-dua lokasi tersebut diberi nama adalah disebabkan oleh keujudan banyak pokok kundang satu ketika dahulu. Dari segi topografi, saya dapati memang banyak pokok kundang liar ditepi sungai disepanjang Sungai Muar dimana ia tumbuh secara semulajadi. Buah ini mempunyai warna kuning oren yang sangat kuat dan kita akan telan air liur apabila melihat buahnya dipokok atau dipasar. Kajian statistik mendapati buah kundang telah banyak dikomersilkan di Thailand dan Indonesia tetapi agak kurang di Malaysia. Tidak ada maklumat rasmi mengenai jumlah keluasan dan jumlah pengeluaran buah kundang direkodkan dimana-mana. Artikel malam ini saya tulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai buah Kundang yang saya kenal dan buat banyak rujukkan untuk ditulis dan baca oleh anda semua.


Pokok Buah Kundang adalah pokok besar jenis saka yang tumbuh menegak dengan banyak cabang dengan ketinggian antara 15 - 25 meter. Ia mempunyai daun yang rimbun dari banyak cabang-cabang. Daunnya berwarna hijau agak kilat dengan bentuk daun antara lanceolate atau epiliptik dengan susunan daun bertentangan (opposite) dan bilangan jumlah daun yang banyak (Lihat foto sebelah). Ukuran daun 13-30 cm panjang dan 5.0-7.6 cm lebar seakan juga bentuk daun pokok mangga (Mangifera indica). Bunga kundang adalah bersaiz kecil berwarna kuning krim malai dan keluar dari ketiak daun seperti juga bunga mangga. Pemerhatian menunjukkan di Malaysia dan Indonesia, lazimnya bunga akan keluar daripada bulan Jun hingga September. Buah Kundang berbentuk Bulat Lonjong (Ovoid) dan berukuran 7.5 - 10.0 cm garispusat dengan kulit licin. Kulit buah berwarna hijau ketika muda dan akan bertukar kepada kuning oren yang kuat apabila cukup masak (Lihat foto diatas dan sebelah). Buah ini mempunyai rasa yang masam, masam manis dan ada varieti komersil yang rasa isi nya manis. Selalunya kita makan buah kundang yang segar ini bersama kulitnya sekali. Ia mempunyai satu biji dibahagian tengah dengan isi biji (Kotilidon) berwarna ungu dan kadang-kadang ada yang kata ia boleh dimakan. Buah kundang muda dipetik untuk dijadikan rojak buah yang sedap dimakan dengan kuah rojak. Walau pun buah kundang muda masam, apabila dipotong dan dicecah dengan kuah rojak petis memang sedap dimakan.


Pokok Kundang secara semulajadi lazimnya tumbuh sendiri dikawasan tanah agak tinggi, ditepi sungai dengan tanah yang agak subur dan dikawasan yang ada saliran yang baik. Pada masa ini dibeberapa negara, tanaman kundang telah dikomersilkan dan ditanam dikawasan tanah rendah yang subur dan mengikut amalan pertanian baik. Penanaman boleh menggunakan bijibenih kundang dari buah yang matang dimana ia berbuah diantara 8-10 tahun selepas ditanam. Jika pokok ditanam menggunakan anak benih cantum, lazimnya akan berbuah lebih cepat iaitu hanya 5-6 tahun sahaja. Jarak penanaman yang sesuai untuk pokok kundang 6m x 6 m  dan kemudian apabila pokok telah besar boleh dijarangkan kepada 9m x 9m. Bagaimana pun teknologi terkini adalah pokok kundang sentiasa dibuat cantasan agar pokok sentiasa rendah dan mudah untuk menjalankan pengurusan agronomi (Lihat foto sebelah). Pokok yang ditanam diThailand saya dapati sentiasa dicantas dengan anggarah ketinggian 3-4 meter sahaja untuk memudahkan kutipan hasil dan sebagainya. Penggunaan bahan kimia seperti Paclobutrazol sebagai agen aruhan bagi pengeluaran bunga pernah dicuba di Thailand untuk pengeluaran bunga yang serentak terhadap pokok kundang. 

Pokok kundang yang di tanam secara monokrop dan komersil ini dijalankan cantasan pembentukkan (Formation pruning). Tujuannya adalah untuk mendapatkan pokok kundang yang agak rendah untuk memudahkan pengurusan tanaman terutamanya aktiviti memetik buah. Kawalan rumpai dijalankan dengan menggunakan racun serangga. Kawalan serangga perosak dan penyakit hampir serupa dengan bagaimana kita menguruskan tanaman mangga. Walau pun begitu tanaman ini agak tahan dengan serangan ulat pengorek batang. Semasa buah hampir masak, sesetengah petani memasang jaring atau penutup khas untuk mengelakkan buah kundang dari dirosakkan oleh burung, kelawar atau Keluang (Flying bats). Kerosakan dan keguguran buah kundang yang hampir masak oleh keluang mampu merugikan petani dengan serius untuk buah kundang varieti manis. Belum banyak tanaman buah kundang yang dikomersilkan di Malaysia masa kini.  
BERSAMBUNG dalam Buah Kundang (Part 2)...Wasallam!


Bunga pokok buah Kundang.
BUAH KUNDANG...JARANG JUMPANYA...
HIJAU MASA MUDA...OREN CANTIKNYA...
ADA YANG MASAM...ENAK MANISNYA...
KINI DITANAM...KOMERSIL CARANYA...

By,
M Anem
Senior Agronomist
Taman Herba Perak, 
Gopeng, Perak,
Malaysia
(8 JamadilAkhir 1434H)



     

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...