Monday, April 1, 2013

BUAH MAJA

BUAH MAJA (Aegle marmelos) merupakan sejenis buah yang bentuknya macam buah Limau Bali atau Pomelo dan ia mempunyai rasa sangat pahit. Tumbuhan dari adalah keluarga Rutaceae ini tumbuh di Indonesia, India, Pakistan, Myanmar, Malaysia, Filipina , Kemboja, Vietnam dan juga Thailand.  Nama lain bagi buah ini adalah Bael, Bilwa, Bilva, Bel, Kuvalam, Madtoum, Koovalam, Beli Fruit, Bengal Quince, Stone apple dan Wood Apple. Mendengar namanya 'wood' sahaja kita boleh agak buah ini mempunyai kulit yang keras apabila cukup matang. Buah Maja ini telah dijadikan legenda di Indonesia kerana buah ini adalah sangat pahit dan menjadi satu nama yang terkenal dalam sejarah iaitu 'Kerajaan Maja-Pahit' lalu dijadikan Majapahit zaman dahulu di Pulau Jawa. Ini kerana rasa buah Maja amat pahit dimana isinya tidak boleh dimakan tetapi boleh digunakan didalam perubatan tradisional. Ada sejenis lagi buah seakan buah maja iaitu Buah Bernuk (Crescentia cujute) yang berasal dari Amerika Tropika. Buah ini dibawa masuk oleh penjajah Portugis serta Belanda semasa penjajahan dulu. Buah Bernuk juga dipanggil sebagai Calabash Tree, Brunuk, Huingo, Krabasi dan Karebas dimana saiz buahnya agak kecil sedikit dari buah maja. Artikel tengahari ini sambil saya menonton cerita Hindustan TV3 berjudul 'Khusi' saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai buah maja yang saya jumpa di kaki Kompleks Borobodur minggu lepas.


Pokok Maja merupakan pokok saka yang tumbuh menegak dengan banyak cabang dengan ketinggian antara 18 - 20 meter. Batangnya keras denan kulit tebal dan boleh mengeluarkan bunga dan buah (lihat foto sebelah). Dahannya tumbuh selain dari naik keatas juga agak banyak yang 'melempai' kesisi dengan dahan yang kuat dan tidak mudah patah. Daun maja berwarna hijau pucat dengan susunan 3 helai pada satu tangkai yang panjang (trifoliate) dan berukuran 5 - 7 cm panjang serta 2 - 4 cm lebar. Bunganya berwarna putih kehijauan dengan bentuk menarik dimana ia didapati mampu mengeluarkan aroma atau bau sangat harum sehingga boleh dihidu jarak jauh dari kawasan pokok maja. Ia adalah jenis bunga biseksual yang mempunyai stigma dan pollen pada kuntum yang sama (Lihat foto dibawah). Bunga maja terbit pada batang utama, dahan kecil dari banyak  bahagian pokok. Bunga maja boleh digunakan untuk mendapatkan aroma dan keharumannya dalam acara ritual.


Bunga maja yang telah lengkap menjalani pendebungaan akan menjadi buah maja. Buah maja lazimnya berbentuk bulat atau berbentuk bulat agak lonjong dengan ada tonjolan di bahagian pangkalnya buah (Lihat foto paling atas dan bawah sekali). Apa yang saya teliti, kulit buah agak halus dan ia berwarna hijau ketika muda. Saiz buah agak besar dengan diameter buah antara 5 - 12 cm bergantung kepada kesuburan pokok. Seperti apa yang saya katakan awal tadi, buah maja nampak mirip dengan buah kawista atau macam buah pomelo atau Limau Bali (Citrus grandis) sekali pandang. Bezanya yang saya lihat adalah buah kawista berbentuk bulat sempurna dengan mana bahagian pangkalnya tidak menonjol, kulit buahnya agak kasar dan juga warnanya agak hijau kelabu. Walau pun dua tanaman ini berbeza, tetapi keduanya memang masih sama dalam Keluarga Rutaceae. Buah maja mahu pun kawista juga bertempurung sangat keras. Tekstur buah serta bijinya maja juga mirip kawista. Di Pakistan, India, Srilanka, Nepal dan Bangladesh lazimnya buah maja merupakan buah yang cukup penting. 


Di negara yang ada pokok maja tadi, isi buah maja biasa digunakan sebagai bahan untuk minuman 'sharbat'. Kita di Malaysia lazimnya kenal dan minum air sharbat selalunya akan menggunakan bahan dari halia sahaja.  Ini adalah minuman tradisional yang terdiri dari bahagian isi buah yang telah dihancurkan kemudian ia dicampur dengan air dan gula (atau sirap) serta ais. Pucuk daun maja juga merupakan sayuran yang popular dibeberapa negara untk dimakan sebagai ulam atau dimasak. Dalam ilmu perubatan tradisional di India (ayurvedic), buah maja memang dipercayai boleh mengubati gangguan pencernaan (sistem penghadaman) dan juga sakit demam. Dalam masyarakat tradisional Hindu, lazimnya buah maja merupakan tumbuhan suci dan ia dikaitkan juga dengan Dewa Shiva. Ini yang menyebabkan pokok maja selalu ditanam di halaman Kuil Hindu. Daun maja juga merupakan bahan yang sering digunakan untuk acara ritual hindu yang cukup penting. Di negara Nepal, buah maja juga merupakan bahan untuk majlis perkawinan yang cukup penting. Ini kerana buah maja dianggap sebagai penjelmaan Dewa Shiva. Maksudnya sigadis sebenarnya menikah dengan Dewa Shiva dan bukan dengan suaminya. Ritual ini bertujuan untuk mendapatkan kesuburan (keturunan) dari Dewa Shiva.  Adat mereka apabila sisuami meninggal dunia maka pihak perempuan itu tidak perlu malu berstatus janda disebab ia tetap menjadi isteri Dewa Shiva. Maja merupakan tanaman yang cukup penting dalam tradisi Hindu. Lebih banyak kajian dan koleksi perlu ditanam di Stesyen Pertanian negara kita terhadap buah ini yang mungkin mempunyai nilai estetik tertentu. Begitulah adanya kisah buah maja yang saya dapat pegang, lihat dan kenal setelah melawat Borobodur. 
Wasallam !


Penulis memegang Buah Maja dilaluan  tangga turun 
Kompleks Candi Borobodur, Jawa Tengah, Indonesia.
BUAH MAJA... POMELO BENTUKNYA...
BENTUK BULAT... HIJAU WARNANYA...
SANGAT  PAHIT...KERAS KULITNYA...
ADA SEJARAH... MAJAPAHIT NAMANYA...

By,
M Anem
Kompoleks Candi Borobodur,
Magelang,
Jawa Tengah,
Indonesia
(16 March 2013) 

1 comment:

kesavan said...

Di negara Nepal, buah maja juga merupakan bahan untuk majlis perkawinan yang cukup penting. Ini kerana buah maja dianggap sebagai penjelmaan Dewa Shiva. Maksudnya sigadis sebenarnya menikah dengan Dewa Shiva dan bukan dengan suaminya. Ritual ini bertujuan untuk mendapatkan kesuburan (keturunan) dari Dewa Shiva. Adat mereka apabila sisuami meninggal dunia maka pihak perempuan itu tidak perlu malu berstatus janda disebab ia tetap menjadi isteri Dewa Shiva. Maja merupakan tanaman yang cukup penting dalam tradisi Hindu.


Mana abang belajar. Dalam buku suci abang ker? Daun pokok maja scientifically ada sifat sejuk. Dewa Shiva always describe as energy of fire. So hindus offered these leaves. Lain kali tak tahu jgn tulis. Especialy when mabuk tapai pulut. hahaha.

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...