Support My Blog

Wednesday, May 1, 2013

HARI PEKERJA - BIDANG PERTANIAN

HARI PEKERJA (Workers Day) yang jatuh pada hari ini iaitu 1 MEI 2013 memberi makna kepada semua golongan pekerja terutama kepada sektor pertanian. Malaysia adalah sebuah negara membangun yang merdeka dimana sektor pertanian merupakan salah satu penyumbang ketiga penting dalam Keluaran Negara Kasar Negara (KDNK). Terdapat seramai 924,403 orang petani, penternak dan nelayan yang terlibat secara terus dengan pengeluaran bahan makanan di Malaysia direkodkan secara rasmi pada tahun 2010 (Laporan Agromakanan, Kementerian Pertanian Malaysia, 2011). Ini tidak termasuk pekerja ladang, Peneroka FELDA dan Pekebun Kecil Getah serta Kelapa Sawit. Daripada jumlah tersebut seramai 615,450 adalah petani yang terlibat dalam sektor tanaman makanan, 159,335 adalah mereka yang terlibat dalam sektor ternakan dan seramai 149,618 adalah didalam sektor perikanan. Sektor Pembuatan, Perkhidmatan dang Pertanian menyumbangkan pendapatan negara selain daripada pengeluaran minyak, elektronik, produk minyak sawit dan lain-lain untuk diekspot keluar negara. Malaysia pernah mencapai kedudukan ke 17 dalam dunia sebagai 'negara pengekspot' terpenting didunia. Sektor pertanian banyak disumbangkan oleh industri perladangan (Kelapa Sawit, Getah, Koko, Kelapa dan sebagainya) selain daripada sektor perhutanan, pengeluaran bahan makanan, aktiviti pemprosesan asas tani dan perikanan serta penternakan. Artikel kali ini sempena cuti Hari Pekerja, saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai maklumat asas petani di Malaysia yang terlibat dan bekerja dengan aktiviti pengeluaran tanaman makanan negara berdasarkan maklumat dari pembacaan, pengalaman dan rujukan saya kebeberapa laporan dan sesawang.




Pesawah atau Petani yang terlibat dengan sektor Industri Tanaman Padi dilaporkan seramai 172,230 orang dengan seramai 125,090 orang pesawah berada di Semenanjung Malaysia dan seramai 8,920 orang di Sabah dan 38,220 orang di Sarawak. Mereka mengusahakan sawah seluas 673,745 hektar tanaman padi pada tahun 2010 dan pengeluaran padi sebanyak 2,548,309 metrik tan. Daripada jumlah keluasan tersebut seluas 320,931 hektar sawah terletak di Semenanjung Malaysia semantara bakinya di Sabah dan Sarawak. Keluasan Jelapang Padi Malaysia adalan sebanyak 204,578 hektar di Kedah, Kelantan, Selangor, Perak, Terengganu dan beberapa negeri lain. Negeri Kedah mempunyai bilangan pesawah paling ramai di Malaysia dengan sejumlah 31,820 orang diikuti dengan Kelantan (30,610 orang), Perak (18,780 orang) dan Selangor (17,580 orang). Walau pun Sarawak melaporkan seramai 38,220 orang petani yang terlibat dengan penanaman padi, tetapi saya yang pernah bertugas di Sarawak rasa data ini mungkin perlu di teliti semula kerana ramai diantara mereka adalah penanam padi bukit atau padi huma sebagai pertanian sara diri. Petani di Sarawak menanam padi bukit dengan skala kecil dan bukan petani seperti pesawah yang menanam untuk tujuan komersial seperti ditempat lain. Mereka menanam satu kali setahun padi bukit dan penghasilan kebanyakan untk dimakan sendiri.


Terdapat seramai 46,040 petani yang mengusahakan tanaman sayuran di Malaysia pada tahun 2010 dengan bilangan paling ramai dari Sarawak (11,920 orang) diikuti dengan Kelantan (11,300 orang) dan Sabah (7,080 orang). Bilangan petani yang ramai tidak mencerminkan jumlah pengeluaran sayuran di Malaysia kerana kebanyakan petani di Sarawak dan Kelantan hanya menanam sayur untuk kegunaan sendiri sahaja dan menjalankan pertanian sara diri. Negeri Johor yang mempunyai bilangan hanya 4,920 petani merupakan pengeluar utama sayuran segar di Malaysia dengan pengeluaran sebanyak 163,570 metrik tan pada 2010 berbanding cuma sebanyak 63,920 metrik tan sahaja dari 11,300 penanam sayur di Kelantan. Pengeluaran sayuran setiap petani di Sarawak jauh lebih rendah berbanding dengan kapasiti pengeluaran sayuran di Negeri Johor. Faktur lokasi, pasaran, teknologi, kesesuaian tanah dan kemahiran petani menentukan produktiviti penanam sayur di Malaysia. Petani di Cameroon Highland Pahang dan Kundasang di Sabah merupakan kumpulan petani yang aktif dalam mengeluarkan sayur-sayuran bersuhu seserhana sejuk di negara kita. Malaysia mengekspot sebanyak RM 633.5 juta sayuran dan mengimpot sebanyak RM 2,268.4 juta sayuran pada tahun 2010 dimana sayuran yang diimpot merupakan sayuran 'temperate'.


Industri Tanaman Buah-buahan negara melibatkan seramai 308,970 orang petani pada tahun 2010 dengan bilangan petani paling ramai terdapat di Negeri Kelantan (70,930 orang) diikuti dengan Negeri Johor (70,900 orang) dan Sarawak (59,270 orang). Petani di Kelantan cuma mengeluarkan hanya 1/5 (satu per lima sahaja) dari pengeluaran di Negeri Johor menunjukkan tahap komersilisasi di Johor adalah moden dan produktif. Malaysia mempunyai seluas 298,429 hektar kawasan buah-buahan dengan pengeluaran sebanyak 1,767,800 metrik tan pada 2010. Antara buah-buahan utama yang di majukan di Malaysia adalah Durian(Bernilai RM 1.394 billion) diikuti dengan Nenas (Bernilai RM 644.9 billion), Pisang (Bernilai RM 476.2 billion), Tembikai (Bernilai 309.4 billion) dan buah-buahan seperti belimbing serta buah-buahan bermusim yang lain. Petani di Johor menanam buah-buahan secara komersial dan berskala besar di beberapa daerah untuk di ekspot dan kegunaan domestik.


Kajian saya juga mendapati seramai 28,640 petani terlibat dengan aktiviti pengeluaran Tanaman Kontan atau tanaman jangkapendek di Malaysia pada 2010. Kebanyakkan petani tersebut berada di Negeri Johor (14,040 orang) diikuti dengan Sabah (4,140 orang), Sarawak (2,310 orang) dan Kedah (2,080 orang). Negeri Johor menyumbangkan 46% daripada jumlah pengeluaran tanaman kontan negara seperti ubi kayu, keladi,jagung, keledek, tebu dan sebagainya. Nilai pengeluaran tanam kontan negara yang utama adalah Jagung (RM 118.2 juta) diikuti dengan Ubi Kayu (RM 41.6 juta), Tebu (RM 39.7 juta) dan Keledek (RM30.7 juta). Penanam kontan ini merupakan mereka yang membekalkan bahan mentah untuk aktiviti pemprosesan makanan (Industri Asas Tani) yang banyak di Johor dan Selangor. Terdapat 58,920 orang petani yang terlibat dengan tanaman makanan lain di Malaysia seperti tanaman herba, minuman, umbisi dan sebagainya.


Terdapat ramai lagi yang terlibat dengan sektor pertanian dikalangan Pegawai-Pegawai Pengembangan, Penyelidik Pertanian, Pengeluar Alat dan Input Pertanian, Pekedai Menjual Keperluan Input Pertanian, Esekutif Pemasaran, Usahawan Pemprosesan Industri Asas Tani, Pemilik Logistik Pengangkutan Pertanian, Perkhidmatan Jentera Pertanian, Pengimpot, Pemborong, Pemasar dan banyak lagi didalam sistem rantaian nilai sektor ini. Sebenarnya lebih daripada 4-5 juta orang di Malaysia memang terlibat terus dengan sektor ini dan hampir 5 juta lagi dalam sektor pekerja ladang atau buruh pertanian. Dikalangan pekerja ladang juga, kita tahu terdapat berjuta pekerja yang kebanyakannya adalah pekerja asing seperti mereka yang terlibat dengan ladang kelapa sawit, ladang getah dan kebun sayur komersil (Seperti di Cameroon Highlands). Sempena Hari Pekerja ini, penulis mengucapkan 'SELAMAT HARI PEKERJA" kepada semua dan dikhususkan kepada pekerja sektor pertanian yang akan rajin bekerja demi menjamin bekalan makanan negara mencukupi, berkualitii dan selamat dimakan. Wasallam!

SETIAP 1 MEI... ITU HARI PEKERJA...
PEKERJA PERTANIAN...RAMAINYA...
MEMBEKAL MAKANAN...KEPADA SEMUA...
JANGAN LUPAKAN....KHIDMAT MEREKA...

By,
M Anem
Dataran Putrajaya
Putrajaya
Malaysia
(18 JamadilAkhir 1434H)


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...